Pergi ke kandungan

Kecerdasan anjing

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kecerdasan anjing atau kognisi anjing ialah proses pada anjing tentang pemerolehan maklumat dan kemahiran konsep, penyimpanan maklumat dan kemahiran tersebut dalam ingatan, pengingatan, penggabungan, dan pembandingan maklumat dan kemahiran tersebut, dan penggunaan maklumat dan kemahiran tersebut dalam situasi baharu.[1]

Kajian telah menunjukkan bahawa anjing memaparkan banyak tingkah laku yang dikaitkan dengan kecerdasan. Ia mempunyai kemahiran ingatan lanjutan dan mampu membaca bahasa gerak-geri manusia dan bertindak balas sewajarnya terhadap bahasa gerak-geri manusia seperti gerak isyarat dan penudingan dan mampu memahami perintah suara manusia. Anjing menunjukkan teori minda dengan melibatkan diri dalam pemerdayaan dan kesedaran kendiri dengan mengesan bau sendiri semasa "ujian hidu", iaitu cadangan padanan penghiduan bagi ujian cermin.

Perspektif evolusi

[sunting | sunting sumber]

Anjing telah kerap digunakan dalam pengajian kognisi, termasuk penyelidikan tentang persepsi, kesedaran, ingatan, dan pembelajaran, terutamanya penyelidikan tentang pelaziman klasik dan pelaziman operan. Semasa penyelidikan ini, saintis tingkah laku mendedahkan satu set mengejutkan bagi kebolehan sosial-kognitif pada anjing bela jinak, iaitu kebolehan yang tidak dimiliki oleh kerabat kanin terdekat anjing mahupun oleh mamalia lain yang amat cerdas seperti beruk besar. Sebaliknya, kemahiran ini menyerupai sesetengah kemahiran sosial-kognitif anak manusia.[2] Ini mungkin merupakan contoh bagi evolusi tumpu, yang berlaku apabila spesies yang berkait jauh mengembangkan penyelesaian serupa secara bebas kepada masalah sama. Sebagai contoh, ikan, penguin, dan lumba-lumba masing-masing telah secara berasingan mengembangkan sirip sebagai penyelesaian kepada masalah pergerakan melalui air. Dengan anjing dan manusia, kita dapat melihat penumpuan psikologi; iaitu, anjing telah ber-evolusi untuk menjadi lebih serupa secara kognitif dengan manusia berbanding dengan keserupaan kognitif kita dengan kerabat genetik terdekat kita.[3]:60[4]

Walau bagaimanapun, ada persoalan sama ada evolusi kognitif bagi manusia dan haiwan dapat dipanggil "bebas". Keupayaan kognitif bagi anjing sudah pasti telah dibentuk oleh perhubungan beribu-ribu tahun dengan manusia.[5][6] Sebagai hasil daripada evolusi fizikal dan evolusi sosial ini, banyak anjing sedia bergerak balas terhadap kiu sosial yang lazim untuk manusia,[7][8][4][9] cepat-cepat mempelajari makna perkataan,[10] menunjukkan bias kognitif,[11] dan mempamerkan emosi yang kelihatannya mencerminkan emosi manusia.[12]

Penyelidikan menunjukkan bahawa anjing bela jinak mungkin telah kehilangan sesetengah kebolehan kognitif aslinya sebaik menyertai manusia. Sebagai contoh, sebuah kajian menunjukkan bukti meyakinkan bahawa dingo (Canis dingo) dapat berprestasi lebih baik daripada anjing bela jinak dalam uji kaji penyelesaian masalah bukan sosial. Sebuah lagi kajian menunjukkan bahawa, selepas dilatih untuk menyelesaikan tugas manipulasi mudah, anjing yang berhadapan dengan versi yang tidak dapat diselesaikan bagi masalah sama memandang manusia berdekatan, sementara serigala tersosialisasi tidak berbuat demikian. Oleh itu, anjing bela jinak moden kelihatannya menggunakan manusia untuk menyelesaikan sesetengah masalahnya untuknya.[3][13]

Pada tahun 2014, sebuah kajian seluruh genom tentang perbezaan DNA antara serigala dengan anjing mendapati bahawa anjing tidak menunjukkan gerak balas ketakutan berkurang; ia menunjukkan keplastikan sinaps lebih besar. Keplastikan sinaps dipercayai secara meluas sebagai sekait sel bagi pembelajaran dan ingatan dan perubahan ini mungkin telah mengubah kebolehan pembelajaran dan kebolehan ingatan bagi anjing.[14]

Kebanyakan penyelidikan moden tentang kognisi anjing telah bertumpu pada anjing peliharaan yang tinggal di rumah manusia di negara maju, iaitu sebahagian kecil daripada populasi anjing. Anjing daripada populasi lain mungkin menunjukkan tingkah laku kognitif berlainan.[15] Perbezaan baka mungkin dapat memberikan impak kepada kebolehan pembelajaran ruang dan kebolehan ingatan.[16]

Sejarah pengajian

[sunting | sunting sumber]

Ujian kecerdasan pertama untuk anjing dibangunkan pada tahun 1976. Ujian ini menyertakan pengukuran ingatan jangka pendek, ketangkasan, dan kebolehan untuk menyelesaikan masalah seperti lencongan ke arah matlamat. Ini juga mentaksir kebolehan anjing untuk menyesuaikan diri terhadap keadaan baharu dan menghadapi situasi sukar dari segi emosi. Ujian ini diberikan kepada 100 ekor anjing dan dipiawaikan dan norma baka dibangunkan.[17] Stanley Coren menggunakan tinjauan yang dilakukan oleh hakim kepatuhan anjing untuk menilai baka anjing mengikut kecerdasan dan menerbitkan hasil keputusan dalam buku tahun 1994 beliau, iaitu The Intelligence of Dogs.

Persepsi merujuk proses mental yang melaluinya maklumat deriaan mendatang disusun dan ditafsirkan untuk mewakili dan memahami persekitaran.[18] Persepsi menyertakan proses seperti pemilihan maklumat melalui perhatian, organisasi maklumat deriaan melalui pengelompokan, dan pengenalpastian peristiwa dan objek. Pada anjing, maklumat penghiduan (deria bau) adalah khususnya menonjol (berbanding dengan manusia) tetapi deria anjing juga termasuk penglihatan, pendengaran, pengecapan, sentuhan, dan propriosepsi. Terdapat juga bukti bahawa anjing menderia medan magnet Bumi.

