Imuda

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Imuda
Imuda pada 2016.
Kelahiran
A. Rahim bin Muda

(1959-12-13) 13 Disember 1959 (umur 64)
PekerjaanPelakon, pelawak, pengacara, penyanyi, kartunis
Tahun aktif1980—kini
Terkenal keranaSam, Budin (Pi Mai Pi Mai Tang Tu)
Pasangan
  • Rosalinda Rosli (k. 1994; c. 2004)
  • Zabarina Haja Mushadi Ali (k. 2010)
Anak-anak4
IbuHalijah binti Chik
BapaMuda bin Nordin

A. Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda (lahir 13 Disember 1959) merupakan seorang pelakon, pelawak, pengacara, penyanyi dan kartunis Malaysia.[1][2][3] Beliau memulakan kerjayanya sebagai pelukis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama dengan rakan sekerjanya iaitu Sabri Yunus.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 13 Disember 1959, nama Imuda diperolehi daripada nama panggilan beliau, Im, dan bapanya, Muda. Imuda merupakan anak ke-6 daripada lapan orang adik-beradik hasil perkongsian hidup bapanya, Muda Nordin dengan ibunya, Halijah Chik.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Khir Johari dan kemudian menghabiskan persekolahannya sehingga Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam. Sejak kecil lagi, Imuda meminati semua bidang seni. Seawal empat tahun, beliau sudah mula terpukau melihat poster-poster wayang yang dilukis. Beliau selalu memujuk ibu bapanya menonton wayang, tetapi lebih banyak memberi perhatian kepada poster wayang daripada filem itu sendiri. Secara tidak langsung, poster-poster wayang tersebut menjadi sumber inspirasi untuk Imuda menjadi seorang pelukis. Cita-cita beliau hanya mahu menjadi seorang pelukis. Semasa masih kanak-kanak lagi, Imuda sudah memperlihatkan keupayaan untuk melukis. Ketika Darjah Enam, beliau sudah mula melukis strip kartun, sepertimana yang dilihatnya di dalam komik-komik di waktu itu. Peminatnya terdiri daripada kawan-kawan.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Bidang penulisan[sunting | sunting sumber]

Dari usia muda lagi, Imuda sudah membuat keputusan untuk melukis. Selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun 1978, beliau bekerja di United Books Company, sebuah syarikat yang agak dikenali ketika itu di Pulau Pinang. Di sana Imuda bertindak sebagai pelukis ilustrasi untuk beberapa majalah kanak-kanak, antaranya Dunia Kanak-kanak. Beliau turut bertindak sebagai pembaca pruf di syarikat tersebut.

Imuda hanya bertahan selama 2 tahun di syarikat itu sebelum bekerja di sebuah kilang gula di Perai. Semasa bekerja sebagai pelukis ilustrasi, Imuda cuma dibayar RM110 sebulan, tetapi sebagai pekerja kilang, beliau dibayar RM15 sehari. Lebih mahal walaupun kerjanya agak teruk. Sewaktu majalah Gila-Gila mula meledak di pasaran pada tahun 1978, Imuda turut menyumbang karya-karya kartunnya ke majalah tersebut. Kartun beliau mula tersiar sejak keluaran kedua Gila-Gila. Dari situ beliau melebarkan lagi sayapnya ke penerbitan-penerbitan lain seperti majalah Gelihati dan Berita Minggu. Desakan jiwanya untuk menjadi pelukis membawa beliau memohon kerja di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur. Beliau kemudian diterima bekerja sebagai pembantu pelukis.

Teater, drama, dan filem[sunting | sunting sumber]

Semasa bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Imuda mula terlibat dalam bidang lakonan, bermula dengan teater. Tetapi sebelum mendapat peluang berlakon, beliau terpaksa mencuci lantai dan menolong mengangkat barang-barang di set lakonan.

Akhirnya beliau ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah pementasan berjudul Mayat. Bagi Imuda, itu bukanlah satu permulaan yang baik, apatah lagi beliau diminta berlakon sebagai mayat! Namun begitu, Mayat diterima baik oleh penonton dan Imuda serta kumpulan teaternya terus mengadakan persembahan hingga ke Sabah dan Sarawak.

Awal 1980an, Imuda membuat kemunculan pertamanya di slot Drama Minggu Ini melalui cerita Bahtera. Beliau dibayar RM50 untuk watak tambahan. Namun begitu, beliau rasa gembira, apatah lagi bila diminta untuk berlakon dalam beberapa drama selepas itu. Peranannya juga semakin besar dan beliau dibayar RM100.

