Teng Chang Khim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Dato' Teng Chang Khim (Cina tradisional: 鄧章欽pinyin: Dèng Zhāngqīn) merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor bagi Sungai Pinang yang mewakili parti DAP. Beliau menang kali ke-4 di Sungai Pinang sejak Pilihan raya 1995. Setelah menang pilihan raya, beliau menjadi Ketua Pembangkang DUN Selangor bagi sesi 1995-1999 dan 2004-2008.

Beliau telah menjadi Speaker DUN Selangor mulai 22 Mac 2008 setelah Pakatan Rakyat menang dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Negeri Selangor .

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Adiknya Teng Chang Yeow (47 tahun) adalah pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang dan Setiausaha Agung parti Gerakan. Teng Chang Yeow pernah menumbangkan Pengerusi DAP, Karpal Singh di DUN Padang Kota pada Pilihan Raya Umum 1995 dengan majoriti lebih 2,500 undi.

Bapanya seorang pemimpin akar umbi MCA di tempat kelahirannya, Batu Pahat, Johor. Bapa saudaranya pula, Datuk Teng Boon Soon merupakan Ahli Parlimen Tebrau.[1]

Isu dan kontroversi[sunting | sunting sumber]

Arah Adun BN keluar dewan[sunting | sunting sumber]

Pada 21 Mac 2012, Speaker Teng Chang Khim 'menghalau' Datuk Mohd Isa Kasim (BN-Batang Kali) dari DUN Selangor kerana lantang mengkritik kerajaan PKR Selangor. Teng menggunakan Perkara 44(2) Peraturan-peraturan Tetap Dewan bagi mengarahkan wakil rakyat BN itu keluar sidang DUN selama dua jam. Mohd Isa cuba meminta penjelasan dari MB Abdul Khalid Ibrahim tentang beberapa perkara yang berkaitan pengurusan harta kerajaan negeri.[2]

Status Adun Pelabuhan Klang[sunting | sunting sumber]

Pada Januari 2011, Speaker Teng Chang Khim mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah (Julai 2010 - Jan 2011). Surat tidak hadir pada 21 Disember 2010 dihantar dengan alasan mendapat rawatan tradisional .Ekoran itu, Badrul Hisham melalui peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak memfailkan saman pemula di di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam pada 24 Januari 2011. Badrul Hisham melompat dari PKR ke Bebas. Tindakan Chang Khim adalah ultra vires (melampau batasan undang-undang), salah, batal dan tidak sah mengikut Artikel LXIX Undang-Undang Tubuh Negeri Kerajaan Selangor 1959. [3]

Nafi silap hantar SMS[sunting | sunting sumber]

Pada 27 Mac 2012, semua Adun Barisan Nasional Selangor keluar dewan tanda protes gara-gara Teng Chang Khim tersilap menghantar SMS. Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) menuduh Teng tidak adil dan berat sebelah.SMS itu menggesa Adun PKR aktif mempertahankan kerajaan PKR Selangor. [4] SMS tersebut dikatakan tersilap hantar kepada bekas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd Ali.[5]

Digesa letak jawatan[sunting | sunting sumber]

Pada 24 Januari 2011, –Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menggesa Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim letak jawatan kerana gagal meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pada sidang DUN di Shah Alam.[6]

Pengerusi Panel Selcat[sunting | sunting sumber]

Teng Chang Khim merupakan lulusan undang-undang dan menjalankan khidmat guaman . Kini beliau menetap di Subang Jaya. Sebagai peguam, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat). Panel Selcat dianggotai oleh Timbalan Speaker DUN, Haniza Mohamed Talha; Adun Hulu Kelang, Saari Sungib; ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh dan ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak.

Panel ini pernah membincangkan tentang pindaan daripada zon tanah lapang dan rekreasi ke zon perniagaan - padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 7, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 2012. Panel mencadangkan supaya RTPJ2 dibatal dan diwartakan mengikut apa yang telah dipersetujui oleh MMKN dan bukannya yang telah dipinda oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).[7] Turut memberi keterangan adalah bekas Pengarah Perancang Bandar MBPJ, Noraini Roslan; ahli akademik, Datuk Dr. Goh Ban Lee; Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Pengarah JPBD negeri, Norasiah Bee Mohd. Haniff.[8]

Speaker Teng juga memutuskan hasil pendengaran awam Selcat tentang tiga anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd. (KSSB), Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tidak akan dibawa ke sidang DUN 2012.Justeru itu Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed mendakwa Selcat hanya membuang masa sahaja. [9] Yayasan Selangor terlibat dalam skandal konsesi melombong pasir.[10]

Terima gelaran Datuk[sunting | sunting sumber]

Pada 2011, Teng Chang Khim menerima anugerah DPMS yang membawa gelaran Dato' dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas jasa beliau selaku Speaker DUN Selangor.[11]

Rujukan[sunting | sunting sumber]