Pergi ke kandungan

Terier Patterdale

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Terier Patterdale
Terier Patterdale
Negara asalEngland
Anjing (Canis lupus familiaris)

Terier Patterdale[a] ialah baka anjing yang diturunkan daripada baka terier Utara dari awal abad ke-18, yang pada asalnya dibiakbakakan di Patterdale di Daerah Lake.

Penampilan

[sunting | sunting sumber]

Terdapat tiga piawaian baka untuk terier Patterdale yang dimiliki oleh Patterdale Terrier Club of America (PTCA) (yang merupakan kelab dan pejabat pendaftaran pertama dalam sejarah baka ini), United Kennel Club (UKC) dan American Dog Breeders Association (ADBA), kedua-duanya di Amerika Syarikat, memandangkan The Kennel Club tidak mengiktiraf terier Patterdale.

Piawaian Patterdale Terrier Club of America menyatakan bahawa semasa menilai terier Patterdale, hakim mesti sentiasa ingat bahawa baka ini, pertama-tama, ialah terier pekerja, yang dibiakbakakan khusus untuk perburuan. Lebih tepat lagi, terier Patterdale ialah terier pemburu yang direka untuk menghadap buruan secara langsung di tempat sempit dan mencabar. Oleh itu, sebarang tanda kerja, seperti parut atau tanda lain, tidak patut dijadikan alasan denda dalam mana-mana acara Patterdale Terrier Club of America. Apabila semua faktor lain adalah sama, anugerah patut memihak kepada terier dengan kebolehan kerja terbukti.

Piawaian Patterdale Terrier Club of America selanjutnya menyatakan yang berikut:

Terier Patterdale ialah terier lasak dan aktif dan patut memberikan imej padat dan cukup seimbang. Ketinggian patut dalam lingkungan 10–15 in (25–38 cm) yang diukur pada paras bahu. Berat patut berperkadaran, iaitu tidak mempersembahkan imej yang "lembik" atau "kekok".

Bulu dan warna

[sunting | sunting sumber]
Variasi utama warna/jenis lapis bulu
Contoh seekor terier Patterdale betina dalam Pertunjukan Anjing Rhu yang menggambarkan variasi jauh lebih cerah bagi warna lapis bulu

Lapis bulu mungkin merupakan salah satu daripada tiga jenis:

  • Licin: Kasar, secara keseluruhan sangat singkat, licin
  • Putus-putus: Kasar, bulu lebih panjang pada tubuh kecuali kepala dan telinga yang licin, mungkin kumis lebih panjang pada muncung dan dagu.
  • Kasar: Kasar, bulu lebih panjang secara keseluruhan, termasuk muka dan telinga

Warna termasuk hitam, merah, coklat, atau hitam dan sawo matang. Mungkin terdapat sesetengah variasi dari segi warna primer. Sebagai contoh, warna hitam mungkin mempunyai helaian bulu lebih cerah, warna merah mungkin berkisar daripada warna sawo matang hingga karat pekat dan sesetengah warna hitam di sekeliling muncung adalah tidak jarang, warna coklat mungkin berwarna perang berangan sangat gelap, atau warna perang/coklat lebih cerah (coklat benar mempunyai hidung perang/merah), dan warna hitam dan sawo matang mungkin mempunyai lebih kurang warna-warna ini pada setiap anjing individu, tetapi satu-satunya warna yang boleh didaftarkan merupakan warna yang tersenarai di atas. Anjing berwarna coklat mempunyai hidung perang (secara rasmi dipanggil hidung "merah"). Sedikit warna putih pada dada dan kaki dapat diterima.

