Othman Saat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Tan Sri Haji
Othman bin Haji Saat

Tempoh jawatan
4 Februari 1967 – 4 April 1982
Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra
Abdul Razak Hussein
Hussein Onn
Mahathir Mohamad
Didahului oleh Hassan Yunus
Diganti oleh Abdul Ajib Ahmad

Lahir (1927-04-04)4 April 1927
Muar, Johor Darul Ta'zim
Meninggal dunia 27 Oktober 2007(2007-10-27) (umur 80)
Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru
Othman Saat dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, dan Tun Abdul Razak di Rumah Parlimen, Kuala Lumpur, pada Februari 1967, selepas dilantik sebagai Menteri Besar Johor
Othman Saat dengan kereta kegemarannya Mercedes 400 JDN 7

Tan Sri Othman Mohd Saat (4 April 1927-27 Oktober 2007) ialah Menteri Besar Johor yang ketiga sejak kemerdekaan Malaya (kini Malaysia). Beliau menyandang jawatan ini selama tiga penggal, iaitu 16 tahun antara Februari 1967 hingga April 1982. Seorang peminat kereta mewah, himpunannya pada suatu ketika merangkumi 50 jenis kereta, termasuk Ferrari, Alfa Romeo, Daimler dan Jaguar. Bagaimanapun, beliau kini hanya mempunyai sebuah kereta Mercedes 400 dengan nombor plat kegemarannya, JDN 7.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Othman Mohd Saat dilahirkan di Kampung Tengah, Muar, Johor kepada seorang pedagang beras yang kaya.


Othman Saat mempunyai sembilan orang anak hasil daripada tiga perkahwinan, 32 cucu dan tujuh cicit. Isteri pertamanya Rokiah Alwi telah meninggal dunia. Isteri ketiganya Hasmah Hussein berakhir dengan penceraian. Isteri keduanya Kamariah Buyung (65) dan anak sulungnya, Zulkifli Othman (61) berada di sisi beliau.

Zolfakar (58) anak ke-4, Shaukat (anak perempuan).Norulhuda Othman (29) anak ke-8.


Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Othman Saat menghabiskan pelajaran agamanya di Sekolah Tinggi Arab Madrasah Al-Attas di Johor Bahru, dan kemudian melanjutkan pendidikannya di Mekah selama dua tahun lagi.

Selepas kepulangannya dari Timur Tengah ketika berumur 16 tahun, Othman memulakan kerjayanya dengan syarikat perniagaan ayahnya. Berasal dari keluarga aristokrat di kalangan orang Johor, Othman mempunyai 3 adik beradik lelaki termasuk beliau. Abang sulungnya ialah Y.B Dato' Hj Abdul Rauf bin Hj Mohd Saat, bekas Pegawai Tinggi Kerajaan Johor atau J.C.S. Pernah memegang jawatan Yang Di-pertua Jemaah Majlis Diraja Johor (Royal Court),Pengerusi Surohanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ), Yang Di-pertua Jabatan Agama Johor dll. Jalan Dato' Rauf di bandar Kluang adalah sempena nama beliau yang pernah memegang jawatan Pegawai Daerah Kluang. Othman juga mempunyai seorang lagi abang iaitu Y.B Orang Kaya Dato' Hj Hassan bin Hj Mohd Saat, seorang penghulu kanan di Johor serta juga memegang jawatan Ahli Surohanjaya Perkhidmatan Awam Johor dan Ahli Majlis Jemaah Majlis Di Raja Johor. Keluarga Othman pernah dikatakan sebagai keluarga terkaya di Muar & mungkin Johor sekitar tahun 1930-80 an. 3 beradik ini amat disegani dan dihormati oleh orang Johor pada ketika itu.

Kerjaya politik[sunting | sunting sumber]

Kehidupan politiknya bermula dengan gerakan nasionalisme Melayu pada dekad 1940-an. Beliau menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) selepas parti politik itu ditubuhkan di Batu Pahat oleh Datuk Onn Jaafar pada tahun 1946. Othman menjadi salah satu ahli jawatankuasa UMNO pada tahun 1952. Beliau mendaftarkan diri pada 11 Mei, 1946 – hari Umno ditubuhkan.

Pada tahun 1955, Othman menyertai Pilihan Raya Umum, dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Jorak tanpa bertanding. Beliau menjadi ahli EXCO negeri Johor pada tahun 1958. Pada tahun 1964, Othman dilantik sebagai ahli EXCO untuk bertanggungjawab kepada Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan beliau memulakan skim-skim rumah kos rendah untuk golongan miskin dan membuka tanah rancangan Felda dan Felcra di Johor pada zaman Tun Abdul Razak 1970-an.

