Anjing tarikan Chukotka

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing tarikan Chukotka
Nama lainAnjing tarikan Chukchi, husky Siberia
Negara asalRusia
Trait
Tinggi 53–65 cm (21–26 in)
Bulu ganda
Warna kelabu, merah, perang kekuning-kuningan, putih, perang, hitam, piebald, sawo matang
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing tarikan Chukotka[a] ialah baka anjing spits yang asli kepada orang Chukchi di Rusia.

Pasukan anjing tarikan Chukotka telah digunakan sejak zaman prasejarah untuk menarik kereta luncur salji dalam keadaan mencabar, seperti memburu mamalia laut di atas air batu sarah.[1][2] Walaupun paling terkenal sebagai leluhur kepada husky Siberia (dan berkaitan dengan malamut Alaska), anjing tarikan Chukotka hampir pupus semasa era Soviet kerana kekurangan minat untuk memulihara contoh baka tulen secara genetik dan hanya baru-baru ini telah membuat kebangkitan semula.[1] Pada tahun 1999, Persekutuan Kinologi Rusia (RKF) meluluskan piawaian rasmi pertama baka ini.[1]

Rumah Chukchi dengan anjing tarikan kereta luncur salji, 1901

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Lelaki Chukchi yang memberikan makanan kepada anjing tarikan Chukotka, 1901

Anjing tarikan Chukotka telah dikembangkan oleh orang Chukchi sebagai kaedah yang tahan lasak dan boleh dipercayai untuk memburu mamalia laut di atas air batu laut dan pengangkutan di tundra bergunung-ganang di Semenanjung Chukchi yang mempunyai cerun berangin yang menghalang penumpukan salji.[1] Bukti arkeologi sebelum tahun 500 Masihi menunjukkan bahawa penduduk tempatan sangat bergantung pada paus sebagai sumber makanan dan bahawa kereta luncur salji anjing ialah cara utama untuk mengangkut mamalia laut ke petempatan manusia.[3]

Ahli sukan dan pengarang M. G. Dmitrieva-Sulima memerihalkannya sebagai baka unik dalam buku beliau pada tahun 1911, Laika dan Perburuan Dengannya.[4]

Perpisahan dengan husky Siberia[sunting | sunting sumber]

Dari tahun 1890-an hingga 1930-an, anjing tarikan Chukotka dieksport secara aktif ke Alaska untuk mengangkut pelombong emas ke Yukon sebagai sebahagian daripada Kerubut Emas Klondike, kemudian untuk "All-Alaska Sweepstakes", iaitu perlumbaan kereta luncur salji anjing sejauh 408 batu (657 km) di Alaska.[5] Pada masa ini, "Esquimaux" atau "Eskimo" ialah istilah pejoratif lazim untuk penduduk asli Artik Amerika Utara, dengan banyak pilih atur dialek termasuk Uskee, Uskimay, dan Huskemaw. Oleh itu, anjing yang digunakan oleh orang Artik ialah "anjing [orang] Huskie" dan akhirnya hanya "anjing husky".[6][7] Peneroka Kanada dan Amerika, yang tidak mengarifi geografi Rusia, membezakan import Chukotka dengan merujuknya sebagai husky Siberia, kerana Chukotka ialah sebahagian daripada Siberia.[1]

Leonhard Seppala dengan anjing-anjing beliau

Pada tahun 1913, Leonhard Seppala mewarisi sepasukan anjing tarikan Chukotka secara kebetulan. Jafet Lindeberg, sahabat dan penyelia beliau dalam Pioneer Mining Company, telah membawa anak-anak anjing dari Siberia sebagai hadiah untuk penjelajah Roald Amundsen, yang diharapkan oleh beliau untuk menggunakan anjing-anjing itu untuk ekspedisi mendatang beliau ke Kutub Utara. Seppala ditugasi untuk melatih anjing-anjing itu. "Saya benar-benar jatuh cinta dengan mereka dari awal", beliau teringat; "Saya hampir tidak sabar untuk menunggu salji kereta luncur untuk memulakan pelatihan mereka". Apabila Amundsen membatalkan perjalanan beliau beberapa minggu selepas anak-anak anjing itu tiba di Nome, Lindeberg memberikan anjing-anjing itu kepada Seppala.[8] Dengan saiz lebih kecil, lebih kecepatan, dan lebih daya ketahanan berbanding dengan anjing pengangkut barang seberat 100–120 paun (45–54 kg), yang digunakan secara umum pada masa itu, husky Siberia segera mendominasi perlumbaan Sweepstakes.