Seorang penyelidik telah mencadangkan bahawa anjing menanggap aliran masa melalui pelesapan bau.[19]:29[20]

Kesedaran

[sunting | sunting sumber]

Konsep kekekalan objek ialah kebolehan haiwan untuk faham bahawa objek terus wujud walaupun objek berkenaan telah bergerak ke luar medan penglihatannya. Kebolehan ini tidak hadir semasa kelahiran dan ahli psikologi perkembangan Jean Piaget memerihalkan enam peringkat dalam perkembangan kekekalan objek pada bayi manusia. Pendekatan serupa telah digunakan dengan anjing dan terdapat bukti bahawa anjing melalui peringkat-peringkat serupa dan mencapai peringkat kelima lanjutan menjelang usia 8 minggu. Pada peringkat ini, ia dapat menjejaki "sesaran terlihat berturut-turut", yang dalamnya penguji kaji menggerakkan objek ke belakang berbilang skrin sebelum meninggalkannya di belakang skrin terakhir. Tidak ada kejelasan sama ada anjing mencapai peringkat 6 dalam model perkembangan kekekalan objek Piaget.[21][22]

Sebuah kajian pada tahun 2013 menunjukkan bahawa anjing kelihatannya mengecam anjing lain tanpa mengira baka, saiz, atau rupa bentuk dan membezakan anjing lain daripada haiwan lain.[23]

Pada tahun 2014, sebuah kajian yang menggunakan pengimejan resonans magnet menunjukkan bahawa kawasan gerak balas suara wujud di dalam otak anjing dan bahawa ia menunjukkan pola gerak balas di kawasan suara temporal anterior yang serupa dengan yang pada manusia.[24]

Anjing dapat lulus dalam "ujian hidu" yang mencadangkan kesedaran kendiri berpotensi dalam deria penghiduan dan juga menunjukkan kesedaran tentang saiz dan pergerakan tubuhnya.[25]

Kognisi sosial

[sunting | sunting sumber]

Pembelajaran sosial: pemerhatian dan pangkat

[sunting | sunting sumber]
Seekor anjing diarahkan oleh pemiliknya untuk menahan daripada memakan biskut anjing

Anjing mampu belajar melalui pengukuhan mudah (cth., pelaziman klasik atau pelaziman operan), tetapi juga belajar dengan memerhatikan manusia dan anjing lain.[22][26]

Sebuah kajian menyiasat sama ada anjing yang terlibat dalam permainan berpasangan akan menyelaraskan tingkah lakunya kepada keadaan perhatian pasangannya. Penguji kaji memerhatikan bahawa isyarat main hanya disampaikan apabila anjing tersebut sedang memegang perhatian pasangannya. Jika pasangan terganggu, anjing tersebut sebaliknya terlibat dalam tingkah laku penarikan perhatian sebelum menyampaikan isyarat main.[27]

Anak anjing mempelajari tingkah laku dengan cepat dengan mengikuti contoh yang ditetapkan oleh anjing berpengalaman.[22] Bentuk kecerdasan ini adalah tidak khusus untuk tugas yang telah menjadi tujuan bagi pembiakbakaan anjing, tetapi dapat diitlakkan kepada pelbagai masalah abstrak. Sebagai contoh, anak dachshund diberi masalah penarikan kereta dengan menarik sekeping reben terpasang untuk mendapatkan ganjaran dari dalam kereta itu. Anak anjing yang memerhatikan anjing berpengalaman melaksanakan tugas ini mempelajari tugas ini dengan lima belas kali lebih cepat berbanding dengan yang dibiarkan untuk menyelesaikan masalah ini sendirian.[22][28]

Pangkat sosial anjing mempengaruhi prestasinya dalam situasi pembelajaran sosial. Dalam kelompok sosial dengan tatatingkat jelas, individu dominan ialah penunjuk lebih berpengaruh dan pemindahan pengetahuan cenderung bersifat searah, iaitu daripada pangkat lebih tinggi kepada pangkat lebih rendah. Dalam uji kaji penyelesaian masalah, anjing dominan pada umumnya berprestasi lebih baik berbanding dengan bawahan apabila memerhatikan tindakan manusia penunjuk, iaitu satu dapatan yang mencerminkan kedominanan manusia dalam kelompok anjing-manusia. Anjing bawahan belajar dengan paling baik daripada anjing dominan yang bersebelahan dalam tatatingkat.[29]

Mengikuti kiu manusia

[sunting | sunting sumber]

Anjing menunjukkan kognisi sosial mirip manusia dalam pelbagai cara.[8][4][30] Sebagai contoh, anjing dapat bertindak balas sewajarnya terhadap bahasa gerak-geri manusia seperti gerak isyarat dan penudingan dan juga memahami perintah suara manusia.[31] Dalam sebuah kajian, anak anjing dibentangi dengan sebuah kotak dan ditunjuki bahawa, apabila pengendali menekan tuil, sebiji bola akan berguling keluar dari kotak itu. Pengendali kemudian mengizinkan anak anjing itu untuk bermain dengan bola itu, lalu menjadikannya ganjaran intrinsik. Anak anjing itu kemudiannya diizinkan untuk berinteraksi dengan kotak itu. Kira-kira tiga perempat daripada jumlah anak anjing itu kemudiannya menyentuh tuil itu dan lebih daripada separuh berjaya melepaskan bola itu, berbanding dengan hanya 6% dalam sebuah kumpulan kawalan yang tidak memerhatikan manusia memanipulasi tuil itu.[32]

Begitu juga, anjing mungkin dibimbing oleh kiu yang menunjukkan arah perhatian manusia.[22] Dalam satu tugas, ganjaran disembunyikan di bawah salah satu daripada dua buah baldi. Penguji kaji kemudiannya menunjukkan lokasi bagi ganjaran itu dengan mengetuk baldi itu, menuding baldi itu, mengangguk ke arah baldi itu, atau hanya memandang baldi itu. Anjing tersebut mengikuti isyarat-isyarat ini, lalu berprestasi lebih baik berbanding dengan cimpanzi, serigala, dan bayi manusia dalam tugas ini; malah anak anjing dengan pendedahan terbatas kepada manusia turut berprestasi baik.[8]

Anjing mampu mengikuti arah tuding manusia. Anjing menyanyi New Guinea ialah anjing proto separuh liar yang endemik di rantau alp terpencil di New Guinea dan mampu mengikuti tudingan manusia sebagaimana dingo Australia juga mampu. Kedua-duanya menunjukkan kebolehan untuk membaca gerak isyarat manusia yang bangkit awal-awal dalam pembelajinakan tanpa pemilihan manusia. Anjing dan serigala juga telah ditunjukkan mengikuti tudingan lebih kompleks yang dibuat dengan bahagian badan selain lengan dan tangan manusia (cth., siku, lutut, kaki).[33] Anjing lebih cenderung untuk mengikuti arah tudingan tangan/lengan apabila digabungkan dengan pengisyaratan mata juga. Pada umumnya, anjing kelihatannya menggunakan kiu manusia sebagai penunjuk untuk arah yang perlu dituju dan perkara yang perlu dilakukan.[34] Secara keseluruhannya, anjing kelihatannya mempunyai beberapa kemahiran kognitif yang diperlukan untuk memahami komunikasi sebagai maklumat; walau bagaimanapun, dapatan tentang pemahaman anjing tentang kerujukanan dan keadaan mental individu lain adalah berkontroversi dan tidak ada kejelasan sama ada anjing berkomunikasi secara sendiri dengan motif maklumat.[35]

Agar kanin berprestasi baik dalam tugas bimbingan manusia tradisional (cth., mengikuti tudingan manusia), kedua-dua pengalaman relevan seumur hidup dengan manusia—termasuk sosialisasi terhadap manusia semasa fasa kritikal untuk perkembangan sosial—dan kesempatan untuk mengaitkan bahagian tubuh manusia dengan kesudahan tertentu (seperti makanan yang disediakan oleh manusia, manusia yang membaling atau menendang bola, dsb.) diperlukan.[36]

Pada tahun 2016, sebuah kajian tentang anjing penyelamatan air yang bergerak balas terhadap perkataan atau gerak isyarat mendapati bahawa anjing bergerak balas terhadap gerak isyarat dan bukan pula terhadap perintah kata.[37]

