Pergi ke kandungan

Sultan Sharafuddin Idris Shah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin pada 2024
Sultan Selangor ke-9
Pemerintahan22 November 2001 – kini
Kemahkotaan8 Mac 2003
Didahului olehSultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Raja MudaTengku Amir Shah
Menteri Besar
Keputeraan (1945-12-24) 24 Disember 1945 (umur 80) [1][fn 1]
Istana Jema'ah, Klang, Selangor
(sekarang Kolej Islam Sultan Alam Shah)
Pasangan
  • Raja Zarina binti Raja Zainal Abidin (k. 1968; c. 1986)
  • Nur Lisa Idris binti Abdullah (k. 1988; c. 1997)
  • Tengku Permaisuri Norashikin (k. 2016)
Anakanda
Nama penuh
Tengku Idris Shah ibni Tengku Abdul Aziz Shah
Nama diraja
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
KerabatDiraja Bugis Luwu
Opu Daeng Chelak
AyahandaSultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
BondaRaja Saidatul Ihsan binti Raja Bendahara Tengku Badar Shah
AgamaSunni Islam
Pengerusi
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia
Dalam jawatan
12 Mac 2022  9 Mac 2024
Didahului olehIsmail Sabri Yaakob
Digantikan olehSultan Nazrin Muizzuddin Shah

Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Jawi: سلطان شرف الدين إدريس شاه ابن المرحوم سلطان صلاح الدين عبدالعزيز شاه‎; lahir 24 Disember 1945) merupakan Sultan Selangor yang kesembilan. Baginda menaiki takhta kerajaan Selangor sejak 22 November 2001 berikutan kemangkatan ayahanda baginda yang merupakan Sultan sebelumnya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Baginda merupakan anakanda dan putera sulung kepada Sultan Selangor kelapan, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bersama Raja Saidatul Ihsan.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Sultan Sharafuddin diputerakan pada 24 Disember 1945 di Istana Jemaah, Klang dengan nama Tengku Idris Shah. Baginda merupakan putera sulung kepada Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (ketika itu Raja Muda) dan Raja Saidatul Ihsan binti Tengku Badar Shah. Ayahanda baginda merupakan anakanda kepada Sultan Selangor keenam, Sultan Hisamuddin Alam Shah dan Tengku Ampuan Jemaah, manakala bonda baginda merupakan cucunda kepada Sultan Selangor kelima, Sultan Alauddin Sulaiman Shah dan Sultan Perak ke-29, Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah. Baginda juga mempunyai 11 saudara yang lain, termasuk lapan saudara kandung dan tiga saudara tiri.

Baginda memulakan persekolahannya di Sekolah Melayu Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada tahun 1950 dan Institusi St. John. Pada tahun 1960, selepas ayahanda baginda menaiki takhta sebagai Sultan Selangor, baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Muda pada usia 15 tahun. Baginda kemudiannya dihantar ke luar negara bagi melanjutkan pelajaran di Hale School di Perth, Australia. Seterusnya baginda menyambung pelajaran di Kolej Langhurst di Surrey, Britain pada tahun 1964.

Setelah kembali dari United Kingdom pada 1968, baginda telah menyertai kerajaan sebagai penjawat awam, dan berkhidmat di Sekretariat Negeri Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar Harun Idris. Baginda juga berkhidmat di Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan Jabatan Polis Kuala Lumpur.

Pada 22 Februari hingga 20 September 1969, baginda telah mempengerusikan Majlis Pemangku Raja Selangor semasa ayahanda baginda, Sultan Salahuddin berangkat ke England. Baginda juga dilantik sebagai Pemangku Raja pada 24 April 1999 ketika ayahanda baginda berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Perkahwinan

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1968, baginda telah berkahwin dengan seorang ahli kerabat diraja Perak, Raja Zarina binti Raja Tan Sri Zainal Abidin dan dikurniakan dua orang puteri yang diberi nama Tengku Zerafina (diputerakan pada tahun 1969) dan Tengku Zatashah (diputerakan pada tahun 1973). Perkahwinan baginda tidak bertahan lama dan baginda telah bercerai pada tahun 1986.

Baginda kemudiannya telah berkahwin kali kedua dengan seorang warga Amerika Syarikat iaitu Puan Nur Lisa Idris binti Abdullah pada tahun 1988 tetapi telah bercerai pada tahun 1997. Baginda berdua dikurniakan seorang putera, iaitu Tengku Amir Shah (diputerakan pada tahun 1990) yang kini merupakan Raja Muda Selangor.

Perkahwinan ketiga baginda telah dilangsungkan dengan seorang pembaca berita RTM, Tengku Permaisuri Norashikin, yang dinikahi baginda di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 31 Ogos 2016. Tengku Permaisuri Norashikin merupakan ibu kepada dua orang anak.[2]

Pemerintahan

[sunting | sunting sumber]

Tengku Idris Shah telah dimahsyurkan sebagai Sultan Selangor pada 22 November 2001 dengan gelaran Sultan Sharafuddin Idris Shah, menggantikan ayahandanya yang mangkat setelah berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong selama dua tahun. Baginda juga merupakan Sultan Melayu pertama menaiki takhta tanpa mempunyai permaisuri sejak negara mencapai kemerdekaan. Istiadat pertabalan telah diadakan pada 8 Mac 2003 di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang. Istiadat pemasyhuran diraja ini dihadiri oleh Tengku Panglima Diraja Selangor selaku Ketua Istiadat Diraja. Hadirin-hadirin lain termasuklah Tengku Sulaiman Shah; Tengku Aris Temenggong, Tengku Muhammad Yusof Shah dan Orang Kaya To' Engku Maha Bijaya Hulu Langat, dan Datuk Abdul Rani Datuk Shamsuddin. Menteri Besar Selangor, Mohamad Khir Toyo membacakan pengisytiharan pemasyhuran di bawah 30 (2) Bahagian 1, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.[3]

