Paolo Maldini

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Paolo Maldini
Paolo Maldini press conference in Tehran.jpg
Maldini pada tahun 2013
Maklumat peribadi
Nama penuh Paolo Cesare Maldini
Tarikh lahir (1968-06-26) 26 Jun 1968 (umur 49)[1]
Tempat lahir Milan, Itali
Ketinggian 1.86 m (6 ka 1+316 in)[2]
Posisi permainan Pertahanan
Kerjaya remaja
1978–1985 Milan
Kerjaya senior*
Tahun Pasukan Kmncln (Gol)
1985–2009 Milan 647 (29)
Pasukan kebangsaan
1986–1988 Itali B-21 12 (5)
1988–2002 Itali 126 (7)
* Kemunculan kelab senior dan gol dikira untuk liga tempatan sahaja .
† Kemunculan (Gol).

Paolo Cesare Maldini (lahir 26 Jun 1968) merupakan seorang bekas pemain bola sepak yang bermain di posisi pertahanan tengah untuk kelab A.C. Milan dan pasukan kebangsaan Itali. Beliau menghabiskan kesemua 25 musim kariernya di Itali bersama Milan, sebelum bersara pada umur 41 tahun pada tahun 2009[3]. Beliau telah memenangi sejumlah 26 trofi bersama Milan: Liga Juara-Juara UEFA sebanyak lima kali, kejuaraan liga Serie A sebanyak tujuh kali, sebuah trofi Coppa Italia, lima trofi Supercoppa Italiana, lima kejuaraan Piala Super UEFA, serta sebuah trofi Piala Dunia Kelab FIFA.

Maldini melakukan debut beliau untuk pasukan Itali pada tahun 1988, selama 14 tahun sebelum bersara dari peringkat antarabangsa pada tahun 2002 dengan 126 kap[4], rekod tertinggi pada ketika itu, sebelum dipecahkan oleh Fabio Cannavaro pada tahun 2009 dan Gianluigi Buffon pada tahun 2013. Maldini diberi peranan kapten pasukan kebangsaan selama lapan tahun, dan mencipta rekod penampilan sebagai kapten pasukan Itali sebanyak 74 kali, sebelum dipecahkan oleh Cannavaro pada tahun 2010[5]. Beliau bagaimana pun, tidak memenangi sebarang kejuaraan antarabangsa ketika bersama pasukan Itali.

Maldini dikenali sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik sepanjang zaman[6][7][8]. Untuk rekod, beliau tidak pernah dikenakan kad merah sepanjang tempoh kariernya[9]. Prestasi yang mengagumkan ditunjukkan beliau selama dua setengah dekad, membolehkannya memenangi anugerah Permain Pertahanan Terbaik dalam anugerah Kelab Bola Sepak UEFA semasa berumur 39 tahun, serta Pemain Pertahanan Terbaik Tahunan Serie A pada tahun 2004. Beliau juga pernah disenaraikan dalam anugerah Ballon d'Or, di mana beliau mendapat tempat ketiga untuk dua penganugerahan ini, pada tahun 1994 dan 2003[10]. Pada tahun 1999, beliau diletakkan dalam kedudukan ke-21 senarai 100 orang pemain terbaik abad ke-20[11]. Pada tahun 2002, beliau telah terpilih dalam Pasukan Impian Piala Dunia FIFA dan diletakkan di posisi pertahanan; manakala pada tahun 2004 pula, beliau dinamakan dalam senarai FIFA 100[12].

Maldini memegang rekod penampilan terbanyak di liga domestik Itali, Serie A, dengan membuat sebanyak 647 kemunculan[13], serta rekod penampilan terbanyak dalam kejohanan kelab anjuran UEFA, dengan 174 kemunculan, sebelum rekod beliau dipecahkan Iker Casillas pada tahun 2017[14]. Maldini merupakan pemain yang memegang rekod penampilan paling banyak untuk kelab A.C. Milan, dengan 902 kemunculan[15]. Beliau merupakan salah seorang daripada 18 pemain bola sepak yang telah membuat penampilan sebanyak lebih dari 1000 kemunculan[16][17][18]. Berikutan persaraan beliau selepas musim 2008-09, kelab A.C. Milan mengumumkan untuk tidak lagi menggunakan nombor 3 untuk pendaftaran nombor jersi bagi menghormati perkhidmatan yang telah Maldini curahkan kepada Milan, yang kemudiannya beliau menyatakan nombor itu boleh digunakan kepada anak-anaknya[19][20]. Pada bulan Disember 2012, beliau telah dinamakan dalam Italian Football Hall of Fame[21].

