Kampung Sungai Bari

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kampung Sungai Bari
كامڤوڠ سوڠاي باري
Motto: Membangun Bersama Industri
Kampung Sungai Bari yang terletak di Malaysia
Kampung Sungai Bari
كامڤوڠ سوڠاي باري

Lokasi di Malaysia

Koordinat: 5°24′0″N 102°51′0″E / 5.40000°U 102.85000°T / 5.40000; 102.85000
Negara  Malaysia
Negeri  Terengganu
Daerah  Setiu
Mukim Hulu Nerus
Poskod 21500
Kerajaan
 • Ketua Kampung (Pengerusi JKKK) Roslee Bin Awang
Zon waktu MST (UTC+8)
Laman web sungaibari.blogspot.com

Koordinat: 5°24′N 102°51′E / 5.400°U 102.850°T / 5.400; 102.850 Kampung Sungai Bari adalah sebuah kampung yang terletak di Mukim Hulu Nerus, Setiu, Terengganu Darul Iman. Kampung ini juga terletak dalam Dewan Undangan Negeri Langkap dan Parlimen Setiu. Kampung ini adalah di bawah pentadbiran JKKK Kampung Sungai Bari yang mempunyai tanggungjawab dan mandat sepenuhnya keatas pengurusan dan menyampaikan maklumat daripada kerajaan kepada penduduk serta mengagihkan dana dan bantuan yang disampaikan oleh kerajaan negeri atau persekutuan.

Kampung Sungai Bari adalah bersempadan dengan Kampung Sungai Pinang dan Kampung Sungai Lerek disebelah utara, Kampung Langkap disebelah barat, Kampung Jelapang di sebelah timur dan Kampung Selamat di sebelah selatan Kampung Sungai Bari. Bentuk muka bumi adalah kawasan dataran tanah pamah berbukit bukau dengan sedikit kawasan lembangan banjir tanah rendah yang bertanah aluvium.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Asal usul nama kampung[sunting | sunting sumber]

Nama kampung ini adalah berasal daripada nama sebatang sungai di sini iaitu Sungai Bari. Sungai ini dikatakan mendapat namanya daripada Bari-bari iaitu sejenis serangga dari spesis lalat yang suka mengerumi buah dan benda manis seperti madu, serangga ini dikatakan banyak terdapat di sepanjang sungai ini suatu ketika dahulu mengerumi pokok buah-buah hutan yang masak di tepi sungai.

Sejarah kependudukan[sunting | sunting sumber]

Sejarah kependudukan di Kampung Sungai Bari dikatakan bermula pada tahun 1920-an. Menurut cerita lisan orang-orang tua penduduk asal disini, Kampung Sungai Bari mula dibuka oleh para peneroka awal orang-orang Melayu dari Kampung Langkap yang mencari kawasan baru untuk berhijrah dari keadaan di Kampung Langkap yang sering dilanda banjir. Penduduk di Kampung Langkap ketika itu terdiri daripada ramai orang yang baru berhijrah dari kawasan hilir Sungai Nerus di Kuala Terengganu untuk mencari tanah baru untuk tanam padi huma dan bercucuk tanam. Oleh kerana mereka masih belum mempunyai kawasan tanah pertanian, kawasan di Kampung Sungai Bari amat sesuai untuk mereka terokai. Kawasan Hutan yang masih banyak di Kampung Sungai Bari juga memudahkan mereka untuk membina penempatan selain terdapat sebatang sungai iaitu Sungai Bari yang menjadi keperluan harian mereka.

Sosio ekonomi[sunting | sunting sumber]

Penduduk adalah bekerja dalam pelbagai jenis sektor pekerjaan. Kedudukan strategik Kampung Sungai Bari yang menjadi persimpangan utama jalanraya untuk ke Tasik Kenyir yang juga boleh di akses sehingga ke Gua Musang, Kelantan menjadikan kawasan ini sebagai kawasan tumpuan utama. Kawasan persimpangan ini atau lebih dikenali dengan Chabang Langkap turut popular sebagai kawasan perhentian bas bagi penduduk dari kawasan pendalaman seperti Kampung Langkap, Kampung Payong Baru, Kampung Merbau Menyusut, Kampung Alur Lek Kasar dan Kampung Pelong jika mereka ingin menggunakan pengangkutan awam tersebut untuk ke Bandar Permaisuri atau Kuala Terengganu. Ini menjadikan Chabang Langkap sebagai kawasan segitiga emas di Kampung Sungai Bari dengan deretan premis perniagaan beroperasi di situ kerana menjadi tempat tumpuan utama penduduk.

Tidak ada stastistik yang tepat untuk bancian pekerjaan penduduk di sini mengikut sektor, tetapi boleh dikatakan di sini kebanyakkan penduduk bekerja dalam sektor pertanian dan perladangan kerana terdapatnya banyak kawasan kebun getah dan ladang kelapa sawit di sini, walaupun kebanyakkan daripada kerja buruh tersebut adalah dilakukan oleh pekerja upahan warga asing terutamanya warga Thailand untuk kerja menoreh getah dan warga Indonesia yang menjadi pekerja di ladang kelapa sawit. Terdapat sebuah ladang kelapa sawit yang luas milik Yayasan Terengganu di kampung ini seluas 111 hektar dan juga estet getah milik Risda selain daripada kebun getah milik penduduk.