Pada tahun 1930, Kesatuan Soviet menghentikan pengeksportan anjing dari Siberia dan American Kennel Club mengiktiraf husky Siberia sebagai baka. Anjing yang tinggal di Kesatuan Soviet pada masa itu kemudian terus kekal sebagai anjing tarikan Chukotka, manakala anjing yang tinggal di Amerika Syarikat dan di Kanada kemudian terus membentuk ternakan asasi bagi husky Siberia.[9][5]

Pada tahun 1950-an dan tahun 1960-an, penambahbaikan prasarana dan perjalanan berjentera sekali dengan larangan ke atas pemburuan ikan paus demi sara hidup mengakibatkan keruntuhan populasi anjing kereta luncur salji peribumi di Chukotka.[1][10] Populasi anjing kereta luncur salji terus berkurang sehingga tahun 1988 apabila tinjauan rantauan mendedahkan hanya 1594 ekor anjing, yang bukan kesemuanya merupakan baka tulen.[1] Ikutan keruntuhan Kesatuan Soviet, ketidakjaminan makanan meluas di Rusia sekali dengan keizinan khas untuk pemburuan ikan paus untuk orang asli Chukchi, telah menyumbang kepada kebangkitan minat untuk memulihara anjing tarikan Chukotka di Semenanjung Chukotka. Terdapat anggaran 4000 ekor anjing tarikan Chukotka kini, walaupun tiada kejelasan tentang angka anjing baka tulen.[1][11]

Ciri[sunting | sunting sumber]

Anjing tarikan Chukotka dihargai kerana daya ketahanan tinggi, kekuatan, keupayaan untuk bekerja, dan kebolehlatihan. Ia patut mempunyai pembawaan ramah seperti yang diperlukan untuk kerja berpasukan.[2][12] Ia mempunyai lapis bulu ganda dan terdapat dengan pelbagai warna.[12] Jantan dan betina anjing ini adalah setinggi 53–65 cm (21–26 in) pada paras kelasa. Roald Amundsen menulis: "Dalam acara kereta luncur salji anjing, orang Rusia dan orang Chukchi ini mendahului semua orang yang dapat saya lihat."[1][2] Tidak seperti anjing Artik lain yang berbilang fungsi, anjing tarikan Chukotka dipilih seketatnya untuk kecekapan bahan api semasa larian jarak jauh.[2]

Kebudayaan popular[sunting | sunting sumber]

  • Fyodor Konyukhov dan Viktor Simonov menyeberangi Lautan Artik dalam tempoh 46 hari dan mencapai pesisir Pulau Ward Hunt (Kanada) dengan anjing tarikan Chukotka.[13][14]
  • Sebuah tugu sedang didirikan di Karelia sempena menghormati Cherk, seekor anjing tarikan Chukotka yang menyeberangi Lautan Artik sebanyak tiga kali.[15]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ تاريقن چوکوتکا; Rusia: чуко́тская ездова́я соба́ка; чуко́тская ездова́я, rumi: čukótskaja jezdovája sobáka; čukótskaja jezdovája; bahasa Inggeris: Chukotka sled dog; Chukchi sled dog

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h i Bogoslovskaya, L. S. (1 Mac 2010). "The Fan Hitch: Journal of the Inuit Sled Dog". thefanhitch.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 28 Mac 2024.
  2. ^ a b c d Allen, Benedict (1 Disember 2006). "An iceman's best friend". Geographical (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Oktober 2014.
  3. ^ Potselueva, Elena (1 Julai 2015). "Historical and Climatic Prerequisites of the Appearance of the Population of Sled Dogs of the Shoreline of the Chukotka Peninsula" (PDF). Journal of the International Society for the Preservation of Primitive and Aboriginal Dogs (dalam bahasa Inggeris). 44: 29–38.
  4. ^ Dmitrieva-Sulima, M.G. (1911). Laika and Hunting With It (dalam bahasa Rusia). Sanct-Peterburg.
  5. ^ a b "Siberian Husky Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 28 Mac 2024.
  6. ^ Taissumani (28 September 2007). "The Evolution of a Word Husky". Nunatsiaq News (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 28 Mac 2024.
  7. ^ Dalziel, Hugh (sekitar 1879). British dogs; their varieties, history, characteristics, breeding, management and exhibition. (dalam bahasa Inggeris). Perpustakaan Universiti California. London, The bazaar office. Check date values in: |date= (bantuan)
  8. ^ Salisbury, Gay; Salisbury, Laney (2003). The cruelest miles : the heroic story of dogs and men in a race against an epidemic (dalam bahasa Inggeris). Internet Archive. New York, Amerika Syarikat: W.W. Norton & Co. ISBN 978-0-393-01962-9.
  9. ^ DK (1 Oktober 2013). The Dog Encyclopedia: The Definitive Visual Guide (dalam bahasa Inggeris). Penguin. ISBN 978-1-4654-2116-6.
  10. ^ "Lyudmila Bogoslovskaya (U.S. National Park Service)". www.nps.gov (dalam bahasa Inggeris). 4 September 2020. Dicapai pada 28 Mac 2024.
  11. ^ "Aboriginal Subsistence Whaling". International Whaling Commission (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 28 Mac 2024.
  12. ^ a b "Chukotka Sled Dog". Embark Vet (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 28 Mac 2024.
  13. ^ "Карельские ездовые готовятся покорить Гренландию". vesti.ru (dalam bahasa Rusia). 18 Februari 2013. Dicapai pada 28 Mac 2024.
  14. ^ Konyukhov, Fedor (1 Julai 2015). "Журнал "Планета"" [Mengelilingi Dunia dan Kembali]. planeta.by (dalam bahasa Rusia). Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Februari 2022. Dicapai pada 28 Mac 2024.
  15. ^ Konyukhov, Fyodor (21 Januari 2021). "Знаменитой карельской собаке-путешественнице Черке поставят памятник" [Tugu kepada anjing kembara masyhur Karelia Cherka akan didirikan]. Республика (dalam bahasa Rusia). Dicapai pada 28 Mac 2024.