Beliau kemudiannya dipelawa berlakon di dalam filem Mekanik, filem pertama beliau, di mana beliau merasakan tidak percaya bila dibayar RM600 untuk penggambaran selama 4 hari – apatah lagi di dalam format warna! Drama Minggu Ini dihasilkan di dalam hitam putih.

Pada hujung 1983, Imuda telah ditawarkan watak sebagai Budin dalam pementasan Syy… yang ditulis oleh Dr Hatta Azad Khan. Ceritanya adalah mengenai penduduk sebuah setinggan yang memprotes pihak Dewan Bandaraya yang mahu membina loji najis di kampung mereka, Kampung Seri Wangi. Hafsham, pengarah filem Mekanik, ketika menyaksikan pementasan tersebut, beranggapan ia mampu menjadi drama sitcom yang menarik. Lalu beliau mengusulkan ideanya di samping mengekalkan pelakon-pelakon yang asal. Pada mulanya, ia mengisi slot Drama Swasta di RTM pada tahun 1985, sebelum berhijrah ke TV3 dengan judul Kampung Seri Wangi, dan kemudiannya Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Kalau sebelum ini Imuda hanya dikenali di kalangan penggemar-penggemar kartun sahaja, dengan sitcom tersebut beliau mula popular ke seluruh negara. Malah orang ramai lebih mengenalinya sebagai Budin sahaja daripada Imuda.

Tahun 1989, Hafsham menghasilkan sitcom 2 + 1. Imuda memegang watak sebagai Sam, seorang lelaki lembut. Turut bersama dalam sitcom tersebut ialah Louisa Chong, Susan Lankester dan Raja Ema. Sitcom tersebut menerima kritikan yang agak hebat terutama mengenai watak Sam. Dan tidak hairanlah siri tersebut hanya bertahan selama 3 tahun sahaja, berbanding dengan Pi Mai Pi Mai Tang Tu selama 14 tahun. Imuda turut menerima kritikan mengenai watak lakonannya itu. Tetapi bagi beliau, ia hanyalah untuk hiburan sahaja. Orang ramai tidak perlu ambil serius dengan lakonan beliau. Dalam pada itu, Imuda terus menerima tawaran berlakon untuk filem, antaranya Balik Kampung, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal, Mat Som (diadaptasikan daripada karya Lat), Mat Gelap, Imigran dan Jutawan Fakir. Sehingga kini Imuda masih lagi aktif sebagai pelukis dan pelakon, di samping aktiviti-aktiviti seni yang lain.

Peserta Maharaja Lawak Mega[sunting | sunting sumber]

Pi mai ialah gandingan Imuda, Sulaiman Yassin (Mat Over) dan Sathiya, yang menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega dari 30 Oktober 2011 hingga 30 Disember 2011 di Shah Alam, Selangor dan disiarkan secara langsung menerusi slot Astro Warna saluran 132. Mereka tersingkir di minggu kedua akhir iaitu di Stadium Tertutup Majlis Bandaran Johor Bahru. Tema persembahan mereka ialah tema adaptasi daripada filem klasik dan konsep bebas. Juri tetap MLM, Chef Wan, penyanyi Siti Nurhaliza dan jurulatih bola sepak Zainal Abidin Hassan serta juri jemputan, penyanyi Ferhad memberi markah 15.8 peratus.[4]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Imuda telah berkahwin sebanyak dua kali dan mempunyai empat anak daripada kedua-dua perkahwinan tersebut.[5] Bekas isterinya, Rosalinda Rosli meninggal dunia pada Disember 2008.[6] Beliau kemudian berkahwin dengan Zabarina Ali pada 2010.[7]

Pada Ogos 2012, beliau mengalami kerugian lebih RM7,000 selepas kediamannya dipecah masuk oleh perompak ketika beliau sekeluarga baru sahaja pulang dari bercuti di kampung sempena Hari Raya Aidilfitri.[8][9][10]

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Single
Tahun Tajuk Menampilkan
2013 "Rilek Brader" Art Fazil
"Blues Nasi Kandar"
2017 "Rilek Raya" Art Fazil
2020 "Jam!" Art Fazil & Andy Flop Poppy

