Pergi ke kandungan

Pembiakbakaan anjing

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Seperinduk anak buldog Perancis dan si ibu

Pembiakbakaan anjing ialah amalan pengawanan anjing terpilih dengan niat untuk mengekalkan atau menghasilkan kualiti dan ciri spesifik. Apabila anjing membiak tanpa campur tangan manusia sedemikian, ciri pada anaknya ditentukan oleh pemilihan semula jadi, sementara "pembiakbakaan anjing" secara khusus merujuk pemilihan buatan bagi anjing, iaitu bilamana anjing dibiakbakakan dengan sengaja oleh pemiliknya.[1] Pembiakbakaan bergantung pada sains genetik. Oleh itu, pembiak baka yang berpengetahuan tentang genetik anjing, kesihatan, dan tujuan yang diniatkan bagi anjing mencuba untuk membiakbakakan anjing sesuai.[2]

Peristilahan

[sunting | sunting sumber]

Perinduk terdiri daripada anak anjing yang dilahirkan daripada kebuntingan sama. Anjing biasanya beranak di dalam kotak bersalin, iaitu kotak atau kandang ringkas yang disediakan kepada ibu untuk membantu melindungi dan menyetempatkan anak anjing.

Seseorang yang dengan sengaja mengawankan anjing untuk menghasilkan anak anjing dirujuk sebagai pembiak baka anjing. Pembiakbakaan titisan ialah pembiakbakaan terancang bagi anjing dengan kerabatnya. Ini dilakukan untuk memperkuat penampilan trait spesifik yang diingini pada anak. Pembiakbakaan titisan dibezakan daripada pembiakbakaan dalam dengan mengecualikan pemasangan antara induk dengan anak dan sesama adik beradik penuh. Penyilangan ke luar ialah pembiakbakaan terancang antara dua ekor anjing tidak berkaitan, yang digunakan untuk meningkatkan kepelbagaian genetik dalam baka dan mengurangkan isu genetik atau keabnormalan yang diwarisi daripada pembiakbakaan titisan atau pembiakbakaan dalam.

Kitaran estrus

[sunting | sunting sumber]

Anjing mencapai kebalighan pada usia antara 6 dengan 24 bulan, yang pada usia itu anjing betina akan mula mengalami kitaran estrus. Terdapat empat peringkat estrus: proestrus, estrus, diestrus, dan anestrus. Anjing dalam estrus dapat menjadi bunting dalam tempoh 3 hingga 21 hari ini.[3]

Pembiakbakaan dan gestasi

[sunting | sunting sumber]

Gestasi pada anjing adalah sepanjang 63 hari, jika diukur dari hari ovulasi. Memandangkan ada kesukaran untuk menentukan tarikh tepat bagi ovulasi, ralat kerap dibuat dalam penghitungan tempoh gestasi. Sperma anjing dapat hidup selama 10 hingga 11 hari di dalam tiub Fallopio. Jadi, jika betina dibiakbakakan 10 hari sebelum oosit (ovum) dapat disenyawakan, ia akan kelihatan mengalami tempoh kebuntingan selama 70 hari. Jika ia dibiakbakakan pada hari oosit dapat disenyawakan, tempoh kebuntingannya akan kelihatan selama 60 hari.

Manusia telah mengekalkan populasi bagi haiwan berguna di sekeliling tempat habitatnya sejak zaman prasejarah.[4] Selama ribuan tahun ini, anjing bela jinak telah berkembang menjadi jenis, atau kumpulan, berlainan, seperti anjing penjaga haiwan ternakan, anjing pemburu, dan anjing pemburu penglihatan. Untuk mengekalkan perbezaan ini, manusia sengaja mengawankan anjing dengan ciri tertentu untuk menggalakkan ciri tersebut pada anak. Melalui proses ini, beratus-ratus baka anjing telah dikembangkan. Pemilihan buatan dalam pembiakbakaan anjing telah mempengaruhi tingkah laku, rupa bentuk, dan saiz anjing.[5]

