Pergi ke kandungan

Tanjung Tuan

Koordinat: 2°24′U 101°52′T / 2.400°U 101.867°T / 2.400; 101.867
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tanjung Tuan
Cape Rachado
Cabo Rachado (Portugis)
Pokok bakau genus Avicennia dengan pneumatofor
Tanjung Tuan yang terletak di Melaka
Tanjung Tuan
Tanjung Tuan
Location di Malaysia
Tanjung Tuan yang terletak di Semenanjung Malaysia
Tanjung Tuan
Tanjung Tuan
Tanjung Tuan (Semenanjung Malaysia)
Koordinat: 2°24′U 101°52′T / 2.400°U 101.867°T / 2.400; 101.867
CountryMalaysia
NegeriMelaka
DaerahAlor Gajah
MukimKuala Linggi

Tanjung Tuan, dahulu dikenali sebagai Cape Rachado ('tanjung yang pecah' dalam bahasa Portugis), ialah sebuah kawasan di Alor Gajah, Melaka. Ia merupakan eksklaf (wilayah asingan) milik kerajaan Melaka yang dikelilingi oleh Negeri Sembilan. Tanjung Tuan berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Tanjung ini terkenal dengan Rumah Api Tanjung Tuan yang menghadap ke Selat Melaka. Kawasan luar pantai tanjung ini terkenal sebagai medan pertempuran laut Cape Rachado antara Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) dan armada Portugis pada 1606. Pertempuran tersebut menandakan permulaan kepada satu siri konflik kerjasama antara Johor–Belanda dengan Portugis di Melaka yang berakhir dengan penyerahan bandar dan kota Melaka oleh pihak Portugis kepada VOC pada 1641.

Asal-usul

[sunting | sunting sumber]

Nama lain "Tanjung Tuan" dikaitkan dengan seorang nelayan keramat yang menjaga dan mengawasi puncak tanjung ini. Kehebatan keramatnya bermula apabila beliau berjaya melepasi pusaran ganas di tengah laut terutama sekali pada bulan mengambang. Semua nelayan yang cuba melintasi pusaran ganas tersebut akan tenggelam dan hilang begitu sahaja tetapi nelayan yang keramat ini berjaya melintasinya.

Rumah api

[sunting | sunting sumber]
Rumah Api Tanjung Tuan

Selepas Portugis menawan Melaka pada 1511, Portugis mahu membina rumah api untuk memandu arah kapal-kapal mereka. Tanjung Tuan telah dipilih dan dinamakan sebagai Cape Rachado oleh Portugis. Dengan itu, sebuah rumah api telah dibina antara 1528 hingga 1529. Apabila Melaka bertukar tangan kepada Belanda pada 1641 dan kemudian kepada British pada 1824, pemilikan struktur tersebut turut berpindah kuasa.

Hutan simpan

[sunting | sunting sumber]
Pantai di Tanjung Tuan.

Pada 1921, kawasan tersebut telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal di bawah No. Warta 2066 bertarikh 23 Disember 1921, seluas 809,700 meter persegi dan dikenali sebagai Hutan Simpan Tanjung Tuan. Namun, pada 1969, kawasan seluas 161,900 meter persegi telah dinyahwartakan daripada status hutan simpan kekal untuk kegunaan awam di bawah No. Warta 328 bertarikh 25 Disember 1969.

Seterusnya, pada 5 Januari 1971, baki kawasan Hutan Simpan Tanjung Tuan seluas 607,000 meter persegi telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan hidupan liar di bawah bidang kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), selaras dengan M.P.U.5 dan PG No. 85 di bawah Ordinan Perlindungan Binatang Liar dan Burung, 1955. Pada 16 April 1996, syarikat swasta Dataran Baiduri Sdn. Bhd. telah dilantik untuk membangunkan kawasan ini secara komersil.

Kawasan ini telah diiktiraf oleh BirdLife International sebagai Kawasan Burung Penting. Persatuan Pencinta Alam Malaysia giat mempromosikan usaha pemuliharaan di kawasan ini. Puncak Batu Putih di Tanjung Tuan terkenal di kalangan pendaki untuk sama-sama mendaki pada hujung minggu. Dua buah pulau kecil terletak di hujung Tanjung Tuan, iaitu Pulau Intan di selatan dan Pulau Masjid di timur.[1]

Flora dan fauna

[sunting | sunting sumber]
Lotong cengkung di Hutan Lipur Tanjung Tuan

Hutan ini kaya dengan pelbagai fauna dan flora dan menjadi tempat persinggahan sekitar 300,000 ekor burung setiap tahun. Dianggarkan terdapat 54 spesies burung menghuni rimba ini. Ia merupakan hutan dipterokarp bukit pantai yang masih wujud di Malaysia. Antara pokok yang banyak di hutan simpan ini ialah mengkulang siku keluang (Heritiera simplicifolia) dan meranti tembaga (Rubroshorea leprosula).

Kawasan ini menjadi laluan yang sangat penting untuk perjalanan burung-burung hijrah dari benua Asia ke Kepulauan Indonesia. Antara burung yang singgah di laluan ini ialah helang gerigi hitam (Aviceda leuphotes), helang rintik utara (Butastur indicus), helang sewah Cina (Tachyspiza soloensis), helang lebah Asia (Pernis ptilorhynchus) dan helang sewah Jepun (Tachyspiza gularis).

  1. ^ "Pulau Intan dan Pulau Masjid". mppd.gov.my.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]