Menteri Besar Johor[sunting | sunting sumber]

Pada 4 April 1967 ketika berumur 43 tahun, Othman dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-3. Beliau menyandang jawatan ini selama tiga penggal sehingga tahun 1982. Nasibnya bertukar apabila Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia dan Musa Hitam menjadi timbalannya. Musa Hitam dikatakan menggunakan semua cara dari ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur untuk melemahkan pengaruh Othman. Ini merupakan titik permulaan untuk kejatuhan kerjaya politiknya.

Pada tahun 1982, Othman meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar selepas 16 tahun berkhidmat. Beberapa tahun kemudian pada tahun 1987, beliau menyertai parti politik Semangat 46 yang baru ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar UMNO dalam pilihan raya umum pada tahun 1990. Walau bagaimanapun, Semangat 46 tidak begitu berjaya dan kemudian dibubarkan.

Dia telah menjual kebanyakan hartanya untuk membayar cukai. Malah gelaran 'Datuk' juga ditarik balik. Selepas kekalahan beliau dalam UMNO, beliau hampir dilupakan.

Krisis Sultan -Menteri Besar Johor[sunting | sunting sumber]

Wartawan Chamil Wariya dalam bukunya 'Krisis Sultan - Menteri Besar, apa sebenarnya terjadi' mendedahkan krisis Sultan Johor dengan Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman Saat. Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu (1982) Tun Musa Hitam , telah menegur Othman Saat yang didakwa memberi kawasan balak dan tanah berasaskan pertimbangan politik. Othman diarah menghentikan amalan itu. Beliau dilihat sudah terlalu lama menjadi Menteri Beaar dan hendaklah memberi laluan kepada orang muda.[1]

Sultan Johor, Sultan Mahmood Iskandar yang baru dilantik semula sebagai Tengku Mahkota Johor, menggesa Othman Saat segera berundur kerana mempertikaikan kesahihan TMJ. Beberapa demonstrasi dirancang akan diadakan di beberapa tempat seperti di Kota Tinggi.[2] Sultan Ismail koma pada 8 Mei, tiga hari sebelum kemangkatannya. Sultan mengeluarkan perintah supaya Othman Saat keluar dari pejabatnya dalam tempoh 24 jam, tidak lama selepas kematian Sultan Ismail . Tetapi Othman Saat tidak mengendahkan arahan itu. Namun akhirnya meletakkan jawatan selepas campur tangan Dr Mahathir Mohamad.

Krisis ini menyamai kisah Dato' Nik Hassan Wan Abdul Rahman dengan Sultan Terengganu, Datuk Rahim Bakar dengan Sultan Pahang dan krisis Perlembagaan 1983.

Kes mahkamah[sunting | sunting sumber]

Pada 1982,Hakim Wan Yahya membicarakan kes Mohamed bin Ismail lwn. Tan Sri Haji Othman Saat [1982] 2 MLJ 133. Ketika itu dipertikaikan 'locus standy' antara kedua-dua mereka.[3]

Pada 1985, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengalahkan Tan Sri Othman Saat dalam perebutan Ketua Bahagian UMNO Pagoh. Ketua Bahagian Pagoh dipegangnya selama 14 tahun.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Beliau diserang angin ahmar ringan pada 2001 dan 2002. Kaki kanan telah dipotong dari paras lutut akibat gangren pada 2 Oktober 2007 di HSI dan beransur pulih. Othman sakit tulang belakang setelah terlalu lama terbaring di katil.

Pada 27 Oktober 2007, beliau meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Pandan, Johor Bahru akibat jangkitan kuman sehingga membawa kepada septisemia (keracunan darah) jam 7.00 pagi. Beliau meninggal dunia ketika berusia 80 tahun. Allahyarham disembahyangkan di Masjid Sultan Abu Bakar dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru. Talkin dibacakan oleh Mufti Johor, Datuk Mohd Nooh Gadut. Turut hadir Tunku Mahkota Johor, Tengku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar Al-Haj.

Sebuah kampung di Johor telah dinamakan sebagai 'Kampung Othman Saat' bagi mengenang jasanya.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Akhbar New Sunday Times, Malaysia. 24 September 2006.
  • Akhbar Utusan Malaysia, 27 Oktober 2007.
  1. ^ Krisis Sultan - Menteri Besar, apa sebenarnya terjadi' oleh Chamil Wariya, hlm 111
  2. ^ 'The 1983 Malaysian constitutional crisis: two views and select ...', Simon Barraclough, P. Arudsothy
  3. ^ 'Public interest litigation in Asia' oleh Po Jen Yap, Holning Lau , hlm 83