Paya Rumput Jaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kampung Paya Rumput Jaya terletak di dalam kawasan Sungai Udang, Daerah Melaka Tengah, Melaka. Terletak 21 kilometer dari Bandar Melaka, kampung ini mempunyai penduduk seramai 1557 orang.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Kampung ini adalah salah sebuah kampung lama di Negeri Melaka. Sejarah Kampung Paya Rumput Jaya bermula apabila ia dibuka pada tahun 1705 oleh empat orang sahabat dari Kerinchi, Sumatera iaitu Malim Panjang, Malim Sigai, Tuan Fakeh Ali dan seorang lagi yang tidak diketahui namanya. Mereka memberi nama Paya Rumput kerana semasa tiba di tempat ini mereka terjumpa dengan sebatang pokok kelinting sebesar empat pemeluk yang disalut rumput liar dari pangkal hingga ke hujung pokok di dalam kawasan hutan berpaya. Namun ada dakwaan yang menyatakan bahawa telah wujud penempatan lebih awal iaitu sekitar abad ke-15 kerana beberapa nama tempat di dalam Kampung Paya Rumput Jaya ini ada dinyatakan di dalam buku Hikayat Hang Tuah semasa peristiwa mencari gajah raja.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Gerakan persatuan belia sangat kuat di kampung ini. Sebelum tahun 1966, Malek Hj Kasim telah menubuhkan Pemuda Kampung Paya Rumput dan ditukar kepada Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput pada 1966. Pada tahun 1974 di bawah pimpinan Safian Muslim, Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah memenangi Anugerah Kurnia Belia Jaya peringkat kebangsaan. Tahun 1982 telah menyaksikan pertukaran nama kampung ini dari Paya Rumput ke Paya Rumput Jaya setelah memenangi Anugerah Kampung Jaya dan diistiharkan bersempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Melaka di Kampung Kuala Sungai Baru Melaka. Semasa tahun 1983, Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput juga telah mendapat hadiah saguhati penyertaan Anugerah Belia peringkat Negara-Negara Komanwel dan pada tahun 2004, Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah ditukar namanya kepada Gerakan Belia 4B(M) Cawangan Paya Rumput Jaya Wawasan di bawah kepimpinan Abdul Rahman Safian.

Di bawah kepimpinan Hajjah Norhayati Abu Nor yang dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) pada 2005 Sempena Sambutan Hari Kebangsaan peringkat kampung nama Kampung Paya Rumput Jaya diringkaskan kepada PARUJAS. Pada tahun 2006, kampung ini telah memenangi tempat pertama Program Keindahan dan Kecerian Kampung Sempena Bulan Kemerdekaan peringkat Negeri Melaka dan seterusnya pada 2007 mewakili Melaka untuk pertandingan yang sama di peringkat Zon Selatan Malaysia. Pada 17 Oktober 2008 menyaksikan sekali lagi Kampung Paya Rumput Jaya (PARUJAS) melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai Johan Anugerah Desa Cemerlang 2008 peringkat kebangsaan.

Oleh kerana kecemerlangan yang berterusan yang ditunjukkan oleh belia di kampung ini, Gerakan Belia 4B(M) Cawangan Paya Rumput Jaya Wawasan di bawah kepimpinan Rudi Azizi Md Dali telah sekali lagi memenangi tempat pertama Anugerah Perdana Pertubuhan Belia 2009 peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka bersempena Sambutan Hari Belia Negara pada 15 Mei 2009. Ini merupakan sejarah kerana persatuan ini merupakan satu-satunya persatuan yang mendapat anugerah tertinggi belia sebanyak dua kali.

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Sumber utama ekonomi di kampung ini diperolehi melalui kegiatan ternakan lembu besar-besaran dan penanaman sayur seperti asparagus, bayam, sawi dan timun. Selain itu ada juga ternakan itik telur hasil kerjasama wanita kampung sebagai pendapatan sampingan.

Taman Perumahan[sunting | sunting sumber]

  1. Taman Paya Rumput Permai
  2. Rumah Awam Paya Rumput
  3. Taman Seri Paya Rumput
  4. Taman Paya Emas
  5. Taman Paya Rumput Jaya
  6. Taman Bertam Indah
  7. Taman Paya Rumput Perdana

Kampung[sunting | sunting sumber]

  1. Kampung Tun Razak

Pekan Berhampiran[sunting | sunting sumber]

  1. Cheng
  2. Tanjung Minyak
  3. Rembia
  4. Bukit Rambai
  5. Tangga Batu