Pergi ke kandungan

Anjing penyerang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Demonstrasi anjing penyerang

Anjing penyerang (juga dikenali sebagai anjing peronda atau anjing keselamatan) ialah anjing yang dilatih untuk menyerang orang mengikut perintah, penglihatan, atau melalui provokasi berinferens. Ia digunakan untuk mempertahankan orang, wilayah, atau harta benda.[1][2] Anjing penyerang telah digunakan sepanjang sejarah dan digunakan kini terutamanya dalam peranan polis dan peranan tentera. Ia juga terlibat dalam sebilangan insiden dan kematian berkaitan dengan anjing.

Awal-awal dalam sejarah tercatat, terdapat rekod tentang anjing yang dilatih untuk tujuan menyerang sasaran.[3]:1 Salah satu kegunaan purba paling banyak tercatat adalah dalam pertempuran antara orang Athena dengan orang Korinthos, yang dalamnya anjing digunakan untuk mengawasi kubu dan, walaupun tidak berjaya menentang serangan musuh, ia dapat memberikan amaran kepada tentera yang sedang tidur tentang serangan itu. Orang Rom Purba pertama kali menggunakan anjing sebagai senjata selepas gerombolan anjing menangguhkan kemenangan mereka dalam Pertempuran Vercellae. Orang Rom bukan hanya melatih anjing untuk menyerang, tetapi juga membiakbakakan anjing penyerang mereka untuk kebuasan. Kesan daripada ini didokumenkan oleh ahli alamiah dan penulis Rom Plinius yang Tua, yang menulis bahawa haiwan tersebut tidak akan berundur, walaupun apabila berhadapan dengan pedang. Anjing penyerang Rom diberi perisai logam yang dilitupi dengan paku tajam, yang direka untuk memaksa musuh keluar daripada formasi.[3]:2

Napoleon menggunakan anjing untuk deria unggulnya, dengan mengerjakannya dalam peranan yang serupa dengan peranan anjing sentri moden.[3]:4 Penggunaan pertama anjing penyerang di Amerika Syarikat dicadangkan oleh Benjamin Franklin.[3]:6 Di Afrika Selatan di bawah Aparteid, Angkatan Pertahanan Afrika Selatan menggunakan hibrid anjing–serigala sebagai anjing penyerang uji kaji untuk memerangi gerila.[4]

Pelatihan

[sunting | sunting sumber]
Anjing gembala Jerman menjalani latihan ketenteraan

Pelatihan anjing penyerang ialah variasi bagi pelatihan anjing sentri, hanya, bukannya menarik perhatian kepada penceroboh, ia sebaliknya dilatih untuk mengejar, menahan, dan mencederakan, atau mungkin membunuh, sasaran musuh tertanggap.[5] Anjing penyerang dilatih untuk mentafsir situasi dan bertindak balas sewajarnya. Dalam latihan formal, anjing didedahkan kepada tembakan, lalu lintas, dan gangguan lain untuk meningkatkan keberkesanannya.[6] Pelatihan serangan dikutuk oleh sesetengah pihak sebagai penggalakan keganasan pada anjing; sebuah kajian Amerika tahun 1975 menunjukkan bahawa 10% daripada jumlah anjing yang telah menggigit orang menerima latihan anjing penyerang pada satu ketika.[7] Anjing yang dilatih untuk kegunaan ketenteraan seperti anjing penyerang, yang paling kerap dipanggil anjing peronda, juga dapat dilatih untuk melakukan pengesanan bahan letupan. Kontraktor tentera telah membekali Jabatan Pertahanan dengan hampir sama banyak anjing peronda dan anjing pengesan bahan letupan seperti yang dilatih oleh pemerintah dalam peperangan terkini di Timur Tengah.[8]

Pelbagai kumpulan tentera moden juga menggunakan anjing penyerang, khususnya untuk tujuan sentri. Anjing ini dilatih untuk mempertahankan pos dan menyerang mana-mana bakal penceroboh.[9]:122 Ada juga laporan bahawa anjing telah digunakan dalam penyeksaan psikologi terhadap tawanan perang.[10]

Anjing penyerang digunakan oleh hampir setiap pasukan polis di dunia untuk menangkap dan menumpaskan sasaran (lihat Anjing polis). Anjing ini dilatih untuk mengenal pasti situasi bilamana manusia berada dalam bahaya dan bergerak balas sewajarnya.[9]:123

Anjing juga lazimnya digunakan oleh sindiket jenayah; anjing sedemikian kerap dipanggil "anjing geng". Ia kerap digunakan untuk menjaga operasi narkotik haram, menakut-nakutkan orang untuk memudahkan urusan dan mengutip hutang, mempertahankan anggota geng dan kawasan daripada pihak penguatkuasaan undang-undang, dan sebagai anjing penyerang untuk menakut-nakutkan dan menyerang penjenayah saingan.[11] Kini, anjing penyerang atau anjing pengawal dengan latihan peringkat tentera juga mungkin digunakan di luar tentera oleh individu atau keluarga. Anjing elit ini mungkin berharga ratusan ribu dolar Amerika Syarikat.[12]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ "attack dog". Merriam-Webster (dalam bahasa Inggeris). Encyclopædia Britannica. Dicapai pada 27 Januari 2026.
  2. ^ "Watchdogs, Guard Dogs and Personal Protection Dogs" [Anjing Pengawas, Anjing Pengawal, dan Anjing Perlindungan Peribadi] (dalam bahasa Inggeris). SamTheDogTrainer. 24 April 2009. Dicapai pada 27 Januari 2026.
  3. ^ a b c d Lemish, Michael G. (1999). War Dogs: A History of Loyalty and Heroism [Anjing Perang: Sejarah Kesetiaan dan Keperwiraan] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Washington, D.C., Amerika Syarikat: Brassey's. ISBN 9781574882162. OCLC 39229644.
  4. ^ MacCormick, Alex, penyunting (28 Julai 2003). "The wolf inside every dog" [Serigala dalam setiap anjing]. The Mammoth Book of Maneaters: Over 250 Terrifying True Accounts of Predators from Pre-history to the Present [Buku Gergasi Pemakan Orang: Lebih daripada 250 Keterangan Benar Menakutkan tentang Pemangsa dari Prasejarah hingga Kini] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). New York, New York, Amerika Syarikat: Carroll & Graf Publishers. ISBN 9780786711703. OCLC 52747064.
  5. ^ Buecker, Thomas R. (2004). Fort Robinson and the American Century, 1900–1948 [Fort Robinson dan Abad Amerika, 1900–1948] (dalam bahasa Inggeris). Norman, Oklahoma, Amerika Syarikat: University of Oklahoma Press. m/s. 97. ISBN 9780806136462. OCLC 54767601.
  6. ^ Technical Manual [Panduan Teknikal] (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Perang Amerika Syarikat. m/s. 107.
  7. ^ Kongres Amerika Syarikat (1976). Animal Welfare Improvement Act of 1975 [Akta Penambahbaikan Kebajikan Haiwan 1975] (dalam bahasa Inggeris). United States Government Publishing Office. m/s. 111. Nearly 10 per cent of the dogs that have bitten people have received attack dog training.
  8. ^ "Explosives Detection Dogs" [Anjing Pengesan Bahan Letupan] (dalam bahasa Inggeris). Patriot K-9 Services. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Jun 2017. Dicapai pada 27 Januari 2026.
  9. ^ a b Ricciuti, Edward R. (2003). Killer Animals: Shocking True Stories of Deadly Conflicts Between Humans and Animals [Haiwan Pembunuh: Kisah Benar Mengejutkan tentang Konflik Maut antara Manusia dengan Haiwan] (dalam bahasa Inggeris). Guilford, Connecticut, Amerika Syarikat: The Lyons Press. ISBN 9781585748686. OCLC 52271632.
  10. ^ Goodman, Amy (30 Ogos 2007). "Gonzales' tortured legacy lingers" [Legasi terseksa Gonzales berlegar] (dalam bahasa Inggeris). Seattle Post-Intelligencer. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Oktober 2012. Dicapai pada 27 Januari 2026.
  11. ^ Wilkins, Claudine; Rock, Jessica (2017). "GANGS AND DOGS AS WEAPONS" [GENG DAN ANJING SEBAGAI SENJATA] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Animal Law Source. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 10 Julai 2019. Dicapai pada 27 Januari 2026.
  12. ^ Tierney, John (11 Jun 2011). "For the Executive With Everything, a $230,000 Dog to Protect It" [Untuk Eksekutif dengan Semuanya, Anjing $230,000 untuk Melindunginya] (dalam bahasa Inggeris). The New York Times. Dicapai pada 27 Januari 2026.