Islam di Eropah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sebahagian daripada siri berkaitan
Allah-green.svg
Islam

Rukun Iman

Allah • Kitab • Malaikat • Nabi
Hari Akhirat • Qada dan Qadar

Rukun Islam

Syahadah • Solat • Puasa
Zakat • Haji

Kota Suci

Makkah • Madinah
Baitulmuqaddis

Hari Raya

Aidilfitri • Aidiladha

Hukum

Al-Quran • Sunnah • Hadis

Sejarah

Garis Masa Sejarah Islam
Khulafa al-Rasyidin
Khalifah • Khilafah

Tokoh Islam

Nabi Muhammad s.a.w
Ahlul Bait • Sahabat Nabi

Mazhab

Ahli Sunah Waljamaah
Hanafi • Syafie
Maliki • Hanbali

Budaya Dan Masyarakat

Akademik • Haiwan • Seni
Takwim • Kanak-kanak
Demografi • Perayaan
Masjid • Dakwah • Falsafah
Sains • Wanita • Politik

Lihat juga

Kritikan • Islamofobia
Glosari

Portal Islam

Di Eropah, banyak negara di sana mencatatkan Islam sebagai agama paling besar selepas agama Kristian, termasuklah di Itali, Sweden, Perancis dan Jerman. Sementara itu, di sebelah timur Eropah terutamanya Bosnia, Albania, Republik Macedonia, Bulgaria dan Ukraine, komuniti-komuniti penduduk Islam berkulit putih sudah wujud sejak berkurun-kurun lamanya dan selepas mendapat tentangan semasa zaman komunisme, sekarang sudah kembali aktif dalam menghidupkan semula Islam.

Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Eropah dilanda Zaman Kelam sebelum tiba Zaman Pembaharuan. Maksud "Zaman Kelam" ialah zaman masyarakat Eropah menghadapi kemunduran intelek dan kelembapan ilmu pengetahuan. Menurut Ensikopedia Amerikana, tempoh zaman ini selama 600 tahun, dan bermula antara zaman kejatuhan Kerajaan Rom dan berakhir dengan kebangkitan intelektual pada abad ke-15 Masihi.

"Gelap" juga bermaksud tiada prospek yang jelas bagi masyarakat Eropah. Keadaan ini wujud kerana tindakan dan cengkaman kuat pihak berkuasa agama; Gereja Kristian yang sangat berpengaruh. Gereja serta para paderi mengawasi pemikiran masyarakat serta juga politik. Mereka berpendapat hanya gereja sahaja yang berkelayakan untuk menentukan kehidupan, pemikiran, politik dan ilmu pengetahuan. Akibatnya kaum cendekiawan yang terdiri daripada ahli-ahli sains berasa mereka ditekan dan dikawal ketat. Pemikiran mereka ditolak. Sesiapa yang mengeluarkan teori yang bertentangan dengan pandangan gereja akan ditangkap dan didera malah ada yang dibunuh.

Dalam politik, gereja sering bersaing dengan kuasa-kuasa kerajaan. Biasanya apa yang berlaku di Eropah pada abad pertengahan itu ialah kuasa gereja lebih kuat dan ada kalanya terjadi semacam kerjasama, Thomas Aquinas (m 1274) seorang ahli falfasah zaman ini mengeluarkan teori "negara wajib tunduk kepada kehendak gereja".

St Augustine (m 430) sebelumnya juga berpendirian demikian. Manakala Dante Alighieri (1265-1321) berpendapat kedua-dua kuasa itu hendaklah masing-masing berdiri sendiri, dan mestilah bekerjasama untuk mewujudkan kebajikan bagi manusia (Joseph H Lynch, 1992, 172-174).

Diringkaskan cerita sejarah, golongan cendekiawan sentiasa memberontak terhadap pengawasan gereja tersebut. Pada abad ke-12, gerakan intelek telah mula berjalan. Cerdik pandai Eropah mula bersikap lebih berminat untuk tahu dan lebih ghairah terhadap kebudayaan bangsa Timur yang telah lama maju. Dan Timur yang dimaksudkan itu ialah Timur Tengah.

Beberapa kota besar di Timur Tengah telah menjadi kata ilmu pengetahuan seperti Iskandariah, Harran, Antiok dan Baghdad. Perbincangan akademik yang melibatkan tajuk besar seperti metafizik, perubatan, astronomi, etika, politik, fizik dan seumpamanya dibahas secara terbuka dan ilmiah. Ini bermakna sewaktu dunia Islam sudah menikmati kemajuan dan tamadun yang tinggi, Eropah masih diselimuti kegelapan dan kemunduran! Dunia telah diperlihatkan tentang betapa hebatnya perkembangan intelektual dan ilmu pengetahuan di dunia Islam antara kurun ke-9 hingga ke-12.

