Sejarah Republik China

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sejarah China
Sejarah China
Sejarah China
PURBA
3 Tokoh Mulia & 5 Maharaja
Dinasti Xia 2100–1600 BCE
Dinasti Shang 1600–1046 BCE
Dinasti Zhou 1045–256 BCE
 Zhou Barat
 Zhou Timur
   Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh
   Zaman Negara Berperang
Maharaja
Dinasti Qin 221 BCE–206 BCE
Dinasti Han 206 BCE–220 CE
  Han Barat
  Dinasti Xin
  Han Timur
Tiga Kerajaan 220–280
  Wei, Shu & Wu
Dinasti Jin 265–420
  Jin Barat 16 Kerajaan
304–439
  Jin Timur
Dinasti-dinasti Utara & Selatan
420–589
Dinasti Sui 581–618
Dinasti Tang 618–907
  ( Zhou Kedua 690–705 )
5 Dinasti &
10 Kerajaan

907–960
Dinasti Liao
907–1125
Dinasti Song
960–1279
  Song Utara Xia Barat
  Song Selatan Jin
Dinasti Yuan 1271–1368
Dinasti Ming 1368–1644
Dinasti Qing 1644–1911
MODEN
Republik China 1912–1949
Republik Rakyat China
1949–kini
Republik
China

(Taiwan)
1945–kini
Bendara lima warna
Bendera ROC (1912-1928)

Bendera Langit biru, Matahari Putih, dan Bumi Merah
Bendera ROC (1928-kini)

Republik China (Cina Tradisional: 中華民國; pinyin: Zhōnghuá Mínguó) menggantikan Dinasti Qing pada tahun 1912 dan dengan itu, mengakhiri 2,000 tahun pemerintahan maharaja China. Semenjak pertubuhannya, republik tersebut mengalami banyak kesusahan kerana dikuasai oleh banyak hulubalang, serta dipecah belah oleh kuasa asing. Pada tahun 1928, republik tersebut disatukan pada nama sahaja oleh Kuomintang (KMT), dan berada dalam peringkat-peringkat pengindustrian dan pemodenan yang awal ketika ia terperangkap dalam pertempuran-pertempuran antara kerajaan Kuomintang, Parti Komunis Cina, saki-baki hulubalang, dan Jepun. Kebanyakan usaha pembangunan negara dihentikan semasa Perang Penentangan terhadap Jepun antara tahun 1937 hingga 1945. Jurang antara Kuomintang dengan Parti Komunis Cina yang semakin besar kemudiannya memustahilkan sebuah kerajaan campuran, dan mengakibatkan Perang Saudara Cina bermula semula.

Satu rentetan langkah salah politik, ekonomi, dan ketenteraan mengakibatkan Kuomintang ditewaskan dan diundurkan ke Taiwan pada tahun 1949. Di Taiwan, Kuomintang mengasaskan sebuah negara parti tunggal autoritarian yang mengisytiharkan diri sebagai pemerintah tunggal yang sah terhadap seluruh China. Bagaimanapun, sejak pembebasan politik bermula pada akhir dekad 1970-an, Republik China telah mengubah diri menjadi sebuah demokrasi perwakilan setempat yang berbilang parti.


Republik China awal(1912-1916)[sunting | sunting sumber]

Pengasasan Republik China[sunting | sunting sumber]

Tiga bendera yang berbeza digunakan pada asalnya semasa pemberontakan. Perutusan di bawah berkata "Hidup republik!" dengan lima bangsa dilambangkan oleh Bendera Republik Lima Warna.
Kertas bond yang digunakan oleh Sun Yat-sen untuk memungut wang untuk tujuan pemberontakan. Republik China pada suatu ketika juga dikenali sebagai Republik Chunghwa.
Takwim yang memperingati tahun pertama Republik serta pemilihan Sun Yat-sen sebagai Presiden sementara.

Saat terakhir Dinasti Qing ditandai dengan pergolakan awam serta serangan asing. Berbagai-bagai pemberontakan dalaman mengakibatkan berjuta-juta penduduk dikorbankan, dan pertempuran dengan kuasa-kuasa asing hampir selalu mengakibatkan perjanjian tak adil yang mengaibkan dan yang memaksa pembayaran pampasan perang yang mahal serta menjejaskan keutuhan wilayah. Di samping itu, terdapat juga perasaan bahawa Manchu yang merupakan golongan minoriti harus mengembalikan kuasa politik kepada Cina Han yang merupakan golongan majoriti. Membalas kepada kegagalan dan ketakpuasan awam, Istana Empayar Qing membuat percubaan untuk membaharui kerajaan dengan berbagai-bagai cara, seperti keputusannya untuk mendraf sebuah perlembagaan pada tahun 1906, menubuhkan badan-badan perundangan provinsi pada tahun 1909, dan membuat persediaan untuk sebuah parlimen negara pada tahun 1910. Bagaimanapun, banyak daripada langkah-langkah itu ditentang oleh pihak konservatif di Istana Empayar Qing, dengan banyak reformis dipenjarakan atau dihukum mati dengan serta-merta. Kegagalan Istana Empayar untuk menggubal langkah-langkah reformasi terhadap pembebasan politik dan pemodenan mengakibatkan para reformis terpaksa memilih laluan pemberontakan.

Terdapat banyak kumpulan pemberontak, tetapi kumpulan yang paling teratur ialah kumpulan yang diasaskan oleh Sun Yat-sen, penyokong republik serta aktivitis penentang Qing yang semakin popular di kalangan Cina perantauan dan pelajar Cina di luar negeri, khususnya di Jepun. Pada tahun 1905, Sun mengasaskan Tongmenghui, gerakan penentang bawah tanah, di Tokyo bersama-sama Huang Xing, pemimpin popular gerakan pemberontakan Cina di Jepun, yang menjadi timbalannya. Gerakan ini yang menerima banyak tabung Cina perantauan, juga mendapat sokongan politik daripada pegawai-pegawai tentera daerah serta sesetengah reformis yang melarikan diri dari China selepas Reformasi Seratus Hari. Falsafah politik Sun yang dikonsepsikan pada tahun 1897 dijelaskan buat pertama kali di Tokyo pada tahun 1905, dan diubah suai pada sepanjang awal dekad 1920-an. Ia berdasarkan Tiga Prinsip Rakyat: "nasionalisme, demokrasi, dan punca pencarian rakyat". Prinsip nasionalisme memerlukan penggulingan kerajaan Manchu dan penamatan hegemoni asing terhadap China. Prinsip kedua, demokrasi, digunakan untuk menghuraikan matlamat Sun tentang sebuah kerajaan republik yang dipilih oleh orang ramai. Punca pencarian rakyat, seringnya dirujuk sebagai sosialisme, bertujuan untuk membantu orang ramai melalui pengawasan pemilikan sumber pengeluaran serta tanah.

Zaman Republik China bermula dengan pencetusan pemberontakan pada 10 Oktober 1911 di Wuchang, ibu kota Provinsi Hubei, oleh unit-unit tentera dimodenkan yang tidak puas hati dan yang kedapatan berkomplot untuk menentang Qing. Pemberontakan ini yang kemudian dikenali sebagai Pemberontakan Wuchang diraikan sebagai Hari Kesepuluh Kembar di Taiwan. Ia didahului oleh banyak pemberontakan dan bantahan terancang yang terbantut di dalam China. Pemberontakan Wuchang merebak dengan cepatnya ke kota-kota yang berjiran, dan ahli-ahli Tongmenghui di seluruh negara bangkit untuk memberikan bantuan kepada tentera revolusi Wuchang. Pada 12 Oktober, tentera revolusi berjaya untuk menawan Hankou dan Hanyang.

Bagaimanapun, rasa sangat gembira ini terhadap pemberontakan tidak dapat kekal lama. Pada 27 Oktober, Yuan Shikai dilantik oleh Istana Qing untuk mengetuai Angkatan-angkatan Tentera Darat Baru, termasuk Angkatan Tentera Darat Pertama yang diketuai oleh Feng Guozhang dan Angkatan Tentera Darat Kedua yang diketuai oleh Duan Qirui. Tugas mereka adalah untuk menawan semula kota Wuhan yang telah dirampas oleh tentera revolusi pada 11 Oktober. Angkatan Tentera Revolusi terdiri daripada sekitar 6,000 orang askar, berbanding dengan hampir 15,000 orang askar Angkatan Tentera Baru Yuan. Pada 11 November, tentera revolusi berundur dari Wuhan ke Hanyang. Menjelang 27 November, Hanyang juga hilang dan tentera revolusi terpaksa kembali ke titik permulaan mereka di Wuchang. Walaupun demikian, semasa lebih kurang 50 hari memerangi angkatan tentera Yuan, 15 daripada 24 buah provinsi telah mengisytiharkan kemerdekaan mereka daripada empayar Qing. Sebulan kemudian, Sun Yat-sen yang berada di Amerika Syarikat untuk memungut tabung di kalangan Cina perantauan dan pesimpati Amerika Syarikat kembali ke China. Pada 1 Januari 1912, para wakil dari provinsi-provinsi merdeka memilih Sun Yat-sen sebagai Presiden Sementara Republik China.

Disebabkan oleh keghairahan dan tempoh singkat pengisytiharan kemerdekaan provinsi-provinsi daripada Istana Qing, Yuan Shikai memutuskan untuk berunding dengan pihak pemberontak demi kepentingan dirinya. Beliau bersetuju untuk menerima Republik China dan dengan itu, kebanyakan Angkatan Tentera Baru kini memberontak terhadap Dinasti Qing. Rentetan peristiwa ini memaksa Puyi, maharaja terakhir China, untuk turun takhta pada 12 Februari 1912 atas cadangan Yuan Shikai kepada Maharani Balu Longyu. Longyu memeterai kertas-kertas penurunan dari takhta, dan Puyi dibenarkan tinggal di Kota Larangan. Dengan itu, Republik China secara rasmi menggantikan Dinasti Qing.

