Pergi ke kandungan

Kinofobia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ilustrasi seorang lelaki yang menjauhi anjing dengan berada di atas dinding

Kinofobia[a] atau takut anjing ialah ketakutan terhadap anjing, serigala, dan kanin pada umumnya. Kinofobia dikelaskan sebagai fobia spesifik, di bawah subjenis "fobia haiwan".[1] Menurut Timothy O. Rentz dari Makmal Pengajian Kecelaruan Keresahan di Universiti Texas, fobia haiwan ialah antara fobia spesifik yang paling lazim dan 36% daripada jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan melaporkan ketakutan kepada anjing atau ketakutan kepada kucing.[2] Walaupun ofidiofobia atau araknofobia merupakan fobia haiwan lebih lazim, kinofobia amat melemahkan kerana prevalens tinggi anjing, sebagai contoh, terdapat anggaran 62 juta ekor anjing peliharaan di Amerika Syarikat,[2] dan kejahilan umum pemilik anjing terhadap fobia ini. Kinofobia adalah terutamanya bermasalah untuk orang yang menghuni atau mengunjungi negara dengan banyak anjing bebas merantau; sebagai contoh, terdapat anggaran 62 juta ekor anjing bebas merantau di India.[3] Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-IV-TR) melaporkan bahawa hanya 12% hingga 30% daripada jumlah orang dengan fobia spesifik akan mendapatkan rawatan.[4]

Diagnosis

[sunting | sunting sumber]

DSM-IV-TR menyediakan kriteria berikut untuk diagnosis bagi fobia spesifik:[5]

  • ketakutan berterusan terhadap objek atau situasi
  • pendedahan kepada objek yang ditakuti mencetuskan gerak balas keresahan segera
  • pesakit dewasa memperakui bahawa ketakutan itu adalah berlebihan, tidak munasabah, atau tidak rasional (ini tidak selalu berlaku dengan kanak-kanak)
  • pendedahan kepada objek yang digeruni paling kerap dihindari sama sekali atau dilalui dengan ketakutan
  • ketakutan mengganggu kegiatan harian (sosial, kekeluargaan, pekerjaan, dll.) dengan ketara
  • pesakit bawah umur (yang berusia di bawah 18 tahun) mempunyai gejala yang berlarutan selama sekurang-kurangnya enam bulan
  • keresahan, serangan panik, atau penghindaran tidak dapat diambil kira oleh kecelaruan mental lain

Buku Phobias mentakrifkan serangan panik sebagai "kegerunan tiba-tiba yang berlangsung selama sekurang-kurangnya beberapa minit dengan manifestasi tipikal bagi ketakutan kuat".[6] Manifestasi ini mungkin termasuk palpitasi, perpeluhan, penggeletaran, kesukaran pernafasan, desakan untuk melarikan diri, ringan kepala atau pening, mulut kering, loya, atau beberapa gejala lain.[6] Seperti fobia spesifik lain, pesakit dengan kinofobia mungkin memaparkan pelbagai gerak balas ini apabila berhadapan dengan anjing hidup atau malah apabila memikirkan imej atau diberi imej (statik atau filem) tentang seekor anjing.[7] Tambahan pula, tingkah laku penghindaran klasik juga adalah lazim dan mungkin termasuk menjauhi kawasan kemungkinan keberadaan anjing (cth., taman), menyeberang jalan untuk mengelakkan anjing, atau mengelakkan rumah sahabat atau keluarga yang memiliki anjing.[7]

Jeanette M. Bruce dan William C. Sanderson, dalam buku mereka Specific Phobias, berkesimpulan bahawa usia permulaan untuk fobia haiwan biasanya ialah awal zaman kanak-kanak, iaitu pada usia antara lima dengan sembilan tahun.[8] Sebuah kajian yang dilakukan di Afrika Selatan oleh Dr. Willem A. Hoffmann dan Dr. Lourens H. Human selanjutnya mengesahkan kesimpulan ini untuk pesakit dengan kinofobia dan turut mendapati fobia anjing yang berkembang selewat usia 20 tahun.[9]

Dalam pertemuan Januari 2007 dengan Angela Merkel, Presiden Rusia Vladimir Putin membawa masuk labrador beliau di hadapan Canselor Jerman, yang mempunyai fobia terhadap anjing.[10]

Bruce dan Sanderson juga menyatakan bahawa fobia haiwan adalah lebih lazim pada wanita berbanding dengan lelaki.[8] Tambahan pula, B. K. Wiederhold, iaitu seorang ahli psikiatri yang menyiasat terapi realiti maya sebagai kaedah terapi mungkin untuk kecelaruan keresahan, menyusul dengan memberikan data bahawa, walaupun prevalen pada kedua-dua lelaki dan wanita, 75% hingga 90% daripada jumlah pesakit yang melaporkan fobia spesifik bagi subjenis haiwan merupakan wanita.[11]

