Pergi ke kandungan

Hang Tuah (filem 1956)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Hang Tuah (filem))
Rencana ini berkenaan dengan sebuah filem. Untuk kisah mengenai Hang Tuah, sila lihat: Hang Tuah.
Hang Tuah
PengarahPhani Majumdar
Penulis
  • MC ff. Sheppard (cerita)
  • Buyong Adil (dialog)
  • Jamil Sulong (dialog)
Lakon layarPhani Majumdar
Dihasilkan olehRun Run Shaw
Dibintangi
SinematografiN. M. Vasudev
Disunting olehH. R. Narayana
Muzik olehP. Ramlee
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehShaw Brothers
Tarikh tayangan
  • 28 Januari 1956 (1956-01-28)
NegaraSingapura
BahasaMelayu

Hang Tuah ditayangkan pada 28 Januari 1956[1] [2] dan dilakonkan oleh P. Ramlee sebagai Hang Tuah. Filem ini yang berasaskan kepada Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu ialah filem mengenai Hang Tuah yang paling berkesan dan tidak lari daripada cerita asal.

Hang Tuah dan empat orang kawannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Hang Tuah telah jatuh cinta pada Melor, anak dara jelita yang berasal daripada puak orang asli yang tinggal di Gunung Ledang dan menjadi pembantu Adiputra. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka. Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato' Bendahara Tun Perak daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk dan telah mencetuskan huru hara di kota Melaka. Dato' Bendahara Tun Perak kagum dengan ketangkasan Hang Tuah lima bersaudara menangani amukan lelaki terbabit dan menjemput mereka semua berkunjung ke rumahnya. Apabila Sultan Melaka mendapat tahu akan berita tersebut, baginda berminat menjadikan mereka hulubalang istana. Hang Tuah dilantik sebagai Laksamana dan bertugas mengawal Sultan ke mana sahaja. Hari demi hari, Sultan semakin sayang terhadap Hang Tuah lima bersaudara sehingga mencetuskan rasa iri hati dalam kalangan pembesar-pembesar istana. Semasa rombongan Sultan Melaka ke Majapahit, Hang Tuah berpeluang menunjukkan kehebatannya menentang pahlawan Majapahit yang dikenali sebagai Taming Sari. Kerana ketangkasannya berlawan sehingga terbunuhnya pahlawan terulung Jawa terbabit, Hang Tuah dikurniakan keris Taming Sari dari pihak istana Majapahit sendiri.

Sekembali ke Melaka, Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi dijadikan gundik Sultan. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan Hang Tuah itu. Tanpa usul periksa, Hang Tuah dihukum bunuh. Hang Jebat dilantik oleh Sultan sebagai pengganti Hang Tuah, tetapi Hang Jebat yang masih kesal dengan hukuman Sultan terhadap Hang Tuah telah merancang untuk mengamuk dan menghuru-harakan Melaka. Ketika majlis keramaian untuk menyambut ulangtahun Patih Karma Wijaya, beliau telah maut dikelar lehernya oleh Melor yang menggunakan kerambit semasa menari. Dalam kekecohan itu, Melor turut terbunuh setelah seorang pengawal istana melemparkan tombak ke arahnya. Hang Jebat mula menjalankan rancangannya sehingga memaksa Sultan Mansur Syah dan hulubalang-hulubalangnya berundur ke rumah Bendahara Tun Perak.

Semasa baginda berkata sepatah menyebut nama Hang Tuah, Bendahara terlebih dahulu memohon ampun kepada Sultan lalu menjelaskan kepada baginda bahawa Hang Tuah tidak dihukum bunuh, sebaliknya disembunyikan di dalam penjara. Baginda berasa gembira lalu menitahkan Bendahara memanggil Hang Tuah menghadapnya. Setelah Hang Tuah dibawa menghadap Sultan, baginda menitahkan Hang Tuah agar Hang Jebat harus dihapuskan tetapi baginda telah menjelaskan bahawa keris Taming Sari itu sudah berada ditangan Hang Jebat. Sebagai gantinya, baginda menyerahkan Keris Diraja kepada Hang Tuah dan Hang Tuah berjanji kepada baginda bahawa beliau akan mencuba sedaya upaya untuk menewaskan Hang Jebat.

Dalam pertarungan yang amat sengit itu, Hang Jebat menyerahkan keris Taming Sari itu kepada Hang Tuah dan menukarkannya dengan keris Diraja tersebut. Akhirnya dalam pertarungan terakhir itu, Hang Jebat akhirnya tewas ditangan Hang Tuah. Sebagai menghargai jasa Hang Tuah, baginda mentabalkan Hang Tuah sebagai Laksamana.

Sedang Hang Tuah berada dirumah, beliau meluahkan kesedihannya akibat kehilangan Hang Jebat dan Melor. Diakhir cerita, Hang Tuah bertanya pada dirinya adakah Hang Jebat berpihak kepada yang benar atau dirinya sendiri. Persoalan itu terus-menerus bermain di fikiran Hang Tuah, apakah baginya tindakan Sultan menitahkan hukuman mati kepadanya juga boleh dianggap zalim.

Barisan pelakon

[sunting | sunting sumber]

Pelakon utama

[sunting | sunting sumber]

Pelakon pembantu

[sunting | sunting sumber]

Pelakon tambahan

[sunting | sunting sumber]

Filem ini merupakan satu-satunya filem gandingan P. Ramlee dan Mat Sentol walaupun dia hanya muncul sebagai pelakon tambahan, sekali gus filem pertama beliau di layar perak.

Anugerah dan pencalonan

[sunting | sunting sumber]
  • Festival Filem Asia Pasifik ke-3, 1956 (Hong Kong)
  • Penggubah Lagu Terbaik - P. Ramlee
  • Joget Pahang
  • Berkorban Apa Saja
  • "Burung nuri burung helang, tidak sama terbang tinggi, sekarang puteri berangkat pulang, bila pula berjumpa lagi?" - Hang Tuah
  • "Kain buruk tepi perigi, dibuat orang pengesat belanga, esok kita berjumpa lagi, tunggulah Teja di taman bunga" - Tun Teja
  • "Sekarang aku akan mengacau, menghuru-harakan istana. Tuah tidak pernah derhaka, dikata derhaka. Sekarang Jebat, Jebat yang akan menderhaka!! Tuah akan ku bela, Jebat akan bermaharajalela. Jebat akan mengajar raja yang tidak adil. Suatu masa nanti kalau siapa bertanya 'kenapa Jebat derhaka?' tentu orang akan menjawab kerana rajanya yang tidak adil!!" - Hang Jebat
  • "Sekarang saudara-saudara tinggal di sini, aku mahu menghadiri jamuan Patih Karma Vijaya. Boleh jadi dia merayakan harijadinya.. atau merayakan hari kematian Tuah" - Hang Jebat
  • "Siapakah yang benar? Jebatkah benar, atau akukah benar?" - Hang Tuah
  • " Dato'... Jikalau burung helang tak suka burung lain terbang tinggi..., akhirnya burung helang jugak yang akan mati kelaparan Dato' "

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Tribute To P Ramlee.
  2. ^ "Hang Tuah". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-02-21. Dicapai pada 2014-02-14.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]