Abdul Khalid Ibrahim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Seri
 Abdul Khalid Ibrahim
 MP, ADUN, BEc (UM) MBA (Queensland)
Abdul Khalid Ibrahim

Menteri Besar Selangor ke-14
Penjawat kini
Mula berkhidmat 
13 Mac 2008
Raja Sultan Sharafuddin Idris Shah
Didahului oleh Mohamed Khir Toyo

Penjawat kini
Mula berkhidmat 
8 Mac 2008
Didahului oleh Tan Chai Ho
Majoriti 2,515

Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor
bagi kawasan Pelabuhan Klang
Penjawat kini
Mula berkhidmat 
6 Mei 2013
Didahului oleh Badrul Hisham Abdullah
Majoriti 2,994

Ahli DUN Negeri Selangor
bagi Ijok
Tempoh berjawat
8 Mac 2008 – 5 Mei 2013
Didahului oleh K. Parthiban
Digantikan oleh Idris Ahmad
Majoriti 1,920

Tarikh lahir 14 Disember 1946 (67 tahun)
Tempat lahir Jeram, Kuala Selangor, Selangor
Parti politik Lambang keadilan.png Parti Keadilan Rakyat (PKR)-PR
Pasangan Salbiah Tunut
Anak 4
Agama Islam
Laman web http://mb.selangorku.com/

YAB Tan Sri Dato Seri' Abdul Khalid Ibrahim (lahir 14 Disember 1946 di Kuala Selangor) merupakan Menteri Besar Selangor ke-14 dan terkini daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Di peringkat akar umbi, beliau adalah ketua Keadilan Cabang Ijok dan Bendahari Agung PKR. Sebelum menyertai politik, beliau merupakan seorang ahli korporat berbangsa Melayu, dengan ijazah ekonomi daripada Universiti Malaya dan MBA daripada Universiti Queensland.

Latarbelakang[sunting | sunting sumber]

Tan Sri Khalid telah berkahwin dengan Puan Sri Salbiah Tunut dan dikurniakan empat orang anak, satu lelaki dan tiga perempuan. Salah seorang daripada anak perempuannya merupakan pakar bedah kucing yang mempunyai klinik khusus untuk haiwan itu di Brisbane,Australia. Tan Sri Khalid takut kepada kucing walaupun keluarganya memelihara 20 ekor kucing.[1]

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, S.P.M.S., P.S.M., D.P.M.S., D.S.A.P lahir pada 1946 di Kampung Jalan Raja Abdulah, Jeram, Kuala Selangor, Selangor. Tan Sri Khalid belajar di Sekolah Melayu Jeram pada 1956 dan menduduki Special Malay Class. Seterusnya belajar di Sekolah Inggeris Kampung Kuantan. Khalid Ibrahim mendapat ijazah BA.Hons dalam jurusan Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975.[2]

Abdul Khalid Ibrahim

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Khalid Ibrahim pernah bekerja sebagai guru, pensyarah universiti, pegawai kredit , pegawai kewangan korporat dan memegang pelbagai jawatan tinggi dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Kemudian, beliau melangkah ke arena korporat dan berada dalam kedudukan CEO dari 1979-1994 di bawah firma syarikat kewangan yang diselia kerajaan, Permodalan Nasional Berhad (PNB).[2] Pada 1981, beliau menjadi terkenal setelah menyelesaikan "dawn raid" di London Stock Exchange, yang mana PNB mencatat agihan 51% syer di syarikat perindustrian British iaitu Guthrie kurang daripada dua jam. Khalid kemudian menjadi CEO Malaysianized Guthrie, yang kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd, dari 1995 hingga 2003.[2]

Beliau pernah menghadiri kursus USA International Visitors Program pada 1983 dan Eisenhower Exchange Fellowship Program pada 1989. Beliau juga pernah menjadi ahli majlis eksekutif Unit Investment Fund dan ahli Financial Engineering Advisory Forum di Islamic Development Bank, Jeddah, Arab Saudi. Beliau juga ahli APEC Business Advisory Council (ABAC).

