Briged Izz ad-Din al-Qassam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Briged Izz ad-Din al-Qassam
كتائب الشهيد عز الدين القسام
Ketua Khaled Mashal,
Ismail Haniyeh,
Mahmoud Zahar
Pengasas Salah Shehadeh
Diasaskan 1984 (1984)
Ibu pejabat Gaza
Ideologi Perjuangan Palestin, Sunnah Islam
Tapak web
qassam.ps

Briged Izz ad-Din al-Qassam (كتائب الشهيد عز الدين القسام; dinamakan bersempena dengan nama Izz ad-Din al-Qassam, kadang kala diringkaskan kepada Briged Al-Qassam) ialah sayap bersenjata kepada pertubuhan sosial-politik Palestin, Hamas. Ditubuhkan pada 1992, di bawah penyeliaan Yahya Ayash, matlamat utama kumpulan tersebut ialah membina organisasi ketenteraan jelas bagi menyokong matlamat Hamas, yang pada masa itu berkait dengan menghalang perundingan Persefahaman Oslo. Dari 1994 hingga 2000, Briged Izz ad-Din al-Qassam melaksanakan beberapa serangan ke atas tentera dan orang Israel.

Pada permulaan Intifada Kedua, kumpulan ini menjadi sasaran utama Israel. Kekuatan kumpulan dan keupayaannya bagi melaksanakan serangan rumit dan membawa maut mengejutkan ramai pemerhati. Briged Izz ad-Din al-Qassam mengoperasi beberapa sel di Tebing Barat, tetapi kebanyakannya telah dimusnahkan menjelang 2004 selepas sejumlah besar operasi Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di kawasan tersebut.[petikan diperlukan] Sebaliknya, Hamas mengekalkan kehadiran berkuasa di Genting Gaza, umumnya dianggap sebagai kubu kuatnya.

Briged Izz ad-Din al-Qassam disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom.

Nama[sunting | sunting sumber]

Fail:EzeldinQassam.jpg
Izz ad-Din al-Qassam

Dari segi bahasa, Izz bermaksud 'pertolongan', 'ketaatan' atau 'kebanggaan', manakala Din bermaksud 'agama'. Al-Qassam boleh diterjemah sebagai 'pemisah'.

Dari segi sejarah, Izz ad-Din al-Qassam ialah nama seorang mujahid yang gugur syahid pada 1935 berdekatan Jenin. Al-Qassam dilahirkan di Syria dan dibuang ke Palestin kerana menentang pendudukan Perancis di Syria dan Lubnan. Di Palestin, dia meneruskan perjuangannya dengan menentang pendudukan British yang telah berjanji untuk menjadikan Palestin sebagai tanah air bangsa Yahudi yang menyebabkan masyarakat asal Palestin ditindas.

Briged Izz ad-Din al-Qassam dinamakan bersempena nama beliau.

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1984 Syeikh Ahmad Yassin, Salah Shehadeh, Dr. Ibrahim Maqadima dan tokoh-tokoh yang lain bersedia untuk menubuhkan pasukan bersenjata untuk menentang penjajahan. Usaha mereka tertumpu pada mengumpul kekuatan persenjataan untuk aktiviti masa hadapan. Walau bagaimanapun, ahli-ahli kumpulan tersebut ditangkap dan senjata-senjata mereka dirampas. Pada masa itu, kumpulan tersebut belum lagi beroperasi di bawah nama Hamas atau Briged al-Qassam.

Pada 1986, Salah Shehadah membentuk satu rangkaian penentangan yang dipanggil Al-Mujahidin Al-Falistinin (pahlawan Palestin). Rangkaian tersebut mensasarkan pasukan bersenjata penjajah Zionis dan juga pengkhiant-pengkhianat masyarakat Palestin. Rangkaian ini terus beroperasi sehingga 1989; dan operasi mereka yang paling terkenal adalah penculikan dua tentera penjajah: Ilan Sadoon dan Avi Sasbortas. Di samping itu, Hamas (secara rasminya ditubuhkan pada 14 Disember 1987) membentuk rangkaian-rangkaian lain yang serupa, seperti Briged Abdullah Azzam dan Majd. Majd berperanan sebagai cawangan keselamatan menghadapi pengkhianat.

Pada pertengahan 1991, Briged Izz ad-Din al-Qassam mula dikenali sebagai sayap ketenteraan Hamas.

