NKRA

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA (NATIONAL KEY RESULT AREAS) merupakan usaha kerajaan Malaysia untuk memenuhi keperluan rakyat selepas PRU12.

NKRA diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Julai 2009.[1] Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 3 April 2008. Hala tuju strategik NKRA , perancangan dan pelaksanaan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-10. Ia dilancarkan dalam majlis Perdana Menteri bersama anggota pentadbiran dan penjawat Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).[2]

Pengerusi Lembaga PEMANDU NKRA ialah Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) NKRA ialah Senator Datuk Seri Idris Jala. Setiap NKRA, seorang menteri dilantik sebagai 'lead minister' atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan.

Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri giat memperkasakan keupayaan pegawai dan kakitangan untuk memahami konsep, mengenal pasti dan melaksanakan keperluan penyediaan NKRA dan KPI di peringkat masing-masing. Kerajaan terbuka kepada semua maklum balas yang diterima dan bersedia untuk merealisasikan kesemua pelan .[3]

Sekarang lebih ramai menteri menanggalkan jaket dan menyinsing lengan untuk melihat sendiri masalah rakyat agar mereka dapat menyelesaikannya. Rakyat bertembung dengan menteri di rumah-rumah pangsa yang sesak, pasar dan stesen bas, di lebuh raya yang sibuk, sekolah, hospital, malahan di kawasan sering dilanda banjir. Era menteri disediakan permaidani merah dan menerima cendera hati selepas menyampaikan ucapan sudah berlalu. Menteri perlu mendengar denyutan nadi rakyat.Kabinet Najib dibentuk pada 9 April 2009 melibatkan barisan jemaah menteri yang lebih kecil, terdiri daripada 28 menteri dan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dan 27 kementerian semasa pentadbiran Abdullah.

Peringkat NKRA[sunting | sunting sumber]

NKRA pada peringkat negara dilaksanakan bermula September 2009. NKRA peringkat kementerian yang dikenali sebagai KRA akan dilaksanakan mulai Januari 2010 NKRA dibahagikan kepada dua fasa melibatkan peringkat negara dan kementerian yang berkuatkuasa pada tempoh berlainan.

6 teras NKRA[sunting | sunting sumber]

Enam bidang tumpuan NKRA ialah :

  1. Mengurangkan jenayah - Datuk Seri Zaid Hamidi (Menteri Dalam Negeri)
  2. Memerangi rasuah - Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
  3. Meluaskan akses kepada pendidikan bermutu dan termampu - Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran)
  4. Meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah - Yb Dato' Sri Hajah Rohani Binti Haji Abdul Karim (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)
  5. Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman - Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)
  6. Menambah baik pengangkutan awam bandar - Dato' Seri Kong Cho Ha (Menteri Pengangkutan)

Gagasan 1Malaysia[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: 1Malaysia

Konsep 1Malaysia menekankan penerapan teras perpaduan dan penerapan nilai-nilai aspirasi termasuk budaya berprestasi tinggi, budaya ketetapan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi.

Ini bukan slogan dan bukan retorik politik. Ia merupakan ramuan yang boleh jadi penawar semua kaum dan etnik. Sebagai satu keluarga, kita akan menjadi negara yang kuat dengan etnik lain, tetapi hati tetap taat dan setia kepada negara.[4]

Indeks Prestasi Utama[sunting | sunting sumber]

Indeks Prestasi Utama atau KPI (Key Performance Index) dirangka bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius dapat disemai di kalangan anggota pentadbiran dan perkhidmatan awam negeri.[5]

Perdana Menteri membuat penilaiannya ke atas 28 menteri dan 40 timbalan menteri menjelang November 2009.[6] Najib memperkenalkan KPI pada 9 April 2009. Melalui KPI, Najib akan menilai prestasi anggota pasukannya -- menteri dan timbalan menteri -- dalam mencapai matlamat pentadbirannya "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

KPI tidak setakat slogan retorik di kalangan mereka dalam lengkongan kerajaan. Ia kini merupakan pendekatan sistematik bagi mengukur prestasi, memfokus bukan saja kepada aspek kuantitif dan kualitatif tetapi juga kepuasan rakyat sebagai ukuran kemuncak. Rakyat akan mengundi -- bukan menerusi SMS seperti dalam program realiti TV tetapi menerusi peti undi -- tentang prestasi kerajaan bila tiba PRU13 nanti. Talian hayat yang mereka ada ialah rakyat.

