Insiden Kapal Dayang Topaz

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Insiden Kapal Dayang Topaz
Tarikh27 Oktober 2020
LokasiKuala Baram, Miri. Sarawak
PenyebabCuaca buruk berikutan Taufan Molave
Penumpang terlibat187
Terselamat185
Kematian2

Pada 27 Oktober 2020, terdapat satu kejadian kemalangan maritim di perairan Miri, Sarawak yang melibatkan sebuah kapal penyelenggaraan milik Malaysia iaitu MV Dayang Topaz yang karam pada awal pagi hari tersebut setelah kapal terbabit merempuh sebuah pelantar minyak iaitu pelantar minyak Baram B di Kuala Baram, Miri ketika cuaca buruk. Dua orang anak kapal maut, sementara 185 orang lagi anak kapal telah berjaya diselamatkan. Kapal penyelenggaraan tersebut mengangkut 187 orang anak kapal yang terdiri daripada 185 orang anak kapal warganegara Malaysia dan dua orang anak kapal warganegara Indonesia.[1]

Peristiwa[sunting | sunting sumber]

Waktu yang digunakan ialah Waktu Piawai Malaysia (UTC+8)

Pada 27 Oktober 2020, jam 6.45 pagi, Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) menerima laporan daripada kapal Sapura Construction yang menerima isyarat kecemasan daripada kapal Dayang Topaz di posisi kira-kira 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri. Kapal Sapura Construction telah bergerak ke lokasi kemalangan bagi mengesan lokasi sebenar kapal Dayang Topaz yang dilaporkan kapal terbabit mulai karam dengan 62 orang anak kapal masih berada di atas kapal manakala 125 orang anak kapal lagi telah terjun ke laut. Pada jam kira-kira 8.45 pagi, seramai 121 orang anak kapal telah berjaya diselamatkan termasuk seorang anak kapal yang ditemui meninggal dunia oleh aset-aset bantuan yang tiba di lokasi kejadian manakala empat orang anak kapal lagi masih belum ditemui.[2] Empat orang anak kapal yang dilaporkan hilang pada awalnya kemudian telah berjaya ditemui pada pukul 9.25 pagi berhampiran lokasi kejadian.[3]

Menurut siasatan awal, insiden tersebut berpunca daripada salah satu kabel sauh yang terputus akibat dibadai ekor Taufan Molave yang melanda sehingga menyebabkan kapal hilang kawalan dan merempuh pelantar minyak Baram B berdekatan Miri.[4][5] Akhirnya, pada sebelah petang, seramai 185 orang anak kapal berjaya diselamatkan melalui Operasi Carilamat, manakala dua orang anak kapal disahkan meninggal dunia.[6] Kedua-dua mangsa yang terkorban merupakan warganegara Malaysia.[7]

Siasatan[sunting | sunting sumber]

Petronas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata siasatan menyeluruh terhadap insiden pengaraman kapal Dayang Topaz dan penilaian struktur pelantar telah dijalankan. Pihaknya juga memberikan semua sokongan yang diperlukan kepada DESB Marine Services, pemilik kapal Dayang Topaz berhubung perkara tersebut.[8][9]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Arrifin, Afiq (27 Oktober 2020). "Kronologi insiden Dayang Topaz: Ini apa anda perlu tahu". Astro Awani. Astro Awani. Dicapai pada 6 November 2020.
  2. ^ "SEORANG MAUT, EMPAT HILANG, 121 SELAMAT DALAM INSIDEN KAPAL KARAM". Borneo Today. 27 Oktober 2020. Dicapai pada 6 November 2020.
  3. ^ Razali, Safeek Affendy (27 Oktober 2020). "TERKINI: 4 kru kapal Dayang Topaz hilang, ditemui selamat". BH Online. Dicapai pada 6 November 2020.
  4. ^ Huda, Nailah (27 Oktober 2020). "Tali sauh terputus ketika ribut dipercayai punca Dayang Topaz rempuh pelantar minyak". Astro Awani. Dicapai pada 27 Oktober 2020.
  5. ^ "Swift action saves more than 100 lives in raging waters off Miri" [Tindakan pantas berjaya menyelamatkan lebih 100 nyawa di laut bergelora Miri]. Bernama (dalam bahasa Inggeris). 27 Oktober 2020. Dicapai pada 31 Oktober 2020.
  6. ^ "Dayang Topaz: Dua anak kapal disahkan meninggal dunia, 185 berjaya diselamatkan". Astro Awani.
  7. ^ Nawawi, Muhaamad Hafis; George, Erika (27 Oktober 2020). "Dua warga Malaysia terkorban [METROTV]". MyMetro. Dicapai pada 6 November 2020.
  8. ^ "Insiden Dayang Topaz: Petronas jalankan penilaian struktur pelantar". Sinar Harian. 29 Oktober 2020. Dicapai pada 4 November 2020.
  9. ^ Ahmad Shahierman Shamsuri (29 Oktober 2020). "Siasatan menyeluruh insiden kapal Dayang Topaz sedang dilakukan - Petronas". Kosmo!. Dicapai pada 4 November 2020.