Sewaktu pemerintahan khalifah-khalifah Abbasiyah yang mashyur — al-Mansur (754-775), Harun al-Rashid (786-809) dan al-Makmun (813-833) — wilayah-wilayah Islam khasnya di Baghdad telah disuburkan dengan kemunculan ahli-ahli fikir besar seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina, al-Biruni, Ibnu Miskawayh, al-Razi, al-Khawarizmi, Ibnu Haitham, Ibnu Rusyd, Ibnu Bajjah, Ibnu Masarrah, Ibnu Tufail, dan Ibnu Khaldun. Mereka menjadi pemikir-pemikir dalam bidang-bidang falsafah, metafizik, fizik, matematik, etik, politik, psikologi, perubatan, geografi, astronomi, kimia, optik, dan muzik. Sebuah institusi bernama Baitul-Hikmat telah secara langsung membantu operasi ilmiah ini dengan jayanya.

Eropah belajar dari Islam[sunting | sunting sumber]

Kawasan Islam yang dekat dengan Eropah ialah Sepanyol. Di sini perkembangan intelek juga berlaku dengan pesat. Philip K Hitti dalam bukunya "Orang Arab: Sejarah Ringkas" (The Arabs: A Short History) menukilkan seperti berikut:

"Orang Islam Sepanyol mengarang salah satu daripada bab-bab yang gemilang dalam sejarah intelek pada Zaman Pertengahan Eropah. Di antara pertengahan abad ke-8 dan permulaan abad ke-13, orang Arab merupakan pemimpin utama dalam budaya dan peradaban di seluruh dunia. Kedua-dua bidang ini merupakan perantara untuk memulih, menambah dan menyebar sains dan falsafah kuno yang telah memungkinkan pembaharuan di Eropah Barat." (h 174-175).

Bagi memenuhi kehendak baru masyarakat intelek Eropah ini, usaha terjemahan telah dibuat terhadap bahan-bahan ilmiah dari negara-negara Islam. Mereka tidak menterjemah bahan-bahan ilmiah itu daripada bahasa Yunani. Charles Singer, dalam bukunya, "Sejarah Ringkas Gagasan-gagasan Sains Sehingga 1900" (A Short History of Scientific Ideas to 1900) menyenaraikan tujuh alasan mengapa tindakan terjemahan lebih banyak buku berbahasa Arab. (h 175-176):

  1. Sebelum lebih kurang tahun 1200, ilmu-ilmu Islam lebih teratur, lebih asli, lebih penting berbanding ilmu-ilmu Rom Timur.
  2. Bahasa Yunani Rom Timur jauh sekali daripada bahasa klasik. Bahasa yang digunakan oleh Aristotle sukar difahami oleh rahib-rahib yang menjaga manuskrip-manuskripnya. Tetapi bahasa Arab klasik pula mudah difahami oleh setiap orang berpendidikan tinggi yang bertutur dan menulis bahasa Arab.
  3. Keseluruhan kecenderungan ilmu Rom Timur mengarah kepada teologi falsafah dan ilmu sains.
  4. Saluran-saluran perniagaan dengan Barat sama ada secara langsung dengan Islam ataupun melalui wilayah-wilayah asing terkepung di dalam Empayar Rom Timur.
  5. Dalam zaman pertengahan, bahasa dipelajari secara bertutur dan bukunya daripada tatabahasa Yunani.
  6. Kuasa Kristian Latin tidak mencapai kemajuan di dalam kedudukan Wilayah Rom Timur. Di pihak lain pula, Islam sedang berundur di Barat.
  7. Bantuan daripada orang Yahudi diperolehi untuk bahasa Arab, tetapi jarang sekali untuk bahasa Yunani.

Antara penterjemah Barat perintis daripada bahasa Arab ke bahasa Latin ialah Adelard dari Bath (kk. 1090 – kk. 1150) yang telah pergi ke Sepanyol dan kepulauan Sicily. Khidmat beliau yang terkemuka ialah bidang matematik. Beliau menterjemah karya al-Khawarizmi, "Aritmetik", dan diperkenalkan kepada Barat. Beliau juga menterjemah karya Euclid daripada bahasa Arab. Seterusnya beliau menulis suatu dialog terkenal, "Soalan-soalan Alam Semula Jadi" (Natural Questions) yang merupakan sejenis ikhtisar permulaan tentang ilmu sains Arab.