Pelan Transformasi Kerajaan[sunting | sunting sumber]

Pada 17-19 disember 2009, pameran terbuka Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dipamerkan selama dua hari di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid,Petaling Jaya,Selangor. Orang ramai berpeluang menilai pencapaian kerajaan melalui lapan makmal GTP dan NKRA. Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Idris Jala, Muhammad Shaahidullah Shayaa menyatakan bahawa respon daripada orang ramai diperlukan.[7]

Lebih 7,000 aktiviti di seluruh negara bersama lebih 2,000 projek dan 100 program dipamerkan.[8] Lebih 1,000 komen bertulis mengenai inisiatif NKRA itu, dan 70 % pengunjung bersetuju dengan cadangan dalam keenam-enam NKRA.[9]

Kadar Jenayah[sunting | sunting sumber]

Isu jenayah melibatkan pejabat Peguam Negara, mahkamah, penjara dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.[10]

Kementerian Dalam Negeri sedang berusaha mengurangkan jenayah jalanan.3,000 anggota dari Pasukan Gerakan Am, pasukan para militari Polis Diraja Malaysia, 1,720 dari Rela dan 485 dari Jabatan Pertahanan Awam akan ditempatkan di lokasi panas. Polis tambahan dalam syarikat berkaitan kerajaan akan dipinjamkan untuk rondaan jalanan "di kawasan-kawasan panas". Bilangan Polis Simpanan Sukarelawan akan ditambah menerusi latihan sambil kerja. Latihan kadet Tingkatan 4 dan 5 Jabatan Pertahanan Awam akan terus diserapkan selepas tamat sekolah. Semangat kesukarelawan di kalangan rakyat Malaysia dapat membantu mengurangkan jenayah kerana ia "bukan tugas polis sahaja".[11] Terdapat 157 kawasan panas di seluruh negara yang membabitkan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.[12]


Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi alamat emelnya (musa@rmp.gov.my) untuk hubungan langsung. Rakyat boleh bekerja sama dengan polis bagi menangani jenayah secara lebih berkesan. "Balai League Tables" membolehkan rakyat menentukan kedudukan setiap balai sama ada mencapai sasaran atau tidak.Pegawai Kementerian Dalam Negeri, Badan Bukan Kerajaan (NGO), badan antarabangsa dan juga orang ramai akan dilantik untuk memastikan polis mencapai standard antarabangsa dan tanda aras yang ditetapkan.

Indeks jenayah kekerasan disasarkan turun sebanyak lima %. 20 % jenayah jalanan diturunkan. Program komuniti polis ditingkatkan 5 %.[13] Jenayah jalanan di 50 "kawasan panas" di seluruh negara akan diatasi. 50 kawasan panas jenayah jalanan dikenal pasti terutama sekitar Balai Polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur, Balai Polis Sentral Johor, Balai Polis Tampoi Johor, Balai Polis Cheras dan Balai Polis Klang.[14]

Masalah pekerja asing tanpa izin dan pelajar asing yang menyalahgunakan pas pelajar turut ditekankan. Pelawat menyalahgunakan program visa sebaik ketibaan, yang bermatlamat untuk menarik lebih ramai pelancong asing. Pelajar asing yang ditaja oleh kerajaan masing-masing untuk melanjutkan pengajian di Malaysia tidak menimbulkan masalah. Pelajar asing ditangkap kerana menjual dadah , menipu orang ramai dan memalsukan mata wang.Masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk majikan. Sabah menjadi destinasi kegemaran ramai pelancong dalam dan luar negara.

Pada 13 disember 2009, 172 anggota Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang tamat menjalani latihan tujuh minggu sebagai anggota polis sukarela ditempatkan di kawasan panas di Lmbah Klang. 490 anggota JPAM dan Rela telah dilatih sebagai anggota polis sukarela di Akademi Latihan Pertahanan Awam Malaysia (ALPHA), Bangi. Namun mereka tidak dibekalkan dengan senjata api, hanya 't-baton' sahaja.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan sasaran KPI telah disiapkan. Antaranya ialah permohonan tertunggak untuk mendapatkan kewarganegaraan, permit masuk dan sijil kelahiran yang lewat didaftar. Permohonan tertunggak untuk kewarganegaraan adalah 32,927, permit masuk (16,812) dan sijil kelahiran yang didaftarkan lewat ialah 93,360 permohonan.

Pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri

Rasuah[sunting | sunting sumber]

Ketua Makmal Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memerangi rasuah ialah Datuk Hisham Nordin.[15]

Akta Pendedah Salah Laku akan digubal untuk memerangi rasuah.Menerusinya pemberi maklumat 'kebal' daripada dikenakan tindakan sivil atau jenayah akibat pendedahan yang dilakukan.

14 buah lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah akan ditubuhkan. Kini hanya ada dua buah mahkamah khas tersebut di Kuala Lumpur dan dua lagi di Shah Alam.

Imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditingkatkan melalui pelbagai cara. Antaranya ialah persidangan memerangi rasuah peringkat antarabangsa, kempen kesedaran melalui media massa dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat.

Indeks Persepsi Rasuah antarabangsa akan diperbaiki.[16] Transparency International Malaysia (TI-M) boleh bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghapuskan rasuah. SPRM hendaklah diletakkan pada landasan sebagai sebuah badan bebas tetapi juga mematuhi prinsip dan prosedur Konvensyen mengenai Rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCAC).[17]

Luar bandar[sunting | sunting sumber]

Sasaran utama ialah pembinaan jalan raya luar bandar, penyediaan bekalan elektrik, bekalan air serta perumahan rakyat luar bandar di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.[18]

50,000 buah rumah perumahan rakyat termiskin (PPRT) akan siap pada 2012. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. menyatakan bahawa M12 bilion disediakan bagi perumahan, jalan raya, bekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar. Rumah PPRT bernilai RM33,000 bagi setiap unit di Semenanjung Malaysia dan RM44,000 di Sabah dan Sarawak, akan diberikan secara percuma tanpa ada sewa atau bayaran apa-apa. Tanah yang sesuai dikenal pasti untuk membina rumah PPRT.

1,500 kilometer jalan raya di Sabah dan Sarawak akan dibina. Selama ini penduduk Sabah dan Sarawak amat bergantung kepada bot untuk membawa hasil pengeluaran atau menghantar anak ke sekolah. Penurapan jalan yang terletak lima kilometer daripada jalan bertar di Semenanjung Malaysia dijangka siap pada 2012.

Set generator atau kuasa solar akan disediakan di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak untuk bekalan elektrik.[19]

Pengangkutan awam[sunting | sunting sumber]

NKRA mensasarkan 600,000 orang akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang menjelang akhir 2012. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat menyatakan bahawa 240,000 dari jumlah populasi Lembah Klang ( 10 -12 %) mengunakan pengangkutan awam . Kerajaan berharap 2.5 % (atau 600,000) penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutsn awam.

Usaha ke arah itu termasuklah :

  1. Meningkatkan kapasiti pengangkutan awam
  2. Merangsang permintaan menerusi "pendekatan tarikan"
  3. Mengurangkan kesesakan kenderaan berat di kawasan pusat pernigaan (CBD)
  4. Menstruktur semula peraturan untuk kelangsungan yang berpanjangan
  5. Mengadakan pengurusan permintaan masa depan melalui "pendekatan tolakan.
  • Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan diwujudkan pada 2010. Ia sebagai kapten industri tunggal untuk menyelaras usaha kepada keseluruhan sistem pengangkutan awam. Kelemahan wujud kerana 12 kementerian terlibat dalam hala tuju pengangkutan awam.

Pengangkutan awam Lembah Klang kini telah tepu terutama bagi perkhidmatan rel (KTM Komuter, RapidKL, LRT dan Monorel. 360,000 pengguna kenderaan persendirian hendaklah beralih kepada pengangkutan awam. Bancian melaporkan bahawa 58 % atau 207,000 orang ini akan menggunakan perkhidmatan rel .42 % atau 153,000 orang akan menggunakan bas. Komuter KTM menyumbang 95,000 penumpang. Laluan LRT Kelana Jaya seramai 62,000. Laluan LRT Ampang LRT seramai 33,000 penumpang.