Ingatan episodik

[sunting | sunting sumber]

Anjing telah menunjukkan ingatan mirip episodik dengan mengingati peristiwa lampau yang menyertakan tindakan kompleks daripada manusia.[38] Dalam sebuah kajian tahun 2019, suatu korelasi telah ditunjukkan antara saiz anjing dengan fungsi ingatan dan fungsi kawalan diri, dengan anjing lebih besar yang berprestasi lebih baik daripada anjing lebih kecil dari segi kedua-dua fungsi ini. Walau bagaimanapun, dalam kajian itu, saiz otak tidak meramalkan kebolehan anjing untuk mengikuti gerak isyarat penudingan manusia dan tidak juga dikaitkan dengan kebolehan penaakulan inferens dan kebolehan penaakulan fizikal.[39] Sebuah kajian tahun 2018 tentang kebolehan kognitif anjing mendapati bahawa pelbagai haiwan, termasuk babi, merpati, dan cimpanzi, mampu mengingati perkara, tempat, dan masa bagi sesuatu peristiwa, yang tidak dapat dilakukan oleh anjing.[40]

Pembelajaran dan penggunaan kata

[sunting | sunting sumber]

Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa anjing sedia mempelajari nama objek dan mampu mengutip item daripada banyak item lain apabila diberi namanya. Sebagai contoh, pada tahun 2008, Betsy, iaitu seekor collie sempadan, mengetahui melebihi 345 patah perkataan melalui ujian pengutipan dan ia juga mampu menyambungkan objek dengan imej fotograf bagi objek berkenaan, walaupun tidak pernah melihat kedua-duanya sebelum ini.[41] Dalam sebuah lagi kajian, seekor anjing memberikan perhatian semasa para penguji kaji menghulurkan objek berulang-alik antara satu sama lain sambil menggunakan nama objek dalam ayat. Anjing itu kemudiannya mengutip item yang namanya diberi.[42]

Pada manusia, "pemetaan pantas" ialah kebolehan untuk membentuk hipotesis cepat dan kasar tentang makna bagi perkataan baharu selepas hanya satu pendedahan tunggal. Pada tahun 2004, sebuah kajian dengan Rico, iaitu seekor collie sempadan, menunjukkan bahawa ia mampu melakukan pemetaan pantas. Rico pada mulanya mengetahui label bagi melebihi 200 item. Ia membuat inferens tentang nama bagi item baharu melalui pengecualian, iaitu dengan mengetahui bahawa item baharu berkenaan ialah item yang belum diketahui olehnya. Rico sebetulnya mengutip item baharu berkenaan serta-merta dan empat minggu selepas pendedahan awal. Rico juga mampu mentafsirkan frasa seperti "ambil stoking" dengan perkataan komponennya (bukan pula menganggap ucapannya sebagai sepatah perkataan tunggal). Rico juga dapat memberikan stoking kepada orang yang disebut. Prestasi ini sebanding dengan prestasi manusia berusia 3 tahun.[10]

Chaser si collie sempadan

Pada tahun 2013, sebuah kajian mendokumenkan keupayaan pembelajaran dan keupayaan ingatan bagi seekor collie sempadan, iaitu "Chaser", yang telah mempelajari nama dan mampu membuat perkaitan melalui perintah kata melebihi 1,000 patah perkataan pada masa penerbitannya. Chaser didokumenkan berupaya mempelajari nama bagi objek baharu "melalui pengecualian" dan berupaya memautkan kata nama dengan kata kerja. Ada hujah bahawa yang pusat bagi pemahaman tentang pencapaian luar biasa collie sempadan ini ialah latar belakang pembiakbakaan anjing ini—collie yang dibiakbakakan untuk kerja penggembalaan adalah sesuai secara unik untuk tugas intelek seperti pengaitan perkataan yang mungkin menghendaki agar anjing berkenaan bekerja "pada sesuatu jarak" daripada teman manusianya dan kajian itu mengkreditkan pembiakbakaan terpilih bagi anjing ini sebagai tambahan kepada latihan berat untuk kehandalan inteleknya.[43]

Sesetengah penyelidikan telah mencadangkan bahawa, walaupun anjing dapat semudahnya melakukan pembezaan antara perkataan yang dikenali dengan perkataan karut tidak serupa, ia bergelut untuk membezakan antara perkataan yang dikenali dengan perkataan karut yang berbeza dengan hanya satu bunyi, kerana pengukuran kegiatan otak anjing tidak menunjukkan perbezaan dari segi gerak balas antara perkataan yang diketahui dengan perkataan serupa tetapi karut. Ini memberi anjing keupayaan pemprosesan perkataan yang setara dengan bayi manusia 14 bulan purata.[44] Sebuah kajian fMRI mendapati bahawa otak anjing membezakan, tanpa latihan, bahasa yang dikenali daripada bahasa yang tidak dikenali. Kajian itu juga mendapati bahawa anjing lebih tua adalah lebih baik dalam mendiskriminasi satu bahasa daripada bahasa lain, lalu mencadangkan kesan daripada jumlah pendedahan kepada bahasa berkenaan.[45]

Anjing baka kacuk menunjukkan keingintahuan dan ketakutan sambil merenung kucing

Kajian mencadangkan bahawa anjing merasai emosi kompleks, seperti kecemburuan dan jangkaan.[46][47] Walau bagaimanapun, bukti tingkah laku bagi emosi yang seakan-akan manusiawi mesti ditafsirkan dengan berhati-hati. Sebagai contoh, dalam buku tahun 1996 beliau, iaitu Good Natured, ahli etologi Frans de Waal membincangkan uji kaji tentang rasa bersalah dan teguran yang dilakukan ke atas seekor husky Siberia betina. Anjing itu mempunyai tabiat menyiat-nyiat surat khabar dan, apabila pemiliknya pulang ke rumah untuk mendapati kertas tersiat-siat dan memarahinya, ia akan bertindak bersalah. Walau bagaimanapun, apabila pemiliknya sendiri menyiat-nyiat kertas itu tanpa pengetahuan anjing itu, anjing itu "bertindak 'bersalah' sama seperti apabila ia sendiri telah mewujudkan kesepahan itu." De Waal berkesimpulan bahawa anjing itu tidak mempamerkan rasa bersalah sebenar sebagaimana yang difahami oleh manusia, sebaliknya hanya jangkaan bagi teguran.[48]:107–108

Satu batasan dalam kajian tentang emosi pada haiwan bukan manusia ialah haiwan tidak mampu berujar untuk meluahkan perasaan. Walau bagaimanapun, emosi anjing dapat dikaji secara tidak langsung melalui ujian kognitif, yang dipanggil ujian bias kognitif, yang mengukur bias kognitif dan membolehkan pembuatan inferens tentang mood haiwan berkenaan. Penyelidik telah mendapati bahawa anjing yang menderitai keresahan perpisahan mempunyai bias kognitif lebih negatif, berbanding dengan anjing tanpa keresahan perpisahan.[11] Sebaliknya, apabila keresahan perpisahan anjing dirawat dengan ubat-ubatan dan terapi tingkah laku, bias kognitifnya menjadi kurang negatif berbanding dengan yang sebelum rawatan.[49] Selain itu, pemberian oksitosin, dan bukan pula plasebo, mengaruh bias kognitif lebih positif dan jangkaan positif pada anjing.[50] Oleh itu, ada cadangan bahawa ujian bias kognitif dapat digunakan untuk memantau keadaan emosi positif dan, oleh itu, kebajikan pada anjing.[50][51]

