Bangi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pekan Bangi Lama
Jata-Selangor.jpg
Geografi
Status Mukim
Asal nama N/A
Negara  Malaysia
Negeri  Selangor
Daerah Daerah Ulu Langat
Mukim Pekan Bangi Lama
Keluasan N/A

Pekan Bangi atau lebih dikenali sebagai Bangi Lama oleh masyarakat tempatan merupakan sebuah pekan lama yang terletak di selatan daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan. Kedudukannya agak terpencil serta ketinggalan dari segi pembangunan dan kemudahan infrastruktur berbanding dari Bandar Baru Bangi yang hanya terletak 6km di utaranya. Sebenarnya istilah Bangi Lama tidak wujud secara rasmi, kerana nama sebenar pekan ini ialah Bangi sahaja. Ianya cuma berguna bagi membezakan kedua-duanya.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pekan ini dibuka awal abad ke-20 kemungkinan pada tahun 1906, dengan terdapat 18 buah kedai-kedai orang Melayu seperti Kedai Songkok dan Capal, kedai kopi, kedai Candu, kedai timah, kedai getah dan sebagainya. Pekan ini pernah mengalami satu kebakaran yang besar namun telah dibangunkan semula oleh Kerajaan Inggeris dan kontraktor Cina pada sekitar 1930an. Jika kita berada di Pekan Bangi terdapat kedai yang masih bertanda tahun ’1936’ pada salah satu kedai tersebut.[1]

Setelah itu peniaga keturunan Cina pula mula menguasai perniagaan di pekan ini. Medan MARA Bangi pula dibangunkan pada awal 80an bertujuan membantu peniaga Bumiputera berniaga.

Terdapat beberapa pendapat bagaimana nama Bangi itu diperolehi.

Pendapat Pertama:[sunting | sunting sumber]

Dikatakan diambil dari nama tumbuhan ‘serai wangi’ yang dikatakan dahulunya banyak tumbuh liar disekitar tebing sungai Bangi. Namun perubahan sebutan daripada ‘wangi’ kepada ‘bangi’ boleh dipersoalkan kerana tiada sebab penduduk asal disini yang kebanyakan berketurunan Minang dan Mendailing jadi pelat menyebut ‘wangi’ menjadi ‘bangi' malah perkataan ‘wangi’ itu sendiri lebih mudah, indah untuk disebut dan jelas pula maksudnya.[2]

Pendapat Kedua:[sunting | sunting sumber]

Dikatakan diambil daripada nama ‘Tok Bangai’ iaitu nama tok batin (orang asal) yang telah membuka penempatan di Bangi sebelum suku Bugis, Minang atau Mendailing datang ke sini. Rasionalnya juga boleh dipersoalkan kerana janggal benar nama sesebuah kampung Melayu diambil daripada nama Tok Batin Asli sebagai nama tempat mereka. Dikatakan pernah wujud penempatan orang asli hilir sungai Bangi dan boleh dilihat di peta lama di Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat.

Pendapat Ketiga:[sunting | sunting sumber]

Dikatakan diambil daripada perkataan ‘babangai’ iaitu bermaksud bau hanyir daripada ikan-ikan kering yang dijemur di tebing sungai dan sawah –sawah . Pendapat ini juga agak naïf kerana tiada perkataan ‘bangai’merujuk kepada bau dalam bahasa Melayu atau pun dalam perkataan suku Minang atau Mendailing. Dalam bahasa Banjar pula ‘babangai’ itu merupakan satu jenis tarian. Perkataan bau busuk ikan kering adalah ‘busuk bangor’ yang digunakan oleh orang Melayu Pantai Timur.

Pendapat Keempat:[sunting | sunting sumber]

Dikatakan diambil daripada perkataan ‘bangai’ yang bermaksud terbuang atau yang disingkirkan, perkara ini pernah dicerita oleh Allahyarhamah Hjh Yang Bte Hj Jamil (1928-2008) iaitu anak kepada Daeng Jamil yang merupakan cucu kepada Daeng Abdul Ghani iaitu anak kepada Sultan Abdul Samad. Dikatakan dalam masa-masa berlakunya pertelingkahan di Istana Klang, sebahagian dari warga istana telah dihalau oleh pihak Istana keluar. (Daeng Jamil lari ke Johor kerana menyaksikan masalah-masalah ini kemudian menetap di Tanjung Selabu, Muar). Mereka yg dihalau dari Istana telah ditempatkan ke sebelah tenggara Selangor di Daerah Hulu Langat.

Tempat itu lalu dikenali sebagai tempat orang-orang istana yang terbangai atau terbuang, tersingkir. British pula mengeja dalam huruf ruminya "Bangi" iaitu terjemahan daripada huruf–huruf jawi dibaca sebagai ‘Bangi’. Bagi kebanyakan pengkaji sejarah, inilah asal usul nama Bangi paling kuat daripada yang lain dan lebih rasional. Merujuk kepada kamus Indonesia dan mendapati perkataan ‘bangai’ bermaksud tertinggal, tersingkir atau terbiar.[3]

Perubahan sebutan Bangai kepada Bangi mungkin juga disebabkan oleh dialek pelombong-pelombong Cina keturunan Hakka yang tidak dapat menyebutnya dengan tepat.