Terdapat kepercayaan bahawa apabila tamadun manusia bergerak ke arah masyarakat agraria, anjing dibiakbakakan secara terpilih untuk saiz lebih kecil dan tingkah laku lebih jinak.[6] Trait ini menjadikan keadaan lebih selesa untuk manusia dan anjing untuk hidup bersama-sama. Trait ini telah terlihat malah dapat mendorong serigala betina dewasa untuk bertindak lebih defensif terhadap anak anjing berbanding dengan anak serigala.[7] Contoh neoteni anjing mencapai malah lebih jauh, apabila pelbagai baka anjing dineoteni secara berbeza menurut jenis tingkah laku yang dipilih.[8] Penyelidik lain percaya bahawa, oleh sebab perbandingan ini adalah berdasarkan serigala kelabu, yang mungkin bukan leluhur kepada anjing, maka perbandingan ini adalah tidak sah.[9] Penyelidikan lanjut menunjukkan bahawa konsep neoteni sebagai cara pembezaan anjing daripada serigala adalah tidak berasas.[10]

Dengan perkembangan kelab baka dan kelab kenel pada pertengahan abad ke-19, pembiakbakaan anjing menjadi lebih ketat dan banyak baka dikembangkan semasa tempoh ini.[6] Pembiakbakaan anjing menjadi lebih sistematik untuk memelihara mutasi unik seperti tungkai yang dipendekkan, muka yang dipendekkan, warna dan tekstur bulu baharu.[6] Peningkatan kepopularan pertunjukan anjing yang menilai rupa anjing lebih daripada keupayaan kerjanya membawa kepada matlamat berlainan apabila membiakbakakan anjing.[11] Anjing yang dibiakbakakan untuk pertunjukan dan bukannya prestasi cenderung untuk mengembangkan ciri lebih berlebihan dan ekstrem untuk memenuhi piawaian baka.[11] Satu contoh bagi perubahan ini dalam matlamat pembiakbakaan ialah belakang condong jelas pada baka anjing gembala Jerman moden, berbanding dengan belakang lurus bagi pedigri kerja. Shar pei ialah satu contoh bagi cara piawaian baka berlainan dapat mempengaruhi arah yang dituju oleh pembiak baka dengan anjing dan trait yang dilebih-lebihkan. Shar pei Barat telah dibiakbakakan untuk mempunyai mulut lebih berisi dan kulit lebih berkedut berbanding dengan shar pei tradisional China yang daripadanya shar pei Barat berasal.

Pada mulanya, pemilikan anjing pekerja baka tulen ialah hak istimewa orang kaya. Kini, ramai orang mampu menampung anjing. Terdapat pelbagai sebab orang membiakbakakan anjing. Sesetengah orang mungkin mempunyai sebab peribadi, seperti ingin memiliki atau memberikan anak anjing dan tidak berminat dengan pedigri. Pembiak baka juga mungkin membiakbakakan anjing untuk keuntungan, untuk pertunjukan, kerana minat pada baka tertentu, atau untuk membetulkan sesetengah isu dan memperbaik kekukuhan baka. Pembiak baka bertanggungjawab mengambil kira perangai, serta kesihatan dan penampilan pasangan mengawan sebelum pembiakbakaan.

Pembiak baka bagi anjing baka tulen dapat mendaftarkan kelahiran perinduk anak anjing dengan pejabat pendaftaran anjing yang dikaitkan dengan kelab kenel untuk merekodkan keindukan perinduk berkenaan dalam buku pembaka. Pejabat pendaftaran sedemikian mengekalkan rekod zuriat anjing dan biasanya bergabung dengan kelab kenel, seperti American Kennel Club.[12] Pengekalan data betul adalah penting untuk pembiakbakaan anjing baka tulen. Akses kepada rekod membolehkan pembiak baka menganalisis pedigri dan menjangkakan trait dan tingkah laku yang mungkin diwariskan kepada anak. Syarat untuk pembiakbakaan bagi baka tulen berdaftar berbeza-beza antara baka, negara, kelab kenel, dan pejabat pendaftaran. Pembiak baka perlu mematuhi peraturan daripada pertubuhan spesifik untuk menyertai program penyelenggaraan dan perkembangan baka. Peraturan mungkin terpakai untuk kesihatan anjing, seperti sinar-X sendi, perakuan pinggul, dan pemeriksaan mata; untuk kualiti kerja, seperti kelulusan ujian khas atau pencapaian dalam percubaan; untuk pengakuran umum, seperti penilaian anjing oleh pakar baka. Walau bagaimanapun, banyak pejabat pendaftaran, terutamanya di Amerika Utara, bukan agensi kepolisan yang mengecualikan anjing dengan kualiti atau kesihatan lemah. Fungsi utamanya hanyalah untuk mendaftarkan anak anjing yang dilahirkan oleh induk yang turut berdaftar.[13][14]

