Pergi ke kandungan

Bank Negara Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bank Negara Malaysia
Maklumat am
Ditubuhkan26 Januari 1959 Sunting nilai ini di Wikidata
Bank pusat bagiMalaysia Sunting nilai ini di Wikidata
Mata wangRinggit Malaysia Sunting nilai ini di Wikidata
Tapak sesawanghttp://www.bnm.gov.my/ Sunting nilai ini di Wikidata
Pentadbiran dan pengurusan
Gabenor Bank Negara Malaysia Sunting nilai ini di WikidataW. H. Wilcock (1959–1962)
Zeti Akhtar Aziz (2000–2016)
Muhammad bin Ibrahim (2016–2018)
Nor Shamsiah Mohd Yunus (2018–2023)
Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (2023–) Sunting nilai ini di Wikidata
Jawatankuasa/majlis
Perangkaan
Rizab121,278,060,000 Dolar Amerika Syarikat  Sunting ini di Wikidata
Lokasi
Ibu pejabatKuala Lumpur Sunting nilai ini di Wikidata
NegaraMalaysia Sunting nilai ini di Wikidata
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan bank pusat bagi negara Malaysia. Ia merupakan badan berkanun yang mula beroperasi pada 26 Januari 1959 (sebagai Bank Negara Tanah Melayu). Ibu pejabatnya terletak di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia.

BNM tertakluk kepada Akta Bank Negara Malaysia 2009. Peranan utamanya adalah menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan serta menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Sebagai jurubank dan penasihat kepada Kerajaan Malaysia, Bank Negara Malaysia memberikan nasihat berkaitan dengan dasar makroekonomi dan pengurusan hutang negara. Bank Negara Malaysia juga merupakan pihak berkuasa tunggal yang mengeluarkan mata wang negara di samping menguruskan rizab antarabangsa negara.

Peranan dan Fungsian

[sunting | sunting sumber]

Peranan Bank Negara disokong oleh 39 jabatan/unit di Bank yang merangkumi tujuh bahagian berdasarkan fungsian seperti yang berikut:

Dasar Ekonomi dan Monetari

[sunting | sunting sumber]

Penyediaan sokongan teknikal dan penyelidikan yang baik terutamanya mengenai isu berkaitan pertumbuhan untuk mempertingkat perumusan dasar monetari dan kredit bagi menggalakkan kestabilan monetari dan memastikan ketersediaan kredit yang mencukupi untuk membiayai pertumbuhan ekonomi.

Pelaburan dan Operasi

[sunting | sunting sumber]

Menguruskan mudah tunai domestik dan kadar pertukaran bagi memastikan sasaran dasar monetari dapat dicapai selain menguruskan rizab luar negeri bagi melindungi nilai dan mengoptimumkan pulangan rizab. Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab untuk memberikan nasihat dan menyediakan bantuan kepada Kerajaan Malaysia berhubung dengan pengurusan hutang dan dana serta menyumbang kepada pembangunan pasaran kewangan domestik.

Pengawalan

[sunting | sunting sumber]

Menggalakkan sektor kewangan yang stabil melalui pembangunan institusi dan infrastruktur kewangan yang mampan, kukuh dan mantap secara berperingkat-peringkat dan dengan itu mewujudkan industri kewangan tempatan yang kompetitif yang mempunyai daya tahan untuk menghadapi persekitaran masa hadapan yang berubah-ubah di samping menerajui inisiatif mempertingkat akses kepada pembiayaan. Dasar dan strategi turut dirumuskan dan dilaksanakan ke arah membangunkan dan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam bersepadu yang terunggul serta meningkatkan keupayaan kewangan pengguna.

Sistem Pembayaran

[sunting | sunting sumber]

Merangka dasar dan strategi bagi menggalakkan sistem penjelasan, penyelesaian dan pembayaran yang diyakini, selamat dan cekap di dalam negara Malaysia.

Penyeliaan

[sunting | sunting sumber]

Menghasilkan, menambah baik dan melaksanakan rangka kerja pengawasan yang berkesan bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan institusi kewangan dan menguatkuasakan amalan yang baik terhadap institusi tersebut.

Pembangunan Organisasi

[sunting | sunting sumber]

Menerajui fungsi pengurusan strategik, pengurusan prestasi organisasi dan pengurusan program bagi memacu proses penambahbaikan prestasi dan mengukuhkan pembinaan keupayaan Bank Negara Malaysia. Selain itu, menerajui dan memacu inisiatif sumber manusia dan aktiviti strategik lain bagi memastikan keseluruhan rangka kerja Pengurusan Modal Insan dilaksanakan dengan berkesan.

Komunikasi

[sunting | sunting sumber]

Fungsi komunikasi telah menjadi semakin penting bagi memenuhi tuntutan yang semakin meningkat daripada pelbagai pihak berkepentingan yang menghendaki ketelusan dan penzahiran yang lebih baik.

Bank Negara Malaysia ditubuhkan pada 26 Januari 1959 (sebagai bank pusat Central Bank of Malaya atau Bank Negara Tanah Melayu) di bawah Ordinan Bank Pusat Tanah Melayu, 1958. [1] Dengan penubuhannya, ia perlu memenuhi 5 objektif iaitu:

  • Untuk mengeluarkan mata wang, Ringgit Malaysia dan menyimpan rizab menjaga nilai mata wang;
  • Untuk bertindak sebagai jurubank dan penasihat kewangan kepada kerajaan;
  • Untuk menggalakkan operasi pembayaran negara dan sistem penyelesaian yang boleh dipercayai, cekap dan lancar dan untuk memastikan dasar pembayaran negara dan sistem penyelesaian untuk manfaat Malaysia;
  • Untuk mempromosi kestabilan kewangan dan struktur kewangan;
  • Untuk mempengaruhi keadaan kredit supaya menguntungkan negara;

Oleh itu, dengan objektif berikut, bank dicipta untuk mengawal ekonomi Malaysia dengan selamat. Matlamat lebih luas bank adalah mempromosikan pertumbuhan ekonomi di Malaysia, tahap pekerjaan yang tinggi, memelihara kestabilan harga dan satu keseimbangan munasabah dalam kedudukan pembayaran antarabangsa negara, membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.[1]

Bank Negara Malaysia diketuai oleh seorang Gabenor yang menjalankan urusan dan hal ehwal bank mengikut dasar yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah. Seksyen 15 (1) Akta Bank Negara Malaysia 2009 memperuntukkan bahawa Gabenor hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, dan Timbalan Gabenor oleh Menteri (yang bertanggungjawab terhadap kewangan negara). Sejak penubuhannya pada tahun 1959, Bank Negara Malaysia sudah mempunyai sepuluh orang Gabenor.

Gabenor Tahun perkhidmatan
Tan Sri W H Wilcock Januari 1959 - Julai 1962
Tun Ismail Mohd Ali Julai 1962 - Julai 1980
Tan Sri Abdul Aziz Taha Julai 1980 - Jun 1985
Tan Sri Dato' Jaffar Hussein Jun 1985 - Mei 1994
Tan Sri Dato' Ahmad Mohd Don Mei 1994 - Ogos 1998
Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan Sulaiman September 1998 - April 2000
Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz Mei 2000 - April 2016
Tan Sri Dato' Sri Muhammad Ibrahim Mei 2016 - 15 Jun 2018
Tan Sri Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus 1 Julai 2018 - Jun 2023
Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour Dari 1 Julai 2023
  1. ^ a b "BNM: About the bank". Bank Negara Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-03-27. Dicapai pada 2008-07-26.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]