Sekolah Kebangsaan Paya Bunga

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Kebangsaan Paya Bunga
Lokasi
Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Rendah, Sekolah kerajaan
MotoILMU SULUH HIDUP
Ditubuhkan1919
Nombor sekolah96231733
Kod sekolahTBA3003
Faks96248916


Sekolah Kebangsaan Paya Bunga merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan yang terletak di Jalan Tok Lam , Kuala Terengganu , Terengganu Darul Iman, Malaysia.

Pada 2009, Sekolah Kebangsaan Paya Bunga memiliki 39 pelajar lelaki dan 41 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 80 orang. Ia mempunyai seramai 14 orang guru.2009

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Kebangsaan Paya Bunga
Jalan Tok Lam , Kuala Terengganu , Terengganu Darul Iman, Malaysia
Telefon = 96231733
Fax = 96248916

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Apabila sekolah tertua di Kuala Terengganu iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Keling ditutup, murid-murid berpindah ke Sekolah Kampung Petani dan Sekolah Kampung Banggol.

Sekolah Kebangsaan Paya Bunga pernah dijadikan sebagai Mahkamah Daerah Kuala Terengganu sebelum kembali beroperasi sebagai sekolah pada tahun 1925 selepas pihak mahkamah berpindah ke lokasi lain.

Pembinaan sekolah ini ditaja oleh 3 orang iaitu Encik Ngah bin Ali, Haji Wan Muhamad Kemaman, dan Haji Awang bin Yunus. Sekolah ini dibina selepas mendapat kelulusan tanah seluas 0.768 ekar dari Kerajaan Negeri Terengganu yang bernilai $400.

Sekolah ini mula dibina pada 13 Februari 1925(berdasarkan tukaran tarikh 19.7.1343H kepada Masihi) oleh seorang pemborong China dengan perbelanjaan $3500 yang dibiayai oleh Syarikat Lombong Bijih Timah Kemaman yang kemudiannya siap dan dibuka pada tahun 1926.

Jumlah murid ketika itu hanya 100 orang iaitu dari Darjah 0 hingga Darjah 4 dengan bilangan guru seramai 3 orang. Guru Besar pertama sekolah ialah Cikgu Mohd Dahan bin Jaafar manakala Guru Penolong ialah Encik Tun bin Abdullah dan Tengku Ali bin Chik.

Ketika zaman Encik Akil bin Atan menjadi Guru Besar, kedudukan Darjah 0 hingga 4 ditukar kepada Darjah 1 hingga 5. Bilangan guru juga bertambah kepada 8 orang berikutan pertambahan bilangan murid.

Pada tahun 1938, kerajaan telah membina sebuah lagi bangunan bagi menampung jumlah murid yang meningkat. Pada tahun 1948, sebuah bangunan kayu yang menempatkan 2 bilik darjah telah dibina disebabkan kekurangan bilik darjah. Pada tahun 1960, kerajaan telah membina sebuah bangunan 2 bilik darjah dan bangunan pejabat yang lengkap dengan bilik guru, bilik Guru Besar, stor dan tandas selepas bilangan murid bertambah dari setahun ke setahun.

Pada mulanya, sekolah ini hanya menerima murid lelaki sahaja namun apabila diwujudkan darjah khas pada tahun 1953-1956 maka kemasukan murid perempuan hanya diterima untuk darjah khas tersebut. Selepas darjah khas dimansuhkan pada tahun 1956, kemasukan murid perempuan terhenti sehinggalah sekolah kembali menerima kemasukan murid perempuan pada tahun 1970 dengan bilangan seramai 10 orang ketika itu sebelum bertambah kepada 95 orang pada tahun 1980.

Pada tahun 1973, sekolah ini mempunyai 393 orang murid dan awal tahun ini sekolah hanya mempunyai 262 orang murid. Kemerosotan bilangan murid sejak tahun 1973 berkemungkinan disebabkan oleh perpindahan penduduk di Kampung Tanjung dan kekurangan kemudahan fizikal khususnya padang berbanding sekolah-sekolah lain di bandar Kuala Terengganu.

Pada 26 Oktober 1980 jam 3.00 petang, Menteri Besar Terengganu ketika itu YAB Dato' Haji Wan Mokhtar bin Ahmad telah merasmikan pembukaan bangunan gantian sekolah yang telah dibina pada tahun 1979 menggantikan bangunan asal sekolah yang dibina pada tahun 1925. Ketika majlis perasmian tersebut, upacara menanam pokok dan pembukaan papan nama sekolah juga dilakukan oleh beliau manakala buku cenderamata perasmian bangunan gantian sekolah disumbangkan oleh Menteri Pertanian Malaysia ketika itu, YB Dato' Haji Ab. Manan Haji Othman.

Sekolah ini mempunyai kawasan seluas 1.144 ekar yang menempatkan sebuah rumah guru, sebuah bangunan sekolah 2 tingkat (6 bilik darjah), sebuah bangunan 2 bilik darjah, sebuah bangunan pejabat dan sebuah kantin.

Pada tahun Buku Cenderamata dicetak (1979 atau 1980), sekolah ini mempunyai 14 orang kakitangan yang terdiri dari 10 orang guru, 1 orang kerani, 1 orang tukang kebun, 1 orang tukang sapu, 1 pengawal keselamatan dan 254 orang murid dengan 8 aliran darjah.[1]

Perlaksanaan dasar Penyata Razak yang diumumkan pada 16 Mei 1956 telah menukarkan nama Sekolah Melayu Paya Bunga kepada Sekolah Kebangsaan Paya Bunga.

Senarai Guru Besar[sunting | sunting sumber]

  1. Encik Mohd Dahan bin Jaafar (1926)
  2. Encik Ali bin Omar
  3. Encik Akil bin Atan
  4. Encik Ali bin Long
  5. Encik Endut bin Hitam
  6. YM Engku Haji Long bin Mohd
  7. Encik Wan Sulaiman bin Ibrahim
  8. YM Engku Haji Long bin Mohd
  9. Encik Wan Endut bin Othman (1943-1946)
  10. YM Engku Haji Long bin Mohd (1946-1950)
  11. Tuan Haji Khalid bin Senawi (1951-1956)
  12. Encik Othman bin Haji Ali (1957-1960)
  13. Encik Ab. Razak bin Akil (1960-1961)
  14. Encik Ali bin Musa (1961-1962)
  15. Encik Abdullah bin Taib (1962-1967)
  16. Encik Mohd Yusof bin Ismail (1968-1977)
  17. Encik Zulkifli bin Haji Yusof (1977-1979)
  18. Puan Wan Hasmah binti Yusof (1980) [1]

Galeri[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Buku Cenderamata sempena Pembukaan Rasmi Bangunan Gantian Sekolah Kebangsaan Paya Bunga. Kuala Terengganu: Percetakan Chua Kong Hwee Sdn Bhd. 1980.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]