Republik awal[sunting | sunting sumber]

Gambar poster yang memperingati Yuan Shikai, Presiden tetap Republik China, dan Sun Yat-sen, Presiden Sementara Republik. Perutusan "Chinese Republic forever"  di bahagian bawah merupakan terjemahan bahasa Inggeris tidak mengikut kelaziman untuk "Long Live the Republic of China", iaitu "Hidup Republik China".

Pada 1 Januari 1912, Sun mengisytiharkan Republik China dan dilantik dalam upacara di Nanjing sebagai Presiden Sementara pertama. Tetapi kuasa di Beijing sudah diberikan kepada Yuan Shikai yang memiliki kuasa pemerintahan yang berkesan ke atas Angkatan Tentera Darat Beiyang, angkatan tentera yang paling kuat di China ketika itu. Untuk mengelakkan perang saudara dan kemungkinan campur tangan kuasa asing daripada menjejaskan republik bayi, Sun bersetuju atas desakan Yuan bahawa China disatukan di bawah sebuah kerajaan Beijing yang diketuai oleh Yuan. Pada 10 Mac, Yuan Shikai mengangkat sumpah sebagai Presiden Sementara kedua Republik China di Beijing.

Republik yang Sun Yat-sen dan sekutu-sekutunya membayangkan berkembang dengan perlahan. Walaupun terdapat banyak parti politik, dengan setiapnya bersaing untuk keunggulan di dalam badan perundangan, para pemberontak tidak mempunyai sebarang angkatan tentera, dan kuasa Yuan Shikai mula melebihi kuasa parlimen. Yuan mengubah perlembagaan dengan sewenang-wenangnya dan bersikap diktator.

Pada Ogos 1912, Song Jiaoren, salah satu sekutu Sun, menubuhkan Parti Kuomintang (Parti Nasionalisme) yang merupakan gabungan kumpulan-kumpulan politik yang kecil, termasuk gerakan Tongmenghui yang diasaskan oleh Sun. Dalam pilihan raya umum untuk parlimen dwidewan yang diadakan pada Februari 1913, Song berkempen terhadap pentadbiran Yuan yang ketika itu terdiri sebahagian besarnya daripada Parti Republikan yang diketuai oleh Liang Qichao. Song terbukti merupakan seorang yang pandai berkempen dan Kuomintang memenangi kebanyakan kerusi.

Revolusi Kedua[sunting | sunting sumber]

Sesetengah orang mempercayai bahawa Yuan Shikai telah membunuh Song pada bulan Mac, walaupun perlakuan itu tidak pernah dibuktikan; Yuan telah merancang untuk membunuh banyak jeneral pro-revolusi. Permusuhan terhadap Yuan semakin bertumbuh. Pada bulan April, Yuan mendapat Pinjaman Penyusunan Semula sebanyak 25 juta paun sterling daripada Great Britain, Perancis, Rusia, Jerman, dan Jepun, tanpa sebarang perundingan terdahulu dengan parlimen. Pinjaman itu dipergunakan untuk membiayai Tentera Beiyang yang dikuasai oleh Yuan. Pada 20 Mei, Yuan mengikat sebuah urus janji dengan Rusia yang mengiktiraf hak istimewa Rusia di Mongolia Luar dan menyekat hak Cina untuk menempatkan askar-askarnya di sana. Ahli-ahli Parlimen Kuomintang menuduh Yuan kerana menyalahgunakan haknya dan menuntut supaya beliau digulingkan. Pada pihak yang lain, Parti Progresif (Cina Tradisional: 進步黨; pinyin: Jìnbùdǎng) yang terdiri daripada para pendukung sistem pemerintahan beraja perlembagaan menyokong Yuan, dan menuduh Kuomintang kerana menimbulkan pemberontakan. Yuan kemudian memutuskan untuk menggunakan tindakan ketenteraan terhadap Kuomintang.

Pada bulan Julai 1913, tujuh buah provinsi selatan memberontak terhadap Yuan dan dengan itu, memulakan Revolusi Kedua (Cina Tradisional: 二次革命; pinyin: Èrcì Gémìng). Terdapat beberapa sebab yang mendasari Revolusi Kedua ini, selain daripada penyalahgunaan kuasa Yuan. Yang pertama, banyak askar Tentera Revolusi dari provinsi-provinsi yang berlainan telah dibubarkan selepas penubuhan Republik China, dan banyak pegawai dan askar berasa bahawa mereka tidak diberikan ganjaran untuk menggulingkan Dinasti Qing. Oleh itu, terdapat banyak perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan baru di kalangan anggota tentera. Yang kedua, banyak pemberontak berasa bahawa Yuan Shikai dan Li Yuanhong tidak layak memegang jawatan presiden dan naib presiden kerana mereka memperoleh jawatan-jawatan tersebut melalui muslihat politik dan bukannya melalui penyertaan dalam gerakan pemberontakan. Akhirnya, penggunaan keganasan oleh Yuan (seperti pembunuhan Song) menghancurkan sebarang harapan Kuomintang untuk mencapai pembaharuan dan matlamat politik mereka melalui pilihan raya.

Bagaimanapun, Revolusi Kedua tidak memberikan kejayaan kepada Kuomintang. Angkatan tentera utamanya di Jiangxi ditewaskan oleh angkatan tentera Yuan pada 1 Ogos, dan Nanchang ditawan. Pada 1 September, Nanjing pula ditawan. Apabila pemberontakan mereka dipatahkan, Sun dan pemula-pemula pemberontakan yang lain melarikan diri ke Jepun. Pada Oktober 1913, sebuah parlimen yang ditakut-takuti memilih Yuan sebagai Presiden Republik China secara rasmi, dengan kuasa-kuasa besar di luar negeri memberikan pengiktirafan kepada kerajaannya. Untuk memperoleh pengiktirafan antarabangsa tersebut, Yuan terpaksa bersetuju untuk memberikan autonomi kepada Mongolia Luar dan Tibet. Walaupun China masih mengekalkan pertuanannya ke atas kawasan-kawasan tersebut, ia harus memberikan kebebasan penuh kepada Rusia di Mongolia Luar dan Tanna Tuva, serta penerusan pengaruh Britain di Tibet. Duan Qirui dan jeneral-jeneral Beiyang yang dipercayai diberikan jawatan-jawatan yang tinggi di dalam kabinet.

Yuan Shikai dan Perang Perlindungan Negara[sunting | sunting sumber]

Yuan Shikai sebagai maharaja Empayar China (1915-1916).

Pada bulan November, Yuan Shikai, selaku presiden yang sah, memerintah pembubaran Kuomintang dan memecat ahli-ahlinya dari parlimen dengan kekerasan. Oleh sebab kebanyakan ahli parlimen adalah daripada Parti Kuomintang, korum tidak cukup untuk parlimen bersidang. Pada bulan Januari 1914, Yuan menggantung parlimen secara rasmi dan pada bulan Februari, beliau memulakan sebuah persidangan untuk mengubah Perlembagaan Sementara Republik China. Perlembagaan yang baru itu diumumkan pada Mei tahun yang sama. Perubahan itu memperluas kuasa Yuan secara ketara, dan membenarkannya mengisytiharkan perang, memeterai perjanjian, dan melantik pegawai-pegawai tanpa mendapat sebarang kebenaran daripada badan perundangan lebih dahulu. Pada bulan Disember 1914, beliau mengubah lagi undang-undang dan memanjangkan penggal jawatan presiden sehingga sepuluh tahun, tanpa sebarang had pemegangan jawatan. Pada dasarnya, Yuan sedang menyediakan diri untuk naik takhta sebagai maharaja.

Pada pihak yang lain, sejak kegagalan Revolusi Kedua, Sun Yat-sen dan sekutu-sekutunya sedang mencuba menubuhkan sebuah gerakan pemberontakan, dengan Parti Revolusi Cina (Cina Tradisional: 中華革命黨; pinyin: Zhōnghúa Gémìngdǎng) ditubuhkan pada Julai 1914. Sun berpendapat bahawa kegagalannya untuk menubuhkan sebuah gerakan pemberontakan yang tekal terdiri daripada kekurangan perpaduan antara ahli-ahlinya. Oleh itu, Sun memerlukan ahli-ahli parti barunya betul-betul bertaat setia kepadanya dan mematuhi sebuah siri peraturan yang ketat. Sesetengah sekutu Sun yang awal, termasuk Huang Xing, menunjukkan ketidaksanggupan untuk menerima gagasan pertubuhan autoritarian itu dan enggan menyertai Sun. Bagaimanapun, mereka bersetuju bahawa republik harus tidak kembali menjadi pemerintahan beraja.

Selain daripada kumpulan-kumpulan pemberontak yang dikaitkan dengan Sun, terdapat juga banyak kumpulan yang lain yang bertujuan untuk menggulingkan Yuan, termasuk Parti Progresif, parti sistem pemerintahan beraja perlembagaan yang menentang Kuomintang semasa Revolusi Kedua. Parti Progresif menukarkan pendiriannya sebahagian besar kerana sabotaj parlimen negara oleh Yuan. Selain itu, banyak gabenor provinsi yang telah mengisytiharkan kemerdekaan daripada Istana Empayar Qing pada tahun 1912, mendapati bahawa gagasan untuk menyokong lagi sebuah Istana Empayar benar-benar tidak masuk akal. Yuan juga merenggangkannya daripada jeneral-jeneral Beiyang apabila beliau memusatkan pemungutan cukai daripada para pihak berkuasa tempatan. Di samping itu, pendapat awam amat sangat menentang Yuan.

