Pergi ke kandungan

Hirohito

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Maharaja Shōwa)
Hirohito / Maharaja Shōwa
裕仁 / 昭和天皇
Potret formal, bertarikh 1935
Maharaja Jepun ke-124
Pemerintahan25 Disember 1926 – 7 Januari 1989
Jepun10 November 1928
Didahului olehMaharaja Taishō
Diikuti olehMaharaja Akihito
Perdana Menteri
Pemakaman24 Februari 1989
Musashi Imperial Graveyard, Hachiōji, Tokyo, Jepun
PasanganMaharaja Kōjun
AnakandaShigeko, Puteri Teru
Sachiko, Puteri Hisa
Kazuko, Puteri Taka
Atsuko, Puteri Yori
Akihito, Putera Tsugu
  (Putera Raja)

Masahito, Putera Yoshi
  (Putera Hitachi)

Takako, Puteri Suga
Nama penuh
Hirohito (裕仁)
KerabatWangsa Yamato
AyahandaMaharaja Taishō
BondaMaharaja Teimei
AgamaShinto
PekerjaanAhli biologi marin
TandatanganTandatangan Hirohito / Maharaja Shōwa 裕仁 / 昭和天皇

Hirohito (bahasa Jepun: 裕仁 ; 29 April 1901 – 7 Januari 1989) merupakan Maharaja Jepun ke-124[1][1] yang memerintah dari tahun 1926 hingga tahun 1989. Sejak kemangkatannya, baginda telah digelar sebagai Maharaja Shōwa (昭和天皇, Shōwa Tennō) di Jepun, sempena nama anumerta yang diberikan kepada baginda atas arahan Kabinet Jepun bertarikh 13 Januari 1989. Walaupun baginda dirujuk secara meluas sebagai Hirohito atau Maharaja Hirohito di luar Jepun, bekas-bekas maharaja hanya dirujuk dengan nama-nama selepas kemangkatan di Jepun. Tempoh pemerintahan baginda merupakan tempoh yang paling lama dalam sejarah Jepun, dan baginda telah menyelia banyak perubahan yang penting dalam masyarakat Jepun.

Keputeraan

[sunting | sunting sumber]

Baginda diputerakan kepada Putera Mahkota Yoshihito dan ibundanya Puteri Mahkota Sadako di Istana Aoyama, Tokyo dengan nama lahirnya Putera Michi (迪宮, Michi no miya). Baginda mewarisi Takhta Bunga Kekwa setelah kemangkatan nendanya, Maharaja Meiji, pada 30 Julai 1912. Istiadat permasyhuran Putera Michi sebagai Putera Mahkota diadakan tidak lama kemudian pada 2 November 1916.[2]

Baginda menyertai Sekolah Bangsawan Gakushuin bahagian lelaki dari tahun 1908 hingga tahun 1914, dan kemudiannya menyertai sebuah institut khas untuk Putera Mahkota (Tōgū-gogakumonsho) dari tahun 1914 hingga tahun 1921. Baginda mengambil alih tanggungjawab ayahandanya yang gering sebagai pemangku raja Jepun pada 29 November 1921. Pada tahun 1921, baginda Putera Pemangku Raja menjadi Putera Makhota Jepun yang pertama untuk berangkat ke luar negeri selama enam bulan di Eropah, termasuk United Kingdom, Perancis, Itali, Kota Vatikan, Belanda dan Belgium.

Keluarga diraja

[sunting | sunting sumber]

Hirohito berkahwin dengan saudara sepupu jauhnya, Puteri Nagako, iaitu puteri sulung kepada Putera Kuni Kuniyoshi, pada 26 Januari 1924. Mereka dikurniai dengan tujuh orang putera-puteri:

  1. Puteri Shigeko, Teru no miya (照宮成子, Teru no miya Shigeko, 9 Disember 1925 - 23 Julai 1961); Berkahwin pada 10 Oktober 1943 dengan Putera Morihiro (6 Mei, 1916 - 1 Februari 1969), anak lelaki sulung kepada Putera Higashikuni Naruhiko dan isterinya, Puteri Toshiko, anak perempuan kelapan kepada Maharaja Meiji; hilang status mereka sebagai ahli-ahli keluarga raja pada 14 Oktober 1947.
  2. Puteri Sachiko, Hisa no miya (久宮祐子, Hisa no miya Sachiko, 10 September 1927 - 8 Mac 1928).
  3. Puteri Kazuko, Taka no miya (孝宮和子, Taka no miya Kazuko, 30 September 1929 - 26 Mei 1989); Berkahwin pada 5 Mei 1950 dengan Toshimichi Takatsukasa (26 Ogos 1923 - 27 Januari 1966) yang merupakan anak lelaki sulung kepada Nobusuke Takatsukasa [bangsawan].
  4. Puteri Atsuko, Yori no miya (順宮厚子, Yori no miya Atsuko, lahir 7 Mac 1931); Berkahwin pada 10 Oktober 1952 dengan Takamasa Ikeda (lahir 21 Oktober 1927) yang merupakan anak lelaki sulung kepada bekas Marquis Nobumasa Ikeda.
  5. Putera Mahkota Akihito (kini Maharaja), Tsugu no miya (継宮明仁, Tsugu no miya Akihito, lahir 23 Disember 1933): Berkahwin pada 10 April 1959 dengan Michiko Shoda (lahir 20 Oktober, 1934) yang merupakan anak perempuan sulung kepada Hidesaburo Shoda, bekas presiden dan pengerusi Syarikat Kilang Tepung Nisshin.
  6. Putera Masahito, Yoshi no miya (義宮正仁, Yoshi no miya Masahito, lahir 28 November 1935), kini bergelar Putera Hitachi (常陸宮, Hitachi no miya): Berkahwin pada 30 Oktober, 1964 dengan Hanako Tsugaru (lahir 19 Julai 1940) yang merupakan anak perempuan keempat kepada bekas Bupati Yoshitaka Tsugaru.
  7. Puteri Takako, Suga no miya (清宮貴子, Suga no miya Takako, lahir 2 Mac 1939): Berkahwin pada 3 Mac 1960 dengan Hisanaga Shimazu, anak lelaki bekas Bupati Hisanori Shimazu.

Naik takhta

[sunting | sunting sumber]

Pada 25 Disember 1926 ketika kemangkatan ayahandanya Yoshihito, Hirohito naik takhta dan mengisytiharkan zaman baru iaitu zaman Shōwa (Keamanan Berihsan). Beliau ditabalkan sebagai maharaja pada 10 November 1928 di Kyoto. Hirohito ialah raja pertama Jepun sejak beberapa ratus tahun yang mempunyai ibu kandung yang merupakan isteri rasmi pendahulunya.

Awal zaman pemerintahan

[sunting | sunting sumber]
Hirohito pada zaman awal pemerintahannya.

