Pantai Batu Buruk
Pantai Batu Buruk (atau Batu Burok) merupakan pantai yang boleh dijalankan aktiviti mandi-manda yang terletak di Terengganu. Pantai Batu Buruk merupakan pantai terdekat dari pusat bandar iaitu sekitar 1.5 kilometer. Hal ini menjadikannya sebagai tumpuan bagi rehlah bagi ramai penduduk tempatan selain pelancong.
Pantainya terdiri daripada pasir pantai yang putih dan diteduhi oleh barisan pokok kelapa dan pokok Ru dan angin yang kuat yang bertiup dari lautan China Selatan lantas menjadikannya sebagai tumpuan ramai untuk duduk bersantai untuk berehat selepas penat bekerja atau berkelah bersama keluarga. Bagi mereka yang berminat untuk berlari atau berjalan bersiar-siar sepanjang pantai, pantai ini merupakan tempat yang sesuai dengan angin kuat yang menyejukkan tubuh. Mereka yang berminat untuk bermain layang-layang boleh berbuat sedemikian kerana tiupan angin laut yang kuat.
Sungguhpun Pantai Batu Buruk merupakan tempat popular bagi menjalani aktiviti berkelah dan mandi manda, pengunjung perlu berhati-hati kerana ombaknya yang kuat boleh membahayakan mereka yang tidak biasa. Di sekitar pantai Batu Buruk ini juga terdapat banyak tempat makan dari restoran makanan segera sehingga makanan hasil laut Terengganu. Pengunjung boleh menjamu selera dengan ikan celup tepung, keropok, aiskrim goreng, sate ikan dan bermacam hasil laut lagi. Terdapat juga kereta kuda yang dihias bagi mereka yang ingin bersiar santai di situ.
Pantai Batu Buruk menawarkan pemandangan jauh ke kaki langit dan pada hari yang baik, pengunjung dapat melihat Pulau Redang dan Pulau Kapas, selain perahu nelayan. Terdapat juga pasar malam pada setiap hari Jumaat antara pukul 3.00 petang sehingga 7.00 malam. Terdapat juga Pusat Budaya yang membuat pertunjukkan kebudayaan seperti pencak silat, gasing, layang-layang, sepak raga dan permainan tradisi yang lain dari pukul 5.00 petang sehingga 7.00 malam setiap Jumaat dari 1 April sehingga 31 Oktober.[1]
Pantai Batu Buruk juga merupakan tempat Gendang Gangsa atau Gendang Dong Son ditemui.[2] Penemuan ini amat bersejarah kerana membuktikan pantai Batu Buruk telah didiami sejak zaman Mesolitik.[3]