Politik[sunting | sunting sumber]

Beliau kemudian meninggalkan lapangan korporat dan menyertai dunia politik, menyertai parti pembangkang iaitu PKR. Mulanya sebagai Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua Perhubungan PKR Selangor . Kemasukan beliau selaku tokoh ekonomi ke dalam PKR memberi rentak baru dalam pakatan pembangkang yang kemudian dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Kecil Ijok 2007 beliau ditumpaskan oleh cikgu muda K. Parthiban dari Kongres India Se-Malaysia (MIC), sebuah parti kompenen dalam Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 1,920 undi.[3] Dalam pilihan raya kecil Ijok, ucapan tersasulnya 'Undilah Barisan Nasional' telah diulang-ulang dalam media elektronik.

Ketika Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 pada 8 Mac 2008, beliau bertanding bagi kerusi Parlimen P124 Bandar Tun Razak dan Dewan Undangan Negeri N11 Ijok yang mana beliau berjaya menguasai kedua-kedua kerusi yang beliau tandingi. Beliau menewaskan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri , Datuk Tan Chai Ho dari Barisan Nasional/MCA di Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 2,515.Khalid memperoleh 28,123 undi sementara Tan Chai Ho mendapat 25,608 undi. Khalid mendapat 7,196 undi berbanding 5,276 yang diperoleh calon BN, Datuk Mohamed Sayuti Said di DUN Ijok pada 8 Mac 2008.

Menteri Besar Selangor[sunting | sunting sumber]

Beliau dilantik menjadi Menteri Besar Selangor dan secara rasminya beliau mengangkat sumpah bermula 13 Mac 2008 di Istana Bukit Kayangan,Shah Alam,Selangor.[4] Beliau merupakan orang pertama yang bukannya mewakili parti komponen Barisan Nasional untuk dilantik menjadi Menteri Besar Selangor. Ketiga-tiga belas Menteri Besar sebelumnya mewakili Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), sebuah parti komponen utama BN.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Pada 15 Disember 1998, beliau dianugerah sebagai CEO Malaysia Terbaik 1997 dari majalah Business Times anjuran Business Times Sdn. Bhd. dan the American Express Corporate Services. Khalid Ibrahim juga menerima Anugerah International Alumnus dari Universiti Queensland 2001.

Pada 10 Julai 2003 menerima anugerah “AAAB Captain of Industry Award 2002” (First Asian Academy of Applied Business”) dari Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu. Seterusnya menjadi pensyarah pelawat di Oxford Centre of Islamic Studies, Universiti Oxford .

Guthrie Malaysia[sunting | sunting sumber]

Khalid menjadi CEO Guthrie dari1995-2003. Atas jasa beliau, Guthrie Berhad telah membina Lebuh raya Guthrie dari Kuala Selangor ke Sungai Buluh bersambung dengan Lebuh raya Utara Selatan. Pusat latihan penyelenggaraan jentera industri dengan kerjasama UMW Berhad telah dibina di Kuala Selangor. Program Rakan Jaya Diri diadakan di Kuala Selangor bagi melatih pelajar yang tercicir dari persekolahan dan seterusnya bekerja dengan Guthrie Berhad.

Isu kontroversi[sunting | sunting sumber]

Menyertai PKR[sunting | sunting sumber]

Pada 25 April 2007, Datuk Seri Najib Tun Razak menuduh Khalid Ibrahim kecewa kerana tidak mendapat 20 % saham Guthrie. Mulanya beliau meminta 6.5 % pada 1994 dan meningkat kepada 20 %. Untuk 6.5% dia terpaksa meminjam RM175 juta. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah menulis surat kepada pengerusi PNB, Tun Ismail Mohd Ali agar saham diberikan kepada Khalid Ibrahim. Ismail Mohd Ali ialah abang ipar kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.Tan Sri Mohd Desa Pachi pula menjadi Ketua Pegawai Eksekutif pertama PNB. [5]

Bekalan air Selangor[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Projek Langat 2

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) bercadang menaikkan tarif air di Selangor. Keputusan kenaikan tarif air akan dibuat oleh kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan Selangor akan membuat beberapa cadangan supaya perkara ini tidak akan membebankan rakyat. Strategi pengurusan air kerajaan Pulau Pinang yang kosnya dikatakan lebih rendah daripada Selangor akan diteliti.[6]