Tahun-tahun terawal Hirohito sebagai pemerintah diselubungi krisis kewangan dan peningkatan pengaruh kuasa tentera dalam kerajaan, baik di sisi undang-undang mahupun sebaliknya. Tentera Darat Imperial Jepun dan Tentera Laut Imperial Jepun memegang kuasa veto terhadap pembentukan jemaah menteri sejak tahun 1900, dan dari tahun 1921 hingga 1944 terjadinya sekurang-kurangnya 64 peristiwa keganasan politik.

Hirohito nyaris-nyaris dibunuh oleh bom tangan yang dilemparkan oleh seorang aktivis kemerdekaan Korea, Lee Bong-chang di Tokyo pada 9 Januari 1932. Tahun 1932 dicemari lagi oleh pembunuhan Perdana Menteri Inukai Tsuyoshi, sekaligus berakhirnya kawalan tentera oleh pihak awam, disusuli pula oleh cubaan tentera merampas kuasa pada Februari 1936 yang dilancarkan oleh pegawai-pegawai bawahan Tentera dalam paksi Kōdōha yang meraih simpati dari ramai pegawai berpangkat tinggi termasuk Putera Chichibu (Yasuhito), salah seorang adinda baginda. Pemberontakan ini bersempena dengan kehilangan pengaruh oleh paksi ketenteraan susulan pilihan raya Diet, dan menyebabkan terbunuhnya sebilangan pegawai kerajaan dan tentera tertinggi.

Apabila dimaklumkan oleh Ketua Adikung Shigeru Honjō akan perihal pemberontakan itu, Maharaja dengan serta-mertanya bertitah agar pemberontakan itu ditumpaskan dan pegawai-pegawai yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan sebagai "kaki tentang". Sejurus selepas itu, baginda menitahkan Menteri Tentera Yoshiyuki Kawashima untuk menumpaskan pemberontakan dalam masa singkat, di samping meminta laporan dari Honjō sekali setiap setengah jam. Pada hari keesokannya, apabila dimaklumkan oleh Honjō bahawa pihak atasan tidak banyak berusaha untuk menumpaskan pemberontakan, jawapan baginda "Beta sendiri akan memimpin Divisi Konoe untuk menundukkan mereka." Akhirnya pemberontakan diredakan berikutan titah baginda pada 29 Februari 1936.[3]

Perang Dunia Kedua

[sunting | sunting sumber]
Maharaja dan kuda diraja Shirayuki

Perang China-Jepun Kedua

[sunting | sunting sumber]

Sebelum Perang Dunia Kedua, Jepun menyerang Manchuria pada tahun 1931, diikuti seluruh China pada tahun 1937 (Perang China-Jepun Kedua). Sumber-sumber primer mendedahkan bahawa Maharaja Shōwa tidak pernah sekalipun membantah tindakan menyerang China pada tahun 1937[4], seperti yang dicadangkan oleh para ketua turus dan perdana menteri Fumimaro Konoe. Nampaknya kebimbang utama baginda adalah kemungkinan diserang oleh Kesatuan Soviet di utara. Baginda menyoal ketua turus Putera Kan'in, dan menteri perang, Hajime Sugiyama, terutamanya mengenai berapa lama yang diperlukan untuk menumpaskan pertahanan China.

Menurut Akira Fujiwara, Maharaja dengan sendirinya memperkenankan usul Tentera Jepun untuk memadamkan sekatan undang-undang antarabangsa mengenai layanan terhadap tahanan dari China pada 5 Ogos.[5] Lebh-lebih lagi, hasil kerja Yoshiaki Yoshimi dan Seiya Matsuno turut menunjukkan bahawa baginda sendiri memperkenankan penggunaan senjata kimia terhadap warga China dengan mengeluarkan titah-titah tertentu.[6] Ketika menyerang bandar Wuhan pada bulan Ogos hingga Oktober 1938, baginda memperkenankan penggunaan gas toksik sebanyak 375 kali,[7] walaupun dikecam oleh resolusi yang diterima oleh Liga Bangsa pada 14 Mei.

Perluasan kekuasaan Jepun dalam perang dunia

[sunting | sunting sumber]

Setelah memasuki Perang Dunia Kedua, Jepun yang kononnya dikuasai oleh pimpinan Hirohito menjalin perikatan dengan Jerman Nazi dan Itali Fasis, maka terbentuknya Kuasa Paksi. Pada Julai 1939, Maharaja bertengkar dengan salah seorang adindanya, Putera Chichibu yang mengadapnya tiga kali seminggu untuk menyokong perjanjian itu sambil menegur menteri tentera Seishiro Itagaki.[8] Namun demikian, setelah berjayanya Wehrmacht di Eropah, maka Maharaja tetap berkenan dengan perikatan tersebut.

Pada 4 September 1941, Jemaah Menteri Jepun bersidang untuk membincangkan rancangan berperang yang disediakan oleh Ibu Pejabat Am Diraja, lalu memutuskan bahawa:

Empayar kita, demi pertahanan dan pemeliharaan diri, akan menyiapkan persediaan untuk berperang ... [dan] ... berazam untuk berperang dengan Amerika Syarikat, Great Britain dan Belanda jika perlu. Empayar kita akan mengamil segala langkah diplomasi yang boleh secara serentak untuk berhadapan dengan Amerika Syarikat dan Great Britain, dan dengan itu berusaha mencapai objektif kita ... Sekiranya tiadanya peluang untuk memenuhi kemahuan kita melalui rundingan diplomasi yang disebut tadi pada sepuluh hari pertama bulan Oktober, dengan serta-merta kita memutuskan agar memulakan permusuhan terhadap Amerika Syarikat, Britain dan Belanda.

"Obejktif-objektif" yang perlu dicapai ditentukan dengan jelasnya, iaitu: kebebasan penuh untuk terus menakluki China dan Asia Tenggara, tiada penambahan dalam bilangan tentera AS dan British dalam rantau tersebut, serta kerjasama diberi oleh pihak Barat "dalam pemerolehan barang-barangan yang diperlukan oleh Empayar kita."

Pada 5 September, Perdana Menteri Konoe mengutuskan draf keputusan tidak rasmi kepada maharaja, sehari sebelum Persidangan Diraja di mana dirasmikannya keputusan tersebut. Pada waktu tengahari itu, Maharaja bersidang dengan ketua turus tentera darat, Sugiyama, ketua turus tentera laut, Osami Nagano, dan Perdana Menteri Konoe. Baginda menyoal Sugiyama mengenai peluang mencapai kejayaan apabila berperang dengan pihak Barat secara terbuka. Walaupun Sugiyama memberi jawapan positif, baginda memurkainya dengan kata-kata berikut:

—Ketika berlakunya peristiwa di China, pihak tentera memaklumkan beta bahawa kita boleh memaksa Chiang Kai-shek menyerah diri selepas tiga bulan, tetapi sehingga hari ini kamu masih tidak mampu menewaskannya! Sugiyama, kamulah menteri ketika itu.
—China ialah sebidang kawasan luas yang banyak pintu keluar masuknya, namun kita masih menghadapi rintangan besar di luar jangkaan.
—Kata kamu, besarnya kawasan pedalaman China; tidakkah Lautan Pasifik lebih besar daripada China? Bukankah pernah beta mengingatkanmu pasal hal-hal ini? Sugiyama, adakah kamu mendustai beta?[9]

Ketua Turus Am Tentera Laut Laksamana Nagano, seorang bekas Menteri Tentera Darat yang luas pengalamannya, kemudian memberitahu seorang rakan sekerja yang dipercayainya, "Tidak pernah saya lihat maharaja memurkai kita sedemikian, wajah baginda bertukar merah dan suara baginda meninggi."

