Pertempuran Yarmuk

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Perang Yarmuk)
Jump to navigation Jump to search
Pertempuran Yarmuk
Sebahagian daripada Penaklukan Levant oleh Muslim
dan Perang Arab-Byzantine
Image of the Battlefield of Yarmouk.
Medan perang Yarmuk terletak di seberang jurang, sekeping gambar yang diambil 8 batu dari medan perang, dari Jordan.
Tarikh 15–20 Ogos 636
Lokasi Berdekatan Sungai Yarmuk
32°48′51″N 35°57′17″E / 32.81411°N 35.95482°E / 32.81411; 35.95482Koordinat: 32°48′51″N 35°57′17″E / 32.81411°N 35.95482°E / 32.81411; 35.95482
Hasil Kemenangan muktamad al-Rasyidun
Perubahan
wilayah
Levant diduduki oleh Kekhalifahan al-Rasyidun
Pihak yang terlibat
Simple Labarum2.svg Empayar Byzantine,
Kerajaan Ghassan
Flag of Afghanistan (1880–1901).svg Kekhalifahan al-Rasyidun
(tentera al-Rasyidun)
Komandan
Heraclius
Theodore Trithyrius[1]
Vahang[›]
Jabalah ibn al-Aiham
Dairjan
Buccinator (Qanateer)
Gregory[2]
Khalid bin al-Walid
Abu Ubaidah ibn al-Jarrah
Amr ibn al-A'as
Shurahbil ibn Hassana
Yazid ibn Abu Sufyan
Kekuatan
80,000–100,000
(anggr. moden)a[›]

100,000–400,000
(sumber utama)b[›]c[›]

24,000–40,000 d[›]e[›]
Korban
50,000 mati
(anggr. moden)[3]
45% mati
(anggr. moden)[4]
70,000–120,000 mati
(sumber utama)f[›]
4,000 mati[4]

Pertempuran Yarmuk (Bahasa Arab: معركة اليرموك‎, juga dieja Yarmouk, Yarmuq atau dalam bahasa Greek, Hieromyax Ἱερομυαξ ) adalah satu perang utama di antara pasukan tentera Islam Arab Khulafa al-Rasyidin dan tentera Empayar Byzantine-Rom. Pertempuran ini terdiri daripada beberapa siri pertempuran yang berlangsung selama enam hari pada bulan Ogos 636 M, berdekatan dengan Sungai Yarmuk, sepanjang (kini) sempadan Syria dan Jordan, tenggara Laut Galilee. Keputusan dari pertempuran ini adalah kemenangan muktamad Islam dan penamat kekal bagi pemerintahan Byzantine selepas selatan Anatolia. Pertempuran Yarmuk dianggap sebagai salah satu pertempuran penentu di dalam sejarah ketenteraan,[5][6] dan menandakan gelombang besar pertama penaklukan Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. serta kemaraan pantas Islam ke dalam Levant Kristian.

Bagi menghindar kemaraan Islam dan mendapatkan kembali wilayah yang terlepas, Maharaja Heraclius menghantar satu ekspedisi besar ke Levant pada Mei 636. Dengan ketibaan tentera Byzantine, tentera Islam berundur dari Syria dan berkumpul semula di dataran Yarmuk berdekatan dengan Semenanjung Arab di mana, setelah diperkuatkan, mereka mengalahkan tentera Byzantine yang bersaiz lebih besar. Pertempuran ini juga dianggap sebagai salah satu kemenangan tentera terbesar bagi Khalid bin al-Walid. Ia mengukuhkan reputasi beliau sebagai salah seorang pakar taktik dan komander kavalri teragung di dalam sejarah.[7]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 630 Masihi, Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya menyatukan hampir keseluruhan Semenanjung Arab. Baginda wafat pada tahun 632 dan Abu Bakar as-Siddiq menjadi khalifah pertama. Walaupun hampir keseluruhan tanah Arab memberontak ke atasnya, khalifah Abu Bakar memulihkan kembali pemerintahannya pada tahun 633 Masihi.