Organisasi dan Struktur[sunting | sunting sumber]

Walaupun bergerak di bawah cita-cita politik dan objektif ideologi Hamas, briged ini mempunyai kebebasan yang tinggi dalam membuat sebarang keputusan.

Identiti dan jawatan para pejuang dalam gerakan ini kebiasaannya dirahsiakan sehingga kematian mereka. Semasa bertempur dengan pasukan tentera Zionis, semua pejuang memakai penutup kepala berwarna hitam di mana headband kumpulan tersebut diikat. Jumlah ahli briged ini hanya diketahui oleh oleh kepimpinannya yang mengaplikasikan prinsip kerahsiaan dalam organisasi dan proses rekrut. Setelah mana-mana ahli briged gugur syahid semasa bertempur dengan tentera Israel, barulah namanya disiarkan kepada orang awam. Kebiasaannya nama para syuhada ini disiarkan dalam laman web rasmi al-Qassam.

Organisasi briged ini terdiri daripada rangkaian sel khas yang beroperasi di seluruh Genting Gaza dan Tebing Barat. Setiap sel dalam rangkaian ini bergerak sendiri di bawah arahan kepimpinan briged. Rekrut-rekrut mesti memenuhi syarat-syarat yang ketat. Syarat-syarat tersebut adalah mempunyai akhlak dan alim dalam agama, berintegriti serta istiqamah atau konsisten dalam perjuangan di samping syarat fizikal dan pendidikan bagi melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan. Oleh yang demikian, kebiasaannya ahli-ahli baru direkrut daripada pemuda yang rajin menghadiri solat Subuh berjemaah di masjid.

Dalam peristiwa Intifada Kedua yang meletus pada 2000, lebih 800 ahli yang gugur syahid.

Operasi dan aktiviti[sunting | sunting sumber]

Peralihan kepada organisasi bersenjata yang dikenali bermula ketika penetapan Persefahaman Oslo untuk membantu Hamas menentang perjanjian tersebut. Pada 2003 dan 2004, briged di Gaza menghadapi serangan IDF, termasuk pengepungan Jabalya pada Oktober 2004. Walau bagaimanapun, pertempuran tersebut mengakibatkan kerugian yang besar buat briged. Namun begitu, kumpulan ini berjaya mengumpulkan semula kekuatan dan berupaya meneruskan serangan pada tahun-tahun berikutnya.

Pada tahun 2005, perjanjian gencatan senjata dicapai oleh Israel dan Pihak Berkuasa Palestin. Briged ini mengambil kesempatan untuk mengumpul kekuatan sepanjang masa tersebut. Sementara itu, Pihak Berkuasa Palestin menerima tekanan daripada Israel untuk melucutkan persenjataan Hamas, namun usaha tersebut tidak dapat dilakukan. Hal ini demikian kerana risau akan penentangan besar-besaran oleh sayap tentera parti tersebut dan kemungkinan berlaku perang saudara. Dalam jam-jam seterusnya, briged tersebut mengaku bertanggungjawab melancarkan roket-roket Qassam ke bandar Sderot di Israel.

Pada 10 Jun 2006, susulan insiden di pantai Gaza di mana 7 orang penduduk awam terkorban, briged tersebut mengumumkan pembatalan gencatan senjata yang dicapai pada 2005 dengan Israel. Insiden tersebut menyaksikan tentera Israel membedil 8 bom artileri ke arah pantai berdekatan bandar Beit Lahia pada 9 Jun 2006. Dalam jam-jam seterusnya, briged tersebut mengaku bertanggungjawab melancarkan roket-roket Qassam ke bandar Sderot di Israel.

Pada Jun dan Julai 2006, briged tersebut terlibat dalam operasi yang membawa kepada penangkapan Gilad Shalit, di samping pertempuran hebat di Genting Gaza dalam Operation Summer Rains yang dilancarkan oleh Israel. Ini merupakan kali pertama briged tersebut terlibat secara aktif melawan tentera Israel dalam masa 18 bulan.

Kekuatan persenjataan[sunting | sunting sumber]

Pejuang-pejuang briged sedang menyediakan roket al-Qassam[1]

Sejak penubuhannya pada 1987, keupayaan ketenteraan briged ini telah berkembang dengan pesat, daripada memiliki raifal sehinggalah roket Qassam dan banyak lagi.