Apabila Perang Dunia I tercetus pada tahun 1914, Jepun bertempur menyebelahi Pihak Berikat dan merampas tanah-tanah pemegangan Jerman di Provinsi Shandong. Pada tahun 1915, Jepun mengemukakan apa yang dipanggil Dua Puluh Satu Tuntutan kepada Beijing. Tuntutan-tuntutan tersebut bertujuan untuk mengasaskan kawalan ekonomi Jepun ke atas operasi-operasi perkhidmatan kereta api dan pelombongan di Shandong, Manchuria, dan Fujian, serta mendesak supaya Yuan Shikai melantik penasihat-penasihat Jepun untuk jawatan-jawatan yang utama dalam kerajaan Cina. Pada dasarnya, Dua Puluh Satu Tuntutan tersebut bertujuan untuk menjadikan China sebagai sebuah negeri naungan Jepun. Kerajaan Beijing menolak sesetengah tuntutan tersebut tetapi tunduk kepada desakan Jepun untuk mengekalkan wilayah Shandong yang telah dimilikinya. Beijing juga mengiktiraf kuasa Tokyo ke atas Manchuria selatan dan Mongolia Dalam timur. Penerimaan Yuan terhadap tuntutan-tuntutan itu mengakibatnya amat tidak disukai, namun begitu beliau masih meneruskan agenda pemerintahan berajanya.

Pada 12 Disember 1915, Yuan yang disokong oleh anak lelakinya, Yuan Keding, mengisytiharkan diri sebagai maharaja Empayar China yang baru. Ini mengakibatkan gelombang kejut di seluruh China, dan mencetuskan pemberontakan secara meluas di banyak provinsi. Pada 25 Disember, Cai E, bekas gabenor Yunnan, Li Liejun (Cina Tradisional: 李烈鈞; pinyin: Lǐ Lièjūn), bekas gabenor Jiangxi, dan Tang Jiyao, jeneral Yunnan, membentuk Tentera Perlindungan Negara (Cina Tradisional: 護國軍; pinyin: Hùgúojūn) dan mengisytiharkan kemerdekaan Yunnan. Dengan itu, Perang Perlindungan Negara (Cina Tradisional: 護國戰爭; pinyin: Hùgúo Zhànzhēng) bermula. Kemerdekaan Yunnan juga menggalakkan provinsi-provinsi selatan yang lain untuk mengisytiharkan kemerdekaan masing-masing. Para jeneral Beiyang yang telah sedar akan kemahkotaan Yuan tidak memberikan tentangan yang hebat terhadap Tentera Perlindungan Negara. Pada 22 Mac 1916, Yuan menolak pemerintahan beraja secara rasmi dan turun takhta sebagai maharaja pertama dan terakhir dinastinya. Beliau meninggal dunia pada 6 Jun dalam tahun yang sama. Naib Presiden Li Yuanhong mengambil alih sebagai presiden dan melantik Duan Qirui, jeneral Beiyang, sebagai Perdana Menterinya. Cita-cita empayar Yuan akhirnya tamat dengan pengembalian kerajaan republik.

Zaman hulubalang (1916-1928)[sunting | sunting sumber]

Selepas kematian Yuan Shikai, perikatan-perikatan hulubalang daerah yang bertukar-tukar bertempur untuk penguasaan kerajaan Beijing. Walapun berbagai-bagai hulubalang berjaya menguasai kerajaan di Beijing semasa zaman hulubalang ini, mereka tidak berupaya mewujudkan sebuah zaman pemerintahan yang baru kerana para hulubalang yang lain tidak mengakui kerajaan-kerajaan sementara mereka, dan ikut suka sendiri. Zaman hulubalang ini telah dianggap oleh sesetengah ahli sejarah sebagai tamat pada tahun 1927.

Perang Dunia I dan Pengembalian Manchu[sunting | sunting sumber]

Selepas kematian Yuan Shikai, Li Yuanhong menjadi Presiden dan Duan Qirui menjadi Perdana Menterinya. Perlembagaan Sementara dikembalikan dan parlimen bersidang. Bagaimanapun, Li Yuanhong dan Duan Qirui menghadapi banyak pertikaian antara satu sama lain, dengan yang paling ketara merupakan penyertaan China dalam Perang Dunia I. Sejak meletusnya perang tersebut, China telah mengekalkan pendirian berkecuali sehingga Amerika Syarikat mendesak semua negara yang berkecuali supaya menyertai Pihak Berikat sebagai suatu kutukan terhadap perang kapal selam Jerman yang tidak terbatas. Perdana Menteri Duan Qirui amat minat menyertai Pihak Berikat kerana beliau hendak mempergunakan peluang ini untuk mendapat pinjaman daripada Jepun supaya dapat membina angkatan tentera Klik Anhuinya. Kedua-dua puak parlimen terlibat dalam perdebatan-perdebatan yang dahsyat terhadap kemasukan China ke dalam Perang Dunia I dan pada bulan Mei 1917, Li Yuanhong memecat Duan Qirui daripada kerajaannya.

Pemecatan Duan mengakibatkan para gabenor ketenteraan provinsi yang setia kepada Duan mengisytiharkan kemerdekaan dan menuntut supaya Li Yuanhong meletakkan jawatannya sebagai presiden. Li Yuanhong memerintah Zhang Xun (Cina Tradisional: 張勳; pinyin: Zhāng Xūn), bekas jeneral Dinasti Qing dan kini gabenor ketenteraan di provinsi Anhui, supaya menjadi orang tengah. Bagaimanapun, Zhang berhasrat untuk mengembalikan Puyi sebagai maharaja. Pada 1 Julai 1917, beliau mengisytiharkan Pengembalian Dinasti Qing dan meminta bahawa Li Yuanhong melepaskan jawatannya sebagai Presiden. Li menolak permintaan itu dengan segera. Semasa peristiwa pengembalian itu, Duan Qirui mengetuai sebuah angkatan tentera dan menewaskan tentera Zhang Xun di Beijing. Salah sebuah pesawat Duan mengebom Kota Larangan dalam apa yang mungkin merupakan serangan udara yang pertama di Asia Timur. Pada 12 Julai, angkatan tentera Zhang berkecai dan Duan pulang ke Beijing. Percubaan untuk mengembalikan Dinasti Qing berakhir hampir secepat ia bermula. Semasa keadaan yang tidak keruan ini, Feng Guozhang, salah seorang jeneral Beiyang yang lain, menjadi Pemangku Presiden republik dan mengangkat sumpah di Nanjing. Duan Qirui menjawat semula jawatannya sebagai Perdana Menteri. Klik Zhili yang diketuai oleh Feng Guozhang dan Klik Anhui yang diketuai oleh Duan Qirui muncul sebagai klik-klik yang paling berkuasa selepas peristiwa pengembalian Dinasti Qing.

Perang Perlindungan Perlembangan[sunting | sunting sumber]

Kepulangan Duan Qirui dengan kejayaan ke Beijing pada dasarnya menjadikannya sebagai pemimpin yang paling berkuasa di China. Duan membubarkan parlimen pada kepulangannya dan mengisytiharkan perang ke atas Jerman dan Austria-Hungary pada 13 Ogos 1917. Pada bulan September, sikap Duan yang tidak mengendahkan perlembagaan sama sekali menyebabkan Sun Yat-sen dan ahli-ahli parlimen yang telah digulingkan menubuhkan sebuah kerajaan baru di Guangzhou serta sebuah angkatan tentera yang dipanggil "Tentera Perlindungan Perlembagaan" (Cina Tradisional: 護法軍; pinyin: Hùfǎjū) untuk membalas penyalahgunaan kuasa Duan. Secara ironi, kerajaan baru Sun Yat-sen tidak berdasarkan Perlembagaan Sementara. Sebaliknya, kerajaan barunya itu merupakan sebuah kerajaan ketenteraan, dengan Sun sebagai Generalisimonya (Cina Tradisional: 大元帥; pinyin: Dàyúanshuài). Enam buah provinsi selatan menyertai kerajaan ketenteraan Guangzhou di bawah Sun dan menangkis percubaan Duan untuk memusnahkan Tentera Perlindungan Perlembagaan.

Perang Perlindungan Perlembagaan berlangsung sehingga tahun 1918. Banyak orang di dalam kerajaan Guangzhou berasa bahawa kedudukan Sun sebagai Generalisimo telah mengetepikan mereka dan mempromosikan sebuah sistem kabinet untuk mencabar kuasa mutlak Sun. Oleh itu, kerajaan Guangzhou disusun semula untuk mengasaskan sebuah sistem kabinet yang terdiri daripada tujuh ahli dan dikenali sebagai Jawatankuasa Pemerintahan. Sun sekali lagi diketepikan oleh penentang-penentang politiknya serta ketua-ketua tentera, dan bertolak ke Shanghai selepas penyusunan semula itu.

Seperti dengan kerajaan Sun, kerajaan Duan Qirui di Beijing juga tidak begitu berjaya. Sesetengah jeneral dalam Klik Anhui di bawah Duan serta jeneral-jeneral yang lain dalam Klik Zhili tidak ingin menggunakan kuasa untuk menyatukan provinsi-provinsi selatan. Mereka berasa bahawa perundingan merupakan cara penyelesaian yang lebih baik untuk menyatukan China dan memaksa Duan supaya meletakkan jawatannya pada bulan Oktober. Di samping itu, banyak orang berasa sedih kerana pinjaman Duan secara besar-besaran daripada Jepun untuk membiayai angkatan tenteranya bagi tujuan bertempur dengan musuh-musuh dalaman. Presiden Feng Guozhang, dengan penggal jawatannya hampir tamat tempohnya, kemudian diwarisi oleh Xu Shichang yang hendak berunding dengan provinsi-provinsi selatan. Pada Februari 1919, wakil-wakil dari provinsi-provinsi utara dan selatan bersidang di Shanghai untuk membincangkan keadaan-keadaan selepas perang. Bagaimanapun, mesyuarat itu gagal ketika persoalan pinjaman Duan daripada Jepun untuk membiayai angkatan tentera Klik Anhui dikemukakan, dan percubaan-percubaan selanjutnya untuk berunding dihalang oleh Gerakan 4 Mei. Perang Perlindungan Perlembagaan pada dasarnya mengakibatkan China dibahagikan menjadi dua bahagian pada sempadan utara-selatan.

Gerakan 4 Mei[sunting | sunting sumber]

Pelajar-pelajar di Beijing bersatu semasa Gerakan 4 Mei.