Selain bola sepak, Maldini juga aktif dalam sukan tenis[22]. Beliau juga menceburi bidang pengurusan apabila dilantik sebagai pemilik bersama kelab Miami FC[23], iaitu sebuah kelab bola sepak yang berpangkalan di Amerika Syarikat.


Kerjaya bersama A.C. Milan[sunting | sunting sumber]

1985–1987[sunting | sunting sumber]

Maldini menyertai pasukan belia Milan pada usia 10 tahun dan kemudian diserapkan ke pasukan utama Milan selepas beberapa tahun kemudian[24]. Beliau melakukan debut untuk pasukan utama Milan di bawah kendalian Nils Liedholm pada 20 Januari 1985, yang menggantikan Sergio Battistini yang mengalami kecederaan dalam perlawanan menentang Udinese semasa berumur 16 tahun[25][26]; menjadikan beliau pemain termuda yang menyertai pasukan utama Milan, rekod yang masih dipegang sehingga kini[27]. Itu merupakan penampilan tunggal beliau untuk musim 1984-85, namun begitu, beliau diletakkan dalam kesebelasan utama pada musim berikutnya, di posisi pertahanan kanan dan diberi jersi bernombor 3. Beliau kemudian diletakkan di posisi terkenalnya di bahagian pertahanan kiri disebabkan keupayaan kaki kirinya. Maldini menjaringkan gol pertama beliau dalam liga domestik pada 4 Januari 1987 menentang pasukan Como[28][29], yang merupakan jaringan tunggal dalam kemenangan 1-0[30][31].

1987-1991[sunting | sunting sumber]

Maldini pada tahun 1993.

Maldini menjulang trofi pertamanya pada musim 1987-88, apabila memenangi kejuaraan liga di bawah kendalian ketua jurulatih Arrigo Sacchi[32]. Di bawah kendalian Sacchi, pasukannya dikenali sebagai "The Immortals"[33] yang menampilkan tiga orang pemain Belanda, Frank Rijkaard, Ruud Gullit dan Marco van Basten, serta beberapa pemain Itali, pemain tengah Carlo Ancelotti, Roberto Donadoni (dan kemudian Demetrio Albertini) serta benteng pertahanan yang kuat[34]. Di bawah kendalian Sacchi dan kemudiannya Fabio Capello, Maldini membentuk benteng pertahanan yang sangat kental[35] digandingkan dengan Franco Baresi, Alessandro Costacurta, Mauro Tassotti, serta Filippo Galli, Stefano Nava dan kemudian bersama Christian Panucci[36][37][38]. Gandingan pertahanan yang mantap ini membolehkan pasukan Milan hanya melepaskan 14 gol sahaja dalam liga domestik, pada musim 1987-88, dan menjulang kejuaraan Serie A[39]. Maldini kemudian digandingkan dengan Alessandro Nesta, juga membentuk benteng pertahanan yang kuat. Maldini kemudian memenangi kejuaraan Supercoppa Italiana 1988 pada musim berikutnya, serta memenangi kejuaraan Piala Eropah dua kali berturut-turut pada musim 1988-89 dan 1989-90[31].

1991-1996[sunting | sunting sumber]