  • Masa menunggu selama 3 minit di stesen komuter akan dikurangkan kepada 2.5 minit sahaja. KTM Berhad telah membeli lima set tren elektrik (ETS) untuk perkhidmatan antara Ipoh-KL-Seremban menjelang April 2010.
  • Perkhidmatan Bas Transit Lebuhraya (BET) di empat koridor di Lembah Klang dilancarkan pada 2010.Laluan khas untuk bas yang meliputi 12 koridor utama di Lembah Klang diperkenalkan.
  • Bas RapidKL akan ditingkatkan kepada 850 buah bas. 52 laluan baru diperkenalkan bagi memudahkan orang ramai ke Lembah Klang.
  • Sistem tiket bersepadu dan struktur tambang di bawah konsep "1Ticket, 1Seamless Journey" meliputi kesemua 16 operator di Lembah Klang.
  • 6,800 tempat baru meletak kenderaan di 14 stesen rel di luar kawasan bandar raya akan ditambah. Perkhidmatan feeder ke stesen rel diperbaiki serta meningkatkan stesen dan terminal bas yang sesak.
  • Terminal bas di Bandar Tasik Selatan (selatan), Gombak (timur) and Sungai Buloh (utara) akan diwujudkan. Terminal di Bandar Tasik Selatan sedang dibina. Terminal Gombak siap 2010. Terminal Sungai Buloh akan menampung bas ekspres ke utara selepas 2012. 750 bas dari selatan dan pantai timur Semenanjung akan dialihkan dari pusat bandar.
  • Hab terminal antara bandar raya di Pasarama Kota, Plaza Rakyat dan Pudu untuk menampung laluan trafik dari pinggir ke dalam bandar raya. 14 Hentian Akhir Bandar turut disediakan.[20]

Kemiskinan tegar[sunting | sunting sumber]

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil mengumumkan duit Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diberi pada setiap 1 hari bulan bermula pada Januari 2010. Terdapat 117,545 penerima yang dibayar setiap bulan oleh JKM. Ia diperluaskan ke Sabah dan Sarawak menerusi sistem e-Kasih dan Projek Cari.[21]


Program Perumahan[sunting | sunting sumber]

Program Bantuan Rumah (PBR) dilancarkan oleh kerajaan Persekutuan Malaysia agar rakyat marhain mendapat rumah mampu milik bagi membasmi kemiskinan.

Anggota Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyatakan bahawa skim perumahan di rumah panjang Sabah dan Sarawak perlu diubahsuai. Golongan miskin penghuni rumah panjang boleh memohon pinjaman RM10,000 untuk membaiki kediaman mereka. Kota Marudu terdapat 1,495 penduduk miskin tegar yang layak mendapatkan bantuan Program E-Kasih tetapi pada setiap tahun, peruntukan sedia ada hanya dapat membaiki kira-kira 60 buah rumah di setiap kawasan parlimen. Contohnya rumah panjang Marimbau Darat dan Rita di Matunggong. 70 % rumah panjang dari 30 rumah panjang di Matunggong didapati sangat usang , tidak selamat diduduki dan perlu pembaikan besar. Rumah panjang ini dibina semasa kerajaan Berjaya. Bantuan dalam bentuk atap zink dan dinding papan lapis masih tidak cukup.[22]

Geran pembaikan antara RM10,000 dan RM15,000 boleh diberi kepada setiap rumah. Kos antara RM40,000 hingga RM50,000 bagi setiap unit perlu disediakan bagi membina rumah baru PBR.

Cadangan pembaikan:

  1. Bantuan membaiki rumah bagi kediaman yang masih boleh didiami
  2. Model PBR bagi rumah percuma golongan miskin yang disediakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW)
  3. Pinjaman tanpa faedah bagi jenis rumah .

Makmal bumiputera[sunting | sunting sumber]

Pada 21 Januari 2010, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) Senator Datuk Seri Idris Jala menyatakan bahawa makmal bumiputera akan ditubuhkan. Ia melibatkan bumiputera di Sabah dan Sarawak.Sabah dan Sarawak akan mempunyai model pembangunan tersendiri dengan penubuhan sebuah makmal khusus untuk membuat pengubahsuaian dan dilaksanakan dengan berkesan.[23]

Ia mendapat kerjasama penuh daripada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. Ketua Menteri Sarawak juga memberi dokongan penuh.

NKRA Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa sub NKRA terbahagi kepada 4 iaitu :

  1. Memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah
  2. Meningkatkan kadar literasi dan numerasi (LINUS).
  3. Mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi
  4. Insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah.[24]

Kanak-kanak seawal umur empat tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Standard antarabangsa menetapkan tempoh 12 tahun bagi setiap murid. 315 buah kelas prasekolah disediakan dengan bilangan guru prasekolah seramai 7,511 orang pada 2010. Semua prasekolah, kerajaan mahupun swasta akan menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).