Pada tahun 1917, China mengisytiharkan perang terhadap Jerman, dengan harapan mendapat semula provinsi yang hilang yang kini di bawah penguasaan Jepun. Walaupun demikian, kerajaan Beijing mengikat sebuah urus janji rahsia dengan Jepun pada tahun 1918 yang menerima tuntutan Jepun terhadap Shandong. Apabila Persetiaan Versailles mengesahkan tuntutan Jepun terhadap Shandong dan pengkhianatan Beijing didedahkan, reaksi dalaman amat dahsyat.

Pada 4 Mei 1919, terdapat banyak tunjuk perasaan pelajar secara besar-besaran terhadap kerajaan Beijing dan Jepun. Keghairahan politik, aktivisme pelajar, serta arah-arah aliran intelektual pemusnah berhala dan reformis yang dimulakan oleh bantahan-bantahan pelajar setia negara berkembang menjadi sebuah kesedaran negara yang dikenali sebagai Gerakan 4 Mei. Persekitaran intelektual yang Gerakan 4 Mei berkembang dikenali sebagai Gerakan Kebudayaan Baru (新文化運動) dan berlangsung antara tahun 1917 dan tahun 1923. Tunjuk-tunjuk perasaan pelajar pada 4 Mei 1919 merupakan kemuncak Gerakan Kebudayaan Baru, dan kedua-dua istilah itu sering dijadikan sinonim. Akibat tekanan yang hebat daripada para pembantah pelajar serta pendapat umum, wakil-wakil Cina enggan memeterai Persetiaan Versailles.

Perjuangan menentang kehulubalangan[sunting | sunting sumber]

Gerakan 4 Mei membantu menghidupkan semula semangat perjuangan revolusi republik yang kian lemah. Pada tahun 1917, Sun Yat-sen menjadi Panglima Agung kepada kerajaan ketenteraan pesaing di Guangzhou yang disertai oleh hulubalang-hulubalang selatan. Kemudian pada Oktober 1919, beliau menubuhkan semula Kuomintang untuk menentang kerajaan di Beijing. Kerajaan di Beijing di bawah hulubalang-hulubalang berturut-turut masih mengekalkan topeng kesahan serta hubungan dengan dunia Barat. Menjelang tahun 1921, Sun telah menjadi presiden kerajaan selatan. Beliau menghabiskan tahun-tahunnya yang akhir untuk mengukuhkan rejimnya dan mencapai perpaduan dengan Utara. Bagaimanapun, usaha-usahanya untuk mendapat bantuan daripada demokrasi-demokrasi Barat tidak diendahkan dan pada tahun 1920, beliau meminta bantuan daripada Kesatuan Soviet yang baru-baru ini mencapai revolusi sendiri. Pihak Soviet mencuba berbaik-baik dengan para pemberontak Cina dengan menawarkan bidasan-bidasan pedas terhadap "Imperialisme Barat". Bagaimanapun atas suai faedah politik, pucuk pimpinan Soviet memulakan dwidasar yang menyokong kedua-dua Sun dan Parti Komunis Cina (CCP), parti politik yang baru ditubuhkan. Walaupun pihak Soviet mengharap-harapkan penggabungan, mereka menyediakan diri untuk mana-mana satu pihak yang dapat muncul sebagai pemenang. Dengan itu, perebutan kuasa di China bermula antara pihak Nasionalis dengan pihak Komunis.

Pada tahun 1922, perikatan Kuomintang dengan para hulubalang di Guangzhou terputus dan Sun melarikan diri ke Shanghai. Pada masa itu, beliau sedar akan keperluan untuk mendapat bantuan Soviet bagi perjuangannya. Pada tahun 1923, sebuah kenyataan bersama oleh Sun dan seorang wakil Soviet di Shanghai menjanjikan bantuan Soviet terhadap penyatuan negara China. Para penasihat Soviet — yang paling terkenal antara mereka ialah Mikhail Borodin, perisik daripada Comintern — mula tiba di China pada tahun 1923 untuk membantu penyusunan semula serta pengukuhan Kuomintang selaras dengan gaya Parti Komunis Kesatuan Soviet. Parti Komunis Cina diarahkan oleh Comintern untuk bekerjasama dengan Kuomintang, dengan ahli-ahlinya digalakkan untuk mengambil bahagian semasa mengekalkan identiti-identiti parti masing-masing.

Dasar untuk bekerjsama dengan Kuomintang dan Chiang Kai-shek telah disyorkan oleh Henk Sneevliet, komunis Belanda yang dipilih pada tahun 1923 untuk menjadi wakil Comintern di China kerana pengalaman pemberontakannya di Hindia Belanda. Beliau yang memainkan peranan utama dalam pengasasan Parti Komunis Indonesia (PKI) berasa bahawa parti Cina terlalu kecil dan lemah untuk menjalankan sebarang usaha utama pada diri sendiri (sila lihat Henk Sneevliet: Bekerja dengan Comintern).

Parti Komunis Cina masih kecil ketika itu, dengan keahlian sebanyak 300 orang pada tahun 1921, dan hanya 1,500 orang menjelang tahun 1925. Sebaliknya, Kuomintang pada tahun 1922 telah mempunyai 150,000 orang ahli. Para penasihat Soviet juga membantu Kuomintang menubuhkan sebuah institut politik supaya dapat melatih para pendiayah dalam teknik-teknik kerahan secara besar-besaran dan pada tahun 1923, menghantar Chiang Kai-shek, salah seorang pembantu Sun dari zaman Tongmenghui, untuk mengejar kajian ketenteraan dan politik di Moscow selama berbulan-bulan. Selepas kepulangannya pada akhir tahun 1923, Chiang mengambil bahagian dalam penubuhan Akademi Ketenteraan Whampoa di luar Guangzhou, kota yang kini merupakan pusat kerajaan perikatan Kuomintang dengan Parti Komunis Cina. Pada tahun 1924, Chiang menjadi ketua akademi tersebut dan mula menonjolkan diri. Akhirnya, beliau dijadikan pewaris Sun sebagai ketua Kuomintang dan menjadi penyatu seluruh China di bawah sayap kanan kerajaan nasionalis.

Chiang mengukuhkan kuasanya[sunting | sunting sumber]

Askar-askar Tentera Revolusi Nasional mara ke konsesi-konsesi British di Hubei semasa Ekspedisi Utara.

Sun Yat-sen meninggal dunia, akibat barah, di Beijing pada Mac 1925, tetapi gerakan Nationalis yang beliau membantu memulakan kian bertumbuh. Pada musim panas tahun 1925, Chiang, selaku Panglima Agung kepada Tentera Revolusi Nasional, memula Ekspedisi Utara terhadap para hulubalang utara yang telah lama ditangguhkan. Dalam tempoh sembilan bulan, setengah daripada kawasan China ditaklukkannya. Bagaimanapun menjelang tahun 1926, Kuomintang telah dibahagikan kepada puak sayap kiri dan sayap kanan, dengan blok Komunis di dalamnya semakin bertumbuh. Pada Mac 1926, selepas menghalang sebuah percubaan penculikan terhadapnya (Peristiwa Perang Kapal Zhongshan), Chiang tiba-tiba memecat para penasihat Sovietnya, mengenakan sekatan terhadap penyertaan ahli-ahli Parti Komunis Cina dalam pucuk pimpinan, dan muncul sebagai ketua Kuomintang yang cemerlang. Kesatuan Soviet yang masih mengharap-harapkan untuk mencegah sebarang perpecahan antara Chiang dengan Parti Komunis Cina, memerintah kegiatan-kegiatan bawah tanah Komunis untuk memudahkan Ekspedisi Utara yang akhirnya dilancarkan oleh Chiang dari Guangzhou pada Julai 1926.

Pada awal tahun 1927, persaingan Kuomintang dengan Parti Komunis Cina akhirnya mengakibatkan perpecahan di dalam barisan pemberontakan. Parti Komunis Cina dan sayap kiri Kuomintang telah memutuskan untuk memindahkan pusat kerajaan Nasionalis dari Guangzhou ke Wuhan. Sebaliknya, Chiang yang Ekspedisi Utaranya terbukti berjaya, menyediakan tenteranya untuk memusnahkan jentera Parti Komunis Cina di Shanghai dan menubuhkan sebuah kerajaan anti-komunis di Nanjing pada bulan April 1927 - peristiwa-peristiwa berdarah itu telah dijadikan latar novel Takdir Manusia. Terdapat tiga buah ibu negara China pada masa ini, iaitu:

  • Beijing yang dimiliki oleh rejim hulubalang yang diberikan pengiktirafan antarabangsa;
  • Wuhan yang dimiliki oleh rejim Komunis dan sayap kiri Kuomintang; dan
  • Nanjing yang dimiliki oleh rejim orang-awam-tentera yang kekal merupakan ibu negara Kuomintang sehingga dekad yang berikut.

Perjuangan Comintern kelihatan tandus. Oleh itu, sebuah dasar yang baru dimulakan yang menyeru Parti Komunis Cina supaya menimbulkan pemberontakan bersenjata di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar untuk membuat persediaan terhadap pemberontakan yang dijangka akan muncul. Percubaan-percubaan oleh pihak Komunis untuk menawan kota-kota seperti Nanchang, Changsha, Shantou, dan Guangzhou, serta sebuah pemberontakan bersenjata di luar bandar yang dikenali sebagai Pemberontakan Tuaian Musim Luruh dimulakan oleh para petani di Provinsi Hunan, akan tetapi kesemua ini tidak berjaya. Pemberontakan di Provinsi Hunan itu diketuai oleh Mao Zedong yang kemudian menjadi pengerusi Parti Komunis Cina serta ketua negara kepada Republik Rakyat China.

