Pandemik COVID-19 di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pandemik COVID-19 di Malaysia
Gambar mikroskop elektron pancaran berwarna ini menunjukkan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19 - diasingkan daripada seorang pesakit di Amerika Syarikat. Partikel virus ditunjukkan timbul daripada permukaan sel-sel yang dikulturkan di makmal. Protein pepaku pada permukaan luar virus seakan bentuk mahkota (corona) memberikan nama koronavirus.
Peta taburan kes COVID-19 yang disahkan mengikut negeri setakat bulan Januari 2022
Peta taburan kes COVID-19 yang disahkan mengikut daerah setakat bulan Januari 2022
Peta taburan kes aktif COVID-19 mengikut daerah setakat bulan Januari 2022
PenyakitCOVID-19
Baka virusSARS-CoV-2
LokasiMalaysia
Asal wabakWuhan, Hubei, China
Kes indeksSungai Buloh, Selangor
Tarikh ketibaan25 Januari 2020
(4 tahun, 2 bulan, 3 minggu dan 2 hari
Kes yang disahkan5,180,812[1]
Kes aktif28,375[1]
Sembuh5,115,191[1]
Kematian
37,246[1]
Kadar kematian&&&&&&&&&&&&&&00.7200000.72%
Laman web rasmi
covid-19.moh.gov.my
covidnow.moh.gov.my

Templat:Data pandemik COVID-19/Carta kes perubatan Malaysia

Pandemik COVID-19 di Malaysia merupakan sebahagian daripada pandemik penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) yang sedang melanda seluruh dunia berpunca daripada koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2). Sehingga kini, Malaysia berada di tempat ketiga bagi jumlah kes jangkitan COVID-19 dan juga jumlah kematian akibat penyakit tersebut di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Vietnam. Setakat 16 Disember 2023, terdapat sebanyak 5,180,812 kes yang telah disahkan di Malaysia dengan sebanyak 5,115,191 kes sudah pulih sepenuhnya dan 28,375 kes kematian.[2]

Sejak Januari 2020, tindak balas dan kesiapsiagaan perubatan terhadap wabak tersebut di Malaysia diselia oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah di bawah Kementerian Kesihatan dan empat buah kerajaan berturut-turut. Kes COVID-19 yang pertama di Malaysia telah disahkan pada 25 Januari 2020 yang melibatkan para pelancong dari China yang tiba di Johor melalui Singapura. Walaupun pada awalnya wabak tersebut terbatas kepada beberapa kes yang diimport, beberapa buah kluster tempatan telah muncul pada bulan Mac 2020.[3] Kluster yang terbesar pada ketika itu dikaitkan dengan perhimpunan agama Jemaah Tabligh yang diadakan di Kuala Lumpur, yang membawa kepada kenaikan besar-besaran dalam kes tempatan serta pengeksportan kes ke negara jiran. Menjelang akhir bulan Mac 2020, jumlah kes jangkitan COVID-19 yang disahkan di dalam negara telah meningkat daripada bawah 30 kes aktif kepada 2,000 kes aktif ke atas dan telah dilaporkan di setiap negeri dan wilayah persekutuan di negara ini.

Ekoran daripada peningkatan jumlah kes yang mendadak pada bulan Mac 2020, kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020 di seluruh negara. PKP yang sepatutnya tamat pada 31 Mac 2020 telah dilanjutkan hingga awal bulan Mei 2020. Setelah dilihat bahawa PKP dapat menurunkan kes jangkitan harian, pelonggaran sekatan secara bertahap dilaksanakan, pertama dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei 2020, yang membenarkan kebanyakan sektor perniagaan dibuka semula di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun 2020. Pada asalnya, PKPP dijadualkan berakhir pada 31 Ogos 2020 tetapi oleh sebab pengesanan kes import yang berterusan, ia telah dilanjutkan lagi hingga akhir bulan Disember 2020, dengan beberapa sektor terpilih yang kekal ditutup serta penguatkuasaan sekatan perjalanan yang ketat dari beberapa buah negara.

