Terier sutera Australia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Terier sutera Australia
Terier sutera
Nama lainTerier sutera
Negara asalAustralia
Trait
Tinggi Jantan 23–26 cm (9–10 in)
Bulu Rata, halus, licau, dan bak sutera
Warna Biru, sawo matang
Jangka hayat 11–14 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Terier sutera Australia[a] atau hanya terier sutera[b] (bergantung pada pejabat pendaftaran baka) ialah satu baka anjing kecil daripada jenis terier. Baka ini dikembangkan di Australia, sungguhpun jenis dan baka leluhur adalah dari Great Britain. Ia berkait rapat dengan terier Australia dan terier Yorkshire. Baka ini hanya dipanggil "Silky Terrier" ("terier sutera") di Amerika Utara, tetapi dipanggil "terier sutera Australia" di negara asalnya dan di selebih dunia.

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Terier sutera Australia

Terier sutera Australia ialah terier kecil dan padat bertungkai pendek yang setinggi 23–26 cm (9.1–10.2 in) pada paras kelasa, berjaga-jaga, dan aktif. Lapis bulu sutera panjang kelabu dan putih atau biru dan sawo matang ialah ciri pengenal pasti, tergantung lurus-lurus dan terbelah di sepanjang belakang, dan diperihalkan "rata, halus, dan licau".[1][2]

Terier sutera patut lebih panjang sedikit daripada ketinggiannya (kira-kira seperlima lebih panjang daripada ketinggian pada paras kelasa). Ini ialah anjing yang dari segi sejarah digunakan untuk memburu dan membunuh rodensia dan ular, maka tubuhnya patut mempunyai cukup isi untuk menggalas peranan ini. Lapis bulunya memerlukan penjagaan kerap untuk mengelakkan kusutan dan mengekalkan kesuteraannya.[3]

Terier sutera mempunyai kepala kuat berbentuk baji. Matanya kecil dan berbentuk badam. Menurut piawaian, mata berwarna cerah dianggap sebagai kecacatan. Telinganya kecil dan terangkat tegak-tegak. Terier sutera mempunyai ekor terletak tinggi-tinggi dan kaki kecil hampir mirip kucing. Lapis bulunya patut panjang, tetapi tidak mencecah lantai. Bulu pada muka dan telinga biasanya terpotong.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Seekor anak terier sutera

Leluhur terier sutera Australia termasuk terier Yorkshire dan terier Australian (yang diturunkan daripada terier jenis berbulu kasar yang dibawa dari Great Britain ke Australia pada awal abad ke-19); segelintir rekod menunjukkan sama ada anjing awal hanya merupakan terier Australia yang lahir dengan bulu sutera, atau sama ada terdapat percubaan untuk menghasilkan baka terpisah.[4] Menurut American Kennel Club, baka ini dihasilkan pada penghujung abad ke-19 apabila terier Yorkshire disilangkan dengan terier Australia.[5] Pada mulanya, baka ini dikenali sebagai Sydney Silky ("[anjing] sutera Sydney"), kerana ia terdapat terutamanya di bandar raya Sydney, Australia.[1] Walaupun kebanyakan baka Australia lain merupakan anjing pekerja, terier sutera dibiakbakakan terutamanya untuk menjadi haiwan peliharaan dan pendamping bandar, walaupun ia juga terkenal kerana membunuh ular di Australia.[4]

Sehingga tahun 1929, terier Australia, terier sutera Australia, dan terier Yorkshire tidak ditakrifkan dengan jelas. Anjing daripada tiga baka berlainan mungkin lahir dalam perinduk sama yang dipisahkan menurut penampilan kepada jenis berlainan sebaik membesar.[5] Selepas tahun 1932 di Australia, pembiakbakaan silang lanjut tidak digalakkan dan pada tahun 1955 nama baka ini secara rasmi menjadi Australian Silky Terrier ("terier sutera Australia"). Baka ini diiktiraf oleh Australian National Kennel Council pada tahun 1958 dalam Kumpulan Mainan.[4]