Bagaimanapun menjelang pertengahan tahun 1927, keadaan Parti Komunis Cina semakin merosot. Pihak Komunis telah disingkirkan dari Wuhan oleh sekutu-sekutu sayap kiri Kuomintangnya yang kemudian digulingkan pula oleh sebuah rejim ketenteraan. Menjelang tahun 1928, seluruh China telah dibawa kepada kawalan Chiang, sekurang-kurangnya pada nama sahaja. Kerajaan Nanjing dengan segera menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai kerajaan tunggal yang sah di China, dan mengumumkan bahawa selaras dengan formula Sun Yat-sen yang menetapkan tiga peringkat pemberontakan — penyatuan ketenteraan, naungan politik, serta demokrasi perlembagaan — China telah mencapai fasa pertama dengan sempurana dan akan memulakan fasa kedua di bawah arahan Kuomintang.

Dekad Nanjing (1928-1937)[sunting | sunting sumber]

Zon-zon penguasaan Kuomintang pada "Dekad Nanjing".

"Dekad Nanjing" 1928-37 merupakan dekad pengukuhan dan pencapaian Kuomintang. Sesetengah aspek konsesi dan hak istimewa asing yang keras telah disederhanakan melalui diplomasi. Kerajaan bertindak dengan penuh semangat untuk memodenkan sistem-sistem undang-undang dan hukuman, menstabilkan harga-harga, melunaskan hutang-hutang, membaharui sistem-sistem perbankan dan mata wang, membina landasan kereta api dan lebuh raya, memperbaik kemudahan kesihatan awam, menggubal undang-undang mengenai perdagangan narkotik, serta mengukuhkan pengeluaran industri dan pertanian. Kemajuan yang besar juga dicapai dalam bidang pendidikan serta juga sebuah rancangan untuk mempopularkan bahasa Mandarin Piawai dalam usaha untuk membantu menyatukan masyarakat Cina. Pembinaan kemudahan komunikasi yang meluas juga menggalakkan rasa perpaduan dan kebanggaan antara penduduk-penduduk. Sebaliknya, kebebasan politik lebih disekat berbanding dengan zaman-zaman dahulu, akibat penguasaan satu parti Kuomintang melalui "naungan politik" serta seringnya cara-cara yang kejam yang dipergunakan untuk menghancurkan tentangan-tentangan terhadap kerajaan.

Walaupun Kuomintang dikatakan menguasai seluruh negara pada zaman ini, banyak kawasan China masih berada di bawah pemerintahan separa autonomi hulubalang-hulubalang tempatan atau gabungan-gabungan hulubalang. Pemerintahan Kuomintang paling kuat di kawasan-kawasan timur China yang berhampiran dengan ibu negara Nanjing, tetapi hulubalang-hulubalang tempatan seperti Feng Yuxiang dan Yan Xishan mengekalkan banyak kuasa tempatan. Bagaimanapun, Perang Dataran Tengah pada tahun 1930 serta serangan Jepun pada tahun 1931 kelihatan mengatasi keadaan ini apabila kuasa-kuasa tempatan dapat bersatu di bawah satu barisan yang sama bersama kerajaan pusat.

Lihat juga

Tentera Amerika Syarikat di pra-Republik/Republik China[sunting | sunting sumber]

Antara tahun 1901 dan tahun 1937, tentera Amerika Syarikat mengekalkan kehadiran yang kuat di China untuk mengekalkan kepentingan perdagangannya di Timur Jauh serta untuk mengejar perikatan tetap dengan Republik China selepas kesusahan-kesusahan diplomatik yang berpanjangan dengan Empayar Cina. Bagaimanapun, hubungan antara Amerika Syarikat dan China sebahagian besar berselang-seli antara tempoh hubungan diplomatik yang mesra dengan tempoh hubungan terputus serta tentangan-tentangan Amerika Syarikat yang ganas.

Pada dekad-dekad 1920-an dan 1930-an, Armada Asia Tentera Laut Amerika Syarikat yang ditempatkan di China mewujudkan suatu imej klasik "Kelasi China" apabila sebilangan besar anggota-anggota Tentera Laut yang ditempatkan di China selama 10-12 tahun bersara dan terus tinggal di negara ini. Filem klasik Kerakal Pasir  merupakan pendramaan kehidupan Kelasi-kelasi China tersebut.

Tentera Amerika Syarikat juga mencipta banyak pingat dan anugerah untuk memberikan penghargaan kepada kakitangan-kakitangannya yang bertugas di China. Pingat Perkhidmatan China, Pingat Kempen China, Pingat Perkhidmatan Yangtze, dan Pingat Ekspedisi Bantuan China kesemuanya merupakan pingat ketenteraan yang boleh dianugerahkan kepada mereka yang bertugas di China.

Dengan kedatangan Perang Dunia II, tentera Amerika Syarikat di China beransur-ansur ditarik balik untuk melindungi kepentingan-kepentingannya di Pasifik. Dengan kebangkitan China Komunis, tidak adanya lagi kehadiran tentera Amerika Syarikat di tanah besar China, suatu status yang masih berterusan pada hari ini.

Perang China-Jepun Kedua (1937-1945)[sunting | sunting sumber]


Generalisimo dan Puan Chiang Kai-shek dengan Jeneral Stilwell di Myanmar (1942).

Tidak banyak orang Cina mempunyai sebarang salah tanggapan tentang niat Jepun terhadap China. Dahaga untuk bahan-bahan mentah dan tertekan oleh jumlah penduduk yang semakin bertumbuh, Jepun memulakan perampasan Manchuria pada September 1931 dan menjadikan Puyi, bekas maharaja Qing, sebagai ketua negeri boneka Manchukuo pada tahun 1932. Kehilangan Manchuria, dengan potensinya yang besar untuk pembangunan perindustrian dan industri-industri perang, merupakan suatu tamparan kepada ekonomi Kuomintang. Liga Bangsa yang ditubuhkan pada akhir Perang Dunia I tidak berupaya bertindak terhadap keingkaran Jepun. Jepun memulakan kemaraannya dari sebelah selatan Tembok Besar China masuk ke kawasan utara China serta provinsi-provinsi pantai. Walaupun kemarahan orang Cina terhadap Jepun tentu sahaja, tetapi kemarahan tersebut juga ditujukan kepada kerajaan Republik China yang ketika itu menyibukkan diri dengan kempen-kempen penghapusan pihak komunis, dan tidak mengendahkan penyerang-penyerang Jepun. Pentingnya "perpaduan dalaman sebelum kebahayaan luar" dibawa ke kesedaran dengan paling ketara apabila Chiang Kai-shek, dalam sebuah peristiwa yang dikenali sebagai Peristiwa Xi'an, diculik oleh Zhang Xueliang dan dipaksa bersekutu dengan pihak Komunis terhadap Jepun sebagai syarat untuk pembebasannya.

Tentangan Cina menjadi lebih hebat selepas 7 Julai 1937, ketika pertempuran antara askar-askar Cina dengan askar-askar Jepun berlaku di luar Beijing (ketika itu dinamai semula sebagai Beiping) berdekatan dengan Jambatan Marco Polo. Pertempuran ini bukan sahaja menandai permulaan perang terbuka antara China dengan Jepun, walaupun tidak diisytiharkan, tetapi juga mempercepatkan pengisytiharan pembentukan Barisan Bersatu Kuomintang-Parti Komunis Cina Kedua untuk menentang Jepun. Shanghai jatuh selepas pertempuran selama tiga bulan, dengan Jepun juga mengalami pengorbanan angkatan tentera darat dan laut yang teruk. Ibu negara Nanjing jatuh pada bulan Disember 1937, disusuli oleh sebuah siri pembunuhan beramai-ramai dan perogolan orang-orang awam. Peristiwa itu dikenali sebagai Pembunuhan Beramai-ramai Nanjing.

Kerjasama antara Kuomintang dengan Parti Komunis Cina diadakan, dan memberikan manfaat kepada pihak Parti Komunis Cina yang terkepung. Bagaimanapun, kesangsian antara kedua-dua parti tidak banyak disembunyikan. Perikatan itu yang tidak menyenangkan mula gagal selepas akhir tahun 1938, walaupun Jepun masih meneruskan penawanannya ke atas kawasan-kawasan di China utara, kawasan-kawasan pantai, dan Lembah Sungai Yangtze yang kaya di China tengah. Selepas tahun 1940, pertempuran antara Kuomintang dengan pihak Komunis menjadi lebih kerap di kawasan-kawasan yang tidak dikuasai oleh Jepun. Pihak Komunis memperluas pengaruh mereka jika wujud peluang melalui pertubuhan besar-besaran, pembaharuan pentadbiran, langkah-langkah reformasi tanah dan cukai yang memihak kepada para petani, dengan Kuomintang cuba mencegah perluasan pengaruh Komunis. Pada masa yang sama, China utara disusupkan oleh ahli-ahli politik Jepun di Manchukuo, dengan kemudahan-kemudahan seperti Wei Huang Gong merupakan salah satu contoh.

Pada tahun 1945, Republik China muncul daripada perang sebagai sebuah kuasa ketenteraan yang unggul pada nama sahaja tetapi sebenarnya, ia merupakan sebuah ekonomi yang lemah yang hampir-hampir akan mengalami perang saudara habis-habisan. Ekonominya merosot, akibat tuntutan-tuntutan ketenteraan perang asing dan persengketaan dalaman, inflasi yang semakin meningkat, serta pencatutan, spekulasi, dan penyorokan pihak Nasionalis. Kebuluran berlaku ekoran daripada perang, dengan berjuta-juta orang dijadikan tidak berumah, akibat banjir serta keadaan-keadaan terganggu di banyak kawasan di seluruh negara. Keadaan ini dirumitkan lagi oleh perjanjian Pihak Berikat dalam Persidangan Yalta pada Februari 1945 yang membawa askar-askar Soviet masuk ke Manchuria untuk mempercepatkan penamatan perang dengan Jepun. Walaupun pihak Kuomintang tidak menghadiri persidangan tersebut, mereka telah dihubungi untuk perundingan; mereka telah bersetuju dengan campur tangan Soviet di Manchuria kerana mempercayai bahawa Kesatuan Soviet hanya akan berurusan dengan kerajaan Kuomintang. Selepas peperangan, Kesatuan Soviet, sebagai sebahagian daripada perjanjian Yalta yang membenarkan lingkungan pengaruhnya di Manchuria, membuka dan mengambil kelengkapan-kelengkapan perindustrian yang ditinggalkan oleh Jepun. Kehadiran Soviet di China timur laut membolehkan pihak Komunis Cina untuk masuk ke sana cukup lama untuk mempersenjatai diri dengan kelengkapan-kelengkapan yang diserahkan oleh angkatan tentera Jepun yang berundur. Masalah-masalah untuk memulihkan bekas kawasan pendudukan Jepun dan membina semula negara daripada kebinasaan, akibat peperangan yang berlarutan, amat memeranjatkan.