Kepelbagaian genetik bagi baka anjing moden adalah lebih rendah daripada kedua-dua anjing kampung moden dan genom berusia 5,000 tahun daripada fosil anjing yang ditemukan di Newgrange, Ireland, yang mencadangkan bahawa amalan pembiakbakaan moden sebahagiannya bertanggungjawab atas kemerosotan.[15] Semasa tahun-tahun pembentukan awal bagi banyak baka, pembiak baka kerap menyilangkan anjing berkait rapat untuk mewujudkan fenotip spesifik, lalu mengakibatkan peningkatan insiden penyakit genetik spesifik baka.[16]

Sesetengah anjing mempunyai ciri boleh waris tertentu yang dapat berkembang menjadi kecacatan atau penyakit. Displasia pinggul anjing ialah salah satu keadaan sedemikian. Keabnormalan mata, keadaan jantung, dan sesetengah kes kepekakan telah terbukti diwarisi.[17] Terdapat kajian meluas tentang keadaan ini,[18] lazimnya ditaja oleh kelab baka dan pejabat pendaftaran anjing, sementara kelab baka khusus menyediakan maklumat tentang kecacatan genetik lazim untuk baka mereka. Selain itu, pertubuhan khas seperti Orthopedic Foundation for Animals mengumpulkan data dan memberikannya kepada pembiak baka, serta kepada orang awam. Keadaan seperti displasia pinggul dapat menjejaskan sesetengah baka lebih daripada yang lain.[19]

Sesetengah pejabat pendaftaran, seperti American Kennel Club, mungkin menyertakan rekod tentang ketiadaan kecacatan genetik tertentu, yang dikenali sebagai perakuan, dalam rekod anjing individu. Sebagai contoh, kelab baka kebangsaan anjing gembala Jerman di Jerman memperakui bahawa displasia pinggul ialah kecacatan genetik untuk anjing baka ini. Sehubungan itu, kelab itu mewajibkan agar semua anjing lulus dalam penilaian untuk ketiadaan displasia pinggul untuk mendaftarkan progeninya dan merekodkan hasil keputusan dalam pedigri bagi anjing individu. Banyak pembiak baka bereputasi melaksanakan ujian kesihatan menurut garis panduan kelab baka atau garis panduan OFA.[perlu rujukan]

Terdapat dokumentari BBC yang berjudul Pedigree Dogs Exposed dan Pedigree Dogs Exposed: Three Years On yang mendakwa masalah kesihatan pada anjing akibat pembiakbakaan dalam. Sesetengah contoh merupakan masalah pernafasan pada pug dan anjing Peking, masalah tulang belakang pada dachshund, dan siringomielia pada cavalier King Charles spaniel.