Pada awal tahun 2011, Baginda mengikut nasihat kerajaan persekutuan dalam krisis berkenaan dengan pelantikan setiausaha negeri, pegawai awam tertinggi negeri Selangor. Kerajaan persekutuan melantik Mohd Khusrin Munawi untuk jawatan itu, yang dipersetujui oleh Baginda.[4] Walau bagaimanapun, kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat membantah pelantikan tersebut.[5] Akhirnya, kerajaan negeri akur, dan Khusrin memulakan tugasnya pada Februari 2011.[4]

Pada tahun 2014, berikutan krisis politik Langkah Kajang, baginda menarik balik gelaran 'Dato' Seri' Anwar Ibrahim.[6]

Pada tahun 2020, The Straits Times melaporkan bahawa Baginda memiliki saham dalam syarikat yang merancang pembangunan di Hutan Simpan Kuala Langat Utara. Berikutan laporan dan kemarahan awam, kerajaan negeri membatalkan rancangan itu.[7]

Pada tahun 2022, Malaysiakini melaporkan bahawa kerabat Baginda terlibat dalam syarikat yang diberikan lesen perlombongan di Hutan Simpan Bukit Lagong, bersebelahan dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).[8]

Komander Tentera Laut

[sunting | sunting sumber]

Menjadi Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia pada 27 Ogos 1998. Pentauliahan ini kerana baginda berjaya mengelilingi dunia selama 644 hari mulai 4 Februari 1995 dengan menaiki kapal layar peribadinya, Jugra. Kisah pelayaran ini disiarkan secara bersiri dalam Mingguan Malaysia. Baginda meminati bidang pelayaran sebagaimana ahli pelayaran Islam dari Afrika bernama al-Idrisi.

Pada 1997 baginda mengembara 16,000 km dari Beijing ke Paris dengan kereta antik, Ford model B. Oleh itu baginda diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records.[9]

Pada 20 Februari 2012, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj telah menerima penganugerahan pangkat tertinggi daripada Kerajaan Perancis iaitu Commandeur De La Legion D'Honneur (Commander of the French National Order of the Legion of Honour). Penganugerahan telah dilakukan oleh Ketua Angkatan Pertahanan Perancis, Laksamana Edouard Guillaud di Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur. Anugerah berprestij itu yang disampaikan kepada Sultan Selangor bagi mengiktiraf peranan Sultan Sharafuddin dalam mentadbir angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia dan sebagai pemimpin tertinggi dalam kerajaan Selangor.[10]

Pembedahan jantung

[sunting | sunting sumber]

Pada 3 Mei 2009, baginda menjalani pembedahan jantung terbuka selama 10 jam di Pusat Perubatan Universiti Stanford di Palo Alto, California, Amerika Syarikat. Pembedahan injap mitra regurgitasi itu terpaksa dilakukan kerana mengalami lecutan pecahan - ukuran bagi keberkesanan jantung - jatuh di bawah 60 peratus dan/atau ventrikel kiri adalah lebih besar daripada 40mm semasa berehat. Lecutan pecahan itu boleh digunakan bagi menganggarkan fungsi ventrikel kiri yang mengepam darah ke seluruh badan. Pembedahan diketuai oleh Prof Dr Craig Miller dan Prof Dr Alan Yeung.[11]

Keturunan

[sunting | sunting sumber]
  1. Hari keputeraan disambut pada 11 Disember
  1. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama sultan
  2. New Straits Times: Sultan of Selangor weds news presenter Norashikin Abdul Rahman
  3. Tengku Idris kini Sultan Selangor ke-9
  4. 1 2 A. Ruban (17 Februari 2011). "Khusrin akhirnya mengangkat sumpah". The Star (Malaysia). Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Oktober 2012. Dicapai pada 3 Jun 2011.
  5. Shazwan Mustafa Kamal (6 Januari 2011). "Sultan Selangor mengekalkan pelantikan Khusrin sah". The Malaysian Insider. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Januari 2011. Dicapai pada 3 Jun 2011.
  6. "Sultan Selangor cabut anugerah Datuk Seri kepada Anwar Ibrahim". The Straits Times (dalam bahasa Inggeris). 2014-12-04. ISSN 0585-3923. Dicapai pada 2024-03-13.
  7. Correspondent, Hazlin HassanMalaysia (2020-02-21). "Pakatan Harapan Malaysia bertelagah mengenai rancangan Selangor untuk menghapuskan hutan simpan". The Straits Times (dalam bahasa Inggeris). ISSN 0585-3923. Dicapai pada 2024-03-13.
  8. Chyuan, Low Choon (2022-10-25). "Bukit Lagong: Lebih banyak kuari dengan hubungan diraja, politik tertera". Malaysiakini. Dicapai pada 2024-03-13.
  9. "Biodata Sultan Sharafuddin Idris Shah". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-01-01. Dicapai pada 2008-09-23.
  10. The Star Online - Selangor Sultan conferred French award of distinction
  11. Sultan Selangor Stabil Selepas Pembedahan Jantung
Duli Yang Maha Mulia
Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
Tarikh keputeraan: 24 Disember 1945
Kerabat diraja Malaysia
Gelaran pemerintah
Didahului oleh
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Sultan Selangor
22 November 2001 - kini
Pemegang jawatan kini