Semasa Perang Dunia Kedua dan selepas itu, askar Amerika yang telah ditempatkan di Australia membawa pulang ke Amerika Syarikat beberapa ekor terier sutera. Gambar-gambar akhbar bagi baka ini pada tahun 1954 menyebabkan lonjakan kepopularan dan ratusan terier sutera diimport dari Australia ke Amerika Syarikat.[6] American Kennel Club mengiktiraf baka ini sebagai Silky Terrier pada tahun 1959, demikian juga United Kennel Club (Amerika Syarikat) pada tahun 1965 yang dalamnya ia ditunjukkan sebagai terier; ia juga diiktiraf sebagai Silky Terrier oleh Canadian Kennel Club. Baka ini diiktiraf oleh semua kelab kenel utama di dunia berbahasa Inggeris dan di peringkat antarabangsa oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa sebagai baka nombor 236.[7]

Terier sutera Australia ialah terier, tetapi biasanya ditempatkan dalam Kumpulan Mainan dan bukan dalam Kumpulan Terier kerana saiz kecilnya. Persekutuan Kinologi Antarabangsa mempunyai seksyen khas Kumpulan Terier yang menyertakan hanya anjing terkecil, manakala kelab kenel lain menempatkan baka ini dalam Kumpulan Mainan, tetapi ada persetujuan umum bahawa jenis baka ini ialah terier.

Seekor terier sutera jantan dewasa

Perangai[sunting | sunting sumber]

Piawaian baka memerihalkan perangai unggul terier sutera Australia sebagai perangai setajamnya berwaspada dan aktif.[7] Walaupun ini masih baka bertenaga, ia agak kurang aktif berbanding dengan terier lain.[3] Dalam tinjauan yang ditadbir oleh Dogs 101, sembilan puluh satu ekor anjing baka kecil (setinggi 16 inci dan kurang berat daripada 22 lb) dinilai menurut keupayaan untuk belajar dengan cepat - terier sutera ditempatkan dalam lingkungan dua puluh teratas. Walau bagaimanapun, pelatihan anjing ini dapat menjadi sukar, kerana baka ini kerap degil dan sengaja ketegar.[8]

Ia lebih berdikari daripada baka mainan lain, namun penyayang dan setia kepada pemiliknya. Ia sedia menyalak, terutamanya apabila menyapa orang asing.[8]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: تيريئر سوترا اءوستراليا; bahasa Inggeris: Australian silky terrier
  2. ^ Jawi: تيريئر سوترا; bahasa Inggeris: silky terrier

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b New Zealand Kennel Club, Australian Silky Terrier (Inggeris) Diarkibkan 27 April 2005 di Wayback Machine
  2. ^ Australian National Kennel Council, Australian Silky Terrier (Inggeris) Diarkibkan 22 Disember 2008 di Wayback Machine
  3. ^ a b Palika, Liz (27 Ogos 2007). The Howell Book of Dogs: The Definitive Reference to 300 Breeds and Varieties (dalam bahasa Inggeris). Wiley. m/s. 360–361. ISBN 978-0-470-00921-5.
  4. ^ a b c Clark, Anne Rogers; Andrew H. Brace (1995). The International Encyclopedia of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Howell Book House. m/s. 419. ISBN 0-87605-624-9.
  5. ^ a b Silky Terrier, American Kennel Club (Inggeris)
  6. ^ History of the Silky Terrier, Australian Silky Terrier Club of Great Britain (Inggeris) Diarkibkan 6 Oktober 2011 di Wayback Machine
  7. ^ a b "FCI-Standard N° 236 AUSTRALIAN SILKY TERRIER" [Piawaian FCI No. 236 Terier Sutera Australia] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). 5 Disember 2012. Dicapai pada 7 Mac 2024.
  8. ^ a b "Australian Silky Terrier Breed Information: History, Health, Pictures, and more". www.easypetmd.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Mac 2024.

Bacaan tambahan[sunting | sunting sumber]

  • History, Origins and Development of the Australian Silky Terrier (Inggeris) George Holmes. Salah satu daripada beberapa esei yang muncul dalam Australian Made: Australian Breeds Feature, diterbitkan secara persendirian, pertengahan 1990.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]