Emperor Shōwa menunggang Shirayuki ketika menjalani pemeriksaan Tentera Darat pada Ogos 1938

Mengikut sangkaan awal, Maharaja kelihatan amat bimbang dengan langkah mengutamakan persediaan berperang di hadapan rundingan diplomasi, lalu menitahkan hajat baginda untuk bercemar duli. Di Persidangan Diraja pada hari berikutnya, baginda terus menyoal ketua-ketua Tentera dengan tiba-tibanya.

Walaupun demikian, semua pembahas di Persidangan Diraja itu sebulat suara menyokong tindakan berperang daripada mengambil jalan diplomasi. Baron Yoshimichi Hara, Presiden Majlis Diraja dan wakil Maharaja, kemudian menyoal mereka dari dekat mengenai akibat peperangan, lalu dibidas oleh sebilangan mereka.

Pada ketika ini, para hadirin terkilan dengan tindakan maharaja bertitah di persidangan secara peribadi, dan tindakan bercemar duli ini turut memeranjatkan para penasihat baginda (seperti yang digambarkan oleh Perdana Menteri Konoe.) Baginda menekankan perlunya mencapai peleraian masalah antarabangsa secara damai, serta meluahkan rasa kecewa terhadap ketidakacuhan para menterinya terhadap hasil siasatan Baron Hara, lalu "berulang kali" membacakan sajak yang dikarang oleh nendanya, Maharaja Meiji:

Sebentang empat laut, kita semua bersaudara.
Mengapalah dalam dunia sebegini ombak bergelora, angin bergemuruh?

[10]

Selepas menerima kejutan dari baginda, para menteri tergesa-gesa meluahkan hajat mendalam mereka untuk mencuba segala langkah damai yang boleh. Tindakan baginda ini seiring dengan peranan amali baginda selaku pemimpin agama Shinto.

Pada ketika ini, Ibu Pejabat Diraja Tentera masih berhubung dengan kerabat diraja untuk menjelaskan situasi tentera. Pada 8 Oktober, Sugiyama menandatangani laporan 47 halaman kepada maharaja yang menggariskan secara terperincinya perancangan menyerang Asia Tenggara. Pada minggu ketiga bulan Oktober, Sugiyama mengutuskan dokumen "Bahan-Bahan Menghadap Maharaja" kepada maharaja mengenai jangkaan mereka ketika berperang.[11]

Sambil terus bersiap untuk berperang, Perdana Menteri Konoe mendapati dirinya semakin terasing lalu meletak jawatannya pada 16 Oktober, dengan memberikan alasannya kepada ketua setiausaha kabinet, Kenji Tomita:

Sememangnya Baginda merupakan pencinta damai, dan tidak boleh dinafikan bahawa baginda ingin menghindari peperangan. Ketika saya mengadapnya bahawa betapa silapnya melancarkan peperangan, baginda berkenan. Namun, pada hari keesokan, baginda bertitah kepada saya: Semalam kamu membimbanginya, tetapi kamu tidak perlu terlalu bimbang. Oleh itu, lambat-laun baginda mula cenderung ke arah peperangan. Dan sekali lagi saya mengadap baginda, semakin cenderunglah baginda. Pendek kata, terasa bagaikan Maharaja hendak bertitah kepada saya bahawa perdana menteri tidak memahami hal-ehwal ketenteraan sebanyak baginda. Pendek kata lagi, Maharaja sudah berkenan dengan pandangan ketua tertinggi tentera darat dan laut.[12]

Tentera darat dan laut mengusulkan pencalonan Putera Higashikuni, salah seorang mamanda maharaja, untuk menggantikan tempat Konoe. Menurut catatan "Monolog" Shōwa yang ditulis selepas zaman perang, Maharaja ketika itu bersabda bahawa andai bermulanya peperangan ketika jawatan perdana menteri dipegang oleh seorang ahli kerabat diraja, maka terpaksalah wangsa diraja memikul tanggungjawabnya, oleh itu Higashikuni menolaknya.[13]

Sebaliknya, maharaja melantik Jeneral Hideki Tōjō yang dikenali kerana sikapnya yang tidak suka bertolak ansur dan ketaatnya kepada institusi diraja was, lalu menitahnya agar melakukan ulasan dasar terhadap apa yang telah diluluskan oleh persidangan diraja. Pada 2 November, Tōjō, Sugiyama dan Nagano menghadap maharaja untuk melaporkan bahawa ulasan kesemua sebelas perkaranya tidak berhasil. Maharaja Shōwa memperkenankan tindakan berperang lalu bertanya: "Adakah kamu hendak menyatakan sebab-sebab untuk berperang?"[14]

Pada 3 November, Nagano menerangkan rancangan menyerang Pearl Harbor secara terperinci kepada maharaja.[15] Dalam persidangan diraja pada 5 November, Maharaja Shōwa memperkenankan rancangan operasi memerangi pihak Barat serta banyak bersidang dengan pihak tentera dan Perdana Menteri Tōjō sehingga akhir bulan. Pada 1 Disember, persidangan diraja diadakan sekali lagi untuk memperkenankan "Perang terhadap Amerika Syarikat, United Kingdom dan Negara Belanda." Pada 8 Disember (7 Disember di Hawaii) 1941, tentera Jepun menyerang armada Amerika Syarikat di Pearl Harbor sambil melancarkan serangan di Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu.

Dengan seluruh negara yang komited sepenuhnya kepada peperangan, Maharaja sentiasa ingin tahu mengenai perkembangan tentera serta hendak menaikkan semangat juang mereka. Menurut Akira Yamada dan Akira Fujiwara, baginda banyak bercampur tangan dalam sesetengah operasi tentera. Contohnya, baginda menitah Sugiyama sebanyak empat kali, iaitu pada 13 dan 21 Januari, dan 9 dan 26 Februari, untuk memperkukuhkan tentera serta melancarkan serangan terhadap Bataan. Pada 9 Februari, 19 Mac dan 29 Mei, maharaja mengarahkan Ketua Turus Tentera Darat untuk mengkaji kemungkinan peluang menyerang Chungking, lalu membawa kepada Operasi Gogo.[16]

Sekitar akhir tahun 1942 dan awal tahun 1943, sesetengah pihak mula mendakwa bahawa aliran maklumat ke istana semakin kurang menepati keadaan sebenar, manakala yang lain berpendapat bahawa maharaja berhubung rapat dengan Perdana Menteri Tōjō, masih menerima maklumat tepat pihak tentera, dan mengetahui kedudukan tentera Jepun dengan persisnya sehingga detik penyerahan kalah. Ketua turus bahagian Hal-Ehwal Am di Jaabtan Perdana Menteri, Shuichi Inada, berkata kepada setiausaha peribadi Tōjō, Sadao Akamatsu:

Maharaja bersama Maharani Kōjun dan putera-puterinya (1941)

Tidak pernah pun ada jemaah menteri yang mana perdana menteri dan semua menterinya begitu kerap melaporkan diri kepada maharaja. Untuk mengesankan intisari pemerintahan langsung diraja yang sejati serta melegakan kebimbangan maharaja, para menteri melaporkan perihal-perihal dalam bidang kuasa masing-masing kepada baginda atas arahan perdana menteri... Ketika menjalani tugas berat, draf bertaip yang bertanda merah sebagai pembetulan diutuskan kepada maharaja. Draf pertama, draf kedua, draf terakhir dan sebagainya, diutuskan apabila satu demi satu pertimbangan diperkenankan oleh maharaja.[17]

Pada enam bulan pertama berperang, Jepun memenangi semua pertempuran. Apabila nasib mereka mula berubah pada tahun 1942 dengan pertempuran Midway dan mendaratnya tentera Amerika di Guadalcanal dan Tulagi pada bulan Ogos, Maharaja Hirohito mengakui risikonya lalu terus menyuntik semangat kepada bala tenteranya untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh. Pada September 1942, Maharaja Hirohito menandatangani Reskrip Diraja yang menghukum mati para Juruterbang Amerika: Leftenan Dean E. Hallmark dan William G. Farrow, dan Korporal Harold A. Spatz di samping menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Leftenan Robert J. Meder, Chase Nielsen, Robert L. Hite dan George Barr, dan Korporal Jacob DeShazer. Pada Ogos 1943, apabila diberitahu oleh Sugiyama bahawa kemaraan Amerika di Kepulauan Solomon tidak dapat dihalang, baginda menitah ketua turusnya untuk mencari tempat-tempat lain untuk menyerang: "Bilakah dan di manakah kamu akan berjuang bersungguh-sungguh? Dan bilalah hendak kamu berlawan dalam pertempuran yang penting?"[18] Pada 24 Ogos, Maharaja menegur Nagano atas kekalahan di Bela Bela dan pada 11 September, baginda menitah Sugiyama untuk bekerja bersama Tentera Laut untuk melaksanakan persediaan yang lebih rapi serta menyalurkan bekalan yang mencukupi kepada askar-askar yang bertempur di Rabaul.[19]

Pada tahun-tahun berikutnya, pertempuran demi pertempuran yang memberi kebuntuan dan kekalahan diputarbelitkan menjadi kemenangan besar kepada orang awam. Lama-kelamaan, orang ramai semakin sedar bahawa keadaan tentera Jepun langsung tidak memberangsangkan, apabila pada tahun 1944, bandaraya-bandaraya di Jepun menerima serangan udara A.S. yang turut mengejek kepura-puraan kejayaan Jepun. Pada tahun yang sama, dengan tumbangnya kerajaan Hideki Tōjō, dua lagi perdana menteri dilantik untuk meneruskan usaha perang, iaitu Kuniaki Koiso dan Kantaro Suzuki— setiap satunya atas perkenan maharaja, tetapi kedua-duanya kurang berjaya dan Jepun berada di ambang kekalahan.

Senja perang

[sunting | sunting sumber]
Maharaja Shōwa II pada May 1946, selepas tujuh bulan menyerah kalah.

Pada awal tahun 1945, selepas kekalahan di Leyte, Maharaja Shōwa mula bertemu satu demi satu pegawai kanan kerajaan untuk mempertimbangkan perkembangan peperangan. Semuanya kecuali bekas Perdana Menteri Fumimaro Konoe yang menasihati agar peperangan diteruskan. Konoe lebih khuatir akan tercetusnya revolusi komunis berbanding kekalahan dalam peperangan, lalu menggesa agar merundingkan penyerahan kalah. Pada Februari 1945, ketika menghadap maharaja dengan perkenan baginda buat kali pertama dalam tiga tahun,[20] Konoe menasihati Hirohito agar mula berunding untuk menamatkan Perang Dunia Kedua. Menurut Datuk Paduka Dalam Hisanori Fujita, maharaja dengan tegasnya menolak usul Konoe kerana baginda masih tercari-cari kemenangan mutlak semata-mata demi memperkukuhkan kuasa tawar-menawar ketika berunding kelak.[21]

Minggu demi minggu, peluang kemenangan mutlak semakin tipis. Pada bulan April, Kesatuan Soviet mengeluarkan pemberitahuan bahawa pihaknya enggan memperbaharui perjanjian pendirian berkecualinya. Sekutu Jepun, Jerman menyerah kalah pada Mei 1945. Pada bulan Jun, jemaah menteri mengkaji semula percaturan perangnya, sehingga memutuskan dengan lebih tegas lagi agar berjuang hingga ke titisan darah yang akhir. Strategi ini menerima restu dalam sebuah perjumpaan singkat di Majlis Diraja, di mana Maharaja hanya mendengar sambil mendiamkan diri.

Pada hari kemudian, Ketua Penyimpan Mohor Privi Kōichi Kido menyediakan dokumen draf yang merumuskan situasi tentera yang putus harapan serta mengusulkan penyelesaian melalui rundingan. Dipercayai bahawa Maharaja dengan senyapnya memperkenankannya lalu menitah Kido untuk mengedarkannya secara rahsia di kalangan ahli-ahli jemaah menteri yang bersikap sederhana; tidakpun, maharaja masih teragak-agak sehingga berpuluh ribu lagi nyawa Jepun dan Berikat menjadi korban. Pihak pelampau di Jepun turut menggesa agar diadakan pembunuhan diri beramai-ramai kerana keaiban, mencontohi peristiwa "47 Ronin". Pada Jun 1945, jemaah menteri bersetuju untuk menghubungi Kesatuan Soviet untuk bertindak sebagai pengantara untuk rundingan penyerahan kalah, itupun selepas kuasa tawar-menawar Jepun dipertingkatkan dengan menangkis serangan Kuasa Berikat di tanah besar Jepun.

Pada 22 Jun, Maharaja bertemu dengan para menterinya, dengan bertitah "Beta berhajat agar rancangan-rancangan tetap untuk menamatkan perang tanpa menghiraukan dasar sedia ada, segera dikaji, diikuti usaha-usaha pelaksanaannya." Cubaan berunding damai dengan Kesatuan Soviet tidak berhasil, di tengah-tengah ancaman pihak pelampau untuk melancarkan rampasan kuasa atau menimbulkan kekacauan seumpamanya. Pada 26 Julai 1945, pihak Berikat mengeluarkan Deklarasi Potsdam yang menuntut penyerahan kalah tanpa syarat. Majlis kerajaan Jepun mempertimbangkan usul tersebut lalu mencadangkan kepada maharaja agar menerimanya hanya jika satu hingga tiga syarat dipenuhi, termasuk jaminan agar kedudukan Maharaja dikekalkan dalam masyarakat Jepun. Walaupun begitu, baginda tetap enggan menyerah kalah.