Di bawah kendalian pengurus baru Milan, Fabio Capello, Maldini merupakan sebahagian daripada pasukan Milan yang tidak pernah kalah dalam Serie A, di mana beliau menjulang kejuaraan liga pada musim 1991–92[40]. Pasukan Milan pada ketika itu juga mencipta rekod baru dengan 58 perlawanan tanpa kalah, yang membawa kepada gelaran "The Invincibles"[41][42]. Maldini juga membantu pasukan Milan mempertahankan kejuaraan liga pada musim berikutnya, dan berjaya mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA, namun Milan kalah kepada pasukan Marseille dengan jaringan 1-0[43]. Pada musim itu juga, Maldini menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan di peringkat Eropah pada 21 Oktober 1992, jaringan tunggal yang membawa kepada kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Slovan Bratislava[44]. Musim berikutnya menyaksikan Milan berjaya mempertahankan kejuaraan liga sekali selama tiga musim berturut-turut, di mana Maldini membantu pasukannya melepaskan hanya 15 gol sahaja, rekod pertahanan terbaik di Itali[45]. Maldini juga membantu pasukan Milan mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA buat kali kedua berturut-turut, dan membantu pasukannya menewaskan FC Barcelona. Dalam perlawanan tersebut, beberapa pemain utama tidak menyertai seperti Alessandro Costacurta yang dikenakan pergantungan perlawanan dan kecederaan yang dialami oleh Franco Baresi, Jean-Pierre Papin dan Marco van Basten, menjadikan pasukan Barcelona yang dikendalikan oleh pengurus Johan Cruyff pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini. Walaupun ketiadaan beberapa pemain utama, Maldini membantu Milan di bahagian pertahanan dan seterusnya berjaya merangkul kejuaraan Eropah ini dengan menewaskan Barcelona dengan jaringan 4-0[46].

Selepas memenangi gelaran ketiga kejuaraan Eropah dan mara ke perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 1994, Maldini menjadi pemain pertahanan pertama yang memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia Tahunan anjuran majalah World Soccer. Dalam ucapan beliau semasa menerima anugerah ini, Maldini mengatakan bahawa pencapaian beliau ini, "seperti satu kebanggaan kerana biasanya pemain pertahanan tidak diberi perhatian sepenuhnya dari penyokong dan wartawan, berbanding penjaring gol. Kami adalah ibarat pekerja yang berada di dalam bilik enjin, berbanding mereka yang mengambil kejayaan."[47] Beliau kemudian menghamburkan pujian kepada kapten pasukan Milan, Franco Baresi, sebagai pemain yang "lebih berhak menerima apa jua anugerah yang saya terima"[47]. Maldini juga mendapat tempat ketiga dalam anugerah Ballon d'Or 1994[48], di belakang Hristo Stoichkov dan Roberto Baggio, serta tempat kelima dalam anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA 1994[49].

Musim 1994-1995 menyaksikan Maldini membantu pasukan Milan menjulang trofi Supercoppa Italiana[50] dan trofi Piala Super UEFA[51]. Namun begitu, beliau dan pasukan Milan terlepas untuk kejuaraan Serie A buat kali keempat, hanya menghabiskan musim dengan mendapat tempat keempat dalam carta liga. Maldini juga bermain dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA, namun begitu tewas kepada pasukan Ajax dengan jaringan 1-0, di mana pasukan Ajax pada ketika itu dibarisi oleh pemain-pemain muda seperti Van der Sar, Frank Rijkaard dan Marc Overmars yang dikendalikan oleh pengurus Louis van Gaal[52]. Walaupun tidak menjulang trofi utama, Maldini telah tercalon dan mendapat tempat kedua di belakang George Weah bagi Pemain Terbaik Dunia FIFA 1995 di atas prestasi yang ditunjukkan beliau di atas padang. Musim berikutnya menyaksikan Maldini berjaya menjulang kejuaraan liga buat kali kelima.

1996-2001[sunting | sunting sumber]

Berikutan beberapa pemain utama yang sudah melalui usia lanjut dan persaraan serta peletakan jawatan oleh Capello, Maldini dan pasukannya menghadapi keputusan yang tidak memberangsangkan untuk beberapa musim. Selepas tamat musim 1996-97, Franco Baresi dan Mauro Tassotti mengumumkan persaraan mereka[53] dan ini memberikan laluan kepada Maldini untuk dilantik sebagai kapten baru Milan[9]. Maldini melalui permulaan yang sukar sebagai kapten pasukan, tewas kepada pasukan Lazio dalam perlawanan akhir Coppa Italia pada tahun 1998. Walaupun begitu, Maldini menjulang kejuaraan liga sebagai kapten pasukan pada musim 1998-99, di bawah kendalian pengurus Alberto Zaccheroni, memiliki kelebihan satu mata di atas Lazio.

