Ribut Tropika Greg

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Ribut Tropika Greg
Ribut tropika  (SSHS)
Imej satelit Ribut Tropika Greg berhampiran negeri Sabah pada 25 Disember 1996

Imej satelit Ribut Tropika Greg berhampiran negeri Sabah pada 25 Disember 1996
Terbentuk 24 Disember 1996
Reda 27 Disember 1996
Kelajuan maksimum
angin
85 km/j (50 bsj)
(Purata 1 minit)
Tekanan terendah 991 hPa (mbar)
Kematian 238 (102 hilang)
Kerosakan $280 juta (Nilai USD tahun 1996)
Kawasan
terjejas
Hampir keseluruhan negeri Sabah
Sebahagian daripada
Musim taufan Lautan Pasifik 1996

Ribut Tropika Greg (kod JTWC: 43W) merupakan siklon tropika terakhir yang terbentuk dalam musim taufan Lautan Pasifik bagi tahun 1996. Dikesan mula terbentuk daripada lekukan tropika di Laut China Selatan pada 24 Disember 2.00 petang (waktu Malaysia), ribut ini membadai Sabah pada 26 Disember, dengan korban 238 nyawa, manakala 102 orang lagi dilaporkan hilang.[1] Ribut ini juga mengakibatkan kemusnahan harta yang besar di negeri Sabah. Ribut telah melenyap pada 28 Disember di Laut Sulawesi. Bencana ini merupakan antara bencana yang terburuk dalam sejarah negara.

Sejarah ribut[sunting | sunting sumber]

Laluan ribut

Suatu kelompok awan terbentuk pada malam 20 Disember di Laut China Selatan, di tengah-tengah Vietnam dan berdekatan dengan kawasan laut di barat laut Sabah.[2] Gangguan tropika ini dilaporkan oleh JWTC dalam Nasihat Penting Cuaca Tropika pada 21 Disember jam 2.00 petang waktu Malaysia.[3] Pada 23 Disember, gangguan cuaca ini terus berkembang dengan proses perolakan yang berterusan.[3]

Pada 24 Disember jam 12.00 tengah hari, JTWC telah mengeluarkan Amaran Pembentukan Siklon Tropika apabila imej satelit tampak dan gelombang mikro menandakan susunan perolakan sistem ini bertambah padu.[3] Sistem cuaca ini diberikan status sebagai suatu lekukan tropika oleh JTWC pada 24 Disember jam 2.00 petang.

Jabatan Kaji Cuaca Malaysia pada 25 Disember jam 1.00 pagi mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang yang dijangkakan memberi kesan terhadap Labuan dan barat Sabah selama 24 jam.[4]

Pada jam 8.00 pagi, lekukan tropika ini mencapai status ribut tropika, apabila tindakbalas monsun barat laut menambah kelajuan anginnya.[2][3] Pada saat ini kelajuan angin Greg yang tertinggi dicatatkan iaitu 45 knot (23 ms-1; 83 km/j) dan kelajuan ini dikekalkan sehingga ribut tropika ini bertemu daratan di Sabah.[3] Awal pagi 26 Disember antara jam 3.00 hingga 4.00 pagi, ribut itu betul-betul melanda keseluruhan bahagian Kudat sebelum membadai Sandakan.[1]

Setelah itu, ribut memasuki Laut Sulu, dan agensi JTWC mula menurunkan status ribut itu menjadi lekukan tropika pada koordinat 6°03′N 118°48′E / 6.05°N 118.80°E / 6.05; 118.80 pada 26 Disember, jam 2.00 petang. Angin selaju 40 knot (75 km/j) direkodkan. Kelajuan angin bagi lekukan tropika ini kian lemah apabila merentasi perairan Laut Sulu dan memasuki kawasan Laut Sulawesi. Amaran cuaca terakhir dikeluarkan oleh JWTC pada 27 Disember jam 2.00 petang apabila struktur perolakan dalam ribut ini mula merosot.[3] Akhirnya pada 28 Disember, jam 2.00 petang, sistem cuaca itu kali terakhir dikesan pada koordinat 3°06′N 131°12′E / 3.1°N 131.2°E / 3.1; 131.2, dengan kelajuan angin kira-kira 20 knot (37 km/j), sebelum dikesan telah lenyap di kawasan timur Laut Sulawesi.[5]