Pada 9 Ogos 1945, susulan pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki dan pengisytiharan perang oleh Soviet, Maharaja Shōwa menitah Kido agar "cepat menangani situasinya" kerana "Kesatuan Soviet sudah mengisytiharkan perang dan mula bermusuhan dengan kita hari ini."[22] Pada 10 Ogos, jemaah menteri merangkakan "Reskrip Diraja Penamat Perang" berikutan pandangan maharaja bahawa perisytiharan tersebut tidak berkompromi dengan mana-mana tuntutan yang tidak menyebelahi hak mutlak baginda selaku pemerintah berdaulat.

Pada 12 Ogos 1945, Maharaja memaklumkan kerabat diraja akan pendirian baginda untuk menyerah kalah. Salah seorang mamandanya, Putera Asaka, bertanya sama ada peperangan akan berterusan seandainya kokutai (tatanegara) tidak dapat dipelihara. Jawab baginda, "memanglah."[23] Pada 14 Ogos, kerjaan Suzuki memaklumkan pihak Berikat bahawa Jepun menerima Deklarasi Potsdam. Pada 15 Ogos, rakaman ucapan penyerahan kalah oleh Maharaja disiarkan menerusi siaran radio (kali pertama suara baginda diperdengarkan oleh rakyat Jepun), menandakan penyerahan kalah angkatan tentera Jepun tanpa syarat.

Paksi fanatik tentera cuba merampas kuasa dengan menyerang dan menawan Istana Diraha. Bahantara rakaman ucapan penyerahan kalah itu disorokkan dan dipelihara semalaman, dan cubaan merampas kuasa itu dengan mudahnya dibenamkan atas titah baginda.

Dalam ucapan itu, Maharaja berkata "situasi perang sudah menjadi tidak semestinya berpihak kepada Jepun" serta bertitah kepada rakyat Jepun agar "menahan yang tak tertahan" ketika menyerah kalah. Inilah kali pertama rakyat jelata mendengar suara Maharaja. Titah baginda ini sememangnya samar-samar, kerana Maharaja Jepun tidak dianggap sebagai calang-calang orang yang berkata "Kita menyerah kalah kepada kuasa Berikat," sebaliknya dipandang sebagai lambang suci, jelmaan dan ketua negara Jepun; oleh itu, beliau terpaksa bersuara dengan nada sebegitu samar-samar demi memelihara keajaibannya itu. Selain itu, laras bahasa bergaya yang dituturkan oleh baginda dalam ucapan tersebut tidak mudah difahami oleh kebanyakan rakyat Jepun. Menurut sejarawan Richard Storry dalam buku A History of Modern Japan, Maharaja biasanya menggunakan "suatu laras bahasa yang hanya difasihi oleh golongan berpendidikan tinggi" serta keluarga samurai yang lebih tradisional.[24]

Isu tanggungjawab Maharaja terhadap kezaliman perang

[sunting | sunting sumber]

Ramai yang mendapati Maharaja Shōwa bertanggungjawab atas kezaliman yang dilakukan oleh angkatan diraja di Perang China-Jepun Kedua dan Perang Dunia Kedua, serta merasakan bahawa baginda serta beberapa orang kerabat diraja yang lain seperti adindanya Putera Chichibu, adinda saudaranya Putera Takeda dan Putera Fushimi, serta mamandanya Putera Kan'in, Putera Asaka, dan Putera Higashikuni, sewajarnya dibicarakan atas kesalahan jenayah perang.[25][26].

Isu kebertanggungjawapan Hirohito atas jenayah perang menimbulkan persoalan mengenai betapa besarnya kuasa Maharaja terhadap tentera Jepun sepanjang kedua-dua perang tersebut. Secara rasminya, perlembagaan diraja yang diterima pada zaman Maharaja Meiji, memberi kuasa sepenuhnya kepada Maharaja. Mengikut Perkara 4, "Maharaja ialah ketua Empayar, menggabungkan hak-hak kedaulatan dalam diri baginda serta melaksanakannya mengikut peruntukan Perlembagaan sedia ada," dan mengikut Perkara 6, "Maharaja memperkenankan undang-undang dan bertitah agar undang-undang tersebut diisytiharkan dan dilaksanakan," dan Perkara 11 pula, "Maharaja ialah Pemerintah Tertinggi Tentera Darat dan Tentera Laut." Oleh itu, Maharaja merupakan ketua Markas Besar Imperial.[27]

Pada tahun 1971, David Bergamini menunjukkan bagaimana sumber-sumber primer seperti "memo Sugiyama" dan catatan harian Kido dan Konoe, menceritakan secara terpeinci pertemuan tidak rasmi antara Maharaja Shōwa dan para ketua turus dan menterinya. Bergamini membuat kesimpulan bahawa baginda sentiasa dimaklumkan mengenai segala operasi tentera utama serta sering kali menyoal kakitangan kanannya lalu meminta agar perubahan dilakukan.[28]

Para sejarawan seperti Herbert Bix, Akira Fujiwara, Peter Wetzler, dan Akira Yamada menegaskan bahawa pandangan pascaperang yang bertumpukan persidangan diraja terlepas pandang pentingnya berbilang-bilang mesyuarat "di sebalik tabir kekwa" di mana tercapainya keputusan sebenar antars maharaja, para ketua turus, dan jemaah menteri, terutamanya Fujiwara [29] dan Wetzler [30] yang mendasarkan hasil kajian mereka pada sumber-sumber primer dan hasil kerja terpenting oleh Shirō Hara,[31] telah menghasilkan bukti yang membayangkan bahawa Maharaja menggunakah khidmat pihak pengantara untuk melaksanakan kuasa secukupnya terhadap tentera; baginda bukan suka berperang atau berdamai; sebaliknya baginda seorang oportunis yang mentadbir dalam proses pembuatan keputusan yang majmuk. Sejarawan AS Herbert Bix berhujah bahawa Maharaja Shōwa mungkin merupakan penggerak utama kebanyakan peristiwa dalam kedua-dua peperangan itu.[32]

Pandangan yang diwar-warkan oleh Istana Diraja Jepun dan angkatan pendudukan Amerika sebaik sahaja selepas Perang Dunia Kedua banyak membantu Maharaja Shōwa yang sudah menjadi ketua boneka yang tidak berkuasa mematuhi protokol dengan sebaiknya, sambil menjauhi proses pembuatan keputusan. Pandangan ini disokong oleh Perdana Menteri Noboru Takeshita ketika berucap pada hari kemangkatan Hirohito, yang Takeshita bertegas bahawa perang "tercetus tanpa perkenan baginda." Kenyataan Takeshita ini menimbulkan kemarahan di negara-negara Asia Timur dan Komanwel seperti United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada.[33] Fujiwara pula berpendapat, "tesis bahawa Maharaja selaku alat kebertanggungjawaban tidak boleh menarik balik keputusan kabinet, ialah salan tanggapan yang timbul selepas perang." [34]