Sesetengah penyelidik saintifik berhujah bahawa kemajuan teknologi pembiakan buatan untuk tujuan pembiakbakaan anjing dapat membantu, tetapi juga mempunyai "impak memudaratkan" apabila digunakan secara berlebihan, mengatasi prinsip pemilihan semula jadi. Para saintis ini menyeru pemahaman lebih mendalam tentang pemilihan semula jadi, yang membawa kepada pendekatan lebih naturalistik dalam pembiakbakaan anjing.[20] Terdapat kesimpulan bahawa "penemuan mengimplikasikan bahawa, apabila pembiakbakaan terpilih dilakukan oleh manusia, pembiakbakaan terpilih memenyekkan muncung pada baka anjing tertentu, juga mengubah otaknya."[21]

Kumpulan hak haiwan seperti International Society for Animal Rights dan PETA percaya bahawa pembiakbakaan anjing, walaupun oleh pembiak baka bertanggungjawab berlesen, menyumbang kepada masalah populasi berlebihan haiwan peliharaan.[22]

Kepelbagaian genetik

[sunting | sunting sumber]

Anjing bela jinak ialah mamalia pelbagai secara fenotip yang ditunjukkan oleh perbezaan dari segi morfologi dan tingkah laku merentasi baka berlainan.[23] Faktor yang menyumbang kepada kepelbagaian ini merupakan pemencilan pembiakan, kejejalan, dan hanyutan genetik. Data yang dikumpulkan melalui laporan pemilik mencadangkan bahawa kepelbagaian genetik mempunyai kesan ke atas jangka hayat anjing.

Kemurungan pembiakbakaan dalam

[sunting | sunting sumber]