Khalifah Abu Bakar melancarkan serangan ke kawasan di luar semenanjung Arab pada tahun yang sama. Timur Syria, barat Iraq dan kawasan tengah Jordan telah ditawan dan ia menjadi tapak untuk perancangan beliau yang seterusnya iaitu pembukaan Palestin dan Syria. Kawasan ini merupakan satu kelemahan dalam pertahanan Byzantine. Penduduk tempatan tidak begitu setia atas sebab agama dan pemerintahan Rom yang baru dikembalikan selepas peperangan menentang kerajaan Sasaniyyah Parsi. Dari segi sejarah, kawasan ini selalunya ditawan oleh kerajaan Parsi dari arah timur, jadi pertahanannya begitu lemah. Pada tahun 634, Khalifah Abu Bakar melancarkan pembukaan Palestin dan Syria. Perancangan beliau ialah untuk menguasai kawasan ini dan memecahkan kawasan Empayar Byzantine.

Maharaja Heraclius masih menganggap serangan di selatan empayar tidak akan berlaku dan hanya meninggalkan garison tempatan untuk mempertahankan kawasan ini. Pertempuran pertama berlaku di sempadan kerajaan Rom dan Parsi di Firaz. Tentera Arab kemudian mara ke Palestin dengan garisan Rom di Gaza ditewaskan pada bulan Februari. Heraclius bertindak dengan menghantar satu ketumbukan tentera yang lebih besar ke kawasan itu, iaitu Caesarea Maritima. Komander Islam terbaik, Khalid bin al-Walid yang beroperasi di Parsi sebelum telah tiba. Pada bulan Jun dan Julai, beliau telah mengalahkan tentera Ghassan serta tentera gabungan Byzantine–Ghassan yang dipimpin oleh Heraclius sendiri dengan mengalami jumlah angka korban yang rendah. Pertempuran utama dalam kempen ini berlaku pada bulan Ogos di Ajnadain. Tentera Byzantine kehilangan lebih 10 ribu orang dan tidak lagi dapat mempertahankan Palestin.

Tentera Islam telah menguasai kawasan pedalaman tetapi mereka tidak menyerang mana-mana kota di pesisir pantai disebabkan tentera Byzantine masih mempunyai penguasaan di laut. Tentera Arab mula mara ke utara dan menguasai kawasan tersebut. Heraclius bergerak dari Emesa ke Antokiah dan mula merekrut tentera baru untuk menghalang tentera Khalid di sepanjang Sungai Yarmuk. Namun, tentera Islam mara dengan lebih pantas dan kota Bosra serta Tiberias dapat ditawan. Tentera Islam kini berada di Damsyik yang strategik dan Heraclius menghantar tentera untuk menghalang kemaraan mereka. Malangnya, Khalid mengalahkan tentera Rom serta mengepung Damsyik dan akhirnya kota itu jatuh ke tangan tentera Islam pada awal bulan September.

Kematian Khalifah Abu Bakar telah melambatkan usaha penaklukan semasa penggantinya, iaitu Khalifah Umar bin al-Khattab telah menggugurkan pangkat Khalid tetapi khalifah Islam yang baru itu masih mahu menakluk Syria. Pada awal tahun 636 Masihi, kota yang penting di Syria iaitu Emesa telah pun ditawan. Aleppo dan Antokiah kini dalam bahaya. Maharaja Heraclius mempunyai lima ketumbukan tentera di bawah pimpinannya serta bersetuju dengan perancangan bersama Raja Parsi, Yazdegerd III untuk melancarkan satu serangan serentak ke atas tentera Islam. Buat pertama kalinya, jumlah askar Byzantine melebihi askar Muslim dan walaupun tentera Parsi gagal untuk memulakan serangan mereka, Heraclius memutuskan untuk tidak menunggu. Perancangannya ialah sama ada melawan empat ketumbukan tentera Arab secara berasingan atau memaksa mereka berundur.

Walaupun Khalid tidak lagi menjadi panglima tentera, beliau masih lagi dihormati dan panglima baru ini mengikut nasihatnya untuk meninggalkan kota Emesa dan Damsyik. Pada awalnya, tentera Islam memutuskan untuk bertahan di Sungai Yarmuk. Tetapi mereka terpaksa berundur ke dataran melepasi sungai itu. Tentera Byzantine dan tentera Arab bertahan selama hampir tiga bulan. Terdapat rundingan untuk mencapai gencatan senjata tetapi gagal.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Ilustrasi pertempuran Yarmuk oleh seorang artis Catalunya.