Di Jepun, adalah pantang untuk membahaskan tanggungjawab Maharaja ini sewaktu baginda masih ada. Selepas kemangkatan baginda pula, maka bermulanya perdebatan mengenai sejauh manakah penglibatan baginda, dan kebersalahannya oleh itu.[33]

Pada tahun-tahun pertama selepas kemangkatan Hirohito, perdebatan di Jepun semakin membara. Susan Chira melaporkan bahawa, "Para ilmuwan yang lantang mengecam mendiang Maharaja menerima panggilan telefon ugutan dari pihak haluan kanan pelampau di Jepun."[33] Satu contoh kejadian keganasan sebenar berlaku pada tahun 1990 apabila datuk bandar Nagasaki, Hitoshi Motoshima, ditembak sehingga cedera parah leh kumpulan ultranasionalis Seikijuku; apapun Motoshima berjaya pulih dari serangan itu. Pada tahun 1989, Motoshima telah melanggar apa yang disifatkan sebagai "salah satu pantang larang yang paling sensitif" di Jepun dengan menegaskan bahawa Maharaja Hirohito harus sedikit sebanyak memikul tanggungjawab atas Perang Dunia Kedua.[35]

Kentaro Awaya berhujah bahawa pandangan awam Jepun pascaperang yang menyokong pemeliharaan Maharaja telah dipengaruhi oleh propaganda AS yang mewar-warkan pandangan bahawa Maharaja bersama rakyat Jepun telah diperdaya oleh pihak tentera.[36]

Pemerintahan selepas perang

[sunting | sunting sumber]
Jeneral MacArthur dan Maharaja di Ibu Pejabat Am Pihak Berikat di Tokyo, 17 September 1945.

Ketika Maharaja melantik ayahanda saudara baginda Putera Higashikuni sebagai perdana menteri untuk membantu pihak pendudukan, ada sesetengah pemimpin yang inginkan baginda dibicarakan di mahkamah atas jenayah perang. Ramai ahli kerabat diraja, seperti Putera-Putera Chichibu, Takamatsu dan Higashikuni, menggesa baginda agar turun takhta agar salah seorang Putera tersebut boleh mengambil peranan sebagai pemangku raja sehingga Putera Raja Akihito cukup matang.[37] Pada 27 Februari 1946, adinda bongsu maharaja, Putera Mikasa (Takahito), pun berdiri dalam majlis privi lalu secara tidak langsung menyeru maharaja agar turun takhta dan memikul tanggungjawab atas kekalahan Jepun. Menurut diari Menteri Kebajikan Ashida, "Nampaknya semua orang terfikir-fikir akan kata-kata Mikasa. Tidak pernah aku melihat wajah baginda yang begitu pucat."[38]

Jeneral A.S. Douglas MacArthur mendesak agar Maharaja Shōwa kekal di takhtanya, kerana memandang baginda sebagai lambang kesinambungan dan kepaduan rakyat Jepun. Ramai sejarawan mengutuk tindakan membebaskan Maharaja dan ramai ahli kerabat diraja yang terlibat dalam peperangan, seperti Putera-Putera Chichibu, Asaka, Higashikuni dan Hiroyasu Fushimi, dari segala tuduhan jenayah perang.[39]

Sebelum dapat bersidangnya perbicaraan jenayah perang, pihak-pihak Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Bersekutu, Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa, dan para pegawai Jepun bersepakat senyap-senyap bukan sahaja untuk mengelakkan seluruh kerabat diraja daripada dihadapkan ke muka pengadilan, bahkan juga untuk memesongkan testimoni para defendan untuk memastikan tiada sesiapa yang membabitkan maharaja. Pegawai-pegawai tertinggi di istana dan kerajaan Jepun bekerjasama dengan Ibu Pejabat Am Pihak berikat untuk menghimpunkan senarai penjenayah perang prospektif, sementara individu-individu yang ditahan sebagai suspek Kelas A lalu dilokap di penjara Sugamo bersumpah untuk melindungi maharaja tercinta mereka daripada dinodai oleh sebarang tanggungjawab atas peperangan.[40] Oleh itu, "beberapa bulan sebelum bermulanya tribunal Tokyo, para orang bawahan tertinggi MacArthur sedang berusaha mengenakan tanggungjawab mutlak atas peristiwa Pearl Harbor terhadap Hideki Tōjō"[41] dengan membenarkan "suspek-suspek jenayah utama menyelaraskan cerita mereka agar Maharaja dibebaskan daripada pendakwaan."[42] Menurut John Dower, "Kejayaan kempen membebaskan Maharaja daripada tanggungjawab perang tidak mengenal batasnya. Hirohito bukan semata-mata digambarkan sebagai tidak bersalah atas mana-mana tindakan rasmi yang membolehkan baginda dipersalahkan sebagai penjenayah perang, bahkan baginta dijadikan seorang tokoh seakan-akan keramat yang tidak memikul tanggungjawab atas peperangan pun."[43] Menurut Bix pula, "Tindakan MacArthur yang sememangnya luar biasa untuk membebaskan Hirohito daripada dibicarakan sebagai jenayah perang telah memberi kesan berkekalan yang jauh memesongkan kefahaman rakyat Jepun terhadap kekalahan perang mereka."[44]

Tiada maaf

[sunting | sunting sumber]

Menjelang berakhirnya zaman pendudukan pihak Berikat, Hirohito memaklumkan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Bersekutu bahawa baginda bersedia meminta ampun secara rasmi kepada Jeneral MacArthur atas tindakan Jepun sepanjang Perang Dunia Kedua, termasuklah serangan Pearl Harbor pada 7 Disember 1941.[45]

Menurut Patrick Lennox Tierney, pada hari keluarnya permintaan ampun Maharaja, MacArthur enggan menerima baginda. Tierney naik saksi kerana pejabatnya terletak di tingkat lima Wisma Insurans Dai-Ichi di Tokyo, sama tingkatnya dengan pejabat MacArthur. Bertahun-tahun kemudian, Tierney cuba menjelaskan pemahamannya mengenai kepentingan penyaksiannya: "Di Jepun, amat pentingnya untuk meminta maaf."[45] Namun, berlalunya jua saat yang penting, hatta isu-isu yang sewajarnya ditangani dibiarkan terbuka sahaja, sehingga timbulnya akibat-akibatnya untuk berpuluh-puluh tahun kemudian.[46]

Taraf kemaharajaaan

[sunting | sunting sumber]

Maharaja Hirohito terlepas juga daripada perbicaraan, namun baginda diperas[47] agar menolak terang-terangan kepercayaan Shinto kebangsaan bahawa Maharaja Jepun ialah seorang jelmaan tuhan, melalui sepatah ucapan Ningen-sengen (人間宣言).[48]

Walapun Maharaja Shōwa dianggap sebagai ketua negara oleh orang luar, masih ramai yang mempertikai sama ada baginda menjadi sekadar rakyat biasa ataupun masih mengekalkan kedudukan istimewa berkenaan jawatan-jawatan keagamaan dan penyertaan dalam upacara keagamaan Shinto dan Buddha. Ramai cendekiawan berhujah bahawa tennō masa kini (yang biasanya diterjemah sebagai Maharaja Jepun) bukannya maharaja.

