Mukjizat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search


Mukjizat (Bahasa Arab: المعجزات, perkara yang menyebabkan lawan menjadi lemah) ialah perkara luar biasa yang berlaku kepada para Nabi dan Rasul. Mukjizat ialah perkara luar biasa yang mencarik adat atau khariqu l-`adat (خارق العادة), iaitu sesuatu yang menyalahi kebiasaan manusia biasa.

Mukjizat berlaku secara spontan dengan izin Allah. Tiada siapa, termasuk Nabi atau Rasul yang melakukannya, mampu menghasilkan satu mukjizat sendirian tanpa izin Allah. Mukjizat tidak diperoleh melalui pembelajaran. Sesetengah mukjizat, telah menakutkan Nabi atau Rasul yang melakukannya, dan inilah apa yang telah berlaku kepada Nabi Musa apabila baginda diperintahkan untuk melontarkan tongkatnya, yang kemudian dia melihatnya bergerak seolah-olah ia seekor ular. Nabi Musa sendiri takut dengan apa yang berlaku.[1]

Allah telah menjadikan bagi setiap Nabi mukjizat yang bersesuaian dengan zamannya, dalam tiga bentuk berikut[2]:

  1. Perbuatan, seperti keluarnya unta Nabi Saleh a.s. daripada batu gunung, dan menukarkan tongkat Nabi Musa kepada ular.
  2. Pencegahan, seperti api tidak membakar Nabi Ibrahim ketika dicampakkan ke dalamnya.
  3. Perkataan, seperti Al-Qur'an kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Mukjizat Nabi Muhammad S.A.W[sunting | sunting sumber]

Mukjizat Nabi Muhammad boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

  1. Perkataan/ Al-Qawliyyah (القولية)
  2. Kejadian/ Al-Kawniyyah (الكونية)

Mukjizat Perkataan[sunting | sunting sumber]

Mukjizat Perkataan ialah Al-Quran. Disebabkan Islam adalah agama penutup yang Allah telah tetapkan bahawa ia akan berkekalan sehingga hari Qiyamah, maka Allah menetapkan bahawa mukjizat Nabi Muhammad S.A.W juga berterusan, supaya ia akan membantunya dan menjadi sumber kekuatannya secara berterusan.

Mukjizat Kejadian[sunting | sunting sumber]

Mukjizat Kejadian yang berlaku pada Nabi Muhammad S.A.W adalah dalam bentuk pertolongan, bantuan dan ketenangan bagi hati orang-orang mu'min. Sebahagiannya berlaku untuk membawa manfa`at kepada orang-orang mu'min, atau menolak bahaya daripada mereka. Mukjizat Kejadian ini bukanlah asas dalam mensabitkan kerasulan Muhammad S.A.W, dan kerana itu, Nabi tidak menyebutnya dalam cabarannya kepada para penentangnya. Bahkan, Nabi Muhammad S.A.W hanya mengehadkan terhadap cabaran untuk mendatangkan sesuatu seperti Al-Qur'an atau dengan satu surah sepertinya.

Bagi melihat senarai dan penerangan tentang Mukjizat Kejadian yang pernah terjadi kepada Nabi Muhammad S.A.W sila lihat; Mukjizat Nabi Muhammad.

Perbezaan Antara Mukjizat Dan Sihir[sunting | sunting sumber]

Mukjizat berlawanan dengan Sihir kerana sihir, dalam keadaannya yang merupakan sesuatu yang menyalahi adat, tetapi ia adalah sesuatu yang diusahakan, yang boleh dipelajari. Dan ia mengkhayalkan dan tidak benar-benar berlaku. Berlawanan dengan itu, mukjizat bukanlah sesuatu yang diusahakan. Dan ia benar-benar berlaku dan bukan khayalan mata.

Allah tidak mendatangkan mukjizat kepada para Nabi palsu. Jika Nabi palsu itu mendatangkan sesuatu yang menyalahi adat, maka ia adalah sihir atau ciptaan yang boleh dipelajari atau didatangkan sesuatu yang sepertinya.[3]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Syeikh Mustafa At-Tayr. Signs of Muhammad's Prophethood. Egypt: Conveying Islamic Message Society
  2. ^ Syeikh Mustafa At-Tayr. Al-Mu`jizatu l-Khalidatu Wa'ayatu n-Nubuwwati l-Muhammadiyyah. Egypt: Conveying Islamic Message Society
  3. ^ Syeikh Mustafa At-Tayr. Al-Mu`jizatu l-Khalidatu Wa'ayatu n-Nubuwwati l-Muhammadiyyah. Egypt: Conveying Islamic Message Society