Gelombang ketiga jangkitan COVID-19 berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September 2020 yang diikuti dengan beberapa letusan wabak di kilang-kilang Top Glove. Hal ini menyebabkan kerajaan menguatkuasakan PKPB di kebanyakan negeri mulai bulan November 2020 bagi membendung penularan jangkitan virus tersebut. Oleh sebab sistem kesihatan negara yang semakin tenat akibat wabak COVID-19, kerajaan telah melaksanakan semula PKP di beberapa buah negeri mulai 13 Januari 2021. Akhirnya, kerajaan menyelaraskan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak, mulai 22 Januari 2021. Darurat juga telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong di seluruh negara pada 12 Januari 2021, menyebabkan penangguhan sebarang sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta memberikan kuasa darurat kepada kerajaan hingga 1 Ogos 2021.

Berikutan penurunan bilangan kes jangkitan baharu pada awal bulan Mac 2021, kerajaan telah menamatkan PKP di semua negeri dan wilayah persekutuan di dalam negara. Namun, PKP dikembalikan sekali lagi di beberapa buah negeri sejak pertengahan bulan April 2021 berikutan peningkatan semula dalam bilangan kes jangkitan harian. Dengan varian-varian SARS-CoV-2 baharu dikesan di Malaysia, ditambah dengan lonjakan jumlah kes jangkitan dan kematian harian COVID-19 yang tinggi, akhirnya kerajaan memperkenalkan semula PKP di seluruh negara mulai 12 Mei 2021. Kemudian, kerajaan mengukuhkan PKP dengan penutupun penuh mulai 1 Jun 2021, yang dilanjutkan sehingga tempoh tidak tertentu akibat penyebaran varian Delta yang parah dan berterusan di dalam negara sehingga menyebabkan keupayaan sistem kesihatan di beberapa buah kawasan lumpuh.

Berikutan kadar pemvaksinan COVID-19 dalam populasi dewasa yang tinggi dan penurunan jumlah kes jangkitan yang teruk mulai bulan September 2021, Malaysia telah mengumumkan hasratnya untuk menganggap COVID-19 sebagai penyakit endemik menjelang akhir Oktober 2021 dengan lebih banyak sekatan dilonggarkan. Gelombang kelima COVID-19 yang berpunca daripada varian Omicron telah menyebabkan peningkatan kes jangkitan harian yang mendadak pada bulan Februari dan Mac 2022. Walaupun begitu, varian ini mencatat bilangan kemasukan ke hospital dan kematian yang lebih rendah berbanding varian Delta. Mengikut unjuran setakat Mac 2022, subvarian BA.2 Omicron telah dijangka menjadi strain dominan di negara ini.

Pandemik ini memberikan kesan ekonomi yang buruk kepada Malaysia dengan menurunkan nilai mata wang Malaysia dan menyusutkan KDNKnya serta telah memberi kesan sosial yang besar kepada masyarakat Malaysia. Permulaan pandemik ini pada awal tahun 2020 berlaku serentak dengan krisis politik negara yang awalnya tiada kaitan yang telah mengganggu tindak balas awal kerajaan, dan gelombang jangkitan COVID-19 yang berulang serta pengisytiharan darurat memburukkan lagi ketidakstabilan politik negara yang berterusan sepanjang tahun 2020 dan 2021. Keadaan ini membawa kepada kejatuhan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pembentukan kerajaan baharu di bawah Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob pada bulan Ogos 2021.

Program vaksinasi negara ini, yang juga diketahui sebagai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), telah bermula sejak akhir bulan Februari 2021, yang telah memberikan vaksin sepenuhnya kepada lebih daripada 84 peratus populasi Malaysia dan 99 peratus populasi dewasa di dalam negara ini setakat September 2022.

