Pergi ke kandungan

Anjing pemburu tikus Mallorca

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing pemburu tikus Mallorca
Negara asalSepanyol
Trait
Berat Jantan 3.5–5 kilogram (8–11 lb)
Betina 3–4 kilogram (7–9 lb)
Tinggi Jantan 32–36 sentimeter (13–14 in)
Betina 29–33 sentimeter (11–13 in)
Bulu pendek
Warna hitam dan sawo matang, perang dan sawo matang, kadang-kadang putih dengan tompok-tompok atau triwarna
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing pemburu tikus Mallorca[a] ialah satu baka anjing Sepanyol daripada jenis anjing pemburu tikus atau anjing pemburu sarang arnab yang terdapat di pulau Mallorca di Kepulauan Balear.[1][2] Ia diiktiraf oleh Pemerintah Kepulauan Balear[3]:23307 dan oleh pemerintah kebangsaan Sepanyol,[1]:13433 tetapi bukan oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa.[4]

Asal usul anjing pemburu tikus Mallorca adalah tidak jelas, tanpa bukti berdokumen sebelum separuh kedua abad kesembilan belas.[2]:518 Anjing ini menunjukkan banyak keserupaan dengan anjing baka anjing pemburu tikus Valencia dari komuniti berautonomi Valencia, di tanah besar Sepanyol. Pesawah padi Valencia tiba di Mallorca pada tahun 1901 untuk bekerja di tanah bencah di Albufera de Muro dan sesetengah sumber mengupas ini sebagai penjelasan mungkin untuk keserupaan.[2]:518[5] Telah juga ada cadangan bahawa mungkin terdapat sesestengah kemasukan darah terier Inggeris dalam sejarah baka ini.[2]:518

Sebuah persatuan baka – Club Espanyol del Ca Rater Mallorquí ("Kelab Anjing Pemburu Tikus Mallorca Sepanyol") – diasaskan pada tahun 1990 dan pendaftaran dimulakan.[6] Anjing pemburu tikus Mallorca diiktiraf secara rasmi oleh komuniti berautonomi Kepulauan Balear pada tahun 2002 dengan pengasasan buku pembaka dan penerbitan piawaian baka dalam Butlletí Oficial de les Illes Balears ("Buletin Rasmi Kepulauan Balear"), iaitu gazet pemerintah bagi kepulauan itu.[3][6] Pada tahun 2004, ia menerima pengiktirafan kebangsaan penuh apabila piawaian baka diterbitkan dalam Boletín Oficial del Estado ("Buletin Rasmi Negara") – jurnal rasmi pemerintah Sepanyol – dan persatuan baka diberi kuasa untuk menyelenggarakan buku pembaka.[1][6]

Anjing pemburu tikus Mallorca adalah kecil: ketinggian pada paras kelasa tidak mencapai 40 cm (16 in) dan biasanya dalam julat 29–33 cm (11–13 in) untuk betina dan 32–36 cm (13–14 in) untuk jantan; berat badan berbeza-beza dalam lingkungan 3–4 kg (6.6–8.8 lb) dan 3.5–5 kg (7.7–11.0 lb) masing-masing.[2]:519[7] Pada jantan, panjang tubuh adalah lebih kurang sama dengan ketinggian pada paras kelasa, iaitu garis luarnya ialah segi empat sama; betina mempunyai tubuh agak lebih panjang, tetapi masih dekat dengan garis luar segi empat sama.[2]:519

Lapis bulunya sama ada berwarna hitam dan sawo matang atau perang dan sawo matang, sama ada dengan tanda-tanda putih atau tanpa tanda-tanda putih; tanda-tanda putih mungkin sangat meluas sehingga lapis bulunya triwarna atau putih dengan tompok-tompok warna.[8]

Anjing pemburu tikus Mallorca dahulunya digunakan untuk memburu dan menangkap tikus di tanah lembap dan di lagun di Pulau Mallorca – ia dinamai sempena kegunaan ini; ini ialah kegiatan komersial, kerana tikus dijual sebagai makanan.[2]:520 Pada abad kedua puluh satu, ia lazimnya digunakan untuk memburu arnab, khususnya di kawasan yang dipenuhi dengan semak-samun atau tumbuh-tumbuhan; ia mungkin juga digunakan untuk mengutip buruan berpelepah kecil seperti murai batu atau merpati.[2]:520[1]

