Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur lwn Menteri Dalam Negeri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Malaysia lwn The Herald)
Lompat ke: pandu arah, cari

Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur lwn Menteri Dalam Negeri adalah satu pertelingkahan undang-undang melibatkan dua pihak di antara kerajaan Malaysia dan surat khabar mingguan di Malaysia, The Herald. Kes ini melibatkan dakwaan penapisan haram selepas akhbar berkenaan kehilangan hak penerbitan kerana menggunakan nama Allah di dalam konteks Kristian yang berbeza.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bagi pihak akhbar Herald , menyatakan bahawa walaupun Islam sebagai agama persekutuan negara ini, ia tidak memberikan kuasa untuk melarang penggunaan perkataan Allah.[1] Ini menimbulkan reaksi banyak pihak di Malaysia. Kerajaan Malaysia sedang merayu keputusan ini di Mahkamah Rayuan.

Sejarah Kes[sunting | sunting sumber]

Penggunaan perkataan "Allah"[sunting | sunting sumber]

The Herald melalui ketua biskop Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam yang bertindak sebagai penerbit the Herald, adalah plaintif telah meminta Mahkamah Tinggi Malaysia untuk campur tangan di dalam kes ini yang melibatkan penggunaan perkataan "Allah" oleh suratkhabar berkenaan. Permohonan beliau telah difailkan pada 22 Disember 2007. Di dalam penyataan pendakwaan, Pakiam mencari bantuan pengisytiharan bahawa the Herald diberi hak untuk menggunakan perkataan "Allah" dan perkataan ini tidak ekslusif untuk Islam sahaja. Beliau juga mencari pengisytiharan bahawa arahan kementerian untuk menghentikan penggunaan perkataan "Allah" di dalam akhbar Herald adalah tidak sah dan batal. [2] Salah satu sebab yang disebut-sebut mengenai larangan ini adalah bahawa kandungan berita berbahasa Melayu yang menggunakan "Allah" sebagai gelaran Tuhan dalam konteks bukan Islam dikhuatiri boleh mengelirukan umat Islam di Malaysia.[3]

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum meminta penerbitnya membuang seksyen Bahasa Malaysia atau permitnya tidak diperbaharui. Bahasa yang digunakan di dalam Bible tersebut ialah Bahasa Indonesia [4]. Pada 2003, kitab Injil dalam bahasa Iban telah diharamkan kerana ia menterjemah perkataan "God" kepada "Allah Taala". Arahan itu ditarik balik selepas mendapat bantahan daripada masyarakat Kristian.[5]

Surat tunjuk sebab oleh kerajaan Malaysia[sunting | sunting sumber]

Akhbar Herald menerima tiga surat amaran diikuti sepucuk surat tunjuk sebab yang dihantar kepada penerbitnya pada 16 Julai. Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri memaklumkan akhbar theSun bahawa surat amaran pertama bertarikh 10 Mac, surat kedua pada 16 mac dan surat ketiganya pada 1 Julai. Tambah pegawai itu lagi, akhbar Herald tidak mengeluarkan nombor pencetakannya dengan betul-betul serta menyiarkan rencana-rencana yang bercanggah dengan kebenaran permit penerbitannya. Akhbar Herald menghadapi tindakan penggantungan permitnya sekiranya masih berbuat demikian dan menerbitkan editorial mengenai pilihan raya kecil Permatang Pauh. Seorang pegawai dalam bahagian kawalan penerbitan dan teks al-Quran dalam Kementerian Dalam Negeri Malaysia menjelaskan bahawa ini adalah kerana editorial mengenai pilihan raya kecil tersebut ialah sejenis topik yang tergolong dalam hal ehwal semasa dan politik.[6] Che Din Yusof dari unit tersebut menjelaskan bahawa "peringatan" ini bukan surat tunjuk sebab semata-mata, sebaliknya dikeluarkan kerana akhbar berkenaan "bertumpu kepada isu-isu politik mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim." [7]

Kerajaan Malaysia menuduh dan mengugut hendak mengambil tindakan tegas terhadap akhbar Kristian kerana melanggar undang-undang penerbitan dengan menyiarkan rencana yang dianggap berbaur politik dan menghina Islam. Teguran ini membayangkan ketidaktentuan kedudukan agama minoriti di negara Malaysia yang berbilang budaya di sebalik pertikaian antara agama yang semakin menjadi-jadi. Penganut agama Kristian, Buddha dan Hindu merungut bahawa hak-hak mereka dicabar oleh usaha kerajaan untuk memperkukuhkan status Islam sebagai agama rasmi negara.[8][9][10]