Pemerolehan

[sunting | sunting sumber]

Satu teori semasa untuk pemerolehan ketakutan yang dikemukakan oleh S. Rachman pada tahun 1977 bertegas bahawa terdapat tiga keadaan yang melaluinya ketakutan berkembang.[12] Ini termasuk pengalaman peribadi langsung, pengalaman pemerhatian, dan pengalaman maklumat atau pengajaran. Sebagai contoh, pengalaman peribadi langsung terdiri daripada pengalaman persemukaan negatif peribadi dengan anjing seperti pengalaman apabila digigit. Sebaliknya, penyaksikan sahabat yang diserang oleh anjing dan, dengan itu, perkembangan ketakutan terhadap anjing merupakan pengalaman pemerhatian. Walaupun kedua-dua jenis pengalaman ini melibatkan anjing hidup, pengalaman maklumat atau pengajaran hanya termasuk penerimaan maklumat secara langsung atau tidak langsung (iaitu, maklumat yang dibaca dalam buku, daripada filem, daripada isyarat ibu bapa seperti penghindaran atau ketidaksukaan, dll.) bahawa anjing perlu ditakuti.

Sebuah kajian dijalankan di Universiti Negeri New York untuk membezakan kepentingan ketiga-tiga keadaan ini terhadap perkembangan kinofobia.[13] Tiga puluh tujuh orang wanita berusia 18 hingga 21 tahun mula-mula disaring ke dalam dua kumpulan: takut terhadap anjing dan tidak takut terhadap anjing.[14] Seterusnya, setiap wanita diberi soal selidik yang bertanya sama ada dia pernah mengalami konfrontasi menakutkan atau menyakitkan dengan seekor anjing, jangkaannya sebaik bersemuka dengan seekor anjing (sakit, ketakutan, dll.), dan, secara subjektif, kebarangkalian bahawa jangkaan itu benar-benar berlaku.[14] Hasil keputusan menunjukkan bahawa, walaupun subjek tidak takut mempunyai jangkaan berbeza tentang hal yang akan berlaku apabila menghadapi anjing, pengalaman menyakitkan dengan anjing adalah lazim dalam kalangan kedua-dua kumpulan; oleh itu, kajian berkesimpulan bahawa faktor lain mesti mempunyai pengaruh sama ada pengalaman menyakitkan ini akan berkembang menjadi fobia anjing atau tidak.[15]

Walaupun teori Rachman ialah model berterima bagi pemerolehan ketakutan, kes kinofobia telah dipetik, yang dalamnya tiada satu pun daripada ketiga-tiga punca ini terpakai untuk pesakit.[16] Dalam ucapan yang diberikan pada Mesyuarat Tahunan Ke-25 Society for Psychophysiological Research, Arne Öhman mencadangkan bahawa ketakutan terhadap haiwan khususnya berkemungkinan merupakan saki-baki evolusi daripada keperluan untuk "melarikan diri dan mengelak daripada menjadi mangsa kepada pemangsa".[17] Tambahan pula, dalam buku beliau, iaitu Overcoming Animal & Insect Phobias, Martin Antony mencadangkan bahawa jika tiada ketiga-tiga punca Rachman, dengan syarat bahawa ingatan pesakit adalah terjamin, faktor biologi mungkin merupakan punca keempat bagi pemerolehan ketakutan—bermaksud bahawa ketakutan diwarisi atau merupakan imbau kembali kepada mekanisme pertahanan genetik terdahulu.[18] Walau apa pun, punca-punca ini pada hakikatnya mungkin merupakan penyeluruhan bagi gabungan rumit kedua-dua pembelajaran dan genetik.[19]

Kaedah paling lazim untuk perawatan bagi fobia spesifik merupakan penyahpekaan sistematik dan terapi in vivo atau pendedahan.

Terapi penyahpekaan sistematik

[sunting | sunting sumber]

Terapi penyahpekaan sistematik diperkenalkan oleh Joseph Wolpe pada tahun 1958 dan menggunakan teknik santaian dengan situasi bayangan.[20] Dalam persekitaran terkawal, biasanya pejabat ahli terapi, pesakit akan diarahkan untuk menggambarkan situasi mengancam (iaitu, berada di dalam bilik sama dengan seekor anjing). Selepas menentukan paras keresahan pesakit, ahli terapi kemudian melatih pesakit dalam latihan pernafasan dan teknik santaian untuk mengurangkan keresahannya ke paras normal. Terapi berterusan sehingga situasi bayangan tidak lagi mencetuskan gerak balas resah.