Lihat juga: Kerajaan Wang Jingwei, Penjajahan Jepun di Manchukuo

Perang Saudara (1945-1949)[sunting | sunting sumber]

Pengunduran Nationalis ke Taipei: selepas pihak Nationalis hilang Nanjing (Nanking), mereka berpindah ke Guangzhou (Canton) dan kemudiannya ke Chongqing (Chungking), sebelum melarikan diri ke Taipei.

Semasa Perang Dunia II, Amerika Syarikat muncul sebagai pemain utama dalam hal-ehwal China. Sebagai sekutu, ia memulakan sebuah rancangan pada akhir tahun 1941 untuk memberikan bantuan ketenteraan dan kewangan kepada kerajaan Nasionalis yang terdesak. Pada Januari 1943, Amerika Syarikat dan Britain menjadi negara-negara pertama untuk mengubah perjanjian-perjanjiannya dengan China dan dengan itu, mengakhiri seabad hubungan perjanjian yang tak adil. Dalam tempoh beberapa bulan kemudian, sebuah perjanjian baru dimeterai antara Amerika Syarikat dengan Republik China untuk menempatkan askar-askar Amerika Syarikat di China bagi usaha perang bersama terhadap Jepun. Pada bulan Disember 1943, Akta Pengecualian Cina 1880-an serta undang-undang kemudian yang digubalkan oleh Kongres Amerika Syarikat untuk menyekat penghijrahan orang China ke Amerika Syarikat dimansuhkan.

Dasar masa perang Amerika Syarikat pada asalnya bertujuan untuk membantu menjadikan China sebagai sebuah sekutu yang kukuh serta kuasa penstabilan di Asia Timur selepas perang. Bagaimanapun, apabila pertikaian antara Kuomintang dengan pihak Komunis bertambah buruk, Amerika Syarikat cuba mendamaikan pesaing-pesaing tersebut supaya dapat memerangi Jepun dengan lebih berkesan. Menjelang akhir perang, Tentera Marin Amerika Syarikat dipergunakan untuk mempertahankan Beiping (Beijing) dan Tianjin terhadap kemungkinan serangan mendadak Soviet, dan bantuan logistik diberikan kepada angkatan-angkatan tentera Kuomintang di China utara dan timur laut.

Melalui pengaruh pengantaraan Amerika Syarikat, sebuah kedamaian sementara ketenteraan diatur pada Januari 1946, tetapi pertempuran-pertempuran antara Kuomintang dengan pihak Komunis disambung semula tidak lama kemudian. Pendapat awam terhadap ketakcekapan pentadbiran kerajaan Republik China bertambah buruk dan diapi-apikan oleh pihak Komunis semasa bantahan pelajar di seluruh negara terhadap penyalahkendalian tuduhan rogol pada awal tahun 1947 serta bantahan negara kemudian terhadap reformasi kewangan pada tahun yang sama. Menyedari bahawa usaha-usaha Amerika Syarikat yang tidak merangkumi campur tangan bersenjata secara besar-besaran tidak akan menamatkan perang, Amerika Syarikat menarik balik perwakilannya yang diketuai oleh Jeneral George C. Marshall pada awal tahun 1947. Perang Saudara Cina yang memperlihatkan Amerika Syarikat membantu pihak Nasionalis dengan pinjaman-pinjaman ekonomi serta senjata-senjata secara besar-besaran (tetapi tanpa penurunan tentera) semakin merebak. Pertempuran-pertempuran bertambah sengit bukan sahaja untuk wilayah-wilayan tetapi juga untuk kesetiaan para penduduk.

Kerajaan Republik China membuat percubaan-percubaan terlambat untuk mendapatkan sokongan orang ramai melalui reformasi dalaman. Bagaimanapun, usaha-usaha itu tidak berjaya kerana kerajaannya dilanda oleh amalan rasuah yang menular, diiringi oleh keadaan kelam-kabut politik dan ekonomi. Menjelang akhir tahun 1948, kedudukan Kuomintang kelihatan muram. Askar-askar Kuomintang yang patah semangat dan tidak berdisiplin terbukti tidak dapat menentang Tentera Pembebasan Rakyat komunis yang dahulu dikenali sebagai "Tentera Merah". Pihak Komunis telah memantapkan kedudukan mereka di utara dan timur laut. Walaupun Kuomintang mempunyai kelebihan dari segi bilangan askar dan senjata, menguasai kawasan dan jumlah penduduk yang lebih besar daripada musuh-musuhnya, serta mendapat banyak bantuan antarabangsa, mereka telah diletihkan oleh perang yang berpanjangan dengan Jepun serta persaingan sesama sendiri antara jeneral-jeneralnya. Mereka juga menghadapi kekalahan perang propaganda oleh pihak Komunis, dengan penduduk-penduduknya naik bosan dengan amalan rasuah Kuomintang dan teringin akan keamanan. Pada Januari 1949, Beiping ditawan oleh pihak Komunis tanpa sebarang pertempuran dan nama asalnya, Beijing, dikembalikan. Antara bulan April dan November, penguasaan bandar-bandar utama dipindahkan daripada Kuomintang kepada pihak Komunis tanpa banyak pertentangan. Dalam kebanyakan kes, kawasan-kawasan luar bandar serta bandar-bandar kecil telah dikuasai oleh pihak Komunis jauh lebih lama daripada bandar-bandar raya. Selepas Chiang Kai-shek serta beberapa ratus ribu askar Republik China dan dua juta pelarian, khususnya daripada kerajaan dan komuniti perniagaan, melarikan diri dari tanah besar ke pulau Taiwan (yang telah dikuasai oleh Kuomintang sejak tahun 1945 lagi), terdapat hanya beberapa kawasan penentangan yang terpencil. Pada Disember 1949, Chiang mengisytiharkan Taipei, Taiwan, sebagai ibu negara sementara Republik China.

Republik China di Taiwan (1949-kini)[sunting | sunting sumber]

Ketegangan antara kaum tempatan dengan kaum tanah besar[sunting | sunting sumber]

Selepas Perang Dunia II, Taiwan berbalik ke pemerintahan Cina dan pihak Nasionalis menduduki Taiwan. Republik China melantik Chen Yi sebagai Ketua Eksekutif Taiwan. Beliau tiba di Taiwan pada 24 Oktober 1945 dan menerima Ando Rikichi, gabenor Jepun yang terakhir, yang memeterai dokumen penyerahan pada hari berikutnya. Taiwan ketika itu diduduki oleh sebuah pentadbiran ketenteraan Republik China.

Semasa tempoh pasca perang yang terdekat, pentadbiran Kuomintang Cina di Taiwan diperlihatkan oleh sesetengah orang sebagai tidak cekap dan korup. Banyak orang Taiwan berasa kecewa dengan pentadbiran Kuomintang yang terbukti serupa keras dengan pemerintahan empayar Jepun. Keganasan terhadap orang-orang tanah besar tercetus pada 28 Februari 1947 selepas seorang penjual rokok ditembak tanpa sengaja oleh pihak polis. Peristiwa 228 yang menyusul menjadi peristiwa penting dalam pembentukan identiti Taiwan moden. Selama beberapa minggu selepas peristiwa itu, banyak orang Taiwan memberontak dan menyertai rusuhan-rusuhan di seluruh pulau untuk membantah amalan rasuah serta pemerintahan kerajaan yang keras. Gabenor Chen Yi yang semasa berpura-pura berunding dengan penuh kejujuran bersama para pemberontak, meminta askar-askar daripada tanah besar. Kuomintang yang takut akan penyeludupan masuk Komunis, mengumpulkan sebilangan besar askar untuk mematahkan rusuhan di Taiwan dan dalam proses tersebut, membunuh dan memenjarakan ribuan orang. Banyak orang Taiwan yang telah menubuhkan kumpulan-kumpulan pemerintahan sendiri di bawah Jepun menjadi mangsa peristiwa ini, bersama-sama orang awam dari tanah besar yang menerima bahagian yang paling berat daripada tindakan balas jawatankuasa pengawasan. Ini disusuli oleh pemerintahan tentera dan "kegentaran putih" yang mengakibatkan ribuan orang dipenjarakan atau dihukum mati kerana penentangan politik mereka terhadap Kuomintang. Banyak mangsa kegentaran putih itu berasal daripada golongan elit Taiwan — pemimpin politik, ahli keluarga yang kaya, cendekiawan, dan sebagainya. Selain itu, orang-orang tanah besar juga tidak dilepaskan kerana banyak daripada mereka mempunyai hubungan, baik sebenar mahupun tanggapan, dengan pihak komunis sebelum mereka datang ke Taiwan. Umpamanya, sesetengah orang tanah besar yang menyertai kelab-kelab buku di tanah besar dianggap sebagai ahli sayap kiri oleh kerajaan dan boleh ditangkap, dengan banyak mereka menjalani tempoh pemenjaraan yang panjang kerana merupakan suatu ancaman, baik sebenar mahupun anggapan.