Satu bidang sains di Sepanyol yang lebih progresif ialah astronomi. Sebuah kutub khanah dan akademi telah ditubuhkan di Cordoba dalam tahun 970 M dan badan-badan yang serupa muncul di Toledo dan beberapa tempat lain. Ketua ahli-ahli astronomi Sepanyol dikenali oleh orang Latin sebagai Arzachel. Di Toledo beliau telah menyusun apa yang disebut "jadual Toledo" yang telah mencapai suatu tahap kejituan yang tinggi. Alpetragus adalah seorang daripada ahli astronomi yang terakhir. Beliau menulis buku teks astronomi untuk mengganti teori-teori Ptolemy dengan suatu sistem planet yang benar-benar sepusat dan berjaya menyediakan cadangan-cadangan kepada Copernicus (1993, 168-69).

Penterjemah terkemuka menurut Charles Singer ialah Gerard dari Cremona (1114-87). Beliau menghabiskan banyak masa di Toledo dan menimba ilmu-ilmu Arab dari guru-guru Kristian tempatan. Beliau telah berjaya menterjemah buku berbahasa Arab ke Latin tidak kurang daripada 92 buah karya Arab yang lengkap. Banyak daripadanya amat panjang, misalnya Almagest karya Ptolemy dan Daftar Karya Ibnu Sina. Daftar karya ini ialah Daftar Karya fi al-Tibb, iaitu kitab perubatan (1993, 178).

Mereka juga menterjemah buku-buku falsafah. Di antara penterjemah-penterjemah cemerlang Eropah waktu itu ialah Gundissalines (1130-1150). Beliau telah menterjemah beberapa bab dari kitab al-Syifa' oleh Ibnu Sina, buku Ihsa al-ulum oleh al-Farabi, Risalat al-aqli Wa al-Ma’qul oleh al-Kindi, Maqasid al-Falsafah oleh al-Ghazali, juga beberapa buah buku tentang astronomi. Herman dari German, seorang uskup bekerja menterjemah buku di Toledo. Pada tahun 1240, beliau telah menterjemah ulasan Ibnu Rusyd terhadap buku Ethica Nicomachaea, karangan Aristotle. Pada tahun 1250, beliau menyalin dari bahasa Arab buku Rheforica oleh Aristotle dengan memakai alasan-alasan al-Farabi, Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd. Pada tahun 1256, beliau menyalin buku ulasan dari Ibnu Rusyd terhadap buku, Phoetics, karangan Aristotle.

Buku al-Syifa’ oleh Ibnu Sina yang telah juga diterjemah ke bahasa Latin telah diterbitkan di bawah tajuk Sufficientia Physicorum di mana ahli fikir Barat Roger Bacon sering membuat rujukan. Mengenai Rusyd pula, Michael Scot telah membuat terjemahan ke bahasa Latin, komentar-komentar beliau tentang buku falsafah Greek seperti De Caelo et Mundo, De Enima, De Generatione et Conruptione, Physica, Metaphysica, Metarologica, Parva Maturalia dan De Substancia Orbis.

Robert dari Chester (1110-1160), pernah tinggal di Sepanyol, merupakan antara orang yang mula-mula menterjemah al-Quran. Sementara buku-buku sains pula, beliau menterjemah teks alkimia yang mula-mula sekali terbit dalam bahasa Latin. Penterjemahan beliau bagi karya al-Khawarizmi Algebra telah berjaya diperkenalkan kepada orang Latin. Sewaktu di England, beliau menghasilkan jadual-jadual astronomi bagi garis bujur London berdasarkan karya al-Battani dan garis lintang pula berdasarkan karya al-Khawarizmi.

Raymond Lull (633-716/1236-1316) telah mempelajari bahasa Arab di Majorea dan falsafah Islam di Bugia di Tunisia. Beliau telah menterjemah Asma’al-Husna oleh Muhyi al-Din ibn Arabi. la juga ada membuat saduran dan penyesuaian beberapa passage dari Futuhat al-Makkiyah hingga ia sendiri boleh menulis hal-hal berkenaan dengan sufis, akidah dan falsafah. Tetapi ia juga yang memberi inisiatif kepada pihak Kristian supaya melancar serangan moral menentang Islam.