Terdapat bukti bahawa anjing dapat mendiskriminasi ekspresi emosi bagi wajah manusia.[52] Sebagai tambahan, ia kelihatan bergerak balas terhadap wajah dengan cara agak sama seperti manusia. Sebagai contoh, manusia cenderung untuk merenung sebelah kanan muka seseorang, yang mungkin berkaitan dengan penggunaan hemisfera otak kanan untuk pengecaman muka. Penyelidikan menunjukkan bahawa anjing juga terikat ke sebelah kanan muka manusia, tetapi bukan muka anjing lain atau muka haiwan lain. Anjing ialah satu-satunya spesies bukan primat yang diketahui berbuat demikian.[53]

Penyelesaian masalah

[sunting | sunting sumber]

Anjing belajar untuk mengaktifkan robot untuk mengiriminya ganjaran makanan.[54]

Anjing telah diperhatikan belajar menggunakan pengangkutan awam untuk tiba di destinasi yang dikehendaki. Di Moscow, daripada 500 ekor anjing, 20 ekor anjing belajar berulang-alik.[55][56] Eclipse, iaitu seekor labrador hitam di Seattle, kadang-kadang menaiki bas mendahului pemiliknya apabila teringin-ingin pergi ke taman anjing.[57] Ratty, iaitu seekor terier Jack Russell di Yorkshire, England, mengembara sejauh 5 batu (8.0 km) dengan bas untuk diberi makan di dua buah pub.[58]

Dingo (Canis dingo) ternakan kurungan mampu berprestasi lebih baik daripada anjing bela jinak dalam penyelesaian masalah bukan sosial.[59] Sebuah lagi kajian menunjukkan bahawa, selepas menjalani latihan untuk menyelesaikan tugas manipulasi mudah, anjing yang berhadapan dengan versi yang tidak dapat diselesaikan bagi masalah sama memandang manusia, sementara serigala tersosialisasi tidak berbuat demikian.[30][13] Anjing bela jinak moden menggunakan manusia untuk menyelesaikan masalahnya untuknya.[3][60] Dinamik spesifik jantina ialah penyumbang penting kepada perbezaan individu dari segi prestasi kognitif bagi anjing peliharaan dalam tugas penyelesaian masalah berulang.[61]

Pembelajaran melalui inferens

[sunting | sunting sumber]

Anjing telah ditunjukkan belajar dengan membuat inferens dengan cara serupa seperti kanak-kanak.[62][3]:170–180 Anjing mempunyai kebolehan untuk melatih diri dan mempelajari tingkah laku melalui pemerhatian dan interaksi dengan anjing lain.[63] Dalam sebuah kajian, anjing pertama kali diperkenalkan kepada persekitaran dengan dua buah mangkuk, salah sebuah dengan ganjaran. Selepas empat demonstrasi untuk menunjukkan kepada anjing bahawa terdapat sekurang-kurangnya satu ganjaran di dalam salah satu daripada dua buah mangkuk dengan mengangkat mangkuk kosong, menunjukkannya, dan meletakkannya ke bawah, 33% daripada jumlah anjing sebetulnya membuat inferens tentang mangkuk ganjaran dengan lebih kerap berbanding dengan mangkuk kosong.[64]

Teori minda

[sunting | sunting sumber]

Teori minda ialah kebolehan untuk mengatributkan keadaan mental—kepercayaan, niat, kehendak, kepura-puraan, pengetahuan, dll.—kepada diri dan individu lain dan untuk faham bahawa individu lain mempunyai kepercayaan, kehendak, niat, dan perspektif yang berbeza daripada yang pada diri.[65] Terdapat sesetengah bukti bahawa anjing menunjukkan teori minda dengan melibatkan diri dalam pemerdayaan. Sebagai contoh, seorang pemerhati melaporkan bahawa seekor anjing menyembunyikan makanan ganjaran curian dengan duduk di atasnya sehingga pemilik sebenar bagi makanan ganjaran itu meninggalkan bilik itu.[22] Walaupun ini mungkin tidak disengajakan, jika disengajakan pun, itu akan mencadangkan bahawa pencuri faham bahawa pemilik makanan ganjaran itu tidak akan dapat menemukan makanan ganjaran itu jika tidak kelihatan.[22][27] Sebuah kajian mendapati bahawa anjing mampu mendiskriminasi objek yang dicari oleh pasangan manusia berdasarkan kerelevanannya untuk pasangan dan ia lebih berminat untuk menunjukkan objek yang relevan untuk pasangan berbanding dengan yang tidak relevan; ini mencadangkan bahawa anjing mungkin mempunyai versi asas bagi sesetengah kemahiran yang diperlukan untuk teori minda.[66] Anjing dapat memikirkan perkara yang dilihat oleh manusia.[67]:57–59

Penggunaan alat

[sunting | sunting sumber]