Jumlah askar yang terlibat masih lagi diperdebatkan oleh para sejarawan, tetapi tentera Byzantine melebihi tentera Islam dengan nisbah 2 kepada 1. Tapi sesetengah anggaran agak sukar untuk dipercayai. Terdapat dakwaan yang tentera Rom mempunyai 400 ribu orang yang mana mustahil kerana sewaktu mereka berperang dengan kerajaan Pars, Heraclius cuma dapat mengumpulkan seramai kira-kira 40 ribu orang. Jika pengambilan askar berjalan selama setahun, tentera Rom tidak akan dapat membawa lebih ramai askar daripada jumlah tersebut.

Tentera Arab mempunyai kekuatan seramai 15 ribu orang semasa pengepungan Emesa. Tentera Arab turut dibantu oleh pasukan dari Palestin dan bantuan dari Semenanjung Arab. Jadi, mereka mungkin mempunyai kekuatan seramai 20 hingga 25 ribu orang.

Hari pertama[sunting | sunting sumber]

Panglima tentera Byzantine ialah seorang jeneral berbangsa Armenia yang bernama Vahan. Beliau menggunakan tentera berkuda ringan Ghassan sebagai pasukan peninjau. Infantri Armenia berada di tengah pasukan diikuti infantri askar upahan berada di sebelah kiri manakala infantri Yunani di sebelah kanan. Pasukan infantri Rom terdiri daripada askar peninjau dan askar penyerang jarak dekat. Setiap daripada kumpulan ini dibantu oleh barisan tentera berkuda.

Panglima perang bagi tentera Islam ialah Abu Ubaidah Al-Jarrah tetapi beliau membenarkan Khalid untuk memimpin pertempuran ini. Khalid membahagikan infantrinya kepada empat kumpulan, tiga skuadron tentera berkuda di belakang mereka dan kumpulan tentera berkuda yang lebih besar sebagai pasukan simpanan. Tentera Arab mempunyai perisai yang ringan tetapi mempunyai mobiliti yang tinggi.

Tentera Rom ialah sebuah tentera yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Tetapi tentera Arab mempunyai satu agama yang sama dan terdiri daripada etnik yang sama. Jadi, tentera Islam mempunyai kelebihan dari segi moral. Kedua-dua pihak menganggap dataran di Yarmuk sangat sesuai. Tentera Rom bergantung kepada jumlah askar mereka manakala tentera Arab pula merasakan bahawa mobiliti mereka merupakan kekuatan mereka.

Pada hari pertama, pahlawan elit dan handal dari kedua-dua pihak bertempur terlebih dahulu dan dikatakan tentera Islam memenangi kebanyakan pertempuran tersebut dan membunuh ramai pegawai musuh. Pada waktu tengah hari, Vahan menghantar satu per tiga infantrinya untuk melakukan peninjauan. Mereka berjaya memaksa sebahagian tentera Arab untuk berundur. Tetapi kebanyakan daripada mereka diarahkan untuk tidak melakukan serangan, jadi kejayaan ini tidak bertahan lama. Akhirnya, unit-unit tersebut kembali ke kedudukan asal mereka.

Hari kedua[sunting | sunting sumber]

Semasa tentera Islam sedang menunaikan solat subuh, tentera Byzantine melakukan serangan. Rancangan Vahan adalah untuk menghalang bahagian tengah tentera musuh dan menggunakan kelebihan askar yang ramai di bahagian sayap musuh. Selepas bertempur dengan agak lama, tentera Byzantine dapat menembusi sayap kiri dan musuh mereka terpaksa berundur ke dalam kem. Sumber-sumber menyatakan pengikut dan isteri kepada askar tentera Islam yang berjuang turut bersama mempertahankan kem itu sekali gus memaksa tentera Byzantine untuk berundur. Tentera Arab turut terpaksa berundur di sayap kiri. Tetapi, tentera Islam akhirnya dapat menguasai kembali kebanyakan kawasan yang tumpas kepada tentera Byzantine tadi selepas Khalid mengetuai tentera berkudanya ke kawasan tersebut. Perancangan tentera Byzantine telah gagal selepas pasukan simpanan Islam melancarkan serangan balas terhadap bahagian tengah tentera Byzantine untuk mengukuhkan bahagian tengah pasukan Islam.