Penamaan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada awalnya menyebut penyakit ini sebagai "koronavirus baharu 2019". Beberapa media memanggil penyakit ini sebagai "koronavirus Wuhan". Pada permulaan pandemik ini, media Malaysia memanggilnya sebagai "radang paru-paru Wuhan" yang juga bermaksud sebagai "pneumonia Wuhan". Kemudian beberapa media mengubah namanya menjadi "radang paru-paru koronavirus baru". Akhirnya, Kementerian Kesihatan dan kebanyakan media sekarang memanggil penyakit ini sebagai "COVID-19", seperti yang telah disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Februari 2020.

Latar belakang

Pada 12 Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesahkan bahawa koronavirus baharu yang menjadi penyebab penyakit pernafasan sekelompok penduduk di Bandar Wuhan, Wilayah Hubei, China, yang dilaporkan kepada WHO pada 31 Disember 2019.

Tidak seperti wabak SARS pada tahun 2003, nisbah kematian kes untuk COVID-19 jauh lebih rendah, tetapi penularannya jauh lebih tinggi, dengan jumlah kematian yang ketara.

Statistik

Garis masa pandemik COVID-19 di Malaysia

Tindakan kerajaan pusat

Perintah Kawalan Pergerakan

Pemeriksaan suhu di restoran McDonald's di ibu kota Kuala Lumpur semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

2020

Pada 15 Mac 2020, Malaysia menyaksikan peningkatan mendadak kes aktif COVID-19. Oleh itu, pada malam 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia ke-8 , Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengadakan siaran langsung seluruh negara bagi mengumumkan keputusan kerajaan pusat dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Berdasarkan siaran langsung malam itu, enam sekatan telah dikenakan:

  1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Semua rumah ibadat dan premis perniagaan kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Bagi umat Islam, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat dibatalkan yang selaras dengan keputusan yang dibuat pada 15 Mac 2020 oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
  2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara, dengan mereka yang baru pulang dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.
  3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.
  4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan prauniversiti.
  5. Penutupan semua institut pendidikan tinggi awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.
  6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Sekatan ini pada asalnya bermula pada 18 Mac sehingga 31 Mac, tetapi dilanjutkan sebanyak empat kali dalam bentuk ''fasa'' dua minggu selama tempoh dua bulan bagi meneruskan usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di dalam negara.

  • Fasa 2, yang diumumkan pada 25 Mac 2020, kerajaan telah melanjutkan PKP sehingga 14 April 2020, kerana kes baharu terus meningkat.
  • Fasa 3, yang diumumkan pada 10 April 2020, kerajaan telah melanjutkan PKP sehingga 28 April 2020, kerana mengikut unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kes bakal mencapai kemuncak pada pertengahan bulan April 2020.
  • Fasa 4, yang diumumkan pada 23 April 2021, kerajaan telah melanjutkan PKP sehingga 12 Mei 2020. Pada 1 Mei 2020, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilonggarkan mulai 4 Mei 2020 sebagai sebahagian rancangan kerajaan untuk menghidupkan semula ekonomi negara secara beransur-ansur dalam tiga fasa yang berbeza, dengan perkhidmatan pengangkutan awam beroperasi semula pada 4 Mei. Pada fasa keempat PKP juga, dua orang ahli keluarga akan dibenarkan membeli makanan dan barang keperluan harian yang lain. Pelonggaran PKP menerima kritikan daripada ahli-ahli politik dan pakar-pakar kesihatan kerana bimbang bahawa PKP terlalu awal untuk dilonggarkan. Pada 3 Mei 2020, lebih 420,000 orang awam telah menandatangani petisyen yang membantah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan meminta kerajaan untuk meneruskan PKP.
  • Pada 10 Mei 2020, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020, pelanjutan keempat sejak 18 Mac 2020. Tidak seperti yang sebelumnya, pelanjutan ini telah dijadualkan berlangsung sekitar sebulan.
  • Pada 6 Jun 2020, Ketua Pengarah Kesihatan mengesahkan bahawa perintah kawalan pergerakan akan tetap berkuat kuasa kerana Malaysia masih dipantau di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Pada 7 Jun 2020, Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa PKPB akan berakhir pada 9 Jun 2020, dengan negara beralih ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan dilaksanakan sehingga 31 Ogos 2020.
  • Pada 28 Ogos 2020, Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa PKPP akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
  • Berikutan gelombang ketiga COVID-19, pada 12 Oktober 2020, Menteri Kanan Keselamatan, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 Oktober sehingga 27 Oktober 2020.
  • Pada 20 Oktober 2020, kakitangan di sektor swasta dan awam, di peringkat pengurusan dan penyeliaan, di kawasan yang diletakkan di bawah PKPB iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Labuan dan Sabah, telah diarahkan untuk bekerja dari rumah mulai 22 Oktober 2020.
  • Pada 7 November 2020, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa kerajaan akan kembalikan PKPB di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan, Perlis, dan Pahang dari 9 November sehingga 6 Disember 2020. Di samping itu, PKPB di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya, yang dijadualkan berakhir pada 9 November 2020, dilanjutkan sehingga 6 Disember 2020.
  • Sejak 21 November 2020, kerajaan secara beransur-ansur menamatkan sekatan PKPB di kebanyakan negeri manakala yang selebihnya dilanjutkan sehingga 14 Januari 2021.