Anjing telah dilatih untuk mengikuti perintah untuk memandu kereta.[68][69][70][71]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. Humphreys, Lloyd Girton (April 1979). "The construct of general intelligence" [Gagasan kecerdasan umum]. Intelligence (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 3 (2): 105–120. doi:10.1016/0160-2896(79)90009-6. ISSN 1873-7935. S2CID 18038953.
  2. Tomasello, Michael; Kaminski, Juliane (4 September 2009). "Like Infant, Like Dog" [Bagai Bayi, Bagai Anjing]. Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Amerika untuk Kemajuan Sains. 325 (5945): 1213–1214. doi:10.1126/science.1179670. hdl:11858/00-001M-0000-000F-F915-4. ISSN 0036-8075. JSTOR 40301720. PMID 19729645. S2CID 206522649.
  3. 1 2 3 4 Hare, Brian; Woods, Vanessa (5 Februari 2013). The Genius of Dogs: How Dogs Are Smarter than You Think [Kegeniusan Anjing: Betapa Anjing Lebih Pintar daripada yang Anda Fikirkan] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Penguin Group. ISBN 9781101609637. OCLC 843203091.
  4. 1 2 3 Hare, Brian; Tomasello, Michael (September 2005). "Human-like social skills in dogs?" [Kemahiran-kemahiran sosial mirip manusia pada anjing?]. Trends in Cognitive Sciences (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 9 (9): 439–444. doi:10.1016/j.tics.2005.07.003. hdl:11858/00-001M-0000-0010-0290-F. ISSN 1879-307X. PMID 16061417. S2CID 9311402.
  5. Shipman, Pat Lee (13 Jun 2011). The Animal Connection: A New Perspective on What Makes Us Human [Sambungan Haiwan: Perspektif Baharu tentang Hal yang Menjadikan Kita Manusia] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). New York, New York, Amerika Syarikat: W. W. Norton & Company. ISBN 9780393070545. OCLC 668194851.
  6. Bradshaw, John William Stephen (10 Mei 2011). Dog Sense: How the New Science of Dog Behavior Can Make You a Better Friend to Your Pet [Deria Anjing: Cara Sains Baharu Tingkah Laku Anjing Dapat Menjadikan Anda Sahabat Lebih Baik untuk Haiwan Peliharaan Anda] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Basic Books. ISBN 9780465019441. OCLC 657595594.
  7. Topál, József; Kis, Anna; Oláh, Katalin (6 Mei 2014). "Chapter 11 - Dogs' Sensitivity to Human Ostensive Cues: A Unique Adaptation?" [Bab 11 - Kepekaan Anjing terhadap Kiu Ostensif Manusia: Penyesuaian Unik?]. Dalam Kaminski, Juliane; Marshall-Pescini, Sarah (penyunting). The Social Dog: Behaviour and Cognition [Anjing Sosial: Tingkah Laku dan Kognisi] (dalam bahasa Inggeris). San Diego, California, Amerika Syarikat: Academic Press. m/s. 319–346. doi:10.1016/B978-0-12-407818-5.00011-5. ISBN 9780124078185. OCLC 879582367.
  8. 1 2 3 Hare, Brian; Brown, Michelle; Williamson, Christina; Tomasello, Michael (22 November 2002). "The Domestication of Social Cognition in Dogs" [Pembelajinakan Kognisi Sosial pada Anjing]. Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Amerika untuk Kemajuan Sains. 298 (5598): 1634–1636. Bibcode:2002Sci...298.1634H. doi:10.1126/science.1072702. hdl:11858/00-001M-0000-0010-07CE-1. ISSN 0036-8075. JSTOR 3832853. PMID 12446914. S2CID 13369396.
  9. Téglás, Ernő; Gergely, Anna; Kupán, Krisztina; Miklósi, Ádám; Topál, József (5 Januari 2012). "Dogs' Gaze Following Is Tuned to Human Communicative Signals" [Pengikutan Renungan Anjing Disesuaikan dengan Isyarat Komunikasi Manusia]. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 22 (3): 209–212. Bibcode:2012CBio...22..209T. doi:10.1016/j.cub.2011.12.018. ISSN 0960-9822. PMID 22226744. S2CID 6796793.
  10. 1 2 Kaminski, Juliane; Call Balaguer, Josep; Fischer, Julia (11 Jun 2004). "Word Learning in a Domestic Dog: Evidence for "Fast Mapping"" [Pembelajaran Kata pada Seekor Anjing Bela Jinak: Bukti untuk "Pemetaan Pantas"]. Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Amerika untuk Kemajuan Sains. 304 (5677): 1682–1683. Bibcode:2004Sci...304.1682K. doi:10.1126/science.1097859. hdl:11858/00-001M-0000-0010-0484-0. ISSN 0036-8075. JSTOR 3837039. PMID 15192233. S2CID 31901162.
  11. 1 2 Mendl, Michael T.; Brooks, Julie; Basse, Christine; Burman, Oliver H. P.; Paul, Elizabeth S.; Blackwell, Emily-Jayne; Casey, Rachel Alison (12 Oktober 2010). "Dogs showing separation-related behaviour exhibit a 'pessimistic' cognitive bias" [Anjing yang menunjukkan tingkah laku berkaitan dengan perpisahan mempamerkan bias kognisi 'pesimis']. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 20 (19): R839–R840. Bibcode:2010CBio...20.R839M. doi:10.1016/j.cub.2010.08.030. hdl:1983/c78ebf04-18db-4938-9386-e583c1e5eb7a. ISSN 0960-9822. PMID 20937467. S2CID 8638509.
  12. Bekoff, Marc (2007). The Emotional Lives of Animals [Kehidupan Beremosi Haiwan] (dalam bahasa Inggeris). Novato, California, Amerika Syarikat: New World Library. ISBN 9781577315025. OCLC 76481489.
  13. 1 2 Crawford, Amy (20 Februari 2013). "Why Dogs are More Like Humans Than Wolves" [Sebabnya Anjing adalah Lebih seperti Manusia Berbanding dengan Serigala] (dalam bahasa Inggeris). Smithsonian. Dicapai pada 28 November 2025.
  14. Li, Yan; Wang, Guodong; Wang, Mingshan; Irwin, David Michael; Wu, Dongdong; Zhang, Yaping (5 November 2014). Elgar, Greg (penyunting). "Domestication of the Dog from the Wolf Was Promoted by Enhanced Excitatory Synaptic Plasticity: A Hypothesis" [Pembelajinakan Anjing daripada Serigala Digalakkan oleh Keplastikan Sinapsis Pengujaan Meningkat: Hipotesis]. Genome Biology and Evolution (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. 6 (11): 3115–3121. doi:10.1093/gbe/evu245. ISSN 1759-6653. PMC 4255776. PMID 25377939. S2CID 14495822.
  15. Udell, Monique A. R.; Dorey, Nicole Renee; Wynne, Clive David Lawrence (12 April 2010). "What did domestication do to dogs? A new account of dogs' sensitivity to human actions" [Apakah yang dilakukan oleh pembelajinakan kepada anjing? Keterangan baharu tentang kepekaan anjing terhadap tindakan manusia]. Biological Reviews (dalam bahasa Inggeris). Cambridge University Press. 85 (2): 327–345. CiteSeerX 10.1.1.483.3002. doi:10.1111/j.1469-185X.2009.00104.x. ISSN 1469-185X. PMID 19961472. S2CID 11627064.
  16. Head, Elizabeth; Mehta, Rick; Hartley, Joanne; Kameka, Anne Marie; Cummings, Brian J.; Cotman, Carl Wayne; Ruehl, William W.; Milgram, Norton William (1995). "Spatial learning and memory as a function of age in the dog" [Pembelajaran dan ingatan ruangan sebagai fungsi usia pada anjing]. Behavioral Neuroscience (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Psikologi Amerika. 109 (5): 851–858. doi:10.1037/0735-7044.109.5.851. ISSN 1939-0084. PMID 8554710. S2CID 44825090.