Maharani, Pun. Ford, Maharaja dan Presiden Ford di Rumah Putih sebelum berjamuan sebagai penghormatan sulung kepada seorang ketua negara Jepun. 2 Oktober 1975.

Maharaja Shōwa menghabiskan riwayatnya sebagai seorang tokoh yang aktif dalam hal-ehwal Jepun, serta melaksanakan pelbagai tugas yang dikaitkan dengan seseorang ketua negara yang berperlembagaan. Baginda sekerabat kerap membuat penampilan di khalayak umum dengan sering bersiar-siar di tempat awam dan menghadiri acara dan upacara istimewa.

Maharaja Shōwa turut memainkan peranan penting dalam membentuk nama baik Jepun di mata dunia, dengan bertemu dengan ramai pemimpin luar negara, termasuk Ratu Elizabeth II (1971) dan Presiden Gerald Ford (1975).

Maharaja sentiasa menunjukkan minat mendalam dan sedia maklum mengenai ilmu biologi marin, oleh itu dalam Istana Diraja tersedianya sebuah makmal untuk kegunaan baginda menerbitkan beberapa helaian kertas kerja dalam bidang tersebut di bawah nama peribadinya "Hirohito."[49] Antara sumbangan-sumbangan baginda termasuk huraian berpuluh-pulub spesies Hydrozoa yang baru ditemui dalam ilmi sains.[50]

Kuil Yasukuni

[sunting | sunting sumber]

Maharaja Shōwa sentiasa memulaukan Kuil Yasukuni setelah mengetahui bahawa di sanalah bersemadinya para penjenyah kelas A secara senyap-senyap selepas pentahbisan semula pascaperang. Begitulah pendirian baginda mulai tahun 1978 sehingga hari kemangkatannya. Pemulauan ini turut dipatuhi oleh anakandanya Akihito yang juga enggan menziarahi Yasukuni.

Pada 20 Julai 2006, di muka hadapan akhbar Nihon Keizai Shimbun terteranya artikel mengenai penemuan memorandum yang menerangkan sebab-sebab Maharaja enggan menziarahi Yasukuni. Memorandum yang disimpan oleh bekas ketua Agensi Kerabat Diraja Tomohiko Tomita, mengesahkan buat julung kalinya bahawa sememangnya penyemadian 14 orang penjenayah perang Kelas A di Yasukuni menjadi sebabnya. Tomita merakamkan secara terperinci isi kandungan perbualan bersama maharaja dalam diari-diari dan buku-buku catatannya. Menurut memorandum itu, pada tahun 1988, maharaja meluahkan kemurkaan baginda terhadap tindakan Kuil Yasukuni untuk menyertakan penjenayah perang Kelas A dalam senarai korban perang kehormat di situ dengan bersabda, "Pada suatu ketika, tersemadinya para penjenayah Kelas A, termasuk Matsuoka dan Shiratori. Beta dimaklumkan bahawa Tsukuba bertindak dengan berhati-hati." Nama Tsukuba ini dipercayai memaksudkan Fujimaro Tsukuba, bekas ketua pendeta Yasukuni ketika itu, yang memutuskan agar tidak menyemadikan para penjenayah perang tersebut meskipun menerima senarai korban perang dari pihak kerajaan pada tahun 1966. "Apalah yang difikirkan oleh anak kepada Matsudaira ini yang menjadi ketua pendeta sekarang?" "Matsudaira amat mengharapkan keamanan sekali, namun si anak tidak memahami isi hati bapanya. Itulah sebabnya beta tidak menziarahi kuil sana semenjak itu; demikianlah isi hati beta." Nama Matsudaira ini pula dipercayai memaksudkan Yoshitami Matsudaira yang menjadi ketua pengawas Istana Diraja sebaik sahaja berakhirnya Perang Dunia Kedua. Anaknya, Nagayoshi, menggantikan Fujimaro Tsukuba sebagai ketua pendeta Yasukuni lalu bertindak menyemadikan para penjenayah perang tersebut pada tahun 1978.[51] Nagayoshi Matsudaira meninggal dunia pada tahun 2006, dan disangkakan oleh sesetengah pihak sebagai sebab keluarnya memo tersebut.

Bagi wartawan Masanori Yamaguchi, yang mengupas "memo" tersebut serta ulasan-ulasan yang disabdakan oleh maharaja dalam sidang akhbar pertama baginda pada tahun 1975, sikap suka mengelak dan samar-samar baginda terhadap tanggungjawab sendiri atas peperangan serta hakikat bahawa baginda sendiri bersabda bahawa pengeboman Hiroshima "tidak dapat dielakkan",[52] maka ertinya mungkin bahawa maharaja itu sendiri khuatir bahawa penyemadian penjenayah perang di Yasukuni akan mencetuskan semula perdebatan mengenai peranan baginda dalam peperangan.[53]

Kemangkatan

[sunting | sunting sumber]
Makam Hirohito di Hachiōji

Pada 22 September 1987, Maharaja menjalani pembedahan pankreas setelah berbulan-bulan kegeringan akibat masalah penghadaman. Para doktor yang merawat baginda mendapati bahawa baginda menghidap barah duodenum. Maharaja kemudian kelihatan pulih sepenuhnya berbulan-bulan selepas dibedah. Walau bagaimanapun, setahun kemudian pada 19 September 1988, baginda rebah dalam istana, lantas makin bulan makin gering kerana mengalami pendarahan berterusan dalam jasad baginda. Pada 7 Januari 1989, pukul 7:55 pagi, ketua pengawas Agensi Kerabat Diraja Jepun, Shoichi Fujimori, secara rasminya mengumumkan kemangkatan Maharaja Hirohito, serta mendedahkan butiran mengenai penyakit barah yang dihidapi baginda buat julung kalinya. Takhta Maharaja diwarisi oleh anakandanya, Akihito.

Dengan kemangkatan maharaja berakhirnya zaman Shōwa, serentak dengan bermulanya zaman yang baru, iaitu zaman Heisei. Dari 7 hingga 31 Januari, maharaja diberi gelaran rasmi "Taikō Tennō" (大行天皇, "maharaja mangkat"). Nama anumerta baginda, "Shōwa Tennō" (昭和天皇), ditetapkan pada 13 Januari lalu diumumkan oleh Perdana Menteri Toshiki Kaifu pada 31 Januari.

Pada 24 Februari, berlangsungnya upacara pengebumian Maharaja Shōwa yang dilangsungkan dengan tidak banyak mengikuti adat resam Shinto seperti mana maharaja-maharaja sebelumnya. Ramai sekali pemimpin dunia yang menghadiri upacara tersebut, termasuk Presiden AS George H. W. Bush. Maharaja Shōwa disemadikan dalam makam diraja di Hachiōji, berdampingan dengan ayahanda Maharaja Taishō.