Perjanjian konsesi air antara kerajaan persekutuan, kerajaan Selangor dan Syabas selama 30 tahun (1 Jan 2005 hingga 31 Dis 2034), tarif air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sepatutnya dinaikkan sebanyak 37 peratus pada 1 Jan 2009, tetapi dilanjutkan kepada 31 Mac 2009 bagi membolehkan kerajaan negeri Selangor menyusun semula industri air. Perjanjian konsesi itu boleh dibatalkan dan tarif air boleh distrukturkan semula jika semua aset pemegang konsesi air diserahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Penilaian semua aset Puncak Niaga, SYABAS, ABASS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) sedang dirunding. Puncak Niaga menetapkan lebih RM6 bilion sebagai nilai pengambilalihan semua aset berkenaan oleh kerajaan negeri Selangor.

Oleh kerana Syabas telah melanggar beberapa terma penting yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi selama 30 tahun maka Selangor meminta kerajaan persekutuan membatalkan perjanjian konsesi itu. Antara laporan Jabatan Audit Negara ialah :

  • Ada projek yang tidak ditender dan lebih RM500 juta daripada kontrak itu dibuat secara rundingan langsung. Selain itu ada beberapa perbelanjaan yang tidak mengikut syarat dan terma perjanjian konsesi.
  • Syabas membelanjakan lebih RM50 juta untuk menaik taraf pejabatnya di Shah Alam sedangkan Jabatan Kawal Selia Air Selangor (JKAS) hanya meluluskan peruntukan sebanyak RM23.2 juta pada 2005.[7]

Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) diadakan berikutan Kerajaan Persekutuan atas nasihat pakar termasuk dari Jepun meramalkan Lembah Klang akan berhadapan dengan krisis air seawal tahun 2014. Oleh itu loji tambahan dibina di Hulu Langat perlu dibina bagi kawasan yang selalu terjejas dengan bekalan air. Khalid Ibrahim dan pemimpin PR berterusan mendakwa projek itu membazir, akan membebankan caj pengguna. Namun akhirnya MOU ditandatangani selepas kerajaan persekutuan bersetuju membantu pengambilalihan aset pemegang konsesi air oleh kerajaan negeri, antara Khalid dengan Kerajaan Persekutuan yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pemimpin PR terkejut dengan MOU itu kerana mereka tidak mengetahuinya.[8]

Tender rundingan terus[sunting | sunting sumber]

Pada 12 April 2008, Abdul Khalid Ibrahim menghapuskan tender rundingan terus kepada kontraktor Bumiputera kerana 98 % diperoleh dan dilaksanakan oleh kumpulan tertentu ketika Barisan Nasional / UMNO memerintah Selangor. Walaupun nama syarikat berbeza tapi pemegang saham dalam syarikat itu tetap sama. Kontraktor terbabit tidak akan disenaraihitamkan kecuali jika kontraktor terbabit gagal melaksanakan projek dalam tempoh yang telah ditetapkan. 'Pena sakti' Menteri Besar tidak diperlukan untuk mendapatkan tender kerajaan negeri. Keputusan tender ditentukan oleh semua anggota Exco dan pegawai yang terlibat.[9]

Perhimpunan 14 April[sunting | sunting sumber]

Perhimpunan 14 April tanpa permit sempena pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Abdul Khalid selaku Presiden Kelab Sultan Sulaiman meminta nasihat daripada Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Zauyah T. Lothy Khan dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Ramli Mahmud dan pihak PDRM kerana premis tersebut berpagar dan bukan kawasan terbuka. Perhimpunan itu sepatutnya tamat jam 11.00 malam tetapi ditamatkan oleh pihak polis pada jam 10.30 malam ketika Anwar Ibrahim sedang berucap. Lebih 7000 hadir dan menyebabkan kesesakan teruk di Kampung Baru Kuala Lumpur. [10]

Dana Sambutan 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat[sunting | sunting sumber]

Pada 23 Jun 2008, beberapa syarikat swasta memberi sumbangan bagi Sambutan 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor yang didepositkan ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR). bekas Ketua Pemuda PKR Mohamad Ezam Mohd Nor mendakwa tindakan itu tidak selaras wawasan Pakatan Rakyat. Khalid Ibrahim berikrar akan membekukan sumbangan tersebut, dipindahkan dari akaun PKR ke akaun kerajaan negeri Selangor dan mengucapkan kad ucapan terima kasih kepada syarikat penderma terbabit.[11]