Akhbar Herald yang turut menarik perhatian kerana dikatakan berulang-kali melanggar syarat-syarat permitnya, telah berusaha mempertahankan diri terang-terangan. Pihak Herald telah meyakinkan pihak Kementerian Dalam Negeri bahawa pihak berkuasa usah bimbang kerana akhbar minggunan tersebut disasarkan kepada penganut Katolik dan bukan masyarakat umum. Penyuntingnya, Paderi Lawrence Andrew, berkata bahawa akhbar Herald tidak pernah sesekali menjangkaui isu-isu keagamaan dalam bahan penerbitannya. Katanya, "Pihak editorial hanya menyeru orang ramai agar mendoakan pilihan raya kecil yang bebas dan adil. Apa salahnya kami sebagai penganut agama Kristian meminta sesama saudara agar sama-sama berdoa? Salahkah ia di sisi undang-undang?" Tambahnya, "Kami mengulas isu-isu, begitu juga dengan Paus. Biasalah bagi kami mendapat tafsiran beretika mengenai hal ehwal semasa dan politik. Saya tidak merasa bahawa kami menentang jenis kandungan yang telah kami pilih dengan apa juga cara sekalipun." [11] "Dalam maklumbalas kami kepada sepucvuk surat amaran terdahulu dari pihak yang sama… kami menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak mentakrifkan konsep agama dalam borang pemohonan untuk pembaharuan permit pencetakan, apalagi tiadanya juga takrifan agama yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan," begitulah yang ditulis oleh Paderi Lawrence Andrew, penyunting akhbar dalam editorial, "Jadi kami meminta mereka untuk menerangkan kesalahan kami. Kami menantikan jawapan mereka." Beliau mempertahankan rencana itu dengan alasan bahawa Islam atau mana-mana agama lain tidak terhina. "Rencana itu merupakan kupasan beretika mengenai dunia selepas serangan menara-menara Pusat Dagangan Dunia pada 11 September." [12]

Alasan yang dikemukakan[sunting | sunting sumber]

Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur merasakan mereka berhak menggunakan istilah itu kerana istilah itu termasuk dalam bahasa Melayu dan berasal dari bahasa Arab. Sebagai rakyat Malaysia, mereka berpendapat berhak menggunakannya.

  1. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak memberi kuasa kepada KDN melarang The Herald menggunakan istilah Allah.
  2. Istilah Allah bukan ekslusif kepada agama Islam sahaja.
  3. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan secara jelas tentang istilah Allah.
  4. Dalam Perkara 3(1) ini, KDN tidak diberi kuasa untuk campur tangan . Oleh itu boleh dianggap sebagai sebagai 'ultra vires'.
  5. Campur tangan KDN ditafsir sebagai melanggar kebebasan bersuara dan hak kebebasan beragama.
  6. Pemohon berhak mendidik penganutnya dan apa yang sesuai untuk penganutnya.[13]

Bantahan masyarakat Islam di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Isu penggunaan nama "Allah" dalam penerbitan Kristian Katolik mendapat reaksi yang berbeza oleh ummat Islam di Malaysia yang menunjukkan tiada kesepakatan. Terdapat golongan yang mempercayai penggunaan "Allah" dibolehkan untuk agama samawi tetapi terdapat juga mereka yang berpendapat kalimah Allah itu khusus bagi agama Islam yang menganggap Allah itu Esa. Tambahan pula di dalam bahasa Melayu itu sendiri, perkataan "Allah" itu adalah nama khusus yang merujuk kepada Tuhan yang Esa. Dalam pada itu, terdapat pendapat yang mengatakan perjuangan pihak gereja Katolik untuk menyamakan "Allah" dengan konsep ketuhanan mereka berkait rapat dengan fahaman pluralisme agama dan Islam liberal.[14]

Bantahan ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-82 yang telah bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008.

Kandungan keputusan itu yang berbunyi:

Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pihak berkuasa Islam di Malaysia tidak dapat menerima penggunaan istilah Allah dalam penerbitan majalah mingguan Kristian itu. Ia tidak pernah berlaku dan tidak lazim di Malaysia walaupun pernah berlaku di luar negara seperti di Indonesia, Mesir dan lain-lain.

Majlis agama Islam itu ialah:

  1. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP)
  2. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
  3. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)
  4. Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).


Dalam Islam Allah bermaksud tuhan yang Maha Esa, yang hanya layak disembah, tuhan yang tidak beranak dan memperanakkan. Nabi Isa itu adalah manusia, bukan tuhan. Dalam Bible sendiri ada mencatatkan bahawa ada manusia yang dilahirkan tanpa bapa dan boleh bercakap semasa bayi. Konsep tritunggal tidak ada dalam Islam.