Kelas Prasekolah akan dibina di rumah-rumah panjang di Sarawak. Bangunan khusus akan dibina atau dibina dalam rumah panjang. Banyak rumah panjang di Sarawak kini menggunakan batu-bata dan simen, tidak lagi menggunakan kayu. Contohnya rumah panjang di Batang Ai. Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib bin Mahmud berharap penghuni rumah panjang akan menyokong program pembangunan yang disediakan oleh kerajaan.[25]

LINUS ditumpukan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M. Kadar literasi murid sekolah rendah adalah 87 %. 2010 disasarkan 90 %. Guru-guru terbaik akan mengajar Tahun 1. Guru Pemulihan ditambah kepada nisbah 1:15 murid. 20 % murid menyertai kelas prasekolah pada akhir 2012 . Semua murid normal boleh menguasai asas kemahiran literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah. Semua sekolah dipastikan mendapat bekalan elektrik 24 jam. Prasekolah berpusat terutama di kawasan pedalaman akan diperkenalkan.[26]

20 buah sekolah disasarkan untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun 2010. Tahun 2012 dijangka 100 buah sekolah.69 buah Sekolah Menengah Teknik distruktur semula untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional.Sekolah aliran vokasional dan kemahiran menjadi satu daripada bidang aliran perdana dalam sistem pendidikan.[27]

'New Deal' atau Bai'ah Baru diperkenalkan kepada pemimpin sekolah dengan hasrat untuk meningkatkan profesionalisme pengurusan dan kecemerlangan sekolah.

UNESCO dalam Laporan Pemantauan Global Pendidikan Untuk Semua 2009 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-45 daripada 129 negara. Malaysia di kalangan 56 negara yang berada di kedudukan aras tinggi pada Indeks Pembangunan Untuk Semua.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Pentadbiran Najib Bawa Ombak Perubahan Dalam Struktur Pentadbiran Negara
  2. Najib Umum Enam NKRA Dan Senarai Menteri Yang Menerajuinya
  3. Najib Umum Enam NKRA Dan Senarai Menteri Yang Menerajuinya Najib Umum Enam NKRA Dan Senarai Menteri Yang Menerajuinya
  4. Peruntukan Besar Untuk Sabah & Sarawak Dalam RMK-10
  5. Sabah Komited Laksanakan NKRA Dan KPI Mantapkan Pentadbiran
  6. Kini Keperluan Lebih Mendesak Bagi Memenuhi KPI & NKRA
  7. Pelan Pelaksanaan Dan Hasil Makmal NKRA Akan Dibuka Kepada Orang Awam
  8. Hari Terbuka GTP Mendapat Pujian Pengunjung
  9. Kerajaan Punyai Kesungguhan Politik Laksana NKRA
  10. Tiga KPI KDN Siap Dua Bulan Awal, Kata Hishammuddin
  11. Jawantankuasa Kabinet Bincang Masalah Pekerja Asing Tanpa Izin Pada 19 Jan
  12. 172 Lagi Polis Sukarela Akan Bertugas Di Lembah Klang Mulai Isnin
  13. [Orang Ramai Boleh Nilai Prestasi Balai Polis Dalam 'Balai League Tables']
  14. Kepolisan Berprofil Tinggi Akan Dilaksana Bagi Kurangkan Jenayah
  15. Orang Awam Perlu Beri Kerjasama Banteras Rasuah
  16. BAJET: Kerajaan Gubal Akta Pendedah Salah Laku Bagi Perangi Rasuah - Najib
  17. TI-M: Polis Dan SPRM Perlu Siasat Secara Menyeluruh Surat Misteri
  18. Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Wujud Pangkalan Data
  19. Kerajaan Bina 50,000 Rumah PPRT Menjelang 2012
  20. Sasaran 600,000 Pengguna Pengangkutan Awam Di Lembah Klang Menjelang Akhir 2012
  21. Shahrizat Berbesar Hati Atas Tugas Sebagai "Menteri Pimpinan" Dalam NKRA
  22. Sabah Perlu Skim Perumahan Tambahan Untuk Capai Sasaran NKRA - Ongkili
  23. Enam Minggu Untuk Bentuk Program NKRA Khusus Buat Sabah Dan Sarawak
  24. Perancangan Pendidikan RMK-10 Tumpu Empat Sub-NKRA
  25. Kelas Prasekolah Akan Diwujudkan Di Rumah Panjang - Muhyiddin
  26. Malaysia Antara Paling Berjaya Dalam Akses Terhadap Pendidikan Untuk Semua
  27. Kadar Penyertaan Murid Prasekolah Akan Ditingkatkan - Muhyiddin

Pautan luar[sunting | sunting sumber]