  17. Coon, Kathy (1978). The Dog Intelligence Test [Ujian Kecerdasan Anjing] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Avon. ISBN 9780380019038. OCLC 4085153.
  18. Schacter, Daniel Lawrence; Gilbert, Daniel Todd; Wegner, Daniel Merton (2011). Psychology [Psikologi] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). New York, New York, Amerika Syarikat: Worth Publishers. ISBN 9781429237192. OCLC 755079969.
  19. Horowitz, Alexandra (4 Oktober 2016). "2-Smeller" [2-Penghidu]. Being a Dog: Following the Dog into a World of Smell [Menjadi Anjing: Mengikuti Anjing ke Dalam Dunia Bau] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Scribner. ISBN 9781476795997. OCLC 955777362.
  20. Dahl, Melissa (5 Oktober 2016). "Apparently Dogs Can Tell Time With Their Noses" [Rupa-rupanya Anjing Dapat Menentukan Masa dengan Hidungnya] (dalam bahasa Inggeris). The Cut. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Oktober 2016. Dicapai pada 28 November 2025.
  21. Bensky, Miles K.; Gosling, Samuel David; Sinn, David L. (2013). "Chapter Five - The World from a Dog's Point of View: A Review and Synthesis of Dog Cognition Research" [Bab Lima - Dunia daripada Sudut Pandangan Anjing: Semakan dan Sintesis Penyelidikan Kognisi Anjing]. Dalam Brockmann, Helen Jane; Roper, Timothy J.; Naguib, Marc; Mitani, John C.; Simmons, Leigh W.; Barrett, Louise (penyunting). Advances in the Study of Behavior [Kemajuan dalam Pengajian Tingkah Laku] (dalam bahasa Inggeris). 45. Amsterdam, Belanda: Academic Press. m/s. 209–406. ISBN 9780124071865. ISSN 0065-3454. OCLC 839312845.
  22. 1 2 3 4 5 6 7 Coren, Stanley (1995). The Intelligence of Dogs: A Guide to the Thoughts, Emotions, and Inner Lives of Our Canine Companions [Kecerdasan Anjing: Panduan untuk Fikiran, Emosi, dan Kehidupan Dalaman Teman Anjing Kita] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Bantam Books. ISBN 9780553374520. OCLC 30700778.
  23. Coren, Stanley (8 Oktober 2013). "Do Dogs Know The Difference Between Dogs and Other Animals?" [Adakah Anjing Mengetahui Perbezaan Anjing dengan Haiwan Lain?] (dalam bahasa Inggeris). Psychology Today. Dicapai pada 28 November 2025.
  24. "Dogs' brain scans reveal vocal responses" [Imbasan otak anjing dedahkan gerak balas suara] (dalam bahasa Inggeris). BBC News. 21 Februari 2014. Dicapai pada 28 November 2025.
  25. Gibeault, Stephanie (17 Januari 2018). "Do Dogs Have Self-Awareness?" [Adakah Anjing Mempunyai Kesedaran Kendiri?] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 28 November 2025.
  26. Burch, Mary R. (20 April 2001). "HOW DOGS LEARN" [CARA ANJING BELAJAR] (dalam bahasa Inggeris). National Animal Interest Alliance. Dicapai pada 28 November 2025.
  27. 1 2 Horowitz, Alexandra (5 Ogos 2008). "Attention to attention in domestic dog (Canis familiaris) dyadic play" [Perhatian kepada perhatian dalam permainan diad anjing bela jinak (Canis familiaris)]. Animal Cognition (dalam bahasa Inggeris). Springer Science+Business Media. 12 (1): 107–118. doi:10.1007/s10071-008-0175-y. ISSN 1435-9456. PMID 18679727. S2CID 207050813.
  28. Adler, Leonore Loeb; Adler, Helmut Ernest (Mei 1977). "Ontogeny of observational learning in the dog (Canis familiaris)" [Ontogeni pembelajaran pemerhatian pada anjing (Canis familiaris)]. Developmental Psychobiology (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 10 (3): 267–271. doi:10.1002/dev.420100310. ISSN 1098-2302. PMID 863122. S2CID 6345428.
  29. Pongrácz, Péter; Bánhegyi, Petra; Miklósi, Ádám (1 Januari 2012). "When rank counts — dominant dogs learn better from a human demonstrator in a two-action test" [Apabila pangkat diambil kira — anjing dominan belajar dengan lebih baik daripada manusia penunjuk dalam ujian dua tindakan]. Behaviour (dalam bahasa Inggeris). Brill Publishers. 149 (1): 111–132. CiteSeerX 10.1.1.456.670. doi:10.1163/156853912X629148. ISSN 1568-539X. JSTOR 41445262. S2CID 994438.
  30. 1 2 Miklósi, Ádám; Kubinyi, Enikő; Topál, József; Gácsi, Márta; Virányi, Zsófia; Csányi, Vilmos (29 April 2003). "A Simple Reason for a Big Difference: Wolves Do Not Look Back at Humans, but Dogs Do" [Sebab Ringkas untuk Perbezaan Besar: Serigala Tidak Menoleh ke Belakang untuk Memandang Manusia, tetapi Anjing Menoleh]. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 13 (9): 763–766. Bibcode:2003CBio...13..763M. doi:10.1016/S0960-9822(03)00263-X. ISSN 0960-9822. PMID 12725735. S2CID 10200094.
  31. Gjersoe, Nathalia (23 September 2013). "Dogs: an uncomplicated relationship" [Anjing: hubungan tidak rumit] (dalam bahasa Inggeris). The Guardian. Dicapai pada 28 November 2025.
  32. Kubinyi, Enikő; Topál, József; Miklósi, Ádám; Csányi, Vilmos (2003). "Dogs (Canis familiaris) learn their owners via observation in a manipulation task" [Anjing (Canis familiaris) mempelajari tuannya melalui pemerhatian dalam tugas manipulasi]. Journal of Comparative Psychology (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Psikologi Amerika. 117 (2): 156–165. doi:10.1037/0735-7036.117.2.156. ISSN 1939-2087. PMID 12856786. S2CID 15867237.
  33. Udell, Monique A. R.; Spencer, Jessica M.; Dorey, Nicole Renee; Wynne, Clive David Lawrence (2012). "Human-Socialized Wolves Follow Diverse Human Gestures... And They May Not Be Alone" [Serigala Tersosialisasi Manusia Mengikuti Pelbagai Gerak Isyarat Manusia... dan Ia Mungkin Tidak Bersendirian]. International Journal of Comparative Psychology (dalam bahasa Inggeris). eScholarship. 25 (2): 97–117. doi:10.46867/ijcp.2012.25.02.04. ISSN 2168-3344. S2CID 55708092.
  34. Kaminski, Juliane; Nitzschner, Marie (6 Jun 2013). "Do dogs get the point? A review of dog–human communication ability" [Adakah anjing memahami maksud? Ulasan kebolehan komunikasi anjing–manusia]. Learning and Motivation (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 44 (4): 294–302. doi:10.1016/j.lmot.2013.05.001. hdl:11858/00-001M-0000-0014-12DD-1. ISSN 1095-9122. S2CID 145713119.
  35. Kaminski, Juliane; Piotti, Patrizia (1 Oktober 2016). "Current Trends in Dog-Human Communication: Do Dogs Inform?" [Trend Semasa dalam Komunikasi Anjing–Manusia: Adakah Anjing Memaklumkan?]. Current Directions in Psychological Science (dalam bahasa Inggeris). Sage Publishing. 25 (5): 322–326. doi:10.1177/0963721416661318. hdl:2434/727094. ISSN 1467-8721. JSTOR 44318949. S2CID 151423286.
  36. Udell, Monique A. R.; Lord, Kathryn A.; Feuerbacher, Erica Nan; Wynne, Clive David Lawrence (19 Februari 2014). "A Dog's-Eye View of Canine Cognition" [Pandangan Mata Anjing tentang Kognisi Anjing]. Dalam Horowitz, Alexandra (penyunting). Domestic Dog Cognition and Behavior: The Scientific Study of Canis familiaris [Kognisi dan Tingkah Laku Anjing Bela Jinak: Kajian Saintifik Canis familiaris] (dalam bahasa Inggeris). Heidelberg, Jerman: Springer Science+Business Media. m/s. 221–240. doi:10.1007/978-3-642-53994-7_10. ISBN 9783642539947. OCLC 871205185.