Pada 5 Mei 2008, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan Herald menggunakan istilah alternatif seperti Tuhan. Istilah yang pelbagai dapat memperkayakan bahasa Melayu. Contohnya ulama dan ustaz bagi orang Islam. Rahib, paderi dan biskop bagi agama Kristian dan sami bagi Hindu. Di Malaysia ada masjid, surau, gereja, kuil dan tokong.[15]

Jesus juga patut ditukar kepada Nabi Isa.

Pada 12 Februari 2008, kerajaan Malaysia mengeluarkan surat melarang The Herald menggunakan istilah Allah. [16]

Kebimbangan pihak luar[sunting | sunting sumber]

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meluahkan kebimbangan akan kemungkinan penerbitan akhbar Herald digantung setelah menerbitkan editorial mengenai pilihan raya kecil di Permatang Pauh. Pengerusi Kumpulan Kerja Hak Awam dan Politik Suhakam (CPRWG), Datuk Dr Michael Yeoh Onn Kheng, berkata dalam kenyataan akhbar bahawa ini merupakan pencabulan kebebasan bersuara.[17] Persatuan Peguam Katolik Kuala Lumpur (CLS) turut menyeru kepada Kementerian Dalam Negeri agar menarik balik surat-surat amaran dan tunjuknya tanpa sebab do samping mengekalkan permit penerbitan Herald. Presiden CLS Mabel Sabastian berkata, laporan dalam akhbar Herald itu adalah selaras dengan ajaran Gereja Katolik atas nama kebajikan sosial dan politik. "Pada dasarnya, tafsiran-tafsiran mengenai takrifan hal-hal keagamaan wajar diserahkan kepada para pemimpin dan pengikut agama itu sendiri. Kementerian Dalam Negeri tidak berhak menentukan skop keagamaan Katolik (atau mana-mana agama lain). Dengan tujuan mengawal kandungan-kandungan The Herald, surat-surat amaran dan tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bertentangan dengan Perkara-Perkara 3(1), 10(1)(a) dan 11(3)(a) dalam Perlembagaan Persekutuan, yang masing-masing menyatakan kebebasan mengamalkan agama, kebebasan bersuara secara umum dan hak sesebuah kelompok agama menguruskan hal-ehwal sendirinya. Kekangan-kekangan sedemikian akan menghalang masyarakat Katolik dari memeperoleh maklumat dan pendidikan semasa mengenai agama mereka. Tindakan sebegini oleh pihak berkuasa adalah sama seperti pembatasan kebebasan beragama."[18]

Cubaan The Herald mengubah keputusan[sunting | sunting sumber]

Pihak The Herald, bersama dengan ketua kawasan uskup Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam telah mengambil keputusan mengheret kerajaan ke mahkamah untuk membatalkan keputusan mengenai penggunaan nama Allah.[19] Sementara itu, majlis-majlis agama Islam di Selangor, Terengganu, Melaka, Kedah, Johor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, dan Persatuan Cina Muslim Malaysia berhasrat untuk mencampur tangan dalam kes ini.[20] Majlis Gurdwara Malaysia memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya ingin menghantar perwakilan kepada Jabatan Peguam Negara agar memastikan isu ini tidak diperbesarkan menjadi perselisihan antara penganut Katolik dan Majlis Islam.[21]

Pihak Herald diarah oleh kerajaan Malaysia untuk berhenti mencetak edisi bahasa Melayunya sehingga pihak mahkamah menyelesaikan masalah pengharaman penggunaan perkataan "Allah" terhadap akhbar berkenaan. Penyunting akhbar Herald, Paderi Lawrence Andrew berkata langkah ini merupakan sebahagian sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Islam "konservatif" ketika memperbaharui lesen akhbarnya pada 30 Disember 2008.[22] Pihak Herald meminta bantuan peguam untuk menyemak sama ada Kementerian Dalam Negeri berhak melarangnya dari mencetak edisi Bahasa Malaysianya.[23] Gereja Katolik mengutuskan sepucuk surat untuk menggesa pihak kementerian untuk menarik balik arahannya terhadap larangan penggunaan Bahasa Malaysia ketika memperbaharui permit penerbitan The Herald, dengan memberi masa tujuh hari untuk kerajaan bermaklum balas, jika tidak pihaknya boleh menyaman kerajaan kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.[24]