2001-2007[sunting | sunting sumber]

Maldini menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA musim 2002-03 sebagai kapten pasukan

Pada musim 2001-02, Maldini membantu pasukan Milan mara ke perlawanan separuh akhir Piala UEFA, pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan ini. Namun begitu, Milan tersingkir dari kejohanan ini selepas mereka kalah dengan agregat 3-5 kepada pasukan Borussia Dortmund[54]. Pada tahun 2002, Maldini dianugerahkan dengan anugerah Premio Nazionale Carriera Esemplare "Gaetano Scirea", anugerah yang diberi kepada mereka yang berumur 30 tahun ke atas yang telah memberikan prestasi terbaik[55]. Musim berikutnya, Maldini digandingkan dengan Alessandro Nesta, Alessandro Costacurta dan Cafu[56], kemudian bersama Jaap Stam, barisan pertahanan terbaik di peringkat domestik mahupun di peringkat Eropah. Maldini menjulang trofi Coppa Italia pertama beliau selepas menumpaskan pasukan A.S. Roma[57][58].

Maldini memenangi Liga Juara-Juara UEFA musim 2002-03 buat pertama kali sebagai kapten pasukan dalam kariernya. Dalam perlawanan akhir yang diadakan di Old Trafford, England pada 28 Mei 2003 itu, Maldini membantu pasukannya tidak dibolosi dan mengakhiri masa penuh dengan keputusan 0-0 menentang pasukan Juventus dan berjaya menjulang trofi itu setelah pasukannya menewaskan Juventus dalam penentuan penalti yang berkesudahan 3-2[59]. Hari itu juga merupakan hari di mana bapanya, Cesare, menjulang trofi yang sama sebagai kapten pasukan Milan di mana perlawanan itu juga diadakan di England[60], 40 tahun sebelumnya. Maldini dan bapanya termasuk dikalangan dua lagi pasangan bapa-anak yang menjulang trofi ini; Manuel Sanchís Martínez dan Manuel Sanchís Hontiyuelo dari pasukan Real Madrid, serta Carles dan Sergio Busquets dari pasukan Barcelona. Maldini juga dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir itu dan dinamakan dalam Pasukan Terbaik UEFA Tahunan buat pertama kali dalam kariernya[61].

Pada tahun 2003, Maldini telah tercalon dan tersenarai di tempat ketiga dalam anugerah Ballon d'Or dengan mengumpul 123 mata, dan merupakan kali kedua beliau tercalon dalam anugerah tersebut[62]. Maldini telah memimpin pasukan Milan merangkul kejuaraan liga domestik Serie A pada musim 2002-03, dengan mengumpul 82 mata[63]. Walau bagaimanapun, pasukannya tersingkir dalam perlawanan separuh akhir kejohanan Coppa Italia dan dalam perlawanan suku akhir kejohanan Liga Juara-Juara UEFA. Pada bulan April 2004, Maldini diundi pada kedudukan ke-10 dalam kaji selidik atas talian yang dijalankan UEFA, bagi meraikan pemain bola sepak Eropah terbaik untuk 50 tahun ini. Dalam kaji selidik tersebut, Maldini mendapat undian kedua terbanyak selepas pemain lagenda Dino Zoff untuk pemain yang berasal dari Itali[64]. Maldini juga termasuk dalam senarai elit FIFA 100, senarai 125 orang pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman, yang dipilih sendiri oleh Pelé. Berikutan prestasi cemerlang yang ditunjukkan Maldini dalam membantu pasukannya menjulang kejuaraan liga domestik, beliau telah dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik Serie A untuk tahun 2004.

Maldini memulakan musim 2004-05 dengan merangkul kejuaraan Supercoppa Italiana sebagai kapten pasukan selepas pasukannya menewaskan Lazio. Pada musim itu juga, Maldini dan pasukannya tewas kepada pasukan Liverpool F.C. dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA, di mana pasukannya telah mendahului dengan selesa dengan berkedudukan 3-0, sebelum Liverpool menyamakan keputusan dan mengheret perlawanan hingga ke penentuan penalti. Dalam perlawanan itu, Maldini menjaringkan gol terpantas dalam kejohanan ini[65]. Pada tahun 2005, Maldini telah dipilih sebagai sebahagian daripada Pasukan Terbaik UEFA buat kali kedua sepanjang kariernya, dan juga dipilih sebagai sebahagian daripada pasukan pilihan FIFPro World XI[66] buat kali pertama bagi karier beliau. Pada musim berikutnya, Maldini memecahkan rekod penampilan terbanyak Serie A yang dipegang oleh Dino Zoff[67], selepas beliau bermain buat kali ke-571 dalam liga domestik menentang Treviso pada 25 September 2005, manakala tujuh sehari sebelumnya, beliau sudah bermain buat kali ke-800 untuk kesemua perlawanan membabitkan pasukan Milan[30][31].