Pengaruh al-Ghazali juga didapati sangat kuat. Dalam konteks ini, al-Ghazali dianggap ahli teologi dan falsafah. Miguel Asin Palacios telah mempelajari bukan sahaja buku Tahafut al-Falasifah oleh al-Ghazali malah lain-lain buku beliau seperti Maqasid. Buku Maqasid telah diterjemah ke Latin diberi tajuk Logika et philosophia Algazelis Arabic oleh Gundisalvas dan diterbitkan di Venice pada 912/1506. Buku lain seperti al-Nafs al-Insani juga diterjemahkan dan diberi judul De Anima Humana (M M Sharif, A History of Muslim Philosophy, 1966, h 1360).

Proses penterjemahan pelbagai ilmu dari Timur khasnya Sepanyol ini dibantu juga oleh pelajar Yahudi. Bahasa Arab adalah bahasa pertuturan waktu itu. Nama-nama Yahudi yang terkenal pada zaman tersebut ialah seperti Solomon ibn Gabirol (1021-58) dari Sarafossa, Moses ben Maimon (1135-1204) dari Cordoba.

Terjemahan buku-buku Ibnu Rusyd yang mereka lakukan menjadi bahan-bahan akademik yang sangat berpengaruh. Terjemahan-terjemahan tersebut telah memberi makna besar terhadap tamadun Eropah seperti yang disebut oleh Philip Khitti di atas.

Bahan-bahan tersebut dipelajari oleh para sarjana dan pelajar-pelajar tempatan. Ketika Frederick II memerintah Itali, beliau telah mendirikan Universiti Naples dan di sini ilmu pengetahuan dari dunia Islam itu telah dipelajari. Universiti Paris dibina pada tahun 1236, kemudian Universiti Bologna dan Oxford di London. Universti-universiti ini menjadi pintu masuk ilmu-ilmu dari dunia Islam secara rasmi kepada masyarakat Eropah pada abad pertengahan.

Kemunculan Universiti Paris sebagai pusat pembelajaran adalah antara sebab penting ke arah perkembangan bidang falsafah dalam abad ke-13. Usaha-usaha mempelajari falsafah Aristotle serta sejarah besar ulasan-ulasan teks yang dibuat oleh orang-orang Islam dari Baghdad dan Sepanyol dalam bidang-bidang epistemologi, metafizik dan etika berasaskan pemikiran al-Farabi,Ibnu Gabirol, Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd telah berlaku.

Kerja-kerja terjemahan diperhebatkan. Cendekiawan Paris sibuk mempelajari buku-buku yang berjudul Deintellectu et intelligibili kerap merujuk kepada Ibnu Rusyd sekerap rujukannya terhadap Aristotle. St Thomas Aquinas merujuk kepada Ibnu Sina dalam karyanya Permasalahan yang dipertikaikan mengenai kebenaran (Guaestiones disputaEae de veritate). Buku perubatan Ibnu Sina iaitu Qanun Fi al-Tib dipelajari di Eropah hingga abad ke-17.

Pengaruh Ibnu Rusyd di Eropah menurut Bertrand Russell sangatlah kuat, bukan sahaja di kalangan golongan akademiik, tetapi juga di kalangan satu kumpulan besar pemikir bebas bukan profesional yang menafikan keabadian. Mereka digelar pengikut Ibnu Rusyd. Sementara di kalangan ahli falsafah profesional, peminatnya yang utama ialah ahli-ahli Mazhab Franciscan dan mereka yang berada di Universiti Paris. (Russell, 413-421).

Orang-orang penting di abad pertengahan seperti Sigervan Brabant dan Boethius adalah antara pengikut-pengikut Ibnu Rusyd hingga mereka mendapat kemurkaan pihak gereja. Christopter Columbus sendiri mendapat ilham daripada Ibnu Rusyd. Dalam usahanya untuk menyeberangi Lautan Atlantik, beliau dihalang oleh pelbagai pihak terutamanya sekali gereja. Tetapi beliau bertekad mahu meneruskan juga ekspedisi berbahayanya. Apabila ditanya di manakah beliau mendapat ilmu dan keberanian untuk pelayaran itu, beliau menyebut "daripada buku-buku Ibnu Rusyd!".

Kaum wanita pula yang tertekan oleh pelbagai diskriminasi telah mendapat ilham dan semangat baru apabila membaca buku-buku Ibnu Rusyd mengenai wanita dan hak-hak mereka. Kesedaran ini telah menimbulkan gerakan feminisme dan ia dipelopori oleh Dubois di Perancis dan Ockham di England iaitu kira-kira dua abad selepas kematian Ibnu Rusyd. Menurut para pengkaji pengaruh Ibnu Rusyd setidak-tidaknya terus berpengaruh selama empat abad di Eropah.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]