Mengenai keputusan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia pada 27 Februari 2008, penyunting akhbar Herald berkata bahawa larangan berkontroversi terhadap penggunaan nama "Allah" sebagai gelaran Tuhan untuk penganut bukan Islam masih berkuatkuasa. Memetik sepucuk surat bertarikh 16 Februari 2009, Paderi Lawrence menjelaskan bahawa pencetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan mana-mana dokumen dan bahan penerbitan berkenaan agama Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’ adalah diharamkan melainkan pada muka hadapan dokumen atau bahan penerbitan berkenaan bertulis ungkapan ‘FOR CHRISTIANITY’ (Untuk Kristian) yang tertera sejelasnya dalam mukataip Arial tebal bersaiz 16.[25]

Tidak lama kemudian, para pegawai kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa akhbar Herald boleh beredisi Bahasa Malaysia asalkan tidak memanggil Tuhan sebagai "Allah" yang hanya dimaksudkan untuk kegunaan umat Islam. Sungguhpun demikian, akhbar Herald memulihkan edisi Bahasa Malaysia dengan isu besar pada 18 Januari yang mengingkari larangan penggunaan nama "Allah" secara terang-terangan.[26]

Pada 26 Februari 2009, pihak Herald mendapat keizinan untuk menggunakan perkataan 'Allah' pada nama akhbarnya, asalkan dinyatakan sejelas-jelasnya bahawa bahan bacaan ini adalah 'untuk Kristian sahaja'. Begitulah yang dinyatakan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri yang baru diwartakan dan ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar pada 16 Februari.[27] Bagaimanapun, pada 28 Feburari 2009, Kementerian Dalam Negeri membatalkan warta kerajaan yang membenarkan penggunaan nama "Allah" bersyarat itu dalam penerbitan agama Kristian. Keputusan kerajaan untuk mengharamkan penggunaan nama "Allah" dalam akhbar The Herald kekal berkuatkuasa sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.[28]

Pihak Gereja Katolik Malaysia mengehendaki kerajaan menarik balik kenyataannya yang menafikan bahawa kerajaan melarang akhbar mingguannya daripada menerbitkan edisi bahasa kebangsaan, jika tidak kerajaan akan dihadapkan tindakan undang-undang. Kelihatannya, seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata bahawa pihaknya tidak pernah sesekali melarang akhbar Herald dari menggunakan Bahasa Malaysia.[29] Justeru, Gereja Katolik mencetak edisi terbaru Herald yang tertera nama Allah, yang mana paderi Lawrence meluahkan niatnya untuk terus berbuat demikian sehingga terdengarnya keputusan mahkamah mengenai isu ini.[30] Pada 24 April 2009, akhirnya Mahkamah Tinggi mengurniakan Gereja Katolik hak untuk mencabar larangan kerajaan terhadap haknya untuk menggunakan nama "Allah" di luar lingkungan Islam.[31]

Perbicaraan di mahkamah[sunting | sunting sumber]

Pada 28 Oktober 2009, Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 10 November 2009 untuk menerima atau menolak pencelahan 8 pihak berkuasa agama Islam. Peguam S.Selvarajah mewakili gereja itu.Peguam mewakili pencelah ialah Abdul Rahim Sinwah .

Pada September 2009, Mahkamah Persekutuan dalam kes Majlis Agama Islam Selangor lwn Bong Boon Chuen & 150 yang lain, bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan pencelahan dalam prosiding semakan kehakiman mengikut Perintah 15, Peraturan 6(2)(b) Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980.

Pada 3 Ogos 2009, Hakim Lau memutuskan bahawa 8 pihak iaitu Majlis Agama Islam Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Kedah, Majlis Agama Islam Johor dan Majlis Agama Islam Melaka, dan Persatuan Cina Muslim Malaysia - mempunyai kepentingan daripada segi undang-undang dalam isu itu dan boleh mencelah.

Pada 7 Januari 2009 ,Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Kerajaan Malaysia melarang penerbit The Herald menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitan "Herald-The Catholic Weekly". Sebaliknya Gereja berpendapat bahawa arahan kerajaan ini salah di sisi undang-undang dan bahawa perkataan "Allah" bukan hanya eksklusif untuk agama Islam sahaja.

Pada 16 Februari 2009 penerbit The Herald memfailkan permohonan baru bagi semakan kehakiman. Permohonan serupa pada 2008 dianggap sebagai akademik kerana permit penerbitan The Herald bagi 1 Januari hingga 31 Disember 2008 telah tamat tempoh. [32]

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa the Herald boleh boleh menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya. Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan itu.[33][34][35][36]

Pada 5 Januari 2010, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly. Notis rayuan tersebut difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya kira-kira pukul 4 petang. [37] Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menetapkan 6 Januari 2009 untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan majalah minggu Katholik, Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah. Hakim Datuk Lau Bee Lan akan mendengar permohonan itu pada kira-kira 2.30 petang.[38] Pada hari keesokannya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menangguhkan keputusan membenarkan mingguan Katholik - Herald - menggunakan kalimah Allah. Hakim Lau Bee Lan membenarkan permohonan tersebut sementara menunggu perbicaraan rayuan KDN terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Khamis lalu.Peguam bagi pihak mingguan berkenaan tidak membantah permohonan tersebut atas kepentingan negara.[39]