Dalam perkataan bahasa Cina, Bangi membawa maksud serba sesuai. Nama tersebut turut didapati di Hong Kong kerana maksud yang bagus.[4]

Seperti kebanyakan asal usul nama di tempat-tempat lain, tiada perkataan yang benar-benar tepat kepada maksud ‘Bangi’ ini, yang penting nama Bangi ini telah dikenali di seluruh negara walaupun tempat asalnya bermula agak terpencil tetapi dalam usia 100 tahun, Bangi telah berkembang dan bertambah luas kawasannya.

Komuniti[sunting | sunting sumber]

Lebih 80% penduduk asal Bangi terdiri daripada kaum Melayu yang mendiami kampung-kampung di sekitarnya. 11% pula terdiri dari kaum Cina, 7% dari kaum India dan 2% lain-lain.

Politik[sunting | sunting sumber]

Sebelum pindaan 2003, Bangi terletak di bawah DUN Kajang dalam Parlimen Hulu Langat. Ianya dilihat sebagai wajar dan bertepatan, ini adalah kerana dari segi pentadbiran pun sememangnya Bangi dan DUN Kajang berada di dalam Daerah Hulu Langat (Pejabat Daerah Hulu Langat dan pelbagai pejabat agensi peringkat Daerah berada di Bandar Baru Bangi), begitu juga dengan kedua-dua DUN N24 Semenyih dan N23 Dusun Tua yang sememangnya berada dalam Parlimen Hulu Langat. [5]

Namun pindaan persempadanan Mei 2003 memperlihatkan keanehan dan ketidakwajaran dari pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia yang menjadikan DUN Bangi yang bukan saja terletak di dalam daerah Hulu Langat malah menjadi pusat pentadbiran Daerah, tetapi ianya telah diletakkan pula di dalam Parlimen Serdang yang mana pusat pentadbirannya terletak di bawah Daerah Subang Jaya. [6] [7]

Kedudukan N26 Bangi, Selangor Darul Ehsan

Lihat juga Dewan Undangan Negeri Selangor

Perhubungan[sunting | sunting sumber]

Jaringan Jalanraya[sunting | sunting sumber]

Jalanraya Kod Km
Dari Bandar Baru Bangi
B17
Jkr-ft--.png
10.6
Dari Pekan Semenyih
B18
Jkr-ft--.png
10.3
Dari Dengkil
B18
Jkr-ft--.png
17.5
Dari Wilayah Persekutuan Putrajaya/Dengkil
B18
Jkr-ft--.png
22.8
Dari Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban Mes-e37.png 2.8
Dari Lebuhraya Kajang-Seremban Mes-e21.png 10.4

Pengangkutan Awam[sunting | sunting sumber]

Pekan ini mempunyai sebuah stesen KTM Komuter iaitu Stesen Komuter Bangi yang terletak di dalam Laluan Rawang-Seremban.

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

  • Klinik Desa Bangi
  • Dewan Orang Ramai, Pekan Bangi Lama
  • Pasar Besar, Pekan Bangi Lama
  • Stesen Penyelidikan MPOB/UKM, Jalan Sekolah, Pekan Bangi Lama

Institusi pendidikan[sunting | sunting sumber]

Kawasan Komersil[sunting | sunting sumber]

Tempat untuk membeli belah di Pekan Bangi selain dari di Pasar Besar, Pekan Bangi:

Perkampungan[sunting | sunting sumber]

Kawasan penempatan awal penduduk asal Pekan Bangi:

  • Kampung Aman
  • Kampung Bangi
  • Kampung Bahagia Bangi
  • Kampung Sungai Kembong Hilir
  • Kampung Sungai Kembong Ulu
  • Kampung Batu Lima Jalan Bangi
  • Kampung Rinching Hilir
  • Kampung Batu Tiga Jalan Bangi

Taman Perumahan[sunting | sunting sumber]

Berikut ialah daftar kawasan perumahan dan penempatan baharu yang terdapat di sekitar Pekan Bangi.

Tempat Menarik[sunting | sunting sumber]

  • Tasik Bangi

Bangi juga terkenal dengan kawasan dusun duriannya. Antara dusun yang masih terdapat di sekitar pekan ini ialah di Kampung Batu Lima, Bangi dan Kampung Rinching Hilir. Di sepanjang jalan kampung di sekitar Bangi juga terdapat beberapa gerai menjual hasil pertanian seperti pisang, keladi, ubi, keledek, rambutan, durian, tapai dan beraneka jenis buah-buahan tempatan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Habibah Ismail, Sejarah Bangi (1870-1970an). Penyelia: Dr. Nadzan Haron. [1981/82]
  2. Syed Norzalman Asal Usul Bangi MANTERA JIWA
  3. Faizal Hj Zainal sejarah mengenai Bangi (Kg.Bangi,Kg.Masjid Bangi,Kg.Aman,Batu 6,Kg.Manikam & Kg.Bahagia.) Sejarah Bangi.
  4. Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru Kerajaan Selangor.Ringkasan Sejarah Kampung Baru Bangi Produksi khas i-kgbaru.com
  5. Dewan Negeri Selangor N26 Bangi
  6. Dr Shafie Abu Bakar Persempadanan Semula - Siapa Untung ?? Usik-usik Bangi
  7. "PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHAN RAYA 2003 DAN IMPAKNYA KEPADA PILIHAN RAYA UMUM (PRU) 2008 DI KAWASAN DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN) KAJANG DAN BANGI, SELANGOR" (PDF). eBangi. 2012. Diperoleh pada Volume 7, Number 2, 200-224, 2012. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]