Musim berikutnya, Maldini membantu pasukan Milan menamatkan musim liga di tempat keempat, dan membolehkan mereka menempah slot ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara UEFA musim berikutnya walaupun didenda dengan pengurangan jumlah mata akibat skandal rasuah yang melanda bola sepak Itali pada ketika itu[68]. Maldini bermain untuk kali ke-600 dalam perlawanan liga Serie A di mana pasukannya terikat dengan keputusan 1-1 di Catania. Musim itu juga, Maldini mengetuai pasukannya menempah slot ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA, perlawanan akhir kali ke-3 dalam masa enam tahun. Dalam perlawanan tersebut, Maldini membantu pasukan Milan menewaskan Liverpool pada 23 Mei 2007 yang berkesudahan Milan menang 2-1[69]. Pada umur 37 tahun, Maldini merupakan kapten paling tua yang menjulang trofi itu[70]. Sebelum bermulanya perlawanan akhir itu, menerusi temuramah bersama ESPN, Maldini mengatakan bahawa perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA 2005 merupakan peristiwa yang paling teruk sepanjang kariernya. Atas prestasi yang ditunjukkan Maldini, beliau telah dipilih sebagai Pemain Pertahanan UEFA Terbaik 2007[71].


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Barney Corkhill (26 November 2008). "A Tribute To...Paolo Maldini". Bleacher Report, Inc. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  2. ^ "Paolo Maldini – AC Milan Player Profile". Diarkibkan daripada original pada 30 September 2007. 
  3. ^ "Why Did Milan Ultras Insult Paolo Maldini?". Goal.com. 25 Mei 2009. Dicapai pada 12 Julai 2017. 
  4. ^ "Maldini retires from Italy". Sky Sports. 25 April 2002. Dicapai pada 12 Julai 2017. 
  5. ^ "All'Adriatico la festa Azzurra con i 4 Campioni over 100 presenze". figc.it. FIGC. Dicapai pada 24 Julai 2014. 
  6. ^ "FIFA Classic Player: Paolo Maldini, an icon and a gentleman". FIFA.com. Dicapai pada 22 Disember 2013. 
  7. ^ "Legend of Calcio: Paolo Maldini". Forza Italian Football. 28 Julai 2011. Dicapai pada 22 Disember 2013. 
  8. ^ "Maldini". gazzetta.it. La Gazzetta dello Sport. Dicapai pada 24 Julai 2014. 
  9. ^ a b "Paolo Maldini made his debut 30 years ago today: JOE looks at the career of the AC Milan legend". JOE.com. 26 Jun 2014. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  10. ^ "15 Best Players to Have Never Won the Ballon D'Or". Bleacher Report, Inc. 31 Disember 2014. Dicapai pada 12 Julai 2017. 
  11. ^ "World Soccer 100 Players of the Century". Dicapai pada 24 Julai 2014. 
  12. ^ "Pele's list of the greatest". BBC Sport. 4 Mac 2004. Dicapai pada 15 Jun 2013. 
  13. ^ "Italy – All-Time Most Matches Played in Serie A". RSSSF. Dicapai pada 24 Julai 2014. 
  14. ^ "Records et chiffres". fifa.com. FIFA. Dicapai pada 24 Julai 2014. 
  15. ^ "AC Milan Hall of Fame: Paolo Maldini". acmilan.com. A.C. Milan. Dicapai pada 24 Julai 2014. 
  16. ^ Louise Taylor (23 Mac 2017). "Gianluigi Buffon's 1,000th career game is testament to a beacon of stability". The Guardian. Dicapai pada 24 Mac 2017. 
  17. ^ James Horncastle (23 Mac 2017). "Gianluigi Buffon is far from finished after 1,000 games between the posts". ESPN FC. Dicapai pada 24 Mac 2017. 
  18. ^ Glenn Moore (27 Mei 2011). "Zanetti, Inter's captain and gentleman, joins the 1,000 matches club". The Independent. Dicapai pada 24 Mac 2017. 