2021

  • Pada 11 Januari 2021, Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengenakan semula sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap mobiliti, aktiviti ekonomi, dan perhimpunan awam di negeri Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan dari 13 Januari 2022 sehingga 26 Januari 2021 kerana berlakunya peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19.
  • Pada 2 Februari 2021, Menteri Kanan Keselamatan, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob telah melanjutkan PKP di semua negeri kecuali negeri Sarawak dari 5 Februari 2021 sehingga 18 Februari 2021.
  • Pada 16 Februari 2021, Menteri Kanan Keselamatan, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa kerajaan akan melanjutkan PKP di negeri Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sehingga 4 Mac 2021. Sementara itu, negeri Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, Pahang dan Sabah serta wilayah persekutuan Putrajaya dan Labuan beralih kembali ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 19 Februari 2021.
  • Pada 5 Mac 2021, negeri Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur telah menamatkan PKP dan beralih kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
  • Pada awal bulan Mei 2021, kerajaan telah melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak, dan Selangor sebagai tindak balas terhadap lonjakan kes COVID-19. Semua sekolah telah ditutup dan aktiviti sosial dan agama dilarang. Walaupun beberapa aktiviti ekonomi dibenarkan, restoran hanya dapat menyediakan perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang.
  • Penguatkuasaan PKP di seluruh negara akan dilaksanakan semula dari 12 Mei sehingga 7 Jun 2021. Makan di tempat makan, aktiviti sosial dan membeli-belah adalah dilarang, walaupun pekerja dibenarkan pergi bekerja dan pulang ke rumah. Perjalanan merentas daerah dan merentas negeri juga dilarang.
  • Penutupan penuh di seluruh negara akan dikenakan dari 1 Jun 2021 sehingga 28 Jun 2021 untuk semua sektor sosial dan ekonomi, dengan hanya aktiviti sosial dan ekonomi yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh tersebut. Tindakan tersebut dilanjutkan sehingga tempoh tidak tertentu akibat penyebaran wabak COVID-19 yang semakin parah dan berterusan di dalam negara sehingga menyebabkan keupayaan sistem kesihatan di beberapa buah kawasan lumpuh.
  • Pada 15 Jun 2021, Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan empat fasa untuk membantu negara keluar daripada wabak COVID-19 dan kemelesetan ekonomi akibat wabak ini.

2022

Pada 3 Januari 2022, Sarawak dan Kelantan telah beralih ke Fasa 4 berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN), menamatkan sekatan pergerakan di Malaysia.

Pelaksanaan darurat

Pada 25 Oktober 2020, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah menolak permintaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat sebagai tindak balas kepada lonjakan kes COVID-19 di seluruh Malaysia.

