Serang Hendap Di Sungai Semur

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Serang Hendap Di Sungai Semur adalah satu pertempuran yang menampilkan keberanian Rejimen Askar Melayu DiRaja dalam perjuangan. Peristiwa ini berlaku semasa Darurat sedang memuncak. Keberanian 3 Melayu boleh dilihat dalam episod serang hendap di Sungai Semur.

Kejadian Serang Hendap[sunting | sunting sumber]

Dalam kejadian Sungai Semur pada 25 Mac, 1950, Platun No. 12 seramai 25 anggota dari Kompeni D, 3 Melayu diserang hendap oleh sekumpulan Pengganas Komunis dengan kekuatan seramai 250 anggota ketika menyusuri sungai tersebut kira-kira jam 10.30 pagi.

Ekoran serangan tersebut, anggota Platun dengan segera mencari perlindungan sambil memberi tembakan balas. Ketua Platun Leftenan Hassan Mohd. Yassin terkorban. Koperal Jamaludin Mohamad mengambil alih pimpinan platun. Beliau mengarahkan tembakan mortar 2 inci ke arah musuh, tetapi tembakan itu tidak terhasil kerana banyak pohon buluh yang menutupi kawasan itu. Selepas melepaskan dua butir bom mortar, anggota seksyen mortar itu terbunuh.

Semasa pertempuran, beberapa pengganas menghampiri anggota platun yang terbunuh dan tercedera kerana mahu mengambil senjata tetapi cubaan mereka dipatahkan. Prebet Abdul Wahab Hamid pula menembak mati 4 orang musuh cuba menghampiri platun tersebut dari arah belakang. Selepas empat jam, 12 Platun terkepung dan hampir kehabisan peluru.

Apabila diminta menyerah diri, Korperal Jamaluddin menjawab, “Kami bukan pengecut, kami askar, kami tidak akan serah diri”

Tawanan[sunting | sunting sumber]

Mereka kemudiannya ditawan dan dibawa ke kem musuh dan dipaksa menyerahkan peralatan mereka. Mereka juga diberi amaran supaya berhenti menentang Komunis. Selepas dua jam, pihak musuh membuat keputusan melepaskan mereka. Jamaluddin dan anggotanya dihantar pihak musuh ke arah Pengkalan Pulai sebelum ditinggalkan separuh jalan.

Kumpulan yang keluar terdiri daripada Koperal Jamaluddin, Prebet Salleh Nahu, Prebet Zamzuri Itam Sudin, Prebet Nordin Md. Isa, Prebet Hussin Mamat, Lans Koperal Mohamad Othman, Prebet Ahmad Mat Jam, dan Prebet Mohd. Shariff Manaf. Prebet Osman Yaacob meninggal dunia tidak lama selepas mereka tiba di Pengkalan Pulai pada pukul 9 malam.

Dua orang anggota 12 Platun, Prebet Abdul Wahab dan Prebet Rashid Hassan yang cedera parah terpaksa ditinggalkan di tempat pertempuran bersama mayat 14 anggota tentera yang terkorban. Pada pukul 10 pagi, 27 Mac 1950, barulah 11 Platun dan pasukan Jungle Squad Gua Musang tiba untuk menyelamatkan mereka.

Terkorban[sunting | sunting sumber]

Dalam serang hendap di Sungai Semur ini, 17 orang anggota 3 Melayu terkorban dalam pertempuran menentang kira-kira 250 pengganas komunis sementara enam anggota cedera parah sementara dua lagi anggota mengalami cedera ringan.

Meskipun tewas, mereka menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi melawan pasukan musuh yang hampir 10 kali ganda kekuatan mereka. Malah mereka berjaya membunuh seramai 29 orang pengganas komunis. Mayat mereka dijumpai terkubur oleh 11 Platun 3 Melayu.

Koperal Jamaluddin dianugerahkan Distinguished Conduct Medal (DCM) dan dinaikkan pangkat kepada Sarjan manakala Lans Koperal Mohamad Othman dan Prebet Abdul Wahab dianugerahkan Military Medal (MM).

Jasad mereka yang terkorban disemadikan di Tanah Perkuburan Askar Melayu di Port Dickson walaupun pada awalnya mereka telah dikebumikan di Kampung Pulai, Gua Musang.

Wira Yang Gugur[sunting | sunting sumber]

  • Leftenan Hassan B Haji Yassin
  • Prebet Lebai Yassin
  • Lans Koperal Mohamad

Novel[sunting | sunting sumber]

Kejadian serang hendap di Sungai Semur dijadikan asas untuk novel "Limpahan Darah di Sungai Semur" oleh Zakaria Salleh. (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988). [1] Novel ini telah digunakan sebagai teks Sastera untuk pelajar-pelajar Sekolah Menengah Rendah Kementerian Pelajaran.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]


Rujukan[sunting | sunting sumber]