  19. ^ Salvatore Landolina (18 Mac 2011). "Milan Legend Paolo Maldini: Number Three Jersey Only To My Children". Goal.com. Dicapai pada 12 Julai 2017. 
  20. ^ Scott Murray, Paolo Bandini (27 Mei 2009). "Which clubs have retired shirt numbers?". The Guardian. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  21. ^ "2012 Italian Football Hall of Fame Inductees". FIGC. Dicapai pada 24 Julai 2014. 
  22. ^ "Maldini berdepan dugaan kuasai tenis profesional". Berita Harian. 28 Jun 2017. Dicapai pada 12 Julai 2017. 
  23. ^ Bob Williams (30 November 2015). "Paolo Maldini and Alessandro Nesta giving NASL an Italian renaissance with Miami FC". The Independent. Dicapai pada 12 Julai 2017. 
  24. ^ "Maldini: I will absolutely not take AC Milan role". Goal.com. 6 Mei 2017. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  25. ^ "Paolo Maldini". Talk Football. Dicapai pada 25 Februari 2008. 
  26. ^ Williams, Richard (23 Mei 2007). "Maldini the fulcrum of Milan generation game". Guardian. London. Dicapai pada 28 Mei 2007. 
  27. ^ Beech, Richard (22 Oktober 2013). "Alex Ferguson: I tried to sign Paolo Maldini for Man United but he turned us down". Mirror. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  28. ^ "Rapid fire with Paolo Maldini: On AC Milan, best opponents, favorite player today". Sports Illustrated. 28 Mac 2017. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  29. ^ "Dove c'è un abbraccio...". acmilan.com. A.C. Milan. Dicapai pada 24 Julai 2014. 
  30. ^ a b "Paolo Cesare Maldini". MagliaRossonera.it. Dicapai pada 19 Jun 2010. 
  31. ^ a b c "Paolo MaIdini: Io sono leggenda". Storie di Calcio. Dicapai pada 30 Mei 2015. 
  32. ^ "Paolo Maldini". UEFA. Dicapai pada 28 Mei 2007. 
  33. ^ "Classic Serie A Teams: 'The Immortals' of AC Milan". The Gentlemen Ultra. 13 September 2015. Dicapai pada 12 Julai 2017. 
  34. ^ Tom Rostance (5 November 2013). "How the Belgrade fog saved the great AC Milan team of 1988-89". BBC Sport. Dicapai pada 29 Julai 2016. 
  35. ^ James Horncastle (21 Mac 2016). "Gianluigi Buffon record cements his legacy as greatest keeper of all-time". ESPN FC. Dicapai pada 21 Mac 2016. 
  36. ^ Rob Smyth (8 Mei 2009). "The Joy of Six: Great defences". The Guardian. Dicapai pada 9 Mac 2016. 
  37. ^ Foot, John (2006). Winning at All Costs: A Scandalous History of Italian Soccer. New York: Nation Books. m/s. 228. 
  38. ^ Mattia Fontana (19 Ogos 2014). "La storia della tattica: da Sacchi a Guardiola". Eurosport. Dicapai pada 10 Mac 2016. 
  39. ^ Andrew Richardson (25 September 2016). "FRANC-LY IMPENETRABLE Franco Baresi and Paolo Maldini conceded just 23 goals at heart of AC Milan in 196 matches". The Sun. Dicapai pada 12 Julai 2017. 
  40. ^ "Fabio Capello and the legendary Milan years". These Football Times. 27 September 2016. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  41. ^ "The longest unbeaten runs in European football". UEFA.com. 4 Februari 2016. Dicapai pada 29 Julai 2016. 
  42. ^ "10 famous unbeaten runs - AC Milan: 58 games (1991-93)". Goal.com. 24 September 2012. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  43. ^ "UEFA Champions League 1992/93 - History - Marseille-Milan – UEFA.com". UEFA.com. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  44. ^ "UEFA Champions League 1992/93 - History - Slovan Bratislava-Milan – UEFA.com". UEFA.com. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  45. ^ Craig Bloomfield (15 Februari 2012). "The Milan team with a BETTER record than Arsenal's unbeaten side - remembering AC Milan's very own Invincibles". talkSPORT. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  46. ^ Sid Lowe (28 Mac 2012). "Barcelona v Milan revisited: The night in 1994 the Dream died". The Guardian. Dicapai pada 10 April 2015. 