Kemurungan pembiakbakaan dalam ialah pengurangan kemandirian dan kesuburan bagi anak kepada individu berkaitan.[24] Sebuah kajian tentang 42,855 perinduk dachshund mendapati bahawa semakin pekali pembiakbakaan dalam meningkat, semakin saiz perinduk berkurang dan peratusan anak anjing lahir mati meningkat, lantas menunjukkan kemurungan pembiakbakaan dalam.[25]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Seranne, Ann (13 November 1980). The Joy of Breeding Your Own Show Dog [Keriangan Pembiakbakaan Anjing Pertunjukan Sendiri] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. ISBN 9780876054130. OCLC 6304601.
  2. ^ Abiola, Olusoji John; Babatunde, O. D.; Adebiyi, Adebowale Idris (23 Oktober 2018). "Sociodemograhic characteristics of dog breeders in some selected states in southwestern Nigeria" [Ciri sosiodemografi pembiak baka anjing di sesetengah negeri terpilih di Nigeria barat daya]. Nigerian Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). Nigerian Veterinary Medical Association. 39 (3): 194–198. doi:10.4314/nvj.v39i3.2. ISSN 0331-3026. S2CID 134996868.
  3. ^ "The Normal Canine Estrous Cycle" [Kitaran Estrus Anjing Normal] (dalam bahasa Inggeris). Universiti Negeri Louisiana. Dicapai pada 30 Oktober 2025.
  4. ^ Darwin, Charles Robert (17 Jun 2004). The Variation of Animals and Plants Under Domestication [Variasi Haiwan dan Tumbuhan yang Dibelajinakkan] (dalam bahasa Inggeris). 2. Kessinger Publishing. ISBN 9781419186608.
  5. ^ Akey, Joshua Michael; Ruhe, Alison L.; Akey, Dayna T.; Wong, Aaron K.; Connelly, Caitlin F.; Madeoy, Jennifer J.; Nicholas, Thomas J.; Neff, Mark W. (11 Januari 2010). Rine, Jasper Donald (penyunting). "Tracking footprints of artificial selection in the dog genome" [Menjejaki cap kaki pemilihan buatan dalam genom anjing]. Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America (dalam bahasa Inggeris). Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat. 107 (3): 1160–1165. Bibcode:2010PNAS..107.1160A. doi:10.1073/pnas.0909918107. ISSN 1091-6490. JSTOR 40535618. PMC 2824266. PMID 20080661. S2CID 10918831.
  6. ^ a b c Wayne, Robert Keith; vonHoldt, Bridgett Marie (22 Januari 2012). "Evolutionary genomics of dog domestication" [Genomik evolusi pembelajinakan anjing]. Mammalian Genome (dalam bahasa Inggeris). Springer Science+Business Media. 23 (1): 3–18. doi:10.1007/s00335-011-9386-7. ISSN 1432-1777. PMID 22270221. S2CID 16003335.
  7. ^ Frank, Harry; Frank, Martha Gialdini (Ogos 1982). "On the effects of domestication on canine social development and behavior" [Tentang kesan pembelajinakan terhadap perkembangan dan tingkah laku sosial anjing]. Applied Animal Ethology (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 8 (6): 507–525. doi:10.1016/0304-3762(82)90215-2. hdl:2027.42/23918. ISSN 0304-3762. S2CID 53374226.
  8. ^ Gould, Stephen Jay (1994). Eight Little Piggies: Reflections in Natural History [Lapan Babi Kecil: Cerminan dalam Sejarah Semula Jadi] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: W. W. Norton & Company. m/s. 934. ISBN 9780393311396. OCLC 30908466.
  9. ^ Koler-Matznick, Janice (2002). "The origin of the dog revisited" [Asal usul anjing diulang kaji]. Anthrozoös (dalam bahasa Inggeris). Taylor & Francis. 15 (2): 98–118. doi:10.2752/089279302786992595. ISSN 1753-0377. S2CID 14850835.
  10. ^ Drake, Abby Grace; Coquerelle, Michael; Colombeau, Guillaume (5 Februari 2015). "3D morphometric analysis of fossil canid skulls contradicts the suggested domestication of dogs during the late Paleolithic" [Analisis morfometri 3D tentang tengkorak kanid fosil mencanggahi pembelajinakan anjing tercadang semasa Paleolitik Akhir]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 5 (1). Bibcode:2015NatSR...5.8299D. doi:10.1038/srep08299. hdl:10261/117403. ISSN 2045-2322. PMC 5389137. PMID 25654325. S2CID 13057742. Unknown parameter |article-number= ignored (bantuan)
  11. ^ a b Pedersen, Niels C.; Liu, Hongwei; Theilen, Gordon H.; Sacks, Benjamin N. (6 Disember 2012). "The effects of dog breed development on genetic diversity and the relative influences of performance and conformation breeding" [Kesan perkembangan baka anjing terhadap kepelbagaian genetik dan pengaruh nisbi bagi prestasi dan pembiakbakaan pengakuran]. Journal of Animal Breeding and Genetics (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 130 (3): 236–248. doi:10.1111/jbg.12017. ISSN 1439-0388. PMID 23679949. S2CID 1032830.
  12. ^ American Kennel Club (15 September 1998). The Complete Dog Book [Buku Anjing Lengkap] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-19 semakan). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. ISBN 9780876050477. OCLC 37935235.