Pada 16 Disember 2020 pula, Perdana Menteri sekali lagi memohon darurat untuk menghenti­kan pilihan raya kecil yang bakal diadakan di kawasan Bugaya, Sabah dan kawasan Gerik, Perak pada bulan Januari 2021. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah telah memperkenankan permohonan tersebut untuk menguatkuasakan darurat di kedua-dua kawasan pilihan raya ini sebagai tindak balas terhadap gelombang jangkitan ketiga COVID-19, yang telah mencecah sejumlah 86,000 kes positif dan 422 kematian pada hari tersebut.

Pada 12 Januari 2021, Sultan Abdullah mengisytiharkan darurat kebangsaan hingga sekurang-kurangnya 1 Ogos 2021 untuk mengekang penyebaran COVID-19 dan sebagai tindak balas terhadap kemelut politik yang melibatkan kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di bawah pengisytiharan darurat ini, parlimen dan pilihan raya ditangguhkan sementara kerajaan Malaysia diberi kuasa untuk memperkenalkan undang-undang tanpa persetujuan.

Pada 26 Julai 2021, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Parlimen dan Undang-undang), YB Takiyuddin Hassan telah mengumumkan bahawa semua peraturan Ordinan Darurat telah dibatalkan oleh kerajaan persekutuan pada 21 Julai 2021. Namun, apabila ahli Parlimen mempersoalkan berhubung perkenan Yang di-Pertuan Agong terhadap pembatalan tersebut, persoalan mereka tidak dijawab oleh pihak kerajaan.

Larangan perhimpunan besar-besaran

Ekoran daripada lonjakan kes-kes positif yang berpunca daripada perhimpunan agama Jemaah Tabligh, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa perhimpunan besar-besaran keagamaan, sosial dan sukan mesti dibatalkan atau ditangguhkan sehingga 30 April 2020. Namun, tarikh akhir larangan perhimpunan besar-besaran tertakluk kepada tinjauan keadaan semasa wabak. Tambahan pula, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) melarang semua pihak yang berdaftar dengan mereka daripada mengadakan sebarang perjumpaan dan aktiviti hingga 30 Jun 2020.

Pada 4 Februari 2021, Menteri Kanan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa majlis makan malam bersama keluarga sempena Tahun Baru Cina hanya akan dibenarkan di kediaman mereka dalam kalangan ahli keluarga dari rumah yang sama. Prosedur Operasi Standard (SOP) ini dikritik oleh beberapa orang ahli politik dan tokoh masyarakat termasuk Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Ti Lian Ker dan ahli Parlimen, Dr. Ong Kian Ming sebagai "tidak sensitif" dan tidak perlu. Kementerian Perpaduan Negara kemudian membenarkan perjumpaan keluarga sempena Tahun Baru Cina yang terdiri daripada 15 orang ahli keluarga yang tinggal dalam radius 10 kilometer yang tidak melibatkan perjalanan antara negeri atau antara daerah.

Berita palsu

Beberapa orang telah ditangkap kerana didakwa menyebarkan maklumat palsu mengenai pandemik COVID-19. Setakat 17 Mei 2020, pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 265 siasatan mengenai berita palsu berkaitan COVID-19. Sebanyak 30 orang telah didakwa, 11 orang telah diberi notis amaran dan 18 yang lain telah mengaku bersalah.

Pada 11 Mac 2021, kerajaan mengumumkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021, yang menyatakan bahawa mereka yang menyebarkan berita palsu dengan cara apa pun, dengan niat untuk menimbulkan, atau yang berkemungkinan untuk menimbulkan ketakutan atau kerisauan kepada orang ramai boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tindakan perubatan

Tindak balas dan kesiapsiagaan perubatan terhadap wabak tersebut di Malaysia diselia oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah di bawah Kementerian Kesihatan tiga kerajaan berturut-turut. Persiapan untuk menyimpan peralatan, mengesan dan memantau kes serta merawat pesakit COVID-19 dilaporkan telah dimulakan seawal 6 Januari 2020, berikutan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai wabak "pneumonia yang tidak diketahui puncanya" pada akhir bulan Disember 2019 di bandar Wuhan, Hubei.