  47. ^ a b "Paolo Maldini". Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mei 2008. Dicapai pada 25 April 2008. 
  48. ^ "Palmarès Ballon d'Or - 1994 - Hristo Stoichkov". Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  49. ^ "FIFA Awards – World Player of the Year - Top 10". RSSSF. Diarkibkan daripada original pada 12 Januari 2016. Dicapai pada 31 Mac 2016. 
  50. ^ "Supercoppa Italiana – Milan, ecco tutte le tue vittorie". Pianeta Milan. 19 Disember 2016. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  51. ^ "1994: Masterful Milan march on". UEFA.com. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  52. ^ "Ajax's 1995 Champions League winners: 20 years on from their win over AC Milan in the final, where are the likes of Edwin van der Sar, Edgar Davids and Marc Overmars?". The Daily Mail. 31 Julai 2015. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  53. ^ "How Franco Baresi became one of football's greatest defenders". These Football Times. 21 Jun 2015. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  54. ^ "Dortmund see off plucky Milan". UEFA.com. 12 April 2002. Dicapai pada 13 Julai 2017. 
  55. ^ "Premio Nazionale Carriera Esemplare "Gaetano Scirea": Alba d'Oro". Dicapai pada 21 Januari 2015. 
  56. ^ "AC Milan Team Of The Decade 2000-2010". Goal.com. 14 Julai 2009. Dicapai pada 16 Julai 2017. 
  57. ^ "Milan, l'ultima volta nel 2003: nel segno di Rivaldo e Serginho". Contra Ataque. 2 Mac 2016. Dicapai pada 16 Julai 2017. 
  58. ^ "Milan, perché snobbi la Coppa Italia? Il trofeo manca dal 2003". Milan Live. 1 Disember 2015. Dicapai pada 16 Julai 2017. 
  59. ^ "Milan lift European crown". UEFA.com. 29 Mei 2003. Dicapai pada 18 Julai 2017. 
  60. ^ "Retiring Maldini celebrates the beauty of Milan". UEFA.com. 29 Mei 2009. Dicapai pada 29 Januari 2016. 
  61. ^ "Team of the Year 2003". UEFA.com. 10 Januari 2012. Dicapai pada 18 Julai 2017. 
  62. ^ Robert Pryce (23 Disember 2003). "Henry loses out to Nedved". The Guardian. Dicapai pada 18 Julai 2017. 
  63. ^ Oliver Young-Myles (29 Mac 2016). "Where are they now? AC Milan's 2003-04 Serie A winning squad". Squawka. Dicapai pada 18 Julai 2017. 
  64. ^ "Zinedine Zidane voted top player by fans" (PDF). uefa.com. UEFA. Dicapai pada 24 Julai 2014. 
  65. ^ "Liverpool triumph in Turkey". UEFA.com. 26 Mei 2005. Dicapai pada 18 Julai 2017. 
  66. ^ "FIFPRO WORLD XI 2004/2005". FIFPro. 20 Januari 2006. Dicapai pada 18 Julai 2017. 
  67. ^ "Maldini sets record". soccernet.espn.go.com. 25 September 2005. Dicapai pada 25 April 2008. 
  68. ^ "Punishments cut for Italian clubs". BBC Sports. 26 Julai 2006. Dicapai pada 25 Julai 2017. 
  69. ^ "AC Milan 2-1 Liverpool". BBC Sports. 23 Mei 2007. Dicapai pada 25 Julai 2017. 
  70. ^ "Oldest person to captain a European Cup / Champions League-winning team: Paolo Maldini". Dicapai pada 23 Julai 2014. 
  71. ^ "UEFA Club Defender of the Year". UEFA.com. 1 Mei 2011. Dicapai pada 25 Julai 2017.