Reaksi terhadap keputusan mahkamah[sunting | sunting sumber]

Serangan gereja[sunting | sunting sumber]

Keputusan mahkamah mengenai akhbar Herald pada hari terakhir 2009 ini disambut oleh beberapa kejadian serangan terhadap gereja di Malaysia yang bersempena dengan tunjuk perasaan bantahan oleh sebilangan kelompok umat Islam Malaysia. Kerajaan bertindak balas dengan memperkukuh keselamatan di tempat-tempat ibadat serta mengeluarkan kenyataan kecaman terhadap serangan itu. Parti pembangkang mengutuk cara kerajaan menangani kes Herald, terutamanya ketua-ketuanya yang mendakwa bahawa bantahan ini serta cara kerajaan mengenai kontroversi 'Allah' mungkin menjadi punca utama serangan gereja.[40] Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan keputusan kerajaan untuk membenarkan umat Islam membantah keputusan mahkamah ini yang dilihat oleh para pemerhati kerajaan sebagai salah satu langkah "mengawal kerosakan".[41]

Reaksi ahli politik[sunting | sunting sumber]

  • Kerajaan Malaysia Flag of Malaysia.svg UMNO (Malaysia).svg
    • Tan Sri Muhyiddin Yassin: Pada 3 Januari 2009, beliau meminta rakyat supaya bertenang dan yakin dengan tindakan kerajaan dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan mingguan Gereja Katolik yang kini mencetuskan kemarahan umat Islam.[42]
    • Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom menggesa penulis blog dan laman internet supaya tidak menyiarkan apa-apa yang negatif berhubung isu penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katolik, Herald. Dalam hal ini jelas Jamil Khir, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneruskan dialog bersifat intelektual bersama golongan bukan Islam supaya penggunaan kalimah Allah ini dapat diperjelaskan.[43]
    • Pemuda UMNO: Pada 5 Januari 2010, Ketua Pemuda UMNO menyarankan agar satu pertemuan diadakan antara wakil Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak Gereja Katolik yang menerbitkan majalah The Herald - ekoran kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah'. Hasil pertemuan dari dialog itu bakal menjadi titik pertemuan bagi kedua-dua pihak di samping menjadi medium menyampaikan kekhuatiran umat Islam di Malaysia kepada pihak penerbit, lantas mencari jalan penyelesaian kepada kemelut tersebut.[44]
  • PASPAS logo.svg
    • Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat: Pada 5 Januari 2010, laporan sebuah stesen TV yang memetik kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehari sebelumnya berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah', disangkal oleh Pejabat Menteri Besar Kelantan itu. Sebenarnya, kata Mohd Saiba, Mursyidul Am PAS itu tidak setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan gereja Roman Katolik Kuala Lumpur, selaku penerbit, menggunakan kalimah tersebut dalam akhbar Herald-The Catholic Weekly. Nik Aziz berkata "Kalau dalam perbualan (orang Kristian guna kalimah Allah) tidak menjadi masalah, tetapi tidak boleh digunakan secara rasmi dalam akhbar, majalah atau buku."[45] Manakala pada hari yang sama, PAS menuduh Umno menangguk di air keruh dengan mempolitikkan isu nama Allah kerana mahu diiktiraf sebagai 'juara rakyat'. Sehubungan itu, PAS mendesak Umno yang 12 penggal mentadbir Malaysia supaya meminda perlembagaan bagi menghalang pengaruh agama lain terhadap umat Islam.[46]
  • Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad pada 5 Januari 2010 berkata, kontroversi penggunaan kalimah 'Allah' adalah sesuatu yang sensitif yang tidak dapat diselesaikan oleh undang-undang.[47]
  • Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM): Pada 5 Januari 2010, PKPIM menerusi presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz telah melancarkan gerakan kempen kesedaran secara besar-besaran, GKK-PKPIM di setiap peringkat masyarakat, khususnya generasi pelajar dan mahasiswa, mengenai implikasi kes kalimah Allah terhadap Islam di Malaysia. Menerusi platform ini, katanya, PKPIM akan menggerakkan beberapa siri program kesedaran seperti forum dan wacana ilmiah, diskusi umum, pengedaran risalah, penerbitan makalah dan poster kesedaran, serta munajat perdana. Dalam pada itu, PKPIM mendesak semua pemimpin Melayu Islam dalam semua parti politik - Umno, PAS dan PKR - duduk semeja bersepakat dan menyatakan pendirian bersama untuk mempertahankan Kalimah Allah.[48]