Dalam analisis terkemudian JWTC terhadap cerapan data satelit, agensi ini mendapati bahawa Lekukan Tropika 43W berkembang menjadi Ribut Tropika Greg pada 24 Disember jam 8.00 malam. Hal ini demikian kerana imej gelombang mikro daripada satelit Defense Meteorological Satellite Program (DMSP) pada 24 Disember jam 10.52 malam menunjukkan jalur perolakan padu yang tersusun mengiringi pusat peredaran aras rendah.[3]

Fenomena luar biasa[sunting | sunting sumber]

Siklon tropika amat-amat jarang melanda Malaysia. Sebarang sistem siklon tropika di Laut China Selatan akan lazimnya bergerak menghala kawasan Indochina. Selain itu juga, pergerakan ribut ini dari 8°N 110°E / 8°N 110°E / 8; 110 (Beginning of Tropical Storm Greg) ke 3°N 126°E / 3°N 126°E / 3; 126 ("Pengakhiran Greg") yang berterusan juga sungguh luar biasa. Dalam pertimbangan JWTC, pengaruh putaran Taufan Fern yang besar, yang berada di timur Filipina, mempengaruhi pergerakan ribut ini [4][6] JTWC mengandaikan tindakbalas monsun timur laut menghalang pergerakan ribut ke arah barat serta angin baratan yang kuat di kawasan selatan ribut menyebabkan pergerakan yang sedemikian.[3]

Tindakan[sunting | sunting sumber]

Pada 26 Disember jam 5.30 pagi, apabila polis menerima laporan mengenai ribut ini dan menjumpai korban pertama, operasi mencari dan menyelamat dengan kekuatan kira-kira 300 orang daripada pelbagai badan dilancarkan.[7] Mereka termasuklah 24 orang ahli SMART dengan dilengkapi anjing pengesan, pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja, dan Tentera Udara Diraja Malaysia.[8][9]

Ketua Menteri Sabah pada waktu itu, Datuk Yong Teck Lee menggerakkan Jawatankuasa Bencana Alam Negeri. Manakala tindakan yang serupa bagi peringkat daerah di pantai barat diarahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Datu Khalil Datu Jamalul.[10][11]

Badan swasta juga menyalurkan bantuan, seperti Sabah Air yang menyumbangkan empat buah helikopter untuk operasi mencari dan menyelamat, manakala TV3 turut membantu dalam menyumbang dana tabung bantuan.[12]

Manakala badan sukarelawan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Keningau dan Kota Kinabalu memberi seliaan kepada tiga buah pusat pemindahan mangsa yang menempatkan sejumlah 1900 orang mangsa di Keningau, selain daripada menyedia dan menghantar bantuan makanan.[13]

Pada pagi 27 Disember, pasukan SMART dikerahkan ke Keningau bersama-sama 25 orang anggota polis tugas am, 60 anggota Pasukan Polis Hutan, 10 Pengakap Sempadan dan 109 anggota Tentera Darat Diraja Malaysia.[14]

Pada 30 Disember, kerajaan negeri Sabah dijadualkan untuk memulakan kerja-kerja pemulihan di sebelas daerah yang mengalami kesan akibat ribut ini.[15]

Bantuan antarabangsa juga diterima dengan Indonesia menghantarkan barang-barang bantuan. Manakala Jepun menyumbangkan geran wang bilateral sebanyak $AS100,000 dan barangan bantuan sejumlah $AS170,190 (nilai 1996).[16] Negara lain yang turut memberikan bantuan termasuklah Korea Selatan, Brunei, New Zealand, Filipina, Thailand, dan Amerika Syarikat.[17][18]

Pengumuman penghentian gerakan mencari dan menyelamat mangsa dibuat oleh Pembantu Menteri Perkhidmatan Sosial Sabah, Datuk Markus Majihi pada 17 Januari 1997 walaupun 102 orang mangsa yang dilaporkan hilang masih tidak ditemui.[1] Ahli Jawatankuasa Bencana Alam Negara, Datuk Mohamed bin Rahmat yang juga Menteri Penerangan Malaysia pula mengumumkan bahawa pengiraan mangsa hilang akan dilancarkan pada 23 Januari 1997. Proses ini dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Keningau dengan kerjasama polis dan tentera. Dalam masa yang sama, beliau menggesa supaya ketua masyarakat Indonesia dan Filipina turut bekerjasama dalam proses ini.[19]