Terdapat juga penduduk yang bekerja di kilang dalam Kawasan Perindustrian Sungai Bari yang telah banyak membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat bahkan terdapat ramai juga pekerja warga Bangladesh yang diambil bekerja dalam sektor tersebut di sini terutamanya di kilang TPi Sdn Bhd.

Mereka yang berkhidmat dalam kakitangan awam juga adalah diantara mereka yang tinggal di sini kerana terdapat sebuah kuarter kerajaan di sini iaitu Taman Perumahan Seri Langkap. Kebanyakkan daripada mereka adalah warga pendidik yang berkhidmat di Sekolah - sekolah dalam DUN Langkap.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Bagi memberikan pendidikan formal yang berkualiti kepada masyarakat setempat, sebuah sekolah rendah kerajaan telah dibina pada tahun di Kampung Sungai Bari. Sekolah ini adalah diantara sekolah-sekolah terawal yang dibina di daerah Setiu iaitu beberapa tahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Tapak asal sekolah ini adalah dibina di sebidang tanah milik kerajaan di kawasan yang agak berkedudukan rendah di sebuah kawasan disepanjang Sungai Bari. Terdiri daripada sebuah blok bangunan konkrit besar terdiri daripada 3 bilik darjah yang dibina bercirikan sedikit elemen kolonial, kantin, surau serta padang permainan. Namun tapak asal Sekolah Kebangsaan Batu 29 ini terpaksa dipindahkan di kawasan baru iaitu tapak sekolah ini sekarang kerana sering ditenggelami air ketika musim banjir. kini tapak sekolah lama ini telah ditebusguna oleh petani disini setelah mendapat kebenaran oleh kerajaan untuk mengusahakan penanaman tebu, nenas, cili dan pisang bagi mengelakkan tanah disini terbiar. Selain itu juga sebuah blok bangunan lama telah diubahsuai menjadi gelanggang futsal dan badminton melalui inisiatif yang dibuat oleh pihak JKKK Kampung Sungai Bari bagi menambah kemudahan riadah sediada di kampung ini.

Kelas pengajian tidak formal juga diadakan di Kampung Sungai Bari melalui inisiatif Pemuda PAS Cawangan Kampung Sungai Bari yang telah membuka kelas pengajian Al-Quran dan ilmu fardhu ain untuk orang dewasa, terbuka kepada semua penduduk kampung yang ingin menimba ilmu tanpa mengira fahaman politik mereka. Kelas ini diadakan pada sebelah malam setiap hari Isnin dan Jumaat. Selain itu, terdapat juga beberapa individu yang menawarkan diri secara sukarela untuk mengajar Al-Quran kepada penduduk dengan mengadakan kelas mengaji Al-Quran di rumah tanpa upah.

Sekolah yang terdapat di Kampung Sungai Bari :-

  1. Sekolah Kebangsaan Batu 29
  2. Tadika Sungai Bari

Infrastruktur[sunting | sunting sumber]

  1. Masjid
  2. Dewan futsal komuniti DUN Langkap
  3. Gelanggang badminton
  4. Padang bolasepak
  5. Taman permainan kanak-kanak
  6. Medan Selera
  7. Dataran Agrobisnes Sri Langkap
  8. Taman Perumahan Seri Langkap
  9. Kawasan perindustrian
  10. Sekolah Kebangsaan Batu 29
  11. Tadika
  12. Balai raya
  13. Surau
  14. Menara telekomunikasi

Kawasan Perindustrian[sunting | sunting sumber]

Dalam Pelan Pembangunan Negeri Terengganu, kerajaan merancang untuk membangunkan Kampung Sungai Bari sebagai kawasan pertumbuhan baru bagi penempatan semula penduduk daerah Setiu dengan mewujudkan sebuah kawasan Perindustrian di sini. Melalui peruntukkan kerajaan negeri, sebuah kawasan bukit sudah diratakan untuk mewujudkan kawasan perindustrian tersebut yang kini dikenali dengan Kawasan Perindustrian Sungai Bari. Kawasan Perindustrian yang diwujudkan ini telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Kampung Sungai Bari dan sekitarnya.

Dataran Tani[sunting | sunting sumber]

Adalah sebuah kawasan perniagaan menjual produk hasil pertanian yang diwujudkan oleh FAMA untuk membantu petani memasarkan hasil pengeluaran mereka kepada pengguna di satu tempat yang mudah untuk dikunjungi oleh orang ramai. Diantara produk hasil pertanian yang terdapat di Dataran Tani Seri Langkap ini adalah seperti buah - buahan, sayuran, ikan air tawar, daging dan ayam yang segar. Lot - lot perniagaan disini adalah di sewa dengan kadar yang rendah dengan FAMA.

Galeri gambar[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]