Ahmad Mohamed Ibrahim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke pandu arah Pergi ke carian
Prof. Emeritus Tan Sri

Ahmad bin Mohamed Ibrahim

PSM JMN DMPN
Butiran peribadi
Lahir(1916-05-15)15 Mei 1916
Singapura
Meninggal dunia27 April 1999(1999-04-27) (umur 82)
Gombak, Selangor, Malaysia
Alma materUniversiti Cambridge

Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad bin Mohamed Ibrahim (15 Mei 1916 di Singapura - 17 April 1999) merupakan tokoh undang-undang Islam di Malaysia dan diiktiraf sebagai bapa undang-undang Malaysia. Beliau menjadi peguam bela semasa perbicaraan Natrah yang hendak dimurtadkan di Singapura pada tahun 1950. Ahmad Ibrahim juga berjaya memisahkan kuasa mahkamah sivil dengan mahkamah syariah melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 121 (1A) pada 1988.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Beliau menerima pendidikan awal di Victoria Bridge School, Singapura, dan Raffles Institution. Seterusnya, beliau mendapat pendidikan di Raffles College, Singapura.

Beliau mendapat biasiawa Queen Singapura (1936) untuk belajar di London dalam jurusan undang-undang. Beliau berjaya mendapat 1st class Economics Tripos I di Universiti Cambridge, 1st class Law Tripos II, University of Cambridge , George Long Prize untuk Roman Law , Certificate of Honour dan Bar Final, Middle Temple, London. Beliau satu-satunya calon peguam ketika itu yang mengambil peperiksaan di Singapura sedangkan calon-calon lain menduduki peperiksaan tersebut di London.

Seterusnya mendapat M.A. pada 1965 di Cambridge. Pada 5 Jun 1965, dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang (LLD) dari Universiti Nasional Singapura.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Bermula sebagai Majistret di Singapura pada 1946. Kemudian menjadi Hakim pada 1947. Pada 1948 beliau menjadi pensyarah di Raffles College sebelum menjadi peguambela dan peguamcara (1949-1955).

Beliau mengendalikan kes kontroversi Natrah @ Maria Hertogh iaitu sebagai peguam bela bagi pihak ibu angkat Natrah (Kamariah). Beliau menjadi ahli Penggubal Undang-Undang (1952-1955). Pada 1955 menjadi hakim semula sebelum dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya pada 1956. Pada 1957, menjadi Pendakwaraya dan 1959 menjadi Peguamcara Negara. Pada tahun 1963, beliau dinaikkan pangkat menjadi Peguam Negara Singapura. Pada 1967, beliau dilantik sebagai Duta Singapura ke Mesir (1967-1968).

Kerjaya pendidikan[sunting | sunting sumber]

Universiti Malaya[sunting | sunting sumber]

Setelah 22 tahun berkhidmat di Singapura, beliau memohon kerakyatan Malaysia dan berkhidmat di dalam bidang pendidikan undang-undang di Malaysia. Pada 1969, beliau dilantik sebagai Professor Undang Undang di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (1969-1972). Perlantikan beliau disokong terus oleh Ketua Hakim Negara - Tun Mohamed Suffian Hashim

Pada 1972, beliau mengasaskan Fakulti Undang-Undang pertama di Malaysia di Universiti Malaya dan menjadi Dekan pertama Fakulti Undang-Undang UM. Antara lulusan fakulti itu ialah Pawancheek Marican, Dato' Dr. Mimi Kamariah Abdul Majid.Pada 1984, Universiti Malaya menganugerahkan beliau gelaran Professor Emeritus.

Universiti Islam Antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Beliau juga merupakan pengasas kepada Kulliyyah (Fakulti) Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sewaktu universiti tersebut diasaskan pada 1983, hanya terdapat 2 fakulti di situ iaitu Kulliyyah Undang-Undang dan Kulliyyah Ekonomi. Beliau mencadangkan supaya Kulliyyah Undang-Undang yang bakal ditubuhkan menggabungkan Undang-Undang Sivil dan juga Undang-Undang Islam. Disebabkan itu, pelajar undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia wajib mempelajari kedua-dua bidang tersebut, tidak seperti Fakulti Undang-Undang di universiti lain. Keluasan ilmunya di dalam bidang undang-undang Sivil dan Islam membolehkan beliau mengajar hampir semua subjek yang ditawarkan di Kulliyyah Undang-Undang tersebut. Beliau digelar sebagai Shaikh di Kulliyyah Undang-Undang tersebut dan berkhidmat di situ sehinggalah kematiannya pada 18 April 1999, pada usia 83 tahun.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Rektor, Ahli Lembaga Pengarah dan Ahli Senat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

Beliau merupakan antara penulis buku undang-undang yang paling aktif di dalam sejarah undang-undang Malaysia.

  1. The Malaysia Legal System, First Edition 1987, Second Edition 1995, co-author Ahilemah Joned

Sistem Undang-Undang Malaysia (terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka)

  1. Family Law In Malaysia and Singapore, First Edition 1978, Second Edition 1984
  2. Family Law in Malaysia, 1997
  3. Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, 1999 (Buku tulisan terakhir beliau. Setiausahanya memberitahu sewaktu siap buku ini, beliau menyerahkan menuskrip buku tersebut kepadanya sambil berkata "Siap akhirnya buku saya". Keesokan harinya, beliau meninggal dunia.)
  4. pengasas kepada Jurnal Hukum iaitu jurnal yang melaporkan kes-kes berkaitan keputusan Mahkamah Syariah dan beliau merupakan penasihat dan juga editor Jurnal Hukum.
  5. penasihat editorial bagi Malayan Law Journal, Kanun, IIUM Law Journal, IKIM Law Journal dan banyak lagi.
  6. Menjadi Hakim Mahkamah Rayuan bagi Mahkamah Syariah dan telah memutuskan sejumlah kes Mahkamah Syariah.
  7. Menjadi anggota Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sehingga akhir hayat beliau.
  8. Ahli panel penggubal Enakmen Undang-Undang Islam (Hudud dan Qisas) Kelantan pada tahun 1991.
  9. Mencadangkan penggubalan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memberi peruntukan menghalang Mahkamah Sivil untuk masuk campur di dalam urusan Mahkamah Syariah pada tahun 1988. Beliau telah berjaya memartabatkan Mahkamah Syariah ke tahap yang lebih tinggi supaya Mahkamah Syariah dilihat setaraf dengan Mahkamah Sivil.

Peribadi[sunting | sunting sumber]

Bapanya seorang doktor yang aktif di dalam aktiviti sosial berkaitan umat Islam. Beliau dikatakan pendiam. Mesyuarat yang dipengerusikannya ringkas dan tidak meleret-leret. Beliau tidak pernah berborak kosong, tidak minum kopi, jauh sekali merokok atau pun mengambil apa-apa makanan yang memudaratkan .Beliau sentiasa dalam keadaan berwuduk. Daya ingatan dan pemikirannya kuat walaupun berusia 80-an.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Beliau menerima pingat Johan Mangku Negara (J.M.N) oleh Yang di-Pertuan Agong (1974). Pingat Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (D.M.P.N) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (1979). Pingat Allama Muhammad Iqbal Medal daripada kerajaan Pakistan (1979). Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri (1987). Tokoh Maal Hijrah (1989) dan Pingat Tun Abdul Razak pada 1992.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIAM menamakan Kulliyyah Undang-Undang UIAM kepada Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim(2001).Antara yang hadir ialah Tun Mohd Dzaiddin Abdullah dan Tun Mohamed Zahir Ismail.

Rujukan[sunting | sunting sumber]