Tabung bantuan juga dibuka oleh kerajaan negeri sehingga 28 Februari 1997. Sumbangan yang diterima selain daripada wang termasuklah bekalan makanan, pakaian dan alat permainan kanak-kanak.[17]

Pada 5 April 1997, akhbar Sabah Daily Express melaporkan jumlah sumbangan yang didermakan kepada Tabung Bantuan Bencana Ribut Tropika Greg sebanyak RM 6.2 juta termasuklah bantuan antarabangsa. Manakala peruntukan kerajaan negeri Sabah pula ialah sebanyak RM 9 juta.[20]

Impak[sunting | sunting sumber]

Statistik mangsa[21]
Daerah Mangsa Kediaman
rosak
Kematian
Kota Kinabalu 8,730 4,717 4
Tuaran 8,136 1,697 5
Papar 772 45 2
Penampang 324 40
Keningau 5,040 500 227
Sipitang 131 25
Tenom 3,500 26
Telupid 7
Beaufort 12,867
Jumlah 39,687 7,280 238

Akibat ribut ini, kerajaan negeri Sabah mengalami kerugian dianggarkan melebihi RM 130 juta.[1]. Banyak prasarana mengalami kemusnahan, sama ada bumbung bangunan dipuput angin atau terus ranap dihempap pokok atau tiang elektrik. Mangsa ribut juga dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan yang ditetapkan. Pada 28 Disember, amaran ancaman wabak taun dikeluarkan terhadap tujuh buah daerah. [20]

Di Kota Kinabalu, Tenom dan Sandakan sahaja, kerosakan jalan dan jambatan mencecah RM 21 juta, manakala kos untuk pembaikan dermaga dan pelabuhan ialah sebanyak RM 10 juta. Pemulihan bekalan air memerlukan kos kira-kira RM 6 juta, dan pembaikan landasan kereta api berkos RM 1 juta. [22] Jalan-jalan dinaiki air atau terputus disebabkan tanah runtuh atau jambatan dihanyutkan.

Petempatan berdekatan banjaran Crocker dihanyutkan arus deras daripada lereng akibat hujan lebat yang dibawa oleh ribut tropika ini. Kejadian ini diburukkan lagi dengan tiupan angin kencang yang berlaku serentak dengan hujan, pada dinihari 26 Disember. Mangsa-mangsa ribut yang sedang tidur dihanyutkan oleh arus banjir kilat ini.

Sekolah-sekolah juga mengalami kerosakan. Jabatan Pendidikan Sabah menganggarkan jumlah kemusnahan sebanyak RM 1.5 juta. Kemusnahan yang dilaporkan berupa bumbung tercabut ditiup ribut, dan kerosakan melibatkan dinding bangunan dan peralatan sekolah. Ini menimbulkan masalah kerana sesi persekolahan baharu bagi tahun 1997 bakal bermula pada 6 Januari 1997, kira-kira 11 hari selepas tarikh kejadian. Untuk mengatasi masalah kekurangan dan ketiadaan kelas, sekolah diadakan dalam dua sesi buat sementara waktu. [23]

Korban nyawa yang dicatatkan akibat ribut ini ialah seramai 238 orang (bilangan termasuk jumlah mangsa yang dilaporkan hilang). Walau bagaimanapun, hanya lima belas orang mangsa ialah warga tempatan manakala yang selebihnya ialah warga asing.[24]

Umumnya mangsa yang terselamat juga mengalami trauma apabila mana-mana ribut tropika atau taufan merentasi Filipina, bimbang tragedi seperti ini berulang lagi.

Bahagian Pantai Barat[sunting | sunting sumber]

Kota Kinabalu[sunting | sunting sumber]
Kemusnahan sebuah kampung di Keningau

Di ibu negeri Sabah ini, dilaporkan bahawa terdapat bumbung serta atap beratus-ratus buah rumah, pokok-pokok dan papan-papan iklan yang ranap diterbangkan angin. Sampah sarap berupa potongan beluti dan papan bertaburan merata-rata tempat.[10]

Salah satu daripada lampu limpah Stadium Likas tumbang. Akibatnya, separuh daripada jalan berdekatan terhalang. Selain itu, bumbung stadium ini juga diterbangkan angin. [20]

