Md Hashim Yahaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Datuk Haji

Md Hashim Yahaya
Mufti Wilayah Persekutuan ke-4
Dalam jawatan
1997–2003
Didahului olehAbdul Kader Talip
Digantikan olehMohammad Yusoff Hussain
Butiran peribadi
Lahir1939
Meninggal dunia27 Ogos 2014
Kampung Bharu, Kuala Lumpur
PekerjaanPegawai Islam, Ulama

Datuk Mohd Hashim Yahaya adalah mantan Mufti Wilayah Persekutuan. Beliau menjadi Mufti sejak 1 Mac 1997 hingga 15 Januari 2003. Beliau sering muncul dalam program Forum Perdana Ehwal Islam dan lain-lain yang disiarkan oleh RTM.[1]

Datuk Md Hashim Yahaya merupakan pensyarah , kemudian Felo Kehormat, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.[2]

Beliau pernah menjadi Pengarah Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya. API ditubuhkan pada 1996 adalah gabungan antara Akademi Islam dan Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Akademi Islam pada asalnya adalah Yayasan Pengajian Islam Tinggi Kelantan yang diambil alih oleh Universiti Malaya (UM) pada 1981. [3]

Pada 15 April 2010, beliau menerima watikah pelantikan kepada anggota Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi sesi 1 Jan 2010 hingga 31 Dis 2011. Watikah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.[4]

Beliau rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pernah menjadi pemimpin ABIM Wilayah Persekutuan. Md Hashim pernah menuntut di Madrasah Masyriyah Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Hubungan mereka akrab terjaln semenjak di Akademi Pengajian Islam Nilam Puri tatkala memimpin Abim Kelantan. Saban tahun mereka berdua diraikan oleh qariah Masjid Kubang Semang, Pulau Pinang. Tatkala di Penjara Sungai Buloh, Almarhum pernah mengadakan sesi pengajian khas mengupas kitab Imam Abu Zahrah "Usul Fiqh". Beliau mengambil inisiatif meningkatkan mutu dan pengiktirafan Pusat Islam (kemudiannya Jakim) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sewaktu menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan. Bapa Anwar Ibrahim yang menjadi Ahli Parlimen Seberang Perai Tengah pada tahun 1960-an pernah membantu Md Hashim belajar di Kaherah. [5]

Ketika usia 12 tahun, beliau pernah menjadi murid kepada bekas Mufti Selangor, Dato' Ishak Baharom (16 Ogos 1985 hingga 1997).[6]

Majlis Penasihat Syariah[sunting | sunting sumber]

Pada 7 September 2010, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melantik Md Hashim sebagai ahli Majlis Penasihat Syariahnya (MPS). Majlis itu akan menentukan prinsip Syariah dalam pasaran modal di Malaysia. Pelantikan 11 anggota MPS ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan pindaan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang berkuatkuasa pada 1 April 2010. Selain beliau ialah Tun Abdul Hamid Mohamad (mantan Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan); Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman (Penasihat Perundangan Syariah, Pejabat Peguam Negara); Datuk Dr. Abdul Halim Ismail (Pengarah Eksekutif, BIMB Securities Sdn. Bhd.); Dr. Mohd Daud Bakar(Pengerusi, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Amanie Business Solutions Sdn. Bhd.); Prof Madya Dr. Shamsiah Mohamad (Pensyarah, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya); Prof Mohammad Hashim Kamali (Pengerusi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Lanjutan Malaysia); Prof Dr. H. Fathurrahman Djamil (Naib Pengerusi Majlis Ulama Suruhanjaya Fatwa Indonesia); Penolong Prof Dr. Aznan Hasan (Jabatan Undang-undang Islam, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIA Malaysia); Ahmad Suhaimi Yahya (Ketua Pegawai dan Ketua Wilayah Syariah, Kuwait Finance House (M) Bhd.) dan Rafe Haneef (Pengarah Urusan, Global Markets, HSBC Amanah).[7]

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Pada 27 Ogos 2014, Datuk Md Hashim Yahaya meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru di Kuala Lumpur pada 1.50 petang setelah mengalami demam dan masalah paru-paru.Allahyarham berusia 75 tahun. Beliau mengidap penyakit `hypoxic cerebral encephalopathy' sejak 2012. Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Nombor 90, Jalan 9/6, Seksyen 9, Shah Alam untuk diuruskan dan dikebumikan di Shah Alam.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Ustazah Aminah Zakaria dan tiga anak iaitu Profesor Dr Ashraf, Amani dan Zainab. [8] Prof Dr Ashraf mendapat PhD (Islamic Law) dari Universiti Birmingham, United Kingdom. Sarjana jurusan Fiqh dan Usul Fiqh dari Universiti Jordan dan BA jurusan Shariah dari Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.

Rujukan[sunting | sunting sumber]