  13. ^ Brooks, Nichola. "Designer Disaster! Is Dog Breeding Contributing to More Unhealthy and Homeless Dogs?" [Bencana Pereka! Adakah Pembiakbakaan Anjing Menyumbang kepada Lebih Anjing Tidak Sihat dan Tidak Berumah] (dalam bahasa Inggeris). Ian Somerhalder Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Disember 2013. Dicapai pada 30 Oktober 2025.
  14. ^ "I'm Not Gonna Lie. When I Just Learned The Truth About Dogs, It Made Me Sick" [Saya Takkan Menipu. Apabila Saya Mempelajari Kebenaran tentang Anjing, Saya Berasa Mual.] (dalam bahasa Inggeris). ViralNova. 7 Disember 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Disember 2013. Dicapai pada 30 Oktober 2025.
  15. ^ Frantz, Laurent Alain François; Bradley, Daniel G.; Larson, Greger John; Orlando, Ludovic (7 April 2020). "Animal domestication in the era of ancient genomics" [Pembelajinakan haiwan pada era genomik purba]. Nature Reviews Genetics (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 21 (8): 449–460. doi:10.1038/s41576-020-0225-0. ISSN 1471-0064. PMID 32265525. S2CID 214809393.
  16. ^ Ostrander, Elaine Ann; Wang, Guodong; Larson, Greger John; vonHoldt, Bridgett Marie; Davis, Brian W.; Jagannathan, Vidhya; Hitte, Christophe; Wayne, Robert Keith; Zhang, Yaping (10 April 2019). "Dog10K: an international sequencing effort to advance studies of canine domestication, phenotypes and health" [Dog10K: usaha penjujukan antarabangsa untuk memajukan kajian tentang pembelajinakan, fenotip, dan kesihatan anjing]. National Science Review (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. 6 (4): 810–824. doi:10.1093/nsr/nwz049. ISSN 2053-714X. PMC 6776107. PMID 31598383. S2CID 145828748.
  17. ^ Padgett, George A. (26 Oktober 1998). Control of Canine Genetic Diseases [Kawalan Penyakit Genetik Anjing] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. ISBN 9780876050040. OCLC 39890446.
  18. ^ "Tests Available (by Breed)" [Ujian Tersedia (mengikut Baka)] (dalam bahasa Inggeris). Sekolah Perubatan Veterinar Universiti Pennsylvania. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Februari 2014. Dicapai pada 30 Oktober 2025.
  19. ^ "Hip Dysplasia Statistics: Trends in Hip Dysplasia (selected breeds): Hip Dysplasia by Breed" [Statistik Displasia Pinggul: Trend Displasia Pinggul (baka terpilih): Displasia Pinggul mengikut Baka] (dalam bahasa Inggeris). Orthopedic Foundation for Animals. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Oktober 2010. Dicapai pada 30 Oktober 2025.
  20. ^ Vandeloo, John (29 Oktober 2009). "The importance of intergrating natural selection within a detector dog selective breeding model" [Kepentingan penyepaduan pemilihan semula jadi dalam model pembiakbakaan terpilih anjing pengesan]. Journal of Veterinary Behavior (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 4 (6): 245. doi:10.1016/j.jveb.2009.05.005. ISSN 1878-7517. S2CID 144036804.
  21. ^ Jabr, Ferris (13 Ogos 2010). "Changing Minds: Has Selective Breeding Restructured Some Dog Brains?" [Mengubah Minda: Adakah Pembiakbakaan Terpilih Menyusun Sesetengah Otak Anjing Semula?]. Scientific American (dalam bahasa Inggeris). Springer Science+Business Media. Dicapai pada 30 Oktober 2025.
  22. ^ "A Prime Source of Canine Overpopulation: The American Kennel Club" [Sumber Utama Populasi Berlebihan Anjing: American Kennel Club] (dalam bahasa Inggeris). International Society for Animal Rights. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Ogos 2020. Dicapai pada 30 Oktober 2025.
  23. ^ Kraus, Cornelia; Snyder-Mackler, Noah; Promislow, Daniel E. L. (6 September 2022). "How size and genetic diversity shape lifespan across breeds of purebred dogs" [Cara saiz dan kepelbagaian genetik membentuk jangka hayat merentasi baka anjing baka tulen]. GeroScience (dalam bahasa Inggeris). Springer Science+Business Media. 45 (2): 627–643. doi:10.1007/s11357-022-00653-w. ISSN 2509-2723. PMC 9886701 Check |pmc= value (bantuan). PMID 36066765 Check |pmid= value (bantuan). S2CID 252086940 Check |s2cid= value (bantuan).
  24. ^ Charlesworth, Deborah; Willis, John H. (November 2009). "The genetics of inbreeding depression" [Genetik kemurungan pembiakbakaan dalam]. Nature Reviews Genetics (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 10 (11): 783–796. doi:10.1038/nrg2664. ISSN 1471-0064. PMID 19834483. S2CID 771357.
  25. ^ Gresky, Christina; Hamann, Henning; Distl, Ottmar (10 Mac 2005). "Einfluss von Inzucht auf die Wurfgröße und den Anteil tot geborener Welpen beim Dackel = Influence of inbreeding on litter size and the proportion of stillborn puppies in dachshunds" [Pengaruh pembiakbakaan dalam terhadap saiz perinduk dan perkadaran anak anjing lahir mati pada dachshund]. Berliner und Münchener Tierärztliche Wochenschrift (dalam bahasa Jerman). vetline. 118 (3–4): 134–139. ISSN 1439-0299. PMID 15803761. S2CID 29290078.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]