  37. D'Aniello, Biagio; Scandurra, Anna; Alterisio, Alessandra; Valsecchi, Paola Maria; Prato Previde Albrisi Colombani, Emanuela (23 Jun 2016). "The importance of gestural communication: a study of human–dog communication using incongruent information" [Kepentingan komunikasi gerak isyarat: kajian komunikasi manusia–anjing yang menggunakan maklumat tidak kongruen]. Animal Cognition (dalam bahasa Inggeris). Springer Science+Business Media. 19 (6): 1231–1235. doi:10.1007/s10071-016-1010-5. hdl:11588/654573. ISSN 1435-9456. PMID 27338818. S2CID 3913013.
  38. Fugazza, Claudia; Pogány, Ákos; Miklósi, Ádám (23 November 2016). "Recall of Others' Actions after Incidental Encoding Reveals Episodic-like Memory in Dogs" [Ingatan Kembali tentang Tindakan Pihak Lain selepas Pengekodan Kebetulan Mendedahkan Ingatan Mirip Episod pada Anjing]. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 26 (23): 3209–3213. Bibcode:2016CBio...26.3209F. doi:10.1016/j.cub.2016.09.057. ISSN 0960-9822. PMID 27889264. S2CID 6491384.
  39. Horschler, Daniel J.; Hare, Brian; Call Balaguer, Josep; Kaminski, Juliane; Miklósi, Ádám; MacLean, Evan Lawrence (3 Januari 2019). "Absolute brain size predicts dog breed differences in executive function" [Saiz otak mutlak meramalkan perbezaan baka anjing dari segi fungsi pelaksanaan]. Animal Cognition (dalam bahasa Inggeris). Springer Science+Business Media. 22 (2): 187–198. doi:10.1007/s10071-018-01234-1. hdl:10150/631852. ISSN 1435-9456. PMID 30607673. S2CID 57428663.
  40. Bodkin, Henry (1 Oktober 2018). "Why your dog is not as clever as you thought" [Sebabnya anjing anda tidak sepandai yang anda fikirkan] (dalam bahasa Inggeris). The Daily Telegraph. Dicapai pada 28 November 2025.
  41. Morell, Virginia (Mac 2008). "Minds of their Own" [Minda Diri Sendiri] (dalam bahasa Inggeris). Persatuan National Geographic. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Februari 2008. Dicapai pada 28 November 2025.
  42. McKinley, Sue; Young, Robert John (15 Januari 2003). "The efficacy of the model-rival method when compared with operant conditioning for training domestic dogs to perform a retrieval-selection task" [Kemujaraban kaedah saingan model apabila dibandingkan dengan pelaziman operan untuk pelatihan anjing bela jinak untuk melaksanakan tugas pengutipan-pemilihan]. Applied Animal Behaviour Science (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 81 (4): 357–365. doi:10.1016/S0168-1591(02)00277-0. ISSN 1872-9045. S2CID 144330048.
  43. Pilley, John W.; Hinzmann, Hilary (29 Oktober 2013). Chaser: Unlocking the Genius of the Dog Who Knows a Thousand Words [Chaser: Mendedahkan Kegeniusan Anjing yang Mengetahui Seribu Patah Perkataan] (dalam bahasa Inggeris). Boston, Massachussetts, Amerika Syarikat: Houghton Mifflin Harcourt. ISBN 9780544102576. OCLC 828890720.
  44. Magyari, Lilla; Huszár, Zsófia; Turzó, Andrea; Andics, Attila (9 Disember 2020). "Event-related potentials reveal limited readiness to access phonetic details during word processing in dogs" [Potensi berkaitan dengan peristiwa mendedahkan kesediaan terbatas untuk mencapai perincian foentik semasa pemprosesan perkataan pada anjing]. Royal Society Open Science (dalam bahasa Inggeris). Royal Society. 7 (12). Bibcode:2020RSOS....700851M. doi:10.1098/rsos.200851. ISSN 2054-5703. PMC 7813267. PMID 33489257. S2CID 227915267. Unknown parameter |article-number= ignored (bantuan)
  45. Cuaya, Laura V.; Hernández-Pérez, Raúl; Boros, Marianna; Deme, Andrea; Andics, Attila (12 Disember 2021). "Speech naturalness detection and language representation in the dog brain" [Pengesanan kesemulajadian pertuturan dan perwakilan bahasa dalam otak anjing]. NeuroImage (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 248. doi:10.1016/j.neuroimage.2021.118811. hdl:10831/83069. ISSN 1095-9572. PMID 34906714 Check |pmid= value (bantuan). S2CID 245022566 Check |s2cid= value (bantuan). Unknown parameter |article-number= ignored (bantuan)
  46. "Test reveals dogs' jealous side" [Ujian dedahkan sisi cemburu anjing] (dalam bahasa Inggeris). BBC News. 8 Disember 2008. Dicapai pada 28 November 2025.
  47. Berns, Gregory Scott; Brooks, Andrew Michael; Spivak, Mark Howard (11 Mei 2012). Neuhauss, Stephan C. F. (penyunting). "Functional MRI in Awake Unrestrained Dogs" [MRI Fungsian pada Anjing Berjaga Tidak Terhalang]. PLOS One (dalam bahasa Inggeris). PLOS. 7 (5). Bibcode:2012PLoSO...738027B. doi:10.1371/journal.pone.0038027. ISSN 1932-6203. PMC 3350478. PMID 22606363. S2CID 1964642. SSRN 2047085. Unknown parameter |article-number= ignored (bantuan)
  48. de Waal, Franciscus Bernardus Maria (Mac 1996). Good Natured: The Origins of Right and Wrong in Humans and Other Animals [Bersifat Baik: Asal Usul Betul dan Salah pada Manusia dan Haiwan Lain] (dalam bahasa Inggeris). Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat: Harvard University Press. ISBN 9780674356603. OCLC 756775917.
  49. Karagiannis, Christos I.; Burman, Oliver H. P.; Mills, Daniel Simon (28 Mac 2015). "Dogs with separation-related problems show a "less pessimistic" cognitive bias during treatment with fluoxetine (Reconcile™) and a behaviour modification plan" [Anjing dengan masalah berkaitan dengan perpisahan menunjukkan bias kognisi "kurang pesimis" semasa rawatan dengan fluoksetina (Reconcile™) dan rancangan pengubahsuaian tingkah laku]. BMC Veterinary Research (dalam bahasa Inggeris). BioMed Central. 11 (1). doi:10.1186/s12917-015-0373-1. hdl:10779/lincoln.24340738. ISSN 1746-6148. PMC 4393593. PMID 25889323. S2CID 6489356. Unknown parameter |article-number= ignored (bantuan)
  50. 1 2 Kis, Anna; Hernádi, Anna; Kanizsár, Orsolya; Gácsi, Márta; Topál, József (18 Disember 2014). "Oxytocin induces positive expectations about ambivalent stimuli (cognitive bias) in dogs" [Oksitosin mencetuskan jangkaan positif tentang rangsangan ambivalen (bias kognisi) pada anjing]. Hormones and Behavior (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 69: 1–7. doi:10.1016/j.yhbeh.2014.12.004. ISSN 1095-6867. PMID 25530486. S2CID 3723849.
  51. Piotti, Patrizia (2017). "Positive emotions and quality of life in dogs" [Emosi dan kualiti hidup positif pada anjing]. Animal Sentience (dalam bahasa Inggeris). WellBeing International. 2017 (14): 17. doi:10.51291/2377-7478.1281. hdl:2434/727110. ISSN 2377-7478. S2CID 148770730.