  1. ^ a b menurut susunan pewarisan tradisi
  2. ^ Ponsonby-Fane, p. 338; 'see File:Crowd awaiting Crown Prince Tokyo Dec1916.jpg, New York Times. December 3, 1916.
  3. ^ Mikiso Hane, Emperor Hirohito and His Chief Aide-de-camp, The Honjō Diary, 1983; Honjō Nikki, Hara Shobō, 1975
  4. ^ Wakabayashi, Bob Tadashi (1991). "Emperor Hirohito on Localized Aggression in China". Sino-Japanese Studies 4 (1), ms. 4–27. Diterima pada 2008-02-03.
  5. ^ Fujiwara, Nitchū Sensō ni Okeru Horyo Gyakusatsu, Kikan Sensō Sekinin Kenkyū 9, 1995, ms. 22.
  6. ^ Dokugasusen Kankei Shiryō II, Kaisetsu, 1997, pp.25–29.
  7. ^ Yoshimi and Matsuno, ibid. p.28.
  8. ^ Terasaki Hidenari, Shōwa tennō dokuhakuroku, Bungei Shūnjusha, 1991, p.106–108, Wetzler, Hirohito and War, pp.25, 231.
  9. ^ Rakaman perbualan: Bix, Hirohito and the Making of Modern Japan, ms. 411, 745.
  10. ^ Bix, H (2001) "Hirohito and the Making of Modern Japan", p.414.
  11. ^ Wetzler, Hirohito and War, pp. 52–54.
  12. ^ Fujiwara, Shôwa tennô no ju-go nen sensô, 1991, p.126, citing Kenji Tomita's diary.
  13. ^ Hidenari, ibid., p.118.
  14. ^ Bix, ibid p.421; Wetzler, ibid. pp. 47–50.
  15. ^ Wetzler, ibid pp. 29, 35.
  16. ^ Yamada, Daigensui Shōwa tennō, 1994, pp. 180, 181, 185; Fujiwara, Shōwa tennō no jū-go nen sensō, pp. 135–138.
  17. ^ Dirai Akamatsu: Wetzler, ibid. p.50.
  18. ^ Bix, ibid. p.466, citing the Sugiyama memo, p.24.
  19. ^ Yamada, ibid. p. 240–242.
  20. ^ Herbert Bix, Hirohito and the Making of Modern Japan, Perennial, 2001, p.756
  21. ^ Fujita Hisanori, Jijûchô no kaisô, Chûô Kôronsha, 1987, p.66-67, Bix, ibid., p.489
  22. ^ Kido Kōichi Nikki, p.1223.
  23. ^ Terasaki Hidenari, Shōwa tennō dokuhakuroku, 1991, p.129.
  24. ^ Storry, Richard (1991). A History of Modern Japan. Penguin.
  25. ^ Dower, John (1999). Embracing defeat. W.W. Norton.
  26. ^ Bix, Herbert (2001). Hirohito and the making of modern Japan. Perennial.
  27. ^ "The Constitution of the Empire of Japan(1889)".
  28. ^ Bergamini, David (1971). Japan's Imperial Conspiracy: How Emperor Hirohito Led Japan Into War With the West. New York: Morrow.
  29. ^ Fujiwara, Akira (1991). Shōwa Tennō no Jū-go Nen Sensō (The Shōwa emperor fifteen years war).
  30. ^ Wetzler, Peter (1998). Hirohito and War.
  31. ^ Hara ialah seorang bekas anggota seksyen 20 operasi perang kuasa tertinggi Tentera Darat yang melakukan kajian terperinci mengenai cara keputusan tentera dibuat, termasuk penglibatan Maharaja yang tertera dalam lima jilid pada tahun 1973–74 dengan berjudul Daihon'ei senshi; Daitōa Sensō kaisen gaishi; Kaisen ni itaru seisentyaku shidō (Sejarah perang Ibu Pejabat Diraja; Sejaram am permulaan permusuhan di Perang Asia Timur Raya; Strategi kepimpinan dan politik berkenaan bermulanya permusuhan).
  32. ^ Bix, Herbert. Hirohito and the Making of Modern Japan.
  33. ^ a b c Chira, Susan (January 22, 1989). "Post-Hirohito, Japan Debates His War Role". New York Times. Dicapai pada 2009-04-10.
  34. ^ Shōwa tennō no Jū-go nen sensō, Aoki Shoten, 1991, p.122
  35. ^ Sanger, David (19 Januari 1990). "Mayor Who Faulted Hirohito Is Shot". New York Times. Dicapai pada 2009-04-10.
  36. ^ Awaya, Kentaro; Timothy, Amos (16 Feb 2006). "The Tokyo Tribunal, War Responsibility and the Japanese People". Japan Focus. The Asia-Pacific Journal. Dicapai pada 2009-04-10.
  37. ^ Bix, ibid, pp.571–573.
  38. ^ Ashida Hitoshi Nikki, Dai Ikkan, Iwanami Shoten, 1986, p.82.
  39. ^ John Dower, Embracing defeat, 1999, Bix, ibid.
  40. ^ Dower, ibid., p.325.
  41. ^ Ibid., p.585.
  42. ^ Ibid. p.583.
  43. ^ Dower, ibid. p. 326.
  44. ^ Bix, ibid. p.545.
  45. ^ a b "MacArthur aide: U.S. must learn from errors," Salt Lake Tribune. 7 Disember 2006.
  46. ^ Lind, Jennifer. "The Perils of Apology: What Japan Shouldn't Learn from Germany," Foreign Affairs. May/Jun 2009; Ayako Doi, Letter to the editor: "It's Never too Late to Say You're Sorry," Foreign Affairs. September/Oktober 2009.
  47. ^ Dower, Embracing defeat, p.308-318
  48. ^ Menurut Perlembagaan Jepun 1889, Maharaja memegang kuasa ketuhanan terhadap seluruh negaranya, yang berpunca daripada mitos Kerabat Diraja Jepun yang dikatakan merupakan keturunan pencipta Jepun, Amaterasu. Apabila Tatsukichi Minobe mendukung teori bahawa kedaulatan terletak dalam negeri di mana maharaja merupakan alat semata-mata, maka timbulnya kegempara, sehingga beliau dipaksa meletak jawatannya di Dewan Bangsawan dan Universiti Diraja Jepun pada tahun 1935, buku-bukunya diharamkan dan nyawanya turut terancam.(Large, Stephen S.; Emperor Hirohito and Showa Japan: A Political Biography, p. 60; Routledge, 1992.) Pada tahun 1946, barulah langkah gergasi diambil untuk mengubah gelaran Maharaja dari "pemerintah empayar" ke "raja berperlembagaan."
  49. ^ The brief career of the Emperor Showa (Imperial Household Agency, Japanese)
  50. ^ World Hydrozoa Database
  51. ^ https://archive.is/20120714010523/search.japantimes.co.jp/