Pemerintahan tentera yang antara lain, termasuk undang-undang hasutan terhadap para penyokong komunisme atau kemerdekaan Taiwan, mengakibatkan penindasan politik yang sungguh teruk. Ia juga mengharamkan pembentukan parti politik yang baru (walaupun pembangkang-pembangkang politik boleh menyertai pilihan raya sebagai calon bebas atau tangwai). Yang kedua, disebabkan oleh tuntutan rejim terhadap pemerintahan seluruh China, sebilangan yang amat besar kerusi dalam Yuan Perundangan (parlimen) dan Perhimpunan Kebangsaan (badan perwakilan pemilih untuk presiden yang kini dibubarkan) dipegang oleh ahli-ahli kawasan pilihan raya Tanah Besar pada tahun 1947 dan 1948. Rejim tersebut mendebatkan bahawa para penggubal undang-undang itu harus mengekalkan kerusi mereka sehingga pilihan raya di kawasan pilihan raya mereka yang asal dapat diadakan. Walaupun pilihan-pilihan raya tambahan telah diadakan mulai dari tahun 1969 untuk menambahkan perwakilan Taiwan dalam badan-badan tersebut, kebanyakan penggubal kanan dikekalkan menjangkaui tahun 1990 dan menjamin kuasa Kuomintang, baik parti itu memenangi dalam pilihan raya mahupun tidak. Para penghuni pulau, atau penduduk Cina yang telah lama tinggal di Taiwan (berbanding dengan kaum minoriti tanah besar sebanyak 15% yang merupakan mereka daripada keluarga-keluarga yang melarikan diri dengan Chiang Kai-shek pada akhir dekad 1940-an), masih kurang diwakili di peringkat-peringkat tertinggi kerajaan dan parti menjelang awal dekad 1990-an, dan membayangkan had pendemokrasian yang ketara.

Pembangunan ekonomi[sunting | sunting sumber]

Sebahagian dengan bantuan Akta Bantuan China tahun 1948 serta Suruhanjaya Bersama China-Amerika untuk Pembinaan Semula Luar Bandar, kerajaan Republik China menjalankan sebuah rancangan reformasi tanah yang amat berjaya dan yang mempunyai kesan yang luas di Taiwan semasa dekad 1950-an. Mereka mengagih-agihkan semula tanah antara petani-petani kecil, dan membayar ganti rugi kepada pemilik-pemilik tanah besar dengan sijil komoditi atau saham industri hak milik kerajaan. Reformasi-reformasi luar bandar tersebut yang merangkumi rancangan 375 penurunan sewa tidak pernah dijalankan dengan bersemangat di tanah besar tetapi amat berjaya di Taiwan.

Pada keseluruhannya, walaupun reformasi-reformasi yang dilaksanakan itu mengakibatkan sebilangan pemilik tanah besar menjadi miskin, yang lain menjadikan ganti rugi yang diterima sebagai modal untuk memulakan perusahaan-perusahaan perdagangan dan perindustrian. Usahawan-usahawan ini kemudian menjadi golongan kapitalis perindustrian yang pertama di Taiwan. Bersama-sama dengan peniaga-peniaga pelarian dari tanah besar, mereka mengurus peralihan Taiwan daripada sebuah ekonomi pertanian kepada sebuah ekonomi perdagangan dan perindustrian.

Pembangunan ekonomi Taiwan yang luar biasa telah memberikannya tempat sebagai salah satu daripada Empat Harimau Asia, bersama-sama Hong Kong, Singapura, dan Korea walaupun akhir-akhir ini, banyak kerja masih harus dilakukan dalam proses penswastaan industri-industri yang dimiliki oleh kerajaan serta dalam pembaharuan sektor kewangan yang sedang dijalankan.

Halangan diplomatik[sunting | sunting sumber]

Cogan kata Republik China 1960-an:
"Keadaan menguji belia.
Belia mencipta keadaan."

Dekad 1970-an memperlihatkan pertukaran pengiktirafan diplomatik daripada Republik China kepada Republik Rakyat China. Selepas Perang Dunia II, Republik China telah menjadi salah satu ahli pengasas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memegang kerusi China dalam Majlis Keselamatan sehingga tahun 1971 ketika ia disingkirkan oleh Ketetapan Perhimpunan Agung 2758, dengan Republik Rakyat China Komunis menggantikannya dalam semua alat PBB. (Banyak percubaan oleh Republik China untuk menyertai semula PBB tidak diluluskan oleh jawatankuasanya. Sila lihat China dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.) Sejak dekad 1980-an, bilangan negara yang secara rasminya mengiktiraf Republik China telah berkurangan sehingga 24 buah.

Republik Rakyat China enggan mengekalkan sebarang hubungan diplomatik dengan kerajaan-kerajaan yang mengiktiraf Republik China dan oleh itu, mengakibatkan suatu status politik Taiwan yang rumit (lihat juga hubungan luar negeri Taiwan). Amerika Syarikat menempatkan askar-askarnya di Taiwan selepas kemenangan pihak Komunis di China bagi tujuan mempertahankan Taiwan terhadap serangan oleh Republik Rakyat China. Tenteranya masih ditempatkan di Taiwan sehingga hubungan diplomatiknya dengan Republik China terputus pada tahun 1979. Bagaimanapun pada hari ini, Amerika Syarikat masih mengekalkan suatu kehadiran perisik yang ketara di Taiwan.

Pembaharuan demokrasi[sunting | sunting sumber]

Walaupun Chiang Kai-shek pada dasarnya adalah seorang diktator, beliau juga beransur-ansur mendemokrasikan Taiwan, mulai dengan pilihan-pilihan raya untuk jawatan tempatan. Beliau juga membaharui pucuk pimpinan Kuomintang, dan menukarkan partinya daripada sebuah pertubuhan Leninisme kepada sebuah parti berbilang puak, dengan setiapnya mempunyai pendapat tersendiri.

Chiang Ching-kuo yang mewarisi bapanya, Chiang Kai-shek, mempercepatkan pelonggaran sistem politik Taiwan. Peristiwa-peristiwa seperta Peristiwa Kaohsiung pada tahun 1979 menekankan keperluan untuk perubahan, dengan kumpulan-kumpulan seperti Amnesti Antarabangsa bersiap sedia untuk berkempen menentang kerajaan dan Presiden Chiang Ching-kuo. Chiang Ching-kuo, walaupun berasal dari tanah besar, mengistiharkan diri sebagai merupakan juga seorang anak Taiwan dan memasukkan banyak orang Taiwan ke peringkat-peringkat tertinggi partinya. Beliau juga menamakan Lee Teng-hui, seorang anak Taiwan, sebagai naib presiden serta pewarisnya yang mungkin. Pada tahun 1986, kebenaran untuk membentuk parti-parti politik yang baru diberikan, dengan Parti Progresif Demokratik (DPP) merupakan parti pembangkang yang pertama. Bagaimanapun, sebuah krisis politik kelihatan akan meletus apabila Kementerian Keadilan mendaftarkan tuduhan-tuduhan terhadap DPP kerana mencabuli sekatan-sekatan pemerintahan tentera. Presiden Chiang meredakan krisis tersebut dengan mengumumkan bahawa pemerintahan tentera akan ditamatkan dan parti-parti politik baru bolehlah ditubuhkan, asalkan mereka mendukung Perlembagaan Republik serta menolak kedua-dua komunisme dan Kemerdekaan Taiwan. Pemansuhan Dekri Pemerintahan Tentera, bersama-sama pemansuhan pengharaman bekas perajurit melawat saudara-mara mereka di tanah besar pada tahun 1987, dan pemansuhan pengharaman pendaftaran akhbar baru pada tahun 1988, kesemuanya merupakan peristiwa-peristiwa yang bersejarah.

Selepas kematian Chiang Ching-kuo pada tahun 1988, pewarisnya Lee Teng-hui meneruskan pemberian kuasa kerajaan kepada orang-orang Taiwan asli serta pendemokrasian kerajaannya. Pada tahun 1990, Lee mengadakan Persidangan Hal-ehwal Negara yang menyebabkan pemansuhan tempoh darurat negara pada tahun berikutnya dan dengan itu, membuka jalan untuk kedua-dua pemilihan semula Perhimpunan Kebangsaan pada tahun 1991 serta Yuan Perundangan pada tahun 1992. Demokrasi penuh dari segi bahawa para warganegara diberikan hak untuk memilih para penggubal undang-undang dan bukan sahaja pegawai-pegawai tempatan dalam pilihan raya yang bebas dan adil dicapai pada tahun 1991 apabila para penggubal undang-undang kanan dipaksa bersara. Pada tahun 1994, sekali lagi atas desakan Presiden Lee, jawatan presiden Republik China ditukarkan melalui perubahan perlembagaan menjadi suatu jawatan yang dipilih oleh rakyat Taiwan melalui pilihan raya.

Di bawah Presiden Lee, Taiwan mengalami sebuah proses penyetempatan yang kebudayaan dan sejarah tempatan dipromosikan, berbanding dengan sudut pandangan seluruh China. Pembaharuan Lee termasuk pencetakan kertas wang oleh Bank Pusat dan bukan lagi oleh Bank Provinsi Taiwan, serta "pembekuan" Kerajaan Provinsi Taiwan (iaitu pelucutan kebanyakan kuasa kerajaan provinsi, dengan kuasa-kuasa tersebut digabungkan dengan kuasa kerajaan pusat atau kuasa kerajaan-kerajaan tempatan). Sekatan terhadap penggunaan bahasa Taiwan dalam media penyiaran dan di sekolah juga dibatalkan.

Bagaimanapun, proses pendemokrasian menimbulkan masalah-masalah tersendiri. Pada tahap-tahap yang awal, parti-parti politik masih diharamkan, tetapi calon-calon bebas, termasuk sebilangan mereka yang keluar daripada Kuomintang, dibenarkan bertanding, asalkan mereka tidak menerima sebarang pembiayaan kempen daripada parti mereka. Oleh itu, banyak calon mengambil jalan keluar dengan meminjam wang daripada para peniaga, elit tempatan, serta juga gengster sebagai pertukaran untuk sokongan politik dan ekonomi. Ini merupakan permulaan fenomena "emas hitam" di Taiwan, dengan ahli-ahli politik yang tidak jujur disokong oleh para peniaga dan unsur-unsur jenayah sehingga menjejaskan masyarakat. Bertentangan dengan ini, sesetengah bekas ahli Kuomintang membentuk Parti Baru untuk menentang Kuomintang yang telah dilonggarkan dan dengan itu, juga mengakibatkan amalan rasuah yang meluas.