Polis mengiringi pemimpin[sunting | sunting sumber]

Pada 15 Disember 2008, beliau mendakwa konvoi polis mengiringi Menteri Besar Selangor dan pemimpin lain akan menyekat kemesraan dan hubungan yang sedia terjalin antara pemimpin dengan rakyat. Oleh itu saranan anggota Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Suhaimi Shafiei agar pemimpin diiringi oleh pasukan keselamatan tidak perlu. Isu ini berbangkit selepas ancaman 'serangan bogel' Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) dan mengejar Menteri Besar Selangor di majlis-majlis perasmiannya bagi membawa tuntutan mereka berhubung kadar kenaikan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR).[12]

Lembu korban 2008[sunting | sunting sumber]

25 Januari 2009, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjanji mendedahkan belanjawan kerajaan negeri Selangor Barisan Nasional pimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir ToyoDewan Undangan Negeri Selangor. Harapan beliau agar tidak bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sebelum itu, Dr Mohamad Khir mengaku memiliki salinan minit mesyuarat bertarikh 28 November 2008 yang disahkan Menteri Besar yang mengarahkan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Selangor Incorporated Corporation (SIC) membiayai RM110,400 untuk pembelian 46 ekor lembu bagi ibadah korban dan peruntukan itu perlu ditanggung anak syarikat kerajaan negeri yang lain. Selain itu resit pembayaran RM110,400 bertarikh 16 Disember 2008 . Semua bukti itu diposkan kepada Dr Khr. 46 ekor lembu disedekahkan kepada surau-surau di Bandar Tun Razak sebagai satu tanggungjawab sosial korporat. Bandar Tun Razak bukan lagi dalam negeri Selangor tetapi di bawah pentadbiran Wilayah Persekutuan dan Khalid Ibrahim menjadi ahli parlimennya. Khir Toyo cuba membabitkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak gemar wang kerajaan negeri Selangor disalurkan ke Wilayah Persekutuan atau negeri lain. Selepas ini negeri lain seperti Terengganu akan bertindak dalam cara yang sama. [13]

Kes ini disiasat oleh SPRM tetapi kemudiannya ditutup bersama kes-kes lain pada 12 Februari 2010.[14]

Perakam video di pejabat[sunting | sunting sumber]

Pada 11 Ogos 2010, sebuah perakam video dijumpainya sendiri di kain langsir pejabatnya di SUK Shah alam.[15] Ia dipercayai untuk mengintip sebarang pertemuan , aktiviti dan perbualan Menteri Besar itu. Alat itu dikesan selepas terdengar bunyi bateri lemah. Kes itu belum dilapor kepada polis kerana mahu menyiasat sendiri terlebih dahulu.

Isu letak jawatan MB[sunting | sunting sumber]

Dalam PRU 2013, beliau 'lari' bertanding dari DUN Ijok ke DUN Pelabuhan Klang. [16][17] DUN Ijok dimenangi oleh Dr Idris Ahmad (PKR/PR) menewaskan calon BN cikgu K. Parthiban. Khalid menang Pelabuhan Klang menggantikan Badrul Hisham Abdullah yang berpaling tadah menyertai UMNO.

Kajang Move[sunting | sunting sumber]

Kajang Move atau 'Langkah Kajang' merupakan slogan PKR semasa pilihan raya kecil Kajang 2014 yang menyaksikan Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya menewaskan calon MCA Chew Mei Fun . Pilihan raya pada 23 Mac 2014 itu diadakan selepas DUN milik PKR 'dikosongkan' dan diharap dapat menamatkan kemelut kepimpinan PKR.[18][19]

Nafi letak jawatan[sunting | sunting sumber]

Pada 7 Julai 2014, Khalid Ibrahim menafikan beliau meletak jawatan Menteri Besar Selangor yang kononnya disebarkan oleh agensi berita Bernama. Mesej dalam Whatsapp menyatakan Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Shah bagi menyerahkan surat peletakan jawatannya. Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab menafikan berita palsu.[20][21]

Dipecat parti[sunting | sunting sumber]

