Laika Rusia-Eropah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Laika Rusia-Eropah
Hitam, kelabu, putih, lada dan garam, gelap dengan tompok putih, putih dengan tompok gelap kesemuanya warna yang diterima
Negara asalRusia (Eropah)
Anjing (Canis lupus familiaris)

Laika Rusia-Eropah[a] ialah nama bagi satu baka anjing pemburu yang berasal dari kawasan berhutan Eropah utara dan Rusia, iaitu salah satu daripada beberapa baka yang dikembangkan daripada laika baka tempatan daripada jenis spits. Laika Rusia-Eropah sendiri bertarikh kembali kepada program pembiakbakaan yang dimulakan pada tahun 1944 oleh E. I. Shereshevsky dari Institut Penyelidikan Sekesatuan untuk Industri Perburuan, di Provinsi Kalinin (kini Tver).[1]

Pengiktirafan baka[sunting | sunting sumber]

Laika Rusia-Eropah diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa dalam Kumpulan Spits dan Jenis Primitf/Seksyen 2: Kumpulan Anjing Pemburu Nordik. Baka ini tersenarai sekali dengan dua lagi baka anjing Rusia, iaitu laika Siberia Timur dan laika Siberia Barat.

Piawaian baka[sunting | sunting sumber]

Laika Rusia-Eropah diperihalkan sebagai anjing bersaiz sederhana dengan jantan yang setinggi kira-kira 54–60 sentimeter (21–24 in) pada paras kelasa dan betina yang setinggi kira-kira 52–58 sentimeter (20–23 in). Baka ini mempunyai telinga tajam dan ekor sabit yang terangkat ke arah belakang. Perangainya tidak patut agresif. Warnanya boleh terdiri daripada mana-mana warna normal jenis spits tetapi merah dan bintik pada tungkai kurang diingini.[2]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Laika Rusia-Eropah ialah baka bersemangat yang menikmati waktu yang diluangkan di hutan. Sebagai pemburu semula jadi yang kerap mengejar buruan ke atas pokok, laika Rusia-Eropah menggunakan salakannya untuk memaklumkan pemburu tentang mana-mana mangsa yang terkandas di pokok (biasanya rakun atau tupai). Laika Rusia-Eropah juga merupakan anjing cemerlang untuk pemburuan itik. Ia mungkin kerap menyalak dengan bebas di dalam rumah juga kerana ia mudah teruja daripada naluri semula jadinya. Laika Rusia-Eropah memiliki kecintaan kuat terhadap manusia dan sesuai sebagai anjing keluarga. Setelah menjalin ikatan dengan seseorang, ia agak kuat menjaga wilayah dan sesuai menjadi anjing penjaga. Ia amat toleran terhadap kanak-kanak, namun bukan terhadap orang asing atau anjing lain yang tidak dikenali.

Oleh sebab paras tenaga tingginya dan keinginannya untuk menyenangkan manusianya, laika Rusia-Eropah mendapat banyak manfaat daripada sebarang jenis latihan. Pensosialan patut bermula pada usia muda dan diteruskan sepanjang hayat. Pelatihan kepatuhan atau tugas kerja untuk dilakukan bakal menyemat pegangan tujuan dan senaman kerap yang diperlukan. Dengan pelatihan betul, ia secepatnya dapat menjadi cukup seimbang sebagai anjing keluarga.

Senaman[sunting | sunting sumber]

Sebagai anjing bertenaga dan berderia tajam, laika Rusia-Eropah memerlukan banyak senaman. Sebarang kesempatan untuk berlari dengan bebas dan berburu adalah amat sesuai. Tanpa cukup kegiatan, ia bakal menderitai kebosanan dan mungkin bersikap pemusnah.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: لايکا روسيا-ايروڤه; Rusia: ру́сско-европе́йская ла́йка, rumi: rússko-jevropéjskaja lájka; bahasa Inggeris: Russian-European laika; Russo-European laika

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Beregovoy, Vladimir (1 Mac 2003). Hunting Laika Breeds of Russia. Crystal Dreams Publishing. ISBN 1-59146-037-9.
  2. ^ "FCI-Standard N° 304 (RUSSKO-EVROPEÏSKAÏA LAÏKA) (Russian - European Laika)" [Piawaian FCI No. 304 Laika Rusia-Eropah] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Anna Samsonova, disunting oleh Dr. Eugene Yerusalimsky, disemak oleh Jennifer Mulholland dan Renée Sporre-Willes. 2 Mac 2011. Dicapai pada 4 Januari 2024.CS1 maint: others (link)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]