Operasi Lalang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perhimpunan di Stadium TPCA sebelum Operasi Lalang
Stadium TPCA - pelbagai sepanduk
Perhimpunan balas
Hujan lebat turun semasa perhimpunan
Rais Yatim dari Semangat 46 turut hadir

Operasi Lalang atau Ops Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri atas arahan Mohammed Hanif Omar bagi menangkap penggiat yang disyaki di bawah Akta Keselamatan Negeri negara tersebut. Dalam Operasi Lalang ini, 106 hingga 119 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan dan pembatalan dua akhabar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.

Permulaan kontroversi[sunting | sunting sumber]

Kontroversi ini bermula daripada tindakan kerajaan di bawah arahan Menteri Pendidikan Anwar Ibrahim yang menghantar guru besar dan guru penolong kanan yang tidak mempunyai kelayakan bahasa Cina ke sekolah-sekolah rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).[1]

Masyarakat Cina meragui keberkesanan golongan tersebut menguruskan pentadbiran sekolah kerana dianggap tidak dapat berkomunikasi secara berkesan dengan staf sekolah. Pada September 1987, satu rombongan Dong Jiao Zong telah menemui Timbalan Menteri Pendidikan, Woon See Chin untuk menyampaikan hasrat mereka agar pelantikan berkenaan ditarik balik.

Pada 1 Oktober, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa guru besar dan penolong kanan yang dilantik akan diberi tempoh percubaan selama enam bulan. Keputusan ini tidak dipersetujui oleh ibu bapa dan pergerakan pendidikan Cina yang diwakili oleh Dong Zong, Jiao Zong dan pertubuhan masyarakat Cina yang lain. Pada masa yang sama, parti MCA turut menyeru kementerian pendidikan mengkaji semula keputusan sebelumnya dan mahu ciri sekolah Cina dikekalkan.

Pada 4 Oktober, Menteri Pendidikan mengumumkan Kementerian Pendidikan akan berpegang pada keputusan awal dan tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan politik. Pada hari yang sama, Dong Jiao Zong dan beberapa buah pertubuhan lain mengadakan pertemuan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan memutuskan untuk mengemukakan satu bantahan, yang dianggotai ibu bapa dan guru sekiranya isu itu tidak diselesaikan dalam masa dua minggu.

Pada masa yang sama, Memorandum Mengenai Kakitangan Pentadbir yang Tidak Berkelayakan Bahasa Cina ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina diutuskan oleh Dong Jiao Zong kepada Kementerian Pendidikan. Memorandum ini mengecam kelalaian kementerian menangani masalah SRJKC. Pada 8 Oktober, Jawatankuasa Bertindak Bersama, merangkumi 15 buah pertubuhan utama masyarakat Cina, parti MCA, Gerakan, dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) ditubuhkan dalam satu perjumpaan tergempar di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.

Pada 11 Oktober, satu perjumpaan besar-besaran diadakan di Tokong Thean Hou untuk membantah keputusan kerajaan berkenaan isu tersebut. Perjumpaan ini dihadiri oleh wakil persatuan-persatuan sekolah Cina, parti MCA, Gerakan dan DAP. Perjumpaan itu mencapai resolusi bahawa sekiranya guru berkenaan tidak dikeluarkan menjelang Rabu minggu berikutnya, mereka akan melancarkan mogok kelas selama tiga hari.

Pada pihak Pemuda UMNO, satu rapat umum telah diadakan. Pada 19 Oktober, Anwar Ibrahim mengumumkan kementeriannya tidak akan berganjak daripada keputusan awalnya dan memberi amaran keras bahawa tindakan keras akan diambil ke atas guru besar yang merestui mogok kelas. Kontroversi ini berakhir apabila Perdana Menteri melancarkan penangkapan secara mengejut, dikenali sebagai Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987.[1]

Tahanan ISA[sunting | sunting sumber]

Antara mereka yang ditahan ialah :

  1. Lim Kit Siang - ketua pembangkang dan Setiausaha Agung DAP
  2. Chandra Muzaffar- Presiden Aliran
  3. Karpal Singh- Timbalan Pengerusi DAP
  4. Chan Kit Chee - Naib Presiden MCA dan Perak
  5. Kua Kia Soong- Ketua Publisiti Jawatankuasa Hak Awam
  6. Lim Fong Seng Pengerusi Dong Jiao Zhong (Persatuan Pendidikan Cina)
  7. Halim Arshat - Ketua Pemuda PAS
  8. Ibrahim Ali Ahli Parlimen Pasir Mas, UMNO
  9. Mohamed Fahmi Ibrahim - Exco Biro Pendidikan Pemuda UMNO .

Walaupun kebanyakan tahanan telah dibebaskan sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, 40 orang telah dikeluarkan perintah tahanan dua tahun. Ini termasuk Lim Kit Siang dan Karpal Singh 5 pemimpin parti DAP, beberapa pemimpin PAS dan ramai aktivis sosial.

Pada mulanya bilangan yang ditahan ialah 97 orang, yang boleh dikategorikan kepada: parti politik: 37 orang; gerakan sosial: 23 orang; individu: 37 orang.

Pendidikan Cina[sunting | sunting sumber]

Isu-isu sensitif diperkatakan dalam surat khabar Cina dan dibalas dengan surat khabar berbahasa Melayu.

Isu-isu yang mencetuskan Peritiwa 13 Mei berulang semula seperti:

  • Lee Kim Sai antara lain menyatakan 'Melayu pun pendatang'. Hak keistimewaan Bumiputera dipertikaikan semula.
  • Tindakan Kementerian Pelajaran melantik 100 guru besar bukan berpendidikan Mandarin di sekolah jenis kebangsaan Cina telah mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan Persatuan Pendidikan Cina seperti Dong Jiao Zong, Kua Kia Soong dan lain-lain. Pemimpin MCA, Gerakan, DAP dan Dong Jiao Zong telah sepakat mempertahankan gaya pendidikan sekolah Cina.
  • Pada 11 Oktober 1987, seramai 2000 ahli Dong Jiao Zong telah berhimpun di Wisma Persatuan Hainan bersebelahan Tokong Thian Hou di Kuala Lumpur. Mereka mencadangkan murid-murid memboikot sekolah selama tiga (3) hari.

Stadium TPCA[sunting | sunting sumber]

Para pemimpin muda UMNO seperti Dato Muhammad Mohamad Taib - Menteri Besar Selangor, Ibrahim Ali, Fahmi Ibrahim, Rais Yatim , Anwar Ibrahim mahu UMNO menunjukkan rasa prihatin mereka. Najib Tun Razak ketika itu ialah sebagai Timbalan Ketua Pemuda UMNO.

Stadium TPCA di Jalan Abdul Aziz, di Kampung Baru menghimpunkan 10,000 ahli pemuda UMNO. Di sininya bermulanya Peristiwa 13 Mei iaitu di hujung Jalan Abdul Aziz , kediaman Dato Harun Idris.

  • Dato Muhamad Muhamad Taib dalam temubual radio RTM waktu tengah hari menggesa 'bawalah pisau - senang nak kupas limau'.

Nasib baiklah perhimpunan panas yang bermula jam 2.00 petang (hari Sabtu) ini disirami hujan lebat kira-kira pukul 5.00 petang.

Di simpang-simpang jalan utama ke Kuala Lumpur, polis dan tentera telah mendirikan khemah dan sekatan jalan raya. Contohnya di Jalan Cheras-Kajang.

Perhimpunan pemuda UMNO di Stadium TPCA ini mendesak Lee Kim Sai selaku Timbalan Presiden MCA dan Menteri Buruh untuk meletakkan jawatan. Gelaran Dato telah ditarik balik oleh Sultan Selangor. Lee Kim Sai telah 'dibenarkan melarikan diri' ke Australia.

Anwar Ibrahim selaku Menteri Pendidikan ketika itu mahu melancarkan perhimpunan raksasa (500,000) di Kuala Lumpur bagi menyambut ulang tahun UMNO ke-41.

Dato Zaman Khan selaku Pengarah Keselamatan Dalam Negeri tidak senang dengan perhimpunan yang dirancang oleh UMNO itu. Semasa siaran waktu pagi, Dato Zaman Khan mengumumkan di radio akan kejadian 'huru-hara' di Jalan Chow Kit di mana Prebet Adam dari Kem Tentera Ulu Kinta telah membunuh dua orang Cina dengan senjata raifal M16. Berikutan itu, perhimpunan raksasa telah dibatalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Menteri Dalam Negeri.

Sebagai tindakan seimbang, pemimpin UMNO, DAP, PAS, Dong Jiao Zong dan pemimpin lain yang tiada kena mengena telah ditangkap. Lee Kim Sai yang sepatutnya diambil tindakan tegas, telah berlepas ke Australia.

Tindakan susulan[sunting | sunting sumber]

Peristiwa ini dijadikan alasan oleh kerajaan untuk mengetatkan dan menyekat kebebasan berpolitik dan bersuara. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan diperkenalkan yang mana pencetak dan penerbit perlu memperbaharui lesen setiap tahun.

Jika mana-mana lesen dibatalkan, pembatalan tersebut tidak boleh dicabar di mahkamah. Penerbit boleh dipenjara sehingga 3 tahun jika menyiarkan 'berita palsu' . Pindaan Akta Polis iaitu perkumpulan politik termasuk mesyuarat agung parti mestilah mendapat permit polis. Jika menyalahi Akta Polis, boleh didenda RM10,000 dan penjara satu tahun.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Chow, Kum Hor (Nov. 6, 2005). "9/11 changed Hu's view of ISA". New Sunday Times, p. 8–9.
  • Mahavera, Sheridan (Nov. 6, 2005). "'When you play with fire, you will get burnt'". New Sunday Times, p. 9.
  • Othman, M. Husairy (Nov. 6, 2005). "Tajuddin bears no grudges". New Sunday Times, p. 9.
  • Tan, Choe Choe (Nov. 6, 2005). "Sim taught detainees Chinese during his stay". New Sunday Times, p. 8.

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Kua Kia Soong (1990). "The October 1987 Affair " dlm. A Pro-Saga: The Chinese Schools of Malaysia. Kuala Lumpur: The Resource and Research Centre, Selangor Chinese Assembly Hall.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]