Pada 9 Ogos 2014, Abdul Khalid dipecat daripada PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta. Keputusan itu dibuat kerana beliau didapati mengingkari arahan parti untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada Wan Azizah. Dengan itu, negeri Selangor kini diterajui oleh seorang ADUN bebas.[22]

Pemilihan PKR[sunting | sunting sumber]

Pemilihan PKR bermula pada 4 April 2014. Khalid Ibrajhim mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.[23] Beliau selaku ADUN Ijok, kalah dalam pemilihan PKR Ijok kerana isu gagal mengekalkan kemudahan awam seperti padang bola , tapak kuil Hindu serta tanah wakaf Masjid Kampung Ijok, tanah perkuburan Islam dan pusat komuniti Cina.[24]

S. Manikavasagam bekas Ahli Parlimen Kapar dan calon Ketua Cabang Kuala Selangor menuduh Khalid Ibrahim terlibat dengan politik wang.Pada 15 Mei 2014, Biro Politik yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memberi surat tunjuk sebab kepada Manikavasagam kerana melanggar Perkara B.7 Tataetika Pemilihan PKR.[25]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Menteri besar dan kucing-kucingnya", Malaysiakini.com. 14 Ogos 2010.
  2. 2.0 2.1 2.2 "Fact boxes on Ijok (subscription required)", malaysiakini.com, 2007-04-19. Dicapai pada 2007-04-20. 
  3. Dass, Maria J. & Yusop, Husna (2007-04-18). "Khalid is Keadilan's pick for Ijok", p. 2. The Sun.
  4. "Khalid Ibrahim sworn-in as new Selangor Mentri Besar", The New Straits Times, March 13, 2008. Dicapai pada 2008-03-13. 
  5. Najib Dedah Punca Khalid Ibrahim Musuhi Kerajaan BN
  6. Khalid Sediakan Kertas Kerja Sebagai Asas Untuk Kaji Semula Perjanjian Bekalan Air
  7. Surat Berasaskan Laporan Audit Negara - Khalid Ibrahim
  8. "Langkah checkmate Khalid Ibrahim", Utusan Malaysia, 2 Mac 2014. 
  9. Tiada Lagi Tender Secara Rundingan Terus, Kata Abdul Khalid
  10. [1]
  11. Khalid Akui Ada Sumbangan Derma Yang Dimasukkan Dalam Akaun PKR
  12. Polis Tidak Perlu Iringi Pemimpin - Khalid Ibrahim
  13. [2]
  14. [http://www.malaysiakini.com/news/124289 " SPRM tutup kes Khalid Ibrahim, Ali Rustam", Malaysiakini.com, 12 Februari 2010.
  15. Isu Perakam Video: MB Selangor Nafi Rombak Kakitangan Lama Di Pejabat Beliau
  16. "Analisis PRU-13: Khalid Ibrahim mahu lari ke "lubang cacing"", Utusan Malaysia, 15 April 2014. 
  17. "Khalid Ibrahim 'lari waktu malam'", Utusan Malaysia, 29 april 2014. 
  18. "Biarkan Zaid Ibrahim pertahan Khalid Ibrahim cabar Anwar Ibrahim", Utusan Malaysia, 17 Feb 2014. 
  19. "Surat terbuka kepada Khalid Ibrahim", Utusan Malaysia, 18 Mac 2014. 
  20. "MB Selangor nafi letak jawatan", Utusan Malaysia, 7 Julai 2014. 
  21. "su MB: Bernama pandang serius berita palsu", Sinar Harian, 7 Julai 2014. 
  22. T K Letchumy Tamboo. "Khalid Ibrahim wajar dipecat dari PKR - Lembaga Disiplin PKR", Astro Awani, 9 Ogos 2014. Dicapai pada 11 Ogos 2014. 
  23. "Khalid Ibrahim bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR", Utusan Malaysia, 28 Feb 2014. 
  24. "100 penduduk Ijok tuntut janji Khalid Ibrahim", Utusan Malaysia, 13 Mei 2014. 
  25. "Setiausaha Politik Khalid Ibrahim diberi surat tunjuk sebab", Utusan Malaysia, 16 Mei 2014. 
Jawatan politik
Didahului oleh
Mohamad Khir Toyo
Menteri Besar Selangor
2008 –
Pemegang jawatan kini