Lagi satu tahap dicapai apabila pilihan raya langsung yang pertama untuk presiden diadakan pada tahun 1996. Lee bertanding sebagai penjawat kini dalam pilihan raya presiden yang pertama terhadap Peng Ming-min, calon DPP serta aktivis kemerdekaan Taiwan yang terkenal. Penyertaan Peng dalam pilihan raya ini mengakibatkan Republik Rakyat China menjalankan suatu siri ujian peluru di Selat Taiwan untuk menakut-nakuti para pengundi Taiwan. Taktik yang agresif itu menyebabkan Bill Clinton, presiden Amerika Syarikat, menggunakan Akta Hubungan Taiwan untuk menurunkan sebuah kapal induk pesawat udara ke kawasan yang berhampiran dengan pantai selatan Taiwan untuk mengawasi keadaan.

Bagi Republik China di Taiwan, proses pelonggaran politik serta pendemokrasian telah disiapkan dengan agak lancar. Negara ini telah berjaya mengubahkan sebuah negara autoritarian kepada sebuah negara dengan institusi-institusi demokrasi tanpa sebarang peristiwa utama seperti rampasan kuasa, baik oleh pihak pemberontak mahupun oleh pihak reaksionis. Ini adalah kerana Kuomintang pada dirinya telah menyatakan bahawa, dalam pandu arah politiknya, kediktatoran satu parti harus ditamatkan dan bentuk terakhir kerajaan adalah demokrasi perlembagaan, asalkan sistem politik mereka bersedia untuk menerimanya. Oleh itu, proses pendemokrasian berlangsung dengan lancar tanpa sebarang perubahan utama kepada perlembagaan ataupun penyusunan semula kerajaan secara besar-besaran.

Republik China sezaman[sunting | sunting sumber]

Bangunan Presiden di Taipei, k.k. 2005.

Pilihan Raya Presiden pada tahun 2000 menandai keakhiran status Kuomintang sebagai parti pemerintah. Chen Shui-bian, calon parti pembangkang DPP, memenangi pertandingan tiga pihak yang memperlihatkan undi parti perikatan Pan-Blue dibahagikan antara Lien Chan, calon Kuomintang, dan James Soong, calon bebas serta bekas ahli Kuomintang. Chen memperoleh 39% undi. Selepas pilihan raya, Soong menubuhkan Parti Pertama Rakyat (PFP).

Chen Shui-bian dipilih semula dengan kelebihan 0.2% undi dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2004 dan menewaskan Lien, Pengerusi Kuomintang, yang bertanding dengan Soong, Pengerusi PFP, sebagai calon pasangannya. Pada hari sebelum pilihan raya, kedua-dua Chen dan Naib Presiden Annette Lu ditembak semasa berkempen di Tainan. Kecederaan mereka tidak berbahaya, tetapi peristiwa itu dipercayai memberikan mereka cukup simpati sehingga mempengaruhi keputusan pilihan raya. Peristiwa itu sebenarnya boleh memberikan Presiden Chen kuasa untuk mengisytiharkan sebuah pemerintahan tentera yang boleh melarang para anggota polis dan tentera yang merupakan penyokong kuat parti perikatan Pan-Blue daripada mengundi. Lien enggan mengaku kalah dan mendakwa bahawa adanya perkara-perkara yang tidak kena dalam pilihan raya tersebut. Para penyokong Kuomintang dan PFP mengadakan bantahan beramai-ramai pada minggu-minggu yang berikut. Akhirnya, Kuomintang dan PFP membawa kes mereka ke mahkamah. Mahkamah Tinggi memerintah penghitungan semula undi di seluruh negara tetapi tidak mendapati sebarang bukti untuk menyokong tuduhan Kuomintang dan PFP. Oleh itu, mahkamah tersebut mengesahkan keputusan pilihan raya itu.

Semasa pilihan raya Badan Perundangan yang diadakan pada 8 Disember 2004, perikatan Pan-Blue yang dikuasai oleh Kuomintang-PFP memperolehi majoriti yang tipis dalam pilihan raya yang memperlihatkan Presiden Chen meletakkan jawatannya sebagai pengerusi DPP. Kabinet Perdana Menteri Yu Shyi-kun meletakkan jawatan, dan Frank Hsieh menjadi Perdana Menteri pada 25 Januari 2005.

Dalam sebuah langkah yang diperlihatkan oleh sesetengah orang sebagai gerak balas terhadap pemilihan semula Chen, Republik Rakyat China menggubal sebuah undang-undang anti-pemisahan yang membenarkan penggunaan kuasa terhadap Taiwan dan kerajaan Republik China jika ia mengisytiharkan kemerdekaan. Undang-undang itu mengakibatkan bantahan besar-besaran daripada hampir semua parti politik dan tokoh-tokoh terkenal Republik China serta rasa tidak setuju oleh negara-negara barat.

Perundingan-perundingan pada bulan Januari 2005 di Macau antara pihak-pihak berkuasa penerbangan kedua-dua Republik China dan Republik Rakyat China menyebabkan penerbangan carter penyeberangan langsung selat antara China tanah besar dan Taiwan pada sepanjang tempoh Perayaan Tahun Qamari Baru 2005. Dalam suatu peristiwa yang tidak disangka-sangka, Presiden Chen dan Pengerusi PFP Soong mengadakan sebuah persidangan kemuncak, dengan presiden yang cenderung menyokong kemerdekaan menunjukkan bahawa penyatuan semula dengan tanah besar pada masa hadapan merupakan suatu pilihan. Menentang undang-undang anti-pemisahan yang dicadangkan oleh Republik Rakyat China, Presiden Chen mengadakan sebuah persidangan video dengan Parlimen Eropah di Brussel dan mendesak supaya Kesatuan Eropah tidak membatalkan embargo senjata yang dikenakan pada Republik Rakyat China.

Politik dalam negeri semasa pentadbiran Chen sebahagian besarnya merupakan suatu kebuntuan politik kerana Kuomintang dan PFP bersama-sama memegang majoriti perikatan Pan-Blue di dalam Badan Perundangan. Antara banyak perkara-perkara yang tidak dapat dimajukan, akibat kebuntuan politik itu, ialah:

  • rang undang-undang pemerolehan senjata yang akan meningkatkan keupayaan pertahanan Republik China melalui pembelian persenjataan seperti pesawat ronda laut P-3 Orion daripada kerajaan Amerika Syarikat; dan
  • undang-undang pembaharuan perbankan yang boleh membantu menggabungkan banyak bank di Republik China yang kesemuanya memegang kurang daripada 10% bahagian pasaran tempatan.

Adalah penting untuk memerhatikan bahawa presiden Republik China, berbeza dengan presiden Amerika Syarikat, tidak mempunyai kuasa veto dan oleh itu, tidak mempunyai sebarang pengaruh dalam perundingannya dengan para ahli pembangkang di dalam Badan Perundangan, tidak mengira betapa tipisnya majoriti para pembangkang itu.

Perlembagaan Republik China dipinda lagi pada tahun 2005 untuk mewujudkan sebuah sistem pemilihan dua undi yang terdiri daripada kerusi-kerusi ahli tunggal terbanyak undi serta kerusi-kerusi wakil berkadar. Perhimpunan Kebangsaan juga dibubarkan, dengan kebanyakan kuasanya dipindahkan kepada Yuan Perundangan, dan segala pindaan perlembagaan lanjut diputuskan oleh pungutan suara awam.

Perlembagaan Republik China masih dibaharui, dengan kemungkinan bahawa pembaharuan untuk mengatasi imbangan kuasa antara presiden dengan Yuan Perundangan akan diputuskan. Persoalan tentang pengisytiharan kemerdekaan Taiwan merupakan sebuah soalan perlembagaan yang tetap. Pembelian senjata daripada Amerika Syarikat masih merupakan suatu soalan politik yang penuh dengan perbalahan, dengan Parti Campuran Pan-Green menyokong pembelian, dan Parti Campuran Pan-Blue menentangnya. Tuduhan-tuduhan kebelakangan ini tentang rasuah Keluarga Pertama telah menyebabkan tiga buah pengundian untuk menyingkirkan Presiden Chen Shui-bian. Kesemua itu gagal kerana Parti Campuran Pan-Blue tidak memiliki majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk berjaya, dengan parti-parti politik mengundi mengikut pendirian parti masing-masing. Wu Shu-chen, Wanita Pertama, dituduh kerana mempergunakan dana negara untuk kegunaan peribadi, dengan tuduhan ini kini masih dibicarakan. Presiden Chen juga menghadapi tuduhan-tuduhan yang serupa dengan isterinya, tetapi beliau diperlindungi daripada dakwaan oleh kekebalan presiden. Walaupun demikian, beliau telah berjanji akan meletakkan jawatannya jika isterinya didapati bersalah.

Pada bulan Disember 2006, pilihan-pilihan raya kawasan perbandaran dan datuk bandar diadakan di Taipei dan Kaohsiung. Kuomintang mengekalkan majoriti yang ketara di ibu negara, manakala DPP dan Kuomintang memperoleh keputusan yang amat rapat di Kaohsiung, bandar raya selatan. Huang Chun-ying ditewaskan oleh Chen Chu dengan kekurangan 0.14 peratus, iaitu 378,303 undi berbanding 379,417 undi, dan menyebabkan Chen Chu menjadi datuk bandar wanita yang pertama bagi sebuah kawasan perbandaran khas di Republik China.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Didahului oleh
Dinasti Qing
Republik China
1912 – 1949 (di tanah besar)
1949 - kini (di Taiwan)
Diikuti oleh:
Republik Rakyat China (serentak)