Bangunan Yayasan Sabah terpaksa ditutup pada 26 Disember akibat kerosakan serius pada beberapa bahagian bangunan terbabit. Semua kakitangan Jabatan Ketua Menteri dan Yayasan Sabah yang berpejabat di situ diarahkan supaya bercuti ada hari itu. Struktur yang terjejas ialah tingkat bawah yang menempatkan pintu masuk ke lif. Hal ini disebabkan oleh bahagian silingnya hampir musnah serta sebahagian dinding cermin pecah dan tercabut.[25] Tingkat 7 yang menempatkan Jabatan Ketua Menteri dan tingkat 19 yang dijadikan pejabat-pejabat bagi yayasan tersebut, juga mengalami kerosakan apabila tingkap-tingkap di bahagian menara itu pecah. [20]

Di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, tiga tingkat bangunan yang mempunyai empat tingkat itu mengalami kerosakan teruk. Antara yang terjejas ialah dewan persidangan DUN. Di situ, tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Joseph Pairin Kitingan; ADUN Langkon, Dr Maximus Ongkili; ADUN Dilantik, Datuk Lawrence Gimbang dan Chong Ket Wah; serta ADUN Karamunting, Datuk Lau Pui Keong, mengalami kerosakan. Selain itu, dua tempat duduk Timbalan Speaker dan Setiausaha DUN juga terjejas. Barisan kerusi ADUN lain tidak terjejas kecuali bahagian Kabinet negeri. Kerosakan pada bahagian itu disebabkan oleh serpihan atap cermin jatuh dari jarak kira-kira lapan meter, serta beberapa dinding kaca berhampiran eskalator.[25]

Sekolah-sekolah di Kota Kinabalu juga binasa. Antaranya SK Pulau Sepangar, SK Gentiasan, SK Kebagu Menggatal, SK Rampayan Menggatal, SK Tobobon Menggatal, SK Karambunai Telipok, SK Melawa Telipok, SK Lapasan Telipok, SMK Menggatal, SMK Pulau Gaya, SMK Inanam, SMK Agama Inanam, SMK Likas dan SMK Perempuan Likas. [23] Atap bangunan Sekolah Kebangsaan Darau yang baru dibina pada tahun itu telah diterbangkan angin ribut. [26]

Daerah Tuaran[sunting | sunting sumber]

Di daerah ini, sebanyak 35 buah kampung melaporkan kes kemusnahan.[23] Selain itu, perhubungan jalan raya antara Tuaran dan Kota Kinabalu juga terputus akibat pokok yang tumbang, di samping ketiadaan bekalan elektrik ke seluruh daerah kerana kabel yang terputus atau tiang elektrik yang tumbang. Ini mengakibatkan urusan kerajaan dan pihak swasta tidak dapat dijalankan. Bekalan air juga mengalami masalah.[27]

Lima belas buah sekolah rendah dilaporkan mengalami kerosakan, dan juga tiga buah surau, sebuah gereja dan dua buah penginapan resort juga mengalami kerosakan teruk.[23][28]

Di pekan Tamparuli, SK Saradan, SK Pekan Tamparuli, SK Rungus, SK Lingga Baru, SK Guakon dan SMK Pekan Tamparuli merupakan sekolah yang melaporkan kes kerosakan. [23]

Kampung Tanjung Aru[sunting | sunting sumber]

Stesen mencatat cuaca di sini mengalami kerosakan akibat banjir.[29]Manakala bot-bot nelayan di situ ada yang tenggelam, dan ada yang terdampar di darat.[11]

Pulau Gaya[sunting | sunting sumber]

Bumbung sebuah masjid di situ dilaporkan runtuh.[11] Semua blok bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya mengalami kerosakan teruk, malah sebuah blok SK Pulau Gaya runtuh dan tidak boleh digunakan sama-sekali. [23]

Kawasan perairan[sunting | sunting sumber]

Taman Tunku Abdul Rahman mengalami kerosakan di samping kemusnahan kawasan terumbu karang [30] di pulau Manukan, Sapi dan Sulug.[31] Da;am satu kertas kerja yang diterbitkan pada tahun 2005, terumbu karang di Pulau Baik juga dipostulasikan mengalami kerosakan akibat ribut ini.[32]

Bahagian Pedalaman[sunting | sunting sumber]

Keningau[sunting | sunting sumber]

Daerah Keningau merupakan daerah yang paling teruk terjejas akibat ribut ini akibat arus deras daripada arus banjaran Crocker yang menyebabkan Sungai Pampang yang cetek melimpahi tebingnya.[8][20] Siasatan mendapati arus deras ini mula menuruni cerun pada jam 3.00 pagi dan 4.00 pagi ketika penduduk sedang tidur. Kejadian ini juga berlaku sangat pantas, maka tidak banyak yang sempat menyelamatkan diri.