Rayuan[sunting | sunting sumber]

Pada 14 Oktober 2013, setelah ditangguh beberapa kali, Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh tiga orang hakim iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi dan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, telah mengambil keputusan untuk meluluskan rayuan oleeh Kementerian Dalam Negeri supaya keputusan Mahkamah Tinggi yang diambil pada hujung tahun 2009 itu dibatalkan, yakni akhbar The Herald dilarang semula daripada menggunakan perkataan Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam penerbitannya.[49]

Menurut Hakim Apandi dalam penghakimannya, adalah "dapatan umum mahkamah bahawa kalimah "Allah" tidak pernah menjadi bahagian penting daripada amalan kepercayaan agama Kristian", malah adalah "jelas bahawa perkataan "Allah" tidak wujud walaupun sekali sebagai nama tuhan atau malah bagi seorang lelaki dalam kitab suci Ibrani ... "Nama "Allah" tidak muncul walaupun sekali sama ada dalam kitab Perjanjian Lama atau Baharu. Dalam dunia Bible, "God" sentiasa dikenali sebagai Yahweh."[49]

Sebelum ini, pada 22 Ogos, Ketua Biskop Katolik Rom Murphy Pakiam gagal dalam cubaan untuk membatalkan rayuan Kementerian Dalam Negeri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai isu kalimah Allah yang telah diambil pada tahun 2009 itu.[50]

Reaksi terhadap keputusan rayuan[sunting | sunting sumber]

Reaksi pemimpin agama dan ahli politik[sunting | sunting sumber]

Editor The Herald, Paderi Lawrence Andrew melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu, tetapi berikrar untuk mengemukakan rayuan balas terhadap penghakiman itu.[51]

Masyarakat penganut agama Sikh yang juga menyebut nama Allah dalam kitab suci mereka turut meluahkan rasa bimbang akan keputusan itu. Menurut Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Jagir Singh, para penganut Sikh di Malaysia akan meneruskan penggunaan nama Allah dalam upacara keagamaan mereka sungguhpun dengan larangan menggunakan kalimah Allah terhadap The Herald oleh Mahkamah Rayuan.[52]

Parti-parti komponen BN yang bertapak di Sabah dan Sarawak meluahkan rasa "terkejut dengan dengan tafsiran penghakiman yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah bagi penerbitan Kristian dalam bahasa Melayu atau dialek setempat", bahkan memberi amaran bahawa penghakiman Mahkamah Rayuan ini boleh menjejaskan sokongan rakyat serta melemahkan semangat penubuhan Malaysia tahun 1963 di kedua-dua negeri tersebut yang kebanyakannya beragama Kristian.[53] Menurut Tan Sri Dr James Masing, seorang penganut Kristian Sarawak dan juga menteri kerajaan pusat, masyarakat Kristian di negeri beliau tetap dengan pendirian mereka untuk menggunakan kalimah Allah dalam al-Kitab dan penerbitan Kristian tanpa mengira keputusan tersebut.[54]

Di kalangan pembangkang pula, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng "tetap dengan pendiriannya agar penganut Kristian dibenarkan mengguna kalimah 'Allah' dalam Bible versi bahasa Malaysia".[55] Sebelum ini sempena sambutan Krismas tahun 2012, Lim pernah menggesa kerajaan pusat agar membenarkan kalimah Allah digunakan dalam semua terbitan bahasa Melayu di seluruh negara seperti yang dilakukan di Sabah dan Sarawak, serta membidas Barisan Nasional kerana menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan dakwaan bahawa pembangkang akan mendirikan negara Kristian di tempat Malaysia yang agama rasminya Islam.[56]

Kupasan akhbar antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Masyarakat Kristian di Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak tidak menyambut baik keputusan tersebut, tetapi tidak terkejut kerana "dilihat sebagai usaha Umno memenangi semula sokongan orang Melayu", malah "bukan semua umat Islam menyokong keputusan kerajaan untuk menghalang Kristian menggunakan kalimah itu tetapi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang terlalu bersemangat menyokong usaha itu", menurut sebuah laporan BBC.[57]