Briged ini mampu bergantung harap pada jumlah besar individu yang menawarkan diri untuk menyertai perjuangan mereka, menyeludup bekalan keperluan dan membekalkan senjata buatan sendiri seperti Al-Bana dan Batar (pelancar roket), Yasin (pelancar roket anti-kereta kebal) dan roket Qassam.

Dalam satu wawancara dengan Salah Shehadeh,[2] beliau ditanya tentang pembuatan senjata yang dijalankan oleh al-Qassam, di mana beliau menerangkan;

"...Kami mempunyai saintis yang pakar dalam pembangunan senjata, yang menjalankan penyelidikan dan eksperimen terhadap roket Al-Bana, yang merupakan gabungan sebuah RPG (grenad berkuasa roket) dan LAW (senjata ringan anti-kereta kebal), dan berbeza berbanding Al-Qassam 2 kerana direka untuk (menembusi) perisai berketebalan sederhana. Bom tangan dihasilkan untuk memenuhi keperluan peralatan dan ahli-ahli, dan kesemuanya telah membuktikan keberkesanannya, dan Kementerian Pertahanan Israel sendiri membuktikan kehebatan bom-bom tangan tersebut. Kesemua grenad dan roket adalah buatan tempatan, (dan) dihasilkan dengan mudah. Bahan peledak dalam Al-Qassam 1 dan 2 dan Al-Bana diperbuat daripada bahan mentah yang mudah. (Sekalipun) golongan wanita boleh menghasilkannya di rumah..."


Walaupun jumlah sebenar ahli dalam gerakan ini hanya diketahui oleh kepimpinan briged, pada 2011 Israel menganggarkan pasukan ini mempunyai beberapa ratus ahli yang mendapat latihan ala tentera, termasuk di Iran dan Syria. Tambahan pula, briged ini mempunyai kira-kira 10 000 pakar operasi yang memiliki 'tahap kemahiran dan profesionalisme yang pelbagai', yang juga merupakan ahli pasukan keselamatan, Hamas dan penyokong-penyokongnya. Pakar-pakar operasi ini dijangka akan memperkukuhkan briged semasa situasi darurat.

Pemimpin-pemimpin yang dibunuh oleh Israel[sunting | sunting sumber]

12 Julai 2006 Tentera Udara Israel (IAF) mengebom sebuah rumah di kejiranan Sheikh Radwan di bandar Gaza, di mana komander Mohammed Deif, Ahmad Al-Ghandur dan Raid Said mengadakan mesyuarat. Rumah tiga tingkat itu diratakan sepenuhnya, menyebabkan pegawai Hamas Nabil Al-Salmiah, isteri dan lima anak mereka serta dua kanak-kanak lain maut. Dua daripada pimpinan itu mendapat cedera ringan manakala Mohammed Deif mendapat kecederaan tulang belakang yang memerlukan pembedahan empat jam.

1 Januari 2009 Nizar Rayan, seorang pemimpin tertinggi Hamas berperanan sebagai perhubungan antara kepimpinan parti dengan sayap tenteranya, terbunuh dalam serangan oleh Tentera Udara Israel dalam Operation Cast Lead. Sebutir bom 2 000 paun digugurkan di rumahnya, menyebabkan kematian keempat-empat isterinya dan sebelas anak mereka.

3 Januari 2009 Pesawat Israel menyerang kereta yang dinaiki oleh Abu Zakaria Al-Jamal yang menyebabkannya gugur syahid.

4 Januari 2009 Tentera Udara Israel menyerang dan membunuh Husam Hamdan dan Muhammad Hilo di Khan Yunis.

15 Januari 2009 Tentera Udara Israel mengebom sebuah rumah di Jabaliya. Serangan tersebut disasarkan kepada Menteri Dalam Negeri Palestin Said Seyam. Selain Said Seyam, komander briged Mohammed Watfa turut terbunuh.

19 Januari 2010 Komander yang juga salah seorang pengasas Hamas, Mahmoud al-Mabhouh dibunuh di sebuah hotel di Dubai[3]. Pihak polis Emiriah Arab Bersatu percaya bahawa pembunuhan didalangi badan risikan Israel, Mossad.

30 Julai 2010 Issa Abdul Hadi Al-Batran terbunuh di kem pelarian Nuseirat akibat akibat serangan udara Israel.

14 November 2012 Tentera Udara Israel mendalangi serangan udara yang membunuh Ahmad al-Ja'bari, ketua Briged al-Qassam. Beliau terbunuh bersama-sama tujuh yang lain dalam permulaan Operation Pillar of Defense.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]