Kebanyakan mangsa yang ditemui dalam timbunan lumpur dan sampah merupakan keturunan Bugis dan Tanah Toraja (Tator) yang bekerja di kilang-kilang papan berhampiran.[33] Majoriti kaum Tator yang beragama Kristian pula baru sahaja menyambut Hari Krismas pada hari sebelumnya, iaitu 25 Disember. Penempatan mereka dibina di Kampung Baru dan Kampung Contoh, rata-ratanya dibina betul-betul di tebing sungai.[8]

Kampung-kampung yang terjejas akibat banjir di daerah ini ialah Kampung Pampang, Bulu Silou, Motou, Liawan Ulu, Bingkor Lama, Minonsod, Dangulad, Limbawan dan Bakiau. Selain itu, dua jambatan utama di Sungai Liawan dan Pegalan dihanyutkan arus deras. Ini menyebabkan perhubungan utama ke daerah itu terputus.[34] Jambatan di Sungai Bayayo yang runtuh menyebabkan hubungan Keningau dengan Kota Kinabalu terputus.[8] Memburukkan keadaan lagi apabila hubungan telekomunikasi yang tidak memuaskan menyukarkan penyaluran maklumat dengan pantas.[10]

Sipitang[sunting | sunting sumber]

Sederet gerai milik Majlis Daerah Sipitang di pesisir pantai Sipitang menjadi condong akibat dipukul ombak besar. Daerah ini juga terputus hubungan dengan daerah Beaufort akibat banjir di Kampung Pantai dan Kampung Sungai Baular. [35]

Beaufort[sunting | sunting sumber]

Tiga per empat Pekan Beaufort ditenggelami banjir sedalam setengah meter. Hanya kenderaan berat yang boleh merentasi pekan itu. Selain itu perkhidmatan kereta api ke Tenom juga dihentikan akibat banjir.[35]

Tambunan[sunting | sunting sumber]

Jalan raya yang merentasi bukit-bukit berdekatan Gunung Emas ditutup akibat tanah runtuh.[34]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d Mohd. Azrone Sarabatin. "Greg masih jadi misteri", Berita Harian (Malaysia), 22 November 2003. Dicapai pada 11 Jun 2008.
  2. ^ a b (Inggeris)Netweather Forum - UK and Worldwide Weather Discussion -> Tropical Storm GREG (43W), 21-27 Dec 1996. Dicapai pada 14 November 2009.
  3. ^ a b c d e f g h Joint Typhoon Warning Center. 1996 Pacific Typhoon Tropical Cyclone Report.
  4. ^ a b "Ribut Greg sepatutnya melanda Indo-China". Utusan Malaysia Online. 27 Disember 1996. Diarkibkan daripada original pada 19 Disember 2005. Dicapai pada 26 September 2011. 
  5. ^ http://weather.unisys.com/hurricane/w_pacific/1996H/GREG/track.dat. Dicapai pada 2008-06-14.
  6. ^ Lander, Mark A., Eric J. Trehubenko, Charles P. Guard (1999). "Eastern Hemisphere Tropical Cyclones of 1996". 
  7. ^ http://web.archive.org/web/20051219130918/http://161.139.39.251/akhbar/disasters/1996/bh96c272.htm. Diarkibkan daripada original pada 2005-07-06. Dicapai pada 9 September 2011.  |title= hilang atau kosong (bantuan)
  8. ^ a b c d "Topan Greg, Musibah Terbesar Selama 51 Tahun". Dicapai pada 16 September 2011. 
  9. ^ "Sejarah 3 RAMD - Sumbangan Pasukan". Dicapai pada 9 September 2011. 
  10. ^ a b c "106 korban ribut Greg -- Lebih 100 lagi hilang dalam tragedi di Sabah". Utusan Malaysia Online. 27 Disember 1996. Diarkibkan daripada original pada 19 Disember 2005. Dicapai pada 26 September 2011. 
  11. ^ a b c "KM arah jawatankuasa bencana bersedia". Berita Harian Online. 27 Disember 1996. Diarkibkan daripada original pada 19 Disember 2005. Dicapai pada 26 September 2011. 
  12. ^ "Korban Badai Greg Bertambah Menjadi 205 Orang Meninggal" (dalam bahasa Bahasa Indonesia). 30 Disember 1996. Diarkibkan daripada original pada 29 Disember 1996. Dicapai pada 16 Septmber 2011. 
  13. ^ "IFRC Malaysia Floods: Information Bulletin no.01". 27 Disember 1996. Dicapai pada 9 September 2011. 
  14. ^ "24 anggota Smart tiba". Berita Harian Online. 28 Disember 1996. Diarkibkan daripada original pada 19 Disember 2005. Dicapai pada 19 September 2011. 
  15. ^ "Keningau sudah boleh dihubungi". Berita Harian Online. 30 Disember 1996. Diarkibkan daripada original pada 19 Disember 2005. Dicapai pada 19 September 2011. 
  16. ^ "Malaysia Tropical Storm Situation Report No. 1". 31 Disember 1996. Dicapai pada 9 September 2011. 
  17. ^ a b "SPEECH BY Y.B. DATUK RAYMOND TAN SHU KIAH MINISTER OF SOCIAL SERVICES SABAH IN CONJUCTION WITH THE 35TH INSTALLATION AND AWARDS BANQUET ORGANISED BY KOTA KINABALU JAYCEES ON 23RD FEBRUARY, 1997 - 7:30 PM AT GRAND, BALLROOM 2, SHANGRI-LA TANJUNG ARU RESORT, KOTA KINABALU" (PDF) (Press release). 23 Februari 1997. Dicapai pada 26 September 2011. 
  18. ^ "Borneo Escapes Typhoons & Quakes". 8 Oktober 2009. Dicapai pada 9 September 2011. 
  19. ^ "Head count of missing persons starts tomorrow". The New Straits Times. 22 Januari 1997. Dicapai pada 26 September 2011. 
  20. ^ a b c d e http://web.archive.org/web/20091020155351/http://geocities.com/RainForest/2353/fury.htm. Dicapai pada 19 Julai 2010.
  21. ^ Megat Lutfi Megat Rahim (18 Mei 2008). "Trauma mangsa amukan ribut Greg di Sabah, Anak hanyut dalam gelap". Kosmo! Ahad. Dicapai pada 19 Julai 2010. 
  22. ^ Berita Harian Online. Dicapai pada 19 Julai 2010.
  23. ^ a b c d e f http://web.archive.org/web/20051219151508/http://161.139.39.251/akhbar/disasters/1996/bh96c313.htm. Dicapai pada 19 Julai 2010.
  24. ^ "Ucapan Penggulungan Dasar Belanjawan Negeri Tahun 1998". Dicapai pada 26 September 2011. 
  25. ^ a b http://161.139.39.251/akhbar/disasters/1996/bh96c275. Dicapai pada 2008-06-20.
  26. ^ Sejarah Penubuhan Sekolah. Dicapai pada 19 Julai 2010.
  27. ^ "1,000 penduduk hilang tempat tinggal". Berita Harian Online. 28 Disember 1996. Diarkibkan daripada original pada 19 Disember 2005. 
  28. ^ http://web.archive.org/web/20051219150540/http://161.139.39.251/akhbar/disasters/1996/bh96c274.htm
  29. ^ "Ribut tropika landa Pantai Barat Sabah". Berita Harian Online. 27 Disember 1996. Diarkibkan daripada original pada 19 Disember 2005. Dicapai pada 26 September 2005. 
  30. ^ Archives. Dicapai pada 19 Julai 2010.
  31. ^ http://www.sabah.gov.my/jhl/edu/ekosistem%20Marin/Marin%20LAYOUT%28N%29.pdf. Dicapai pada 19 Julai 2010.
  32. ^ Lee Wah Sze (1 September 2005). "Pemataan Terumbu Karang dan Habitat Bentik Marin dengan Kaedah Hidroakustik". Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah. Dicapai pada 7 September 2011.
  33. ^ "120 mayat ditemui, 200 masih hilang". Berita Harian Online. 27 Disember 1996. Diarkibkan daripada original pada 19 Disember 2005. Dicapai pada 26 September 2011. 
  34. ^ a b http://web.archive.org/web/20051219140617/http://161.139.39.251/akhbar/disasters/1996/bh96c27.htm. Dicapai pada 19 Julai 2010.
  35. ^ a b http://web.archive.org/web/20051219131103/http://161.139.39.251/akhbar/disasters/1996/bh96c277.htm

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • Video YouTube menunjukkan kemusnahan Ribut Tropika Greg di Keningau