Pelitup muka

Pada 23 Julai 2020, Menteri Kanan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa orang ramai wajib memakai pelitup muka di tempat awam seperti pasar dan pengangkutan awam mulai 1 Ogos 2020, dengan mereka yang melanggar peraturan tersebut dikenakan denda sebanyak RM1,000.

Pusat ujian dan rawatan

Pada 5 Januari 2020, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia mula beroperasi. Menjelang awal bulan Februari 2020, terdapat 57 buah hospital yang dilaporkan menyediakan perkhidmatan saringan untuk koronavirus, dengan 26 buah daripadanya merupakan hospital kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengesan kes koronavirus dan kes pesakit yang disyaki dijangkiti virus tersebut. Dengan peningkatan kes jangkitan yang cepat, sejumlah 409 tempat di seluruh negara telah diwartakan oleh kerajaan persekutuan sebagai pusat kuarantin pesakit koronavirus yang terdiri daripada universiti awam, kolej komuniti, institut kemahiran, bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), pusat latihan, politeknik dan hotel yang dimiliki oleh kementerian persekutuan, jabatan, agensi dan badan berkanun. Setakat 2 Mei 2020, sebanyak 5,484 buah katil di 40 buah hospital, 3,873 buah katil (selain 2,100 buah katil sebagai persiapan) di 26 buah pusat rawatan COVID-19 berisiko rendah, 422 buah katil unit rawatan rapi (ICU), dan 1,059 buah alat bantuan pernafasan telah diperuntukkan untuk pesakit COVID-19.

Berdasarkan surat edaran 29 Januari 2020 daripada Kementerian Kesihatan, penduduk bukan warganegara di Malaysia tidak perlu membayar ujian COVID-19 atau rawatan pesakit luar di hospital kerajaan. Pengumuman ini diulangi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada 23 Mac 2020, ketika beliau diminta untuk menjelaskan pernyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang menyatakan penduduk bukan warganegara harus membayar ujian COVID-19.

Pada 8 April 2020, gabungan makmal di Malaysia yang terdiri daripada Gribbles Pathology, Quantum Diagnostics dan Clinipath Malaysia telah melancarkan program pengumpulan dan ujian saringan COVID-19 terbesar di negara ini bagi meningkatkan kapasiti ujian saringan penyakit tersebut. Universiti-universiti awam di Malaysia juga telah menyediakan kapasiti penyelidikan dan saintifik dengan 10 buah makmal diagnostik di institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara telah dipanggil sebagai sebahagian usaha bersama oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia dalam membantu Kementerian Kesihatan melaksanakan ujian saringan COVID-19. Walaupun mempunyai keupayaan jauh lebih baik dalam melaksanakan lebih banyak ujian saringan, Kementerian Kesihatan ketika itu telah menyatakan bahawa negara ini masih belum menemukan kit ujian pantas yang sesuai untuk menyelesaikan kenaikan tunggakan kes yang masih menunggu keputusan dan pada masa yang sama, bekalan kit ujian reagen koronavirus yang ada hanya dapat bertahan selama seminggu lagi. Keadaan ini menyebabkan Kementerian Kesihatan mendapatkan sumber dari negara-negara lain termasuk Singapura. Sebagai tindak balas, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) telah meminta kerajaan persekutuan untuk memastikan reagen kit ujian koronavirus di dalam negara mencukupi terutamanya di negeri Sabah dan Sarawak yang dilaporkan menghadapi kesukaran dalam mendapatkan reagen-reagen kit ujian.

Kajiselidik Solidariti, yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dilakukan di sembilan buah hospital kerajaan di Malaysia dalam mengkaji serta membandingkan keselamatan dan keberkesanan protokol rawatan yang melibatkan ubat-ubatan seperti hidroksiklorokuin, interferon-beta, liponavir/ritonavir dan remdesivir.

Pada 3 Julai 2020, Menteri Kesihatan, Dato' Sri Dr. Adham Baba telah mengumumkan bahawa warganegara Malaysia dan warga asing yang masuk ke Malaysia akan diminta membayar ujian COVID-19 mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019) 2020, yang telah berkuat kuasa sejak 29 Jun 2020.

Pada 24 Disember 2020, Menteri Kanan, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mewajibkan ujian saringan bagi semua pekerja asing mulai 1 Januari 2021. Dengan ini, tindakan undang-undang dan penalti akan dikenakan terhadap majikan yang gagal memastikan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan COVID-19.

Menjelang 16 Mei 2021, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah telah mengesahkan bahawa kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, Kedah, dan Perak telah mencecah lebih 80 peratus akibat wabak COVID-19. Beberapa buah hospital juga telah menggunakan kesemua katil ICU mereka dalam merawat pesakit COVID-19. Ekoran daripada itu, kerajaan Malaysia terpaksa menubuhkan hospital yang dibina tentera dan hospital lapangan. Kementerian Kesihatan turut terpaksa menangguhkan operasi pembedahan elektif manakala kes-kes separa kecemasan telah dipindahkan keluar dari hospital yang dikhaskan untuk kes-kes COVID-19.

Menjelang 15 Julai 2021, hotel-hotel telah diubah menjadi pusat kuarantin dan rawatan untuk pesakit COVID-19 yang berisiko rendah kerana peningkatan kes jangkitan yang mendadak di seluruh negara yang memberi tekanan kepada hospital-hospital di dalam negara. Hospital-hospital di seluruh negara khususnya di Lembah Klang juga terpaksa menolak pesakit kerana kekurangan katil unit rawatan rapi (ICU) dan kakitangan untuk merawat pesakit dengan secukupnya. Petugas kesihatan dan pakar perubatan turut dilaporkan mengalami "kelesuan upaya" dan kelesuan belas kasihan. Peningkatan kes jangkitan sepanjang tahun 2021 berpunca daripada tindakan kerajaan mengenakan sekatan pergerakan dan penutupun penuh (total lockdown) yang kurang ketat dan keputusan awalnya yang membenarkan 18 sektor pembuatan dibuka semula dengan kapasiti 60 peratus, mewujudkan suasana yang membolehkan berlaku letusan wabak virus tersebut di kilang-kilang dan asrama-asrama pekerja.

Pada 26 Julai 2021, ribuan doktor junior yang bekerja secara kontrak telah melaksanakan mogok beretika untuk menunjukkan protes mereka terhadap dasar penyerapan doktor kontrak kepada perjawatan tetap di dalam sistem kesihatan negara yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak 2016 serta keadaan kerja yang teruk seperti syif 36 jam. Mogok itu dilakukan setelah rungutan doktor-doktor junior tidak dapat diselesaikan. Doktor yang berpakaian serba hitam berbaris keluar dari beberapa buah hospital termasuk Hospital Besar Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menggesa doktor untuk tidak menyertai mogok itu sementara pihak polis di Kuala Lumpur telah mengesahkan bahawa mereka akan menyiasat beberapa orang penganjur yang terlibat. Kempen mogok tersebut berlaku serentak dengan laporan mengenai keadaan sesak dan tidak bersih di pusat-pusat kuarantin. BBC News juga telah melaporkan bahawa pengurus-pengurus jenazah dan petugas-petugas pengebumian tertekan dengan permintaan untuk mengebumikan pesakit-pesakit yang meninggal dunia, yang kebanyakannya meninggal dunia di rumah.

Usaha vaksinasi

Antara bulan November 2020 hingga Januari 2021, kerajaan Malaysia telah mengadakan perjanjian dengan beberapa buah kerajaan, organisasi antarabangsa, dan syarikat termasuk kerajaan China, AstraZeneca, COVAX, Pfizer, Pharmaniaga Berhad dan Duopharma bagi mendapatkan pelbagai stok vaksin COVID-19 untuk negara ini. Pada akhir bulan Januari 2021, vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China menjadi vaksin COVID-19 yang pertama menjalani ujian klinikal di Malaysia.

Pada awal bulan Februari 2021, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika itu, YB Haji Khairy Jamaluddin telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi program imunisasi penyakit tersebut. Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) turut ditubuhkan bagi memudahkan pemerolehan bekalan vaksin COVID-19 untuk negara ini. Pada 11 Februari 2021, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) COVID-19 telah mengumumkan bahawa vaksin COVID-19 akan diedarkan secara percuma kepada warganegara dan juga penduduk bukan warganegara. Kerajaan juga telah melancarkan program imunisasi selama 12 bulan antara 24 Februari 2021 hingga bulan Februari 2022, dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin COVID-19 keluaran Pfizer–BioNTech ketika disiarkan secara langsung di seluruh negara.

Pada awal bulan September 2021, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa Malaysia akan mula memandang pandemik COVID-19 sebagai penyakit endemik mulai hujung bulan Oktober 2021 berikutan kadar vaksinasi yang tinggi.

Pil antivirus

Pada 2 Oktober 2021, Menteri Kesihatan, YB Haji Khairy Jamaluddin telah mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia sedang berunding dengan Merck & Co. untuk mendapatkan stok pil antivirus molnupiravir bagi merawat COVID-19.

Polisi kawalan perjalanan dan sempadan

Impak

Impak ekonomi

Pandemik COVID-19 memberi impak yang besar kepada ekonomi Malaysia. Menjelang akhir bulan Januari 2020, pasaran saham Bursa Malaysia telah jatuh apabila pelabur menjual saham mereka sebagai tindak balas kepada ketidaktentuan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik ini. Menjelang bulan Februari 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara telah menyusut 3.4 peratus pada suku keempat tahun lalu. Selain itu, ekonomi Malaysia menguncup 5.6 peratus untuk keseluruhan tahun 2020, mencatat prestasi terburuknya sejak Krisis Kewangan Asia 1998.

Banyak sektor termasuk sektor hiburan, peruncitan, hospitaliti dan pelancongan telah terjejas akibat pelbagai sekatan pergerakan dan peraturan penjarakan sosial sebagai pendekatan dalam melawan wabak COVID-19 sepanjang tahun 2020 dan 2021. Di samping itu, pembelian panik menyebabkan kekurangan barang keperluan seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman. Sebagai tindak balas, kerajaan telah melarang pengeksportan pelitup muka dan mengambil langkah untuk mengimport lebih banyak pelitup muka.

Pandemik ini juga telah memperlihatkan isu keselamatan tempat kerja dan eksploitasi pekerja asing yang bekerja di industri-industri Malaysia. Ekoran kemunculan kluster-kluster COVID-19 dalam kalangan pekerja asing, kerajaan Malaysia terpaksa mengambil langkah untuk meningkatkan kebajikan mereka dan mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak bertanggungjawab. Menjelang 12 Mac 2021, sebanyak 608,093 orang pekerja asing telah disaring untuk COVID-19, dengan sebanyak 9,653 telah diuji positif

Pada 27 September 2021, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa kedudukan kewangan negara dijangka bertambah baik pada tahun 2023, dengan ekonomi disasarkan berkembang 4.5 ke 5.5 peratus setahun untuk lima tahun akan datang. Malaysia mencatatkan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 2.7 peratus antara tahun 2016 dan 2020, manakala penguncupan 5.6 peratus pada tahun 2020 akibat wabak COVID-19.

Impak sosial

Impak politik

Pemberian bantuan

Isu dan kontroversi

Pautan luar

Laman media sosial rasmi KKM

Laman web rasmi KKM (COVID-19)

Lain-lain

Rujukan

  1. ^ a b c d "KKMNOW - COVID-19 di Malaysia" (dalam bahasa Inggeris). Kementerian Kesihatan Malaysia. Dicapai pada 2022-10-07.
  2. ^ "Southeast Asia Covid-19 Tracker". Center for Strategic and International Studies. 28 January 2020. Dicapai pada 28 January 2020.
  3. ^ Sipalan, Joseph; Holmes, Sam (25 January 2020). "Malaysia confirms first cases of coronavirus infection". Reuters. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 February 2020. Dicapai pada 18 February 2020.