Editorial akhbar bahasa Inggeris Emiriah Arab Bersatu, The National, meluahkan rasa terkejut atas keputusan mahkamah berkenaan, dengan menegaskan bahawa tidak boleh disangkal bahawa Tuhan yang Maha Esa, yakni Allah, dalam al-Quran adalah sama dengan Tuhan dalam kitab Taurat dan kitab Injil, malah kalimah Allah sudah sekian lama digunakan oleh golongan Kristian dan Yahudi sebelum kebangkitan Islam pada abad ke-7.[58]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Malaysian court rules Catholic paper can use 'Allah', Reuters.com, 31 Disember 2009.
  2. ^ "'Herald' suit: January hearing for 8 councils". NST. 2008-08-06. Dicapai pada 2008-08-06. 
  3. ^ "By God, the Herald will continue to use "Allah"". Malaysian Insider. 2009-01-08. Dicapai pada 2009-01-08. 
  4. ^ Injil Sabah & Sarawak adalah dalam Bahasa Indonesia
  5. ^ Johari: Hanya orang Islam boleh guna perkataan 'Allah', Malaysiakini.com
  6. ^ "Herald given three warnings before show cause". Sun2Surf. 2008-08-13. Dicapai pada 2008-08-13. 
  7. ^ "Race and Religion on the Boil Again in Malaysia". Asia Sentinel. 2008-08-13. Dicapai pada 2008-08-13. 
  8. ^ "Malaysia Warns Christian Paper to Avoid Politics". The Christian Post. 2008-08-11. Dicapai pada 2008-08-11. 
  9. ^ "MALAYSIA: Crackdown on Civil Rights, Media Feared". IPS. 2008-08-19. Dicapai pada 2008-08-19. 
  10. ^ "Repression before reform in Malaysia". Asia Times Online. 2008-08-21. Dicapai pada 2008-08-21. 
  11. ^ "Catholic weekly defends itself". NST. 2008-08-14. Dicapai pada 2008-08-14. 
  12. ^ "Race and Religion on the Boil Again in Malaysia". Asia Sentinel. 2008-08-13. Dicapai pada 2008-08-13. 
  13. ^ Mahkamah beri kebenaran semak perkataan Allah dalam Herald
  14. ^ Aqidah Benteng Kekuatan Ummah Khutbah Jumaat 8 Januari 2010
  15. ^ "PKIPM cadang Herald cari nama lain", Malaysiakini.com, 5 Mei 2008.
  16. ^ Mahkamah Tinggi Tetapkan 9 Julai Sebutan Kes Semakan Kehakiman Oleh Ketua Paderi
  17. ^ "SUHAKAM EXPRESSED CONCERN WITH THE THREAT TO SUSPEND HERALD'S PUBLICATION". Yahoo! News. 2008-08-14. Dicapai pada 2008-08-14. 
  18. ^ "Catholic lawyers want show-cause letters withdrawn". TheStar. 2008-08-19. Dicapai pada 2008-08-19. 
  19. ^ "Islamic councils against Catholic magazine of Kuala Lumpur: forbidden to use the word "Allah"". AsiaNews. 2008-11-25. Dicapai pada 2008-11-25. 
  20. ^ "Muslim Bodies Seek To Stay Catholic Herald Case"Allah"". SinChew. 2008-11-21. Dicapai pada 2008-11-21. 
  21. ^ "Islamic bodies want to bring 'Herald' case to apex court". NST Online. 2008-11-22. Dicapai pada 2008-11-22. 
  22. ^ "BM Edition Of Catholic Paper Banned: Editor". SinChew. 2009-01-01. Dicapai pada 2008-01-01. 
  23. ^ "Weekly goes back to lawyers over new conditions". SinChew. 2009-01-01. Dicapai pada 2008-01-01. 
  24. ^ "Catholic Church may sue over ministry 'lie'". Malaysia Today. 2009-01-11. Dicapai pada 2009-01-11. 
  25. ^ "Christians can use Allah in print, but they cannot say it". The Malaysian Insider. 2009-02-26. Dicapai pada 2009-02-26. 
  26. ^ "By God, the Herald will continue to use "Allah"". Malaysian Insider. 2009-01-08. Dicapai pada 2008-01-08. 
  27. ^ "Malaysian journal gets permission to use the word `Allah'". 2009-02-27. Dicapai pada 2009-02-27. 
  28. ^ "Home Ministry rescinds gazette on word 'Allah'". 2009-02-28. Dicapai pada 2009-02-28. 
  29. ^ "Catholic Church may sue over ministry 'lie'". Malaysian Insider. 2009-01-11. Dicapai pada 2008-01-11. 