  52. Müller, Corsin Andreas; Schmitt, Kira; Barber, Anjuli Lilly Alice; Huber, Ludwig (12 Februari 2015). "Dogs Can Discriminate Emotional Expressions of Human Faces" [Anjing Dapat Mendiskriminasi Ekspesi Emosi Wajah Manusia]. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 25 (5): 601–605. Bibcode:2015CBio...25..601M. doi:10.1016/j.cub.2014.12.055. ISSN 0960-9822. PMID 25683806. S2CID 15274560.
  53. Guo, Kun; Meints, Kerstin; Hall, Charlotte Lucy; Hall, Sophie Susannah; Mills, Daniel Simon (17 Oktober 2008). "Left gaze bias in humans, rhesus monkeys and domestic dogs" [Bias renungan kiri pada manusia, beruk resus, dan anjing bela jinak]. Animal Cognition (dalam bahasa Inggeris). Springer Science+Business Media. 12 (3): 409–418. doi:10.1007/s10071-008-0199-3. hdl:10779/lincoln.24359110. ISSN 1435-9456. PMID 18925420. S2CID 5661394.
  54. Byrne, Ceara; Logas, Jacob; Freil, Larry; Allen, Courtney; Baltrusaitis, Melissa; Nguyen, Vi; Saad, Christopher; Jackson, Melody Moore (10 Januari 2020). "Dog Driven Robot: Towards Quantifying Problem-Solving Abilities in Dogs" (dalam bahasa en). Proceedings of the Sixth International Conference on Animal-Computer Interaction. Association for Computing Machinery. doi:10.1145/3371049.3371063.
  55. Sterntahl, Susanne (16 Januari 2010). "Moscow's stray dogs" [Anjing terbiar Moscow] (dalam bahasa Inggeris). Financial Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Disember 2011. Dicapai pada 28 November 2025.
  56. "Stray Dogs Master Complex Moscow Subway System" [Anjing Terbiar Kuasai Sistem Kereta Api Bawah Tanah Moscow yang Kompleks] (dalam bahasa Inggeris). ABC News. 19 Mac 2010. Dicapai pada 28 November 2025.
  57. Grenoble, Ryan (13 Januari 2015). "Seattle Dog Figures Out Buses, Starts Riding Solo To The Dog Park" [Anjing Seattle Pelajari Bas, Mula Naik Sendirian ke Taman Anjing] (dalam bahasa Inggeris). HuffPost. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Julai 2015. Dicapai pada 28 November 2025.
  58. Stead, Mark (6 April 2010). "Ratty, the York bus-travelling dog who made headlines all over world dies" [Ratty, si anjing tumpang bas York yang muncul di muka surat khabar di seluruh dunia mati] (dalam bahasa Inggeris). The Press. Dicapai pada 28 November 2025.
  59. Smith, Bradley Philip; Litchfield, Carla Anita (21 Mei 2010). "How well do dingoes, Canis dingo, perform on the detour task?" [Sebaik manakah dingo, Canis dingo, berprestasi dalam tugasan lencongan?]. Animal Behaviour (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 80 (1): 155–162. Bibcode:2010AnBeh..80..155S. doi:10.1016/j.anbehav.2010.04.017. hdl:1959.8/98120. ISSN 1095-8282. S2CID 53153703.
  60. Cook, Gareth (5 Februari 2013). "The Brilliance of the Dog Mind" [Kebijakan Minda Anjing]. Scientific American (dalam bahasa Inggeris). Springer Science+Business Media. Dicapai pada 28 November 2025.
  61. Duranton, Charlotte; Rödel, Heiko Georg; Bedossa, Thierry; Belkhir, Séverine (2015). "Inverse sex effects on performance of domestic dogs (Canis familiaris) in a repeated problem-solving task" [Kesan jantina songsang terhadap prestasi anjing bela jinak (Canis familiaris) dalam tugas penyelesaian masalah berulang]. Journal of Comparative Psychology (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Psikologi Amerika. 129 (1): 84–87. doi:10.1037/a0037825. ISSN 1939-2087. PMID 25181448. S2CID 1469852.
  62. O'Callaghan, Tiffany (11 Mac 2013). "Survival of the Friendliest" [Kemandirian Individu Paling Ramah] (dalam bahasa Inggeris). Slate. Dicapai pada 28 November 2025.
  63. Coren, Stanley (3 Ogos 2004). How Dogs Think: Understanding the Canine Mind [Cara Anjing Berfikir: Memahami Minda Anjing] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Free Press. ISBN 9780743222327. LCCN 2004052821. OCLC 980544025.
  64. Junttila, Saara Elviira; Valros, Anna; Mäki, Katariina; Väätäjä, Heli Kristiina; Reunanen, Elisa; Tiira, Katriina (29 Disember 2022). "Breed differences in social cognition, inhibitory control, and spatial problem-solving ability in the domestic dog (Canis familiaris)" [Perbezaan baka dari segi kognisi sosial, kawalan rencatan, dan kebolehan penyelesaian masalah ruangan pada anjing bela jinak (Canis familiaris)]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 12 (1). Bibcode:2022NatSR..1222529J. doi:10.1038/s41598-022-26991-5. hdl:10138/355138. ISSN 2045-2322. PMC 9800387 Check |pmc= value (bantuan). PMID 36581704 Check |pmid= value (bantuan). S2CID 255292419 Check |s2cid= value (bantuan). Unknown parameter |article-number= ignored (bantuan)
  65. Premack, David; Woodruff, Guy (Disember 1978). "Does the chimpanzee have a theory of mind?" [Adakah cimpanzi mempunyai teori minda?]. Behavioral and Brain Sciences (dalam bahasa Inggeris). Cambridge University Press. 1 (4): 515–526. doi:10.1017/S0140525X00076512. ISSN 1469-1825. S2CID 141321709.
  66. Piotti, Patrizia; Kaminski, Juliane (10 Ogos 2016). Slocombe, Kathryn Elizabeth (penyunting). "Do Dogs Provide Information Helpfully?" [Adakah Anjing Membantu dengan Menyediakan Maklumat?]. PLOS One (dalam bahasa Inggeris). PLOS. 11 (8). Bibcode:2016PLoSO..1159797P. doi:10.1371/journal.pone.0159797. ISSN 1932-6203. PMC 4980001. PMID 27508932. S2CID 32860641. Unknown parameter |article-number= ignored (bantuan)
  67. Bräuer, Juliane; Kaminski, Juliane (22 Februari 2022). "What Do Dogs Understand About Others?" [Apakah yang Difahami oleh Anjing tentang yang Lain?]. What Dogs Know [Yang Diketahui oleh Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Cham, Switzerland: Springer Science+Business Media. m/s. 45–60. doi:10.1007/978-3-030-89533-4_4. ISBN 9783030895327. OCLC 1295104573.
  68. "Driving school for dogs in New Zealand" [Sekolah memandu untuk anjing di New Zealand] (dalam bahasa Inggeris). BBC News. 5 Disember 2012. Dicapai pada 28 November 2025.
  69. Eliot, Lance B. (8 Februari 2020). "Those Three Clever Dogs Trained To Drive A Car Provide Valuable Lessons For AI Self-Driving Cars" [Ketiga-tiga Anjing Pandai yang Dilatih untuk Memandu Kereta Menyediakan Pengajaran Bernilai untuk Kereta Pandu Sendiri AI] (dalam bahasa Inggeris). Forbes. Dicapai pada 28 November 2025.
  70. Samuels, Jonathan (6 Disember 2012). "Rescue Dogs Taught How To Drive A Car" [Anjing yang Diselamatkan Diajar Cara Pandu Kereta] (dalam bahasa Inggeris). Sky News. Dicapai pada 28 November 2025.
  71. "New Zealand's 'driving dogs' pass their test" ['Anjing memandu' New Zealand lulus dalam ujian] (dalam bahasa Inggeris). ABC News. 11 Disember 2012. Dicapai pada 28 November 2025.

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]

Templat:Kognisi haiwan