Hari ketiga[sunting | sunting sumber]

Hari ketiga bermula sama seperti hari kedua semasa sayap kiri tentera Vahan berjaya menembusi sayap musuh tetapi Khalid mengukuhkan kembali formasi tentera Islam apabila beliau menghantar tentera berkudanya ke sayap kanan tentera Islam. Jumlah angka korban yang dialami tentera Arab lebih tinggi daripada tentera Byzantine. Jadi, Khalid sedar bahawa taktik defensifnya akan gagal dan beliau cuba memikirkan satu strategi baharu.

Hari keempat[sunting | sunting sumber]

Panglima tentera Byzantine yakin bahawa taktiknya akan membuahkan hasil dan memutuskan untuk menyerang melalui sayap kiri sekali lagi. Sama seperti hari-hari sebelumnya, tenteranya dapat mengasak tentera Islam sampai ke kem. Pada kali ini, bahagian tengah dan bahagian kanan tentera Arab turut terpaksa berundur. Nampaknya bahawa tentera Byzantine akan menembusi barisan tentera Islam dengan segera. Khalid bertindak dengan mengarahkan tentera sayap kiri dan bahagian tengah tenteranya untuk menyerang dan memerangkap tentera Byzantine apabila tentera musuh mara terlalu jauh. Dengan tiada siapa yang melindungi sayap kanan tentera Byzantine, Khalid mengambil peluang ini dan menghantar satu kumpulan untuk menyerang mereka. Tentera Byzantine mengalami jumlah korban yang ramai dan terpaksa berundur untuk mengelak daripada dikepung. Sayap kanan dan barisan tengah tentera Arab turut mempunyai jumlah korban yang ramai tetapi mereka berjaya menghalang kemaraan pasukan musuh.

Hari kelima[sunting | sunting sumber]

Vahan memutuskan untuk meminta gencatan senjata pada hari kelima pertempuran. Akan tetapi, lawannya enggan kerana beliau yakin tenteranya akan mencapai kemenangan. Khalid menghantar satu skuadron tentera berkuda untuk menawan jambatan berdekatan dan kini, tentera Byzantine tiada jalan keluar. Khalid mengumpulkan tentera berkudanya yang lain ke sayap kanan.

Hari keenam[sunting | sunting sumber]

Pada hari terakhir pertempuran, tentera Islam diarahkan untuk mara. Apabila infantri sedang bertempur, Khalid melakukan serangan ke atas infantri dan tentera berkuda musuh dari arah sisi dan belakang musuh. Tentera Byzantine masih ada kelebihan melalui tentera berkuda mereka. Namun semasa tentera berkuda mereka terpisah di sepanjang medan, tentera berkuda Islam sedang berada dalam satu ketumbukan. Tentera berkuda Vahan telah dimusnahkan. Sayap kanan tentera Islam telah mengalahkan sayap kiri tentera Byzantine semasa tentera Byzantine diserang dari arah belakang. Kemudian, tentera Islam menyerang barisan tengah tentera Byzantine. Pertempuran tersebut akhirnya berakhir. Semasa jambatan tersebut ditawan tentera Islam, kebanyakan askar Byzantine termasuklah Vahan sendiri terbunuh semasa berundur. Terdapat lebih daripada 25 ribu kemalangan jiwa dialami tentera Byzantine.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Hasil kemenangan tentera Islam dalam pertempuran Yarmuk, mereka meneruskan kemaraan. Beberapa dekad seterusnya, tentera Islam menawan Syria, Mesir dan Afrika Utara dari Empayar Byzantine. Malah, ibu kota kerajaan Byzantine iaitu Constantinople sendiri pernah dikepung beberapa kali. Kerajaan Rom tidak lagi dapat kembali ke kawasan ini dan kerajaan Islam masih menguasainya sehingga hari ini.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Kennedy 2006, halaman 45
  2. ^ Nicolle 1994, halaman 64–65
  3. ^ Khalid ibn al-Walid, Encyclopædia Britannica, Retrieved. 17 October 2006.
  4. ^ a b Akram 2004, halaman 425
  5. ^ Walton 2003, halaman 30
  6. ^ Nicolle 1994, halaman 6
  7. ^ Nicolle 1994, halaman 19

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

Sumber-sumber purba[sunting | sunting sumber]

Sumber-sumber moden[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]