Piawaian United Kennel Club menyatakan: Anak terier Patterdale cenderung untuk menjadi berani dan yakin melebihi kemampuannya. Terier Patterdale terkenal sebagai terier pekerja, bukannya anjing pertunjukan. Seperti yang tipikal bagi terier, yang kerjanya memerlukan paras tenaga tinggi dan dorongan kuat untuk mengejar mangsa, terier Patterdale sangat bertenaga dan dapat menjadi sukar untuk disosialisasikan. Walaupun juga dibela sebagai anjing peliharaan, kerana dibiakbakakan untuk kerja keamatan tinggi, ia mungkin cenderung ke arah menjadi terlalu bertenaga untuk kehidupan rumah tangga tidak aktif.

Sejarah dan gambaran keseluruhan

[sunting | sunting sumber]

Asal usul baka ini dapat dijejak kembali kepada pembiakbakaan silang antara terier lama Inggeris (terier hitam asli) dengan terier serling Northumberland (kini pupus) dan kemudian ke Daerah Lake, khususnya kepada pemimpin perburuan Ullswater Joe Bowman, seorang pembiak baka awal terier sempadan. Di sana, beliau menggunakan fell terrier merah terbaik dan terier pemburu tempatan terbaik yang tersedia kepada beliau, supaya beliau dapat meneruskan usaha untuk memperhalus baka ini dengan lebih lanjut.

Baka ini tidak mendapat perhatian sehingga Cyril Breay, seorang guru sekolah dan pemburu, memperhalusnya dengan lebih lanjut, dengan menggunakan anjing terbaik di England utara. Semua terier Patterdale semasa dipercayai diturunkan daripada anjing yang dibiakbakakan oleh Breay.[Menurut siapa?]

Terier Patterdale lebih memadani "jenis" dan bukannya "baka", sebagai hasil daripada kemuncak baka-baka terier pekerja yang asli di United Kingdom.[Menurut siapa?] Anjing jenis terier Patterdale dibiakbakakan oleh pemburu haram di serata England utara. Begitu juga dengan yang lain, untuk pemburuan dan penghantaran rubah merah di fell berbatu di sekitar Daerah Lake, Barat Laut, dan Timur Laut England, penggunaan anjing penggali tradisional tidak selalu berkesan. Terier Patterdale juga telah digunakan untuk pengumpanan bejar haram di United Kingdom.

Terier Patterdale dikembangkan di persekitaran mencabar di utara England, kawasan yang tidak sesuai untuk pertanian suai tani dan kebanyakannya terlalu berbukit untuk lembu. Penternakan biri-biri ialah kegiatan penternakan paling utama di bukit-bukau ini. Memandangkan rubah dianggap oleh para petani sebagai pemangsa berkenaan dengan biri-biri dan haiwan ternakan kecil, terier digunakan untuk kawalan pemangsa. Tidak seperti sarang tanah yang terdapat di tanah perburuan di selatan, sarang berbatu yang terdapat di utara tidak membolehkan banyak penggalian. Akibatnya, terier itu perlu mampu meluru ke arah rubah dari celah batu atau menghantarnya ke tempat ia ditemukan.

Penggunaan anjing "keras" untuk memburu rubah dengan cara ini dilarang di England dan di Wales oleh Akta Perburuan 2004, kerana ini bertentangan dengan tataamalan[1] di bawah Akta tersebut.

Di Amerika Syarikat, Patterdale Terrier Club of America diasaskan oleh Robert Burns pada tahun 1993 untuk menjadi pejabat pendaftaran pertama untuk baka ini dan terus menjadi pangkalan data terbesar bagi baka ini di dunia. Terier Patterdale diiktiraf oleh United Kennel Club pada 1 Januari 1995, tetapi kekal tidak diiktiraf oleh American Kennel Club.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Jawi: تيريئر ڤاترديل; bahasa Inggeris: Patterdale terrier
  1. ^ "BASC Code of Practice for the Use of a Dog Below Ground in England and Wales" [Tataamalan BASC untuk Penggunaan Amalan di Bawah Tanah di England dan di Wales] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). British Association for Shooting and Conservation. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 27 September 2006. Dicapai pada 28 Mac 2024.