Ia merupakan anjing pengawal bagus dan haiwan teman baik.[7]

  1. ↑ Jawi: ‏انجيڠ ڤمبورو تيکوس ماليورکا‎‎; Catalan: ca rater mallorquí; Sepanyol: perro ratonero mallorquín, ratonero mallorquín; bahasa Inggeris: Majorca ratter
  1. 1 2 3 4 Cañete, Miguel Arias (30 Mac 2004). "5652 ORDEN APA/807/2004, de 24 de marzo, por la que se actualiza el anexo del Real Decreto 558/2001, de 25 de mayo, por el que se regula el reconocimiento oficial de las organizaciones o asociaciones de criadores de perros de raza pura" [5652: PERINTAH APA/807/2004, pada 24 Mac, yang mengemaskinikan lampiran Dekri Diraja 558/2001, pada 25 Mei, yang mengatur pengiktirafan rasmi bagi pertubuhan-pertubuhan atau persatuan-persatuan pembiak baka anjing baka tulen.] (PDF). Boletín Oficial del Estado (dalam bahasa Sepanyol) (77): 13430–13435.
  2. 1 2 3 4 5 6 7 8 Payeras Capellà, Llorenç (1 Oktober 2009). "Ca Rater Mallorquí (Ratonero Mallorquín)" [Anjing Pemburu Tikus Mallorca]. Dalam Fernández Rodríguez, Miguel; Gómez Fernández, Mariano; Delgado Bermejo, Juan Vicente; Belmonte, Silvia Adán; Jiménez Cabras, Miguel (penyunting). Guía de campo de las razas autóctonas españolas [Panduan Lapangan Baka Anjing Autokton Sepanyol] (dalam bahasa Sepanyol). Madrid, Sepanyol: Kementerian Alam Sekitar dan Persekitaran Luar Bandar dan Laut. m/s. 518–520. ISBN 9788449109461. OCLC 804450785.
  3. 1 2 Morro i Marcé, Mateu (28 Disember 2002). "Núm. 26150: Ordre del Conseller d'Agricultura i Pesca, de 18 de desembre de 2002, per la qual es crea el Llibre genealògic del Ca rater mallorquí i se'n regula el funcionament" [Bil. 26150: Perintah Kaunselor Pertanian dan Perikanan, pada 18 Disember 2002, yang dengannya Buku Pembaka Anjing Pemburu Tikus Mallorca diwujudkan dan fungsinya diatur.] (PDF). Butlletí Oficial de les Illes Balears (dalam bahasa Catalonia) (156): 23306–23308.
  4. ↑ "FCI breeds nomenclature" [Tatanama baka FCI] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 30 Ogos 2025.
  5. ↑ "Ca rater mallorquí: Orígens" [Anjing pemburu tikus Mallorca: Asal usul] (dalam bahasa Catalonia). Pemerintah Kepulauan Balear. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Januari 2025. Dicapai pada 31 Mac 2024.
  6. 1 2 3 "Ca rater mallorquí: Dades generals" [Anjing pemburu tikus Mallorca: Data umum] (dalam bahasa Catalonia). Pemerintah Kepulauan Balear. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Mac 2024. Dicapai pada 31 Mac 2024.
  7. 1 2 "Ca rater mallorquí: Caràcters generals" [Anjing pemburu tikus Mallorca: Perwatakan umum] (dalam bahasa Catalonia). Pemerintah Kepulauan Balear. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Mac 2024. Dicapai pada 31 Mac 2024.
  8. ↑ "Ca rater mallorquí: Característiques més destacades" [Anjing pemburu tikus Mallorca: Ciri paling menyerlah] (dalam bahasa Catalonia). Pemerintah Kepulauan Balear. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Mac 2024. Dicapai pada 30 Ogos 2025.