  30. ^ "Catholic paper defies ban on use of 'Allah'". Malaysian Insider. 2009-01-21. Dicapai pada 2008-01-21. 
  31. ^ "Church wins right to challenge 'Allah' ban". Malaysian Insider. 2009-04-24. Dicapai pada 2008-04-24. 
  32. ^ "Keputusan Permohonan Herald Berhubung Perkataan 'Allah' Pada 10 Nov",Bernama.com, 28 Oktober 2009.
  33. ^ "Mahkamah Putuskan Majalah Katolik Herald Boleh Guna Perkataan 'Allah'". 31 Disember 2009. Dicapai pada 2 Januari 2010.  Parameter |publihser= tidak diketahui diabaikan (|publisher= dicadangkan) (bantuan)
  34. ^ "Court rules Catholic Herald can use Allah word". Sin Chew. 2009-12-31. Dicapai pada 2009-12-31. 
  35. ^ "Malaysian Court Strikes Down Ban". WSJ. 2009-12-31. Dicapai pada 2009-12-31. 
  36. ^ "Court: Allah not exclusive to Islam". Sun2Surf. 2009-12-31. Dicapai pada 2009-12-31. 
  37. ^ "KDN kemuka rayuan". Utusan Malaysia. 5 Januari 2010. Dicapai pada 5 Januari 2010. 
  38. ^ "Kalimah Allah: Mahkamah dengar permohonan KDN esok". Utusan Online. 5 Januari 2009. Dicapai pada 6 Januari 2009.  Parameter |publihser= tidak diketahui diabaikan (|publisher= dicadangkan) (bantuan)
  39. ^ "KDN berjaya tangguh guna nama Allah". Malaysiakini.com. 6 Januari 2010. Dicapai pada 6 Januari 2010. 
  40. ^ "Najib's options with Allah". The Nut Graph. 2010-01-13. Dicapai pada 2010-01-15. 
  41. ^ "Najib backs right to protest 'Allah' judgment". Malaysian Insider. 2010-01-07. Dicapai pada 2010-01-13. 
  42. ^ "TPM: Yakinlah kepada kerajaan tangani isu kalimah Allah". Utusan Malaysia. 3 Januari 2009. Dicapai pada 3 Januari 2009. 
  43. ^ "Kalimah 'Allah': Nasihat menteri pada penulis blog", Malaysiakini.com, 5 Januari 2010.
  44. ^ "Pemuda Umno saran pertemuan selesai isu 'Allah'", Malaysiakini.com, 5 Januari 2010.
  45. ^ "Kalimah Allah: Pejabat Nik Aziz sangkal laporan TV3", Malaysiakini.com, 4 Januari 2010.
  46. ^ "PAS tuduh Umno politikkan isu nama 'Allah'", Malaysiakini.com, 5 Januari 2010.
  47. ^ "Dr M: Undang-undang tidak dapat selesai isu 'Allah'", Malaysiakini. 5 Jan 2010
  48. ^ "PKPIM lancar kempen implikasi isu 'Allah'". Malaysiakini. 5 Januari 2010. Dicapai pada 5 Januari 2010. 
  49. ^ a b Kerajaan Menang Rayuan, Herald Dilarang Guna Kalimah Allah, Bernama, 14 Okt 2013. Dicapai pada 17 Okt 2013.
  50. ^ Hafiz Yatim (22 Ogos 2013). "Kalimah Allah: Ketua biskop gagal batal rayuan k'jaan". Malaysiakini. Dicapai pada 17 Okt 2013. 
  51. ^ "The Herald dilarang guna kalimah Allah". Harakah. 14 Okt 2013. Dicapai pada 17 Oct 2013. 
  52. ^ "Sikhs will use Allah as it is in their holy scriptures, says Gurdwara council chief". The Malaysian Insider. 16 Oct 2013. Dicapai pada 17 Oct 2013. 
  53. ^ V. Anbagalan (15 Okt 2013). "Keputusan kalimah Allah boleh jejas sokongan BN di Sabah, Sarawak". The Malaysian Insider. Dicapai pada 17 Okt 2013. 
  54. ^ Desmond Davidson (14 Okt 2013). "Kristian Sarawak tetap guna kalimah Allah dalam Injil, penerbitan gereja". The Malaysian Insider. Dicapai pada 17 Oct 2013. 
  55. ^ "DAP tetap mahu Kristian dibenar guna kalimah 'Allah'". Malaysiakini. 17 Okt 2013. Dicapai pada 17 Okt 2013. 
  56. ^ "DAP mahu Pusat benar guna kalimah ALLAH". Sinar Harian. 24 Dis 2012. Dicapai pada 17 Oct 2013. 
  57. ^ "Penganut Kristian anggap pengharaman kalimah Allah usaha Umno dapatkan sokongan, kata BBC". The Malaysian Insider. 15 Okt 2013. Dicapai pada 17 Okt 2013. 
  58. ^ "Word 'Allah' is not exclusive to Islam". The National. 14 Okt 2013. Dicapai pada 17 Oct 2013.  Parameter |country= tidak diketahui diabaikan (bantuan)