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Catatan
1983 Mekanik Pembantu Mekanik II Filem pertama
1986 Balik Kampung Muda
Kembara Seniman Jalanan Brader Joe
1988 Perawan Malam Lelaki Lembut di Pondok Telefon Pelakon undangan
1989 Hero Din
1990 Mat Som Mat Som
Driving School
Mat Gelap Rahim / Mat Gelap
Hati Bukan Kristal Azmi Pelakon undangan
1992 Wanita Bertudung Hitam Bong Ramli
Gelora Cinta Sam Filem usahasama Indonesia-Malaysia
Suci Dalam Debu Badrul
1993 Imigran Hisham
Kekasih Awal Dan Akhir Rahim
1996 Super Star
1998 Kembara
2002 Mendam Berahi Adam
2003 Jutawan Fakir Bos
2008 Cinta U-Turn Kondaktor KTM
2011 Sumpahan Puaka Sudin
2012 Aji Noh Motor Haji Rodhi
Budak Pailang Tuan Rumah
Shh...Dia Datang Udin
2013 Bro, Nampak Motor Gua? Encik Osman Pelakon undangan
2014 Cara Mengundang Hantu
Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya Leman
2018 Hantu Kak Limah Penampilan khas
2020 Manap Karaoke Pak Mid
Butak Abang Chot
2021 Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa Dato Mahfuz (Ceo Mega Ah Holding)
2024 19 Puasa Playboys Of Plastik Hitam
TBA Pi Mai Pi Mai Tang Tu The Movie Budin Dalam perancangan

Drama[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Saluran TV Catatan
1980 Drama Minggu Ini: Bahtera TV1 Pelakon tambahan
1983–2004 Pi Mai Pi Mai Tang Tu Budin TV3
1989–1993 2+1 Selamat
2001 2+1.kom.my
2007 Salam Pantai Timur Pelbagai TV1 Watak berulang
2009 Julia Juli Memanda Negeri TV3
2019 Setelah Cinta Itu Pergi Pak Ngah Zali
3S Pak Din TV1
Gerak Khas (Musim 19) Pak Amin TV2 Episod: "Dendam Menular"
Ajak Oh Ijal Mahmud TV3
2020 Jaman Tori Peguamcara Awesome TV
2021 Kampong Pisang Bersiri-siri Zali Zanzibar Astro Citra Episod: "Alam Pak Din" (Bahagian 3)
Ganjil Bapa Sally Viu
2022 Bukan Pi Mai Pi Mai Sudin Astro Ria
The Pak Mat Clan Pak Mat TV3
Teguh Abang Din TV Okey

Telefilem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Saluran TV Catatan
2001 Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys Jefri Jambul ntv7
2002 Aku Kaya Tauke Restoran Nasi Kandar VCD
Les Sekinchan
2003 Neon Peniaga Gerai Kopi Satu I Penampilan khas
2014 Rombongan Cik Kiah ke Kelana Jaya Astro First Eksklusif
2018 Kuala Kampung Lambat Makrop Astro Citra
2021 Ismadi Belum Mati

Televisyen[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2002 Rasa-Rasa Ikan Pengacara TV3
Pendidikan Moral: Rasuah Dihina, Maruah Dibina Pelakon TV Pendidikan
2018 Di Balik Tawa (Musim 1) Dirinya sendiri Astro Warna

Peserta[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Kumpulan
2011 Maharaja Lawak Mega 2011 Pi Mai

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Rahsia Imuda kekal populariti". Utusan Malaysia. 7 Januari 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Januari 2012. Dicapai pada 2 Jun 2012.
  2. ^ Khadijah Ibrahim (25 November 2015). "Kurang tawaran berlakon". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 November 2015. Dicapai pada 2 Jun 2016.
  3. ^ "Imuda abadi wajah bintang popular". Berita Harian. 8 Februari 2006. Dicapai pada 2 Jun 2010.
  4. ^ MLM: Pi Mai Tersingkir, Empat Peserta Mara Peringkat Akhir mStar Online. 25 Disember 2012. Dicapai pada 2 Jun 2013.
  5. ^ "Imuda dapat anak perempuan". Berita Minggu. 20 Ogos 1995. Dicapai pada 2 Jun 2018.
  6. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (25 Disember 2008). "Bekas isteri Imuda meninggal dunia". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-12-28. Dicapai pada 2 Jun 2010.
  7. ^ "Imuda dapat cahaya mata keempat". Harian Metro. 25 Julai 2017. Dicapai pada 2 Jun 2018.
  8. ^ Nor Fazlina Abdul Rahim (29 Ogos 2012). "Rumah Imuda dipecah masuk". Berita Harian. Dicapai pada 2 Jun 2020.
  9. ^ "Perompak 'beraya' di rumah Imuda". Harian Metro. 29 Ogos 2012. Dicapai pada 2 Jun 2020.
  10. ^ "Pencuri rumah Imuda diburu". Berita Harian. 30 Ogos 2012. Dicapai pada 2 Jun 2020.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]