Kaedah ini digunakan dalam kajian yang tersebut di atas yang dilakukan oleh Dr. Hoffmann dan Dr. Human bilamana dua belas orang pelajar perempuan di kampus Arcadia di Kolej Teknikal Pretoria di Afrika Selatan didapati mempunyai gejala kinofobia.[21] Dua belas orang pelajar ini diberi terapi penyahpekaan sistematik selama satu jam seminggu sepanjang lima hingga tujuh minggu; selepas lapan bulan, pelajar dihubungi semula untuk menilai keberkesanan terapi.[22] Hasil keputusan akhir menunjukkan bahawa kajian itu agak berjaya dengan 75% daripada jumlah peserta yang menunjukkan peningkatan ketara lapan bulan selepas kajian.[23]

Walau bagaimanapun, dalam buku beliau, iaitu Virtual Reality Therapy for Anxiety Disorders, Wiederhold mempersoalkan keberkesanan penyahpekaan sistematik, kerana keamatan ancaman tanggapan bergantung pada imaginasi pesakit dan, oleh itu, dapat menghasilkan gerak balas palsu sehubungan dengan paras keresahan pesakit.[20] Penyelidikan beliau tentang kemajuan teknologi terkini telah memungkinkan penyepaduan realiti maya ke dalam terapi penyahpekaan sistematik untuk setepatnya mencipta situasi mengancam semula.[20] Pada masa penerbitan, belum ada kajian yang dilakukan untuk menentukan keberkesanannya.[20]

Terapi in vivo atau pendedahan

[sunting | sunting sumber]

Terapi in vivo atau pendedahan dianggap sebagai rawatan paling berkesan untuk kinofobia dan melibatkan pendedahan sistematik dan berpanjangan kepada anjing sehingga pesakit dapat mengalami situasi tanpa gerak balas buruk.[24] Terapi ini dapat dijalankan dalam beberapa sesi atau, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Lars-Göran Öst dalam sebuah kajian yang dilakukan pada tahun 1988, dapat dilakukan dalam satu sesi tunggal berbilang jam.[25] Kajian ini menggunakan 20 orang pesakit perempuan dengan pelbagai fobia spesifik dan berusia antara 16 dengan 44 tahun.[26] Setiap pesakit diberi sesi terapi individu bilamana Öst menggabungkan terapi pendedahan dengan pemodelan (bilamana orang lain menunjukkan cara untuk berinteraksi dengan objek yang ditakuti) untuk mengurangkan atau sepenuhnya menyembuhkan fobia.[27] Memandangkan setiap pesakit secara beransur-ansur terdedah kepada rangsangan yang ditakuti, dia digalakkan untuk mendekati dan akhirnya berinteraksi dengan rangsangan itu semakin keresahannya berkurangan, lalu menyelesaikan sesi apabila ketakutan telah dikurangkan sebanyak 50% atau dihapuskan.[27] Setelah sesi selesai, pesakit kemudiannya meneruskan interaksi dengan objek yang ditakuti itu dengan usaha sendiri untuk memperkukuh hal yang telah dipelajari dalam sesi terapi.[27] Hasil keputusan Öst dikumpulkan sepanjang tempoh tujuh tahun dan berkesimpulan bahawa "90% daripada jumlah pesakit bertambah baik atau pulih sepenuhnya selepas terapi selama min 2.1 jam".[28]

Rawatan usaha diri

[sunting | sunting sumber]

Walaupun paling lazim dilakukan dengan bantuan ahli terapi dalam suasana profesional, pendedahan kepada anjing juga mungkin dilakukan sebagai rawatan usaha diri. Mula-mula, pesakit dinasihati untuk mendapatkan bantuan daripada pembantu yang dapat membantu menyediakan persekitaran pendedahan, membantu mengendalikan anjing semasa sesi, dan menunjukkan tingkah laku pemodelan.[29] Ini juga patut merupakan seseorang yang dipercayai oleh pesakit dan tidak takut kepada anjing.[29] Kemudian, pesakit menyusun tatatingkat bagi situasi pencetus ketakutan berdasarkan penilaian bagi setiap situasi.[30] Sebagai contoh, pada skala dari 0 hingga 100, pesakit mungkin berasa bahawa melihat foto anjing mungkin menyebabkan gerak balas ketakutan hanya bernilai 50; walau bagaimanapun, pembelaian kepala anjing dapat menyebabkan gerak balas ketakutan bernilai 100.[29] Dengan senarai situasi ini daripada yang paling kurang menakutkan kepada yang paling menakutkan, pembantu membantu pesakit untuk mengenal pasti unsur bersama yang menyumbang kepada ketakutan (iaitu, saiz anjing, warna, cara pergerakan, bunyi, sama ada ia terkekang atau tidak, dll.).[31] Seterusnya, pembantu membantu pesakit untuk mencipta situasi paling tidak menakutkan semula dalam persekitaran selamat dan terkawal, berterusan sehingga pesakit mempunyai kesempatan untuk mengizinkan agar ketakutan itu reda, lantas memperkukuh kesedaran bahawa ketakutan itu tidak berasas.[29] Apabila situasi telah dikuasai, situasi menakutkan seterusnya dicipta semula dan proses itu diulangi sehingga semua situasi dalam tatatingkat telah dialami.[29]

Video sampel yang menunjukkan manusia dan anjing yang berinteraksi tanpa salah satu antara kedua-duanya mempamerkan ketakutan ketara tersedia.[32]

Rangka masa pemulihan dan pengekalan

[sunting | sunting sumber]

Sama ada dengan menggunakan terapi penyahpekaan sistematik atau terapi pendedahan, beberapa faktor akan menentukan bilangan sesi yang diperlukan untuk sepenuhnya menghapuskan fobia; walau bagaimanapun, sesetengah kajian (seperti sebuah kajian susulan yang dilakukan oleh Öst pada tahun 1996) telah menunjukkan bahawa orang yang mengatasi fobianya biasanya dapat mengekalkan penambahbaikan sepanjang jangka masa panjang.[33] Memandangkan penghindaran menyumbang kepada pengabadian fobia, interaksi dunia nyata tekal, namun selamat, disyorkan semasa terapi dan selepas terapi untuk memperkukuh pendedahan positif kepada haiwan tersebut.[34]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ daripada κύων kýōn "anjing" dan φόβος phóbos "ketakutan" dalam bahasa Yunani Purba
  1. ^ Mavissakalian & Barlow (1981), m/s. 2.
  2. ^ a b Rentz dll. (2003), m/s. 1338.
  3. ^ Wallen, Joe (9 Mac 2023). "India has a brutal plan to deal with its stray dogs problem" [India ada rancangan kejam tangani masalah anjing terbiarnya] (dalam bahasa Inggeris). The Daily Telegraph. Dicapai pada 28 Oktober 2025.
  4. ^ Persatuan Psikiatri Amerika (2000), m/s. 446.
  5. ^ Persatuan Psikiatri Amerika (2000), m/s. 443.
  6. ^ a b Maj dll. (2004), m/s. 6.
  7. ^ a b Maj dll. (2004), m/s. 24.
  8. ^ a b Bruce & Sanderson (1998), m/s. 4.
  9. ^ Hoffmann & Human (2003), m/s. 34.
  10. ^ Packer, George (24 November 2014). "The Quiet German" [Orang Jerman Senyap] (dalam bahasa Inggeris). The New Yorker. Dicapai pada 28 Oktober 2025.
  11. ^ Wiederhold & Wiederhold (2005), m/s. 126.
  12. ^ Rachman (1977), m/s. 375.
  13. ^ Di Nardo dll. (1988), m/s. 241.
  14. ^ a b Di Nardo dll. (1988), m/s. 242.
  15. ^ Di Nardo dll. (1988), m/s. 243.
  16. ^ Doogan & Thomas (1992), m/s. 387.
  17. ^ Öhman (1986), m/s. 128.
  18. ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 30.
  19. ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 31.
  20. ^ a b c d Wiederhold & Wiederhold (2005), m/s. 6.
  21. ^ Hoffmann & Human (2003), m/s. 31–32.
  22. ^ Hoffmann & Human (2003), m/s. 32–34.
  23. ^ Hoffmann & Human (2003), m/s. 40.
  24. ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 66.
  25. ^ Öst (1989), m/s. 1.
  26. ^ Öst (1989), m/s. 4.
  27. ^ a b c Öst (1989), m/s. 3.
  28. ^ Öst (1989), m/s. 6.
  29. ^ a b c d e Antony & McCabe (2005), m/s. 49.
  30. ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 41–42.
  31. ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 44–46.
  32. ^ Perfect Human Dog Interaction [Interaksi Manusia–Anjing Sempurna] (dalam bahasa Inggeris). YouTube. 1 Jun 2009. Dicapai pada 28 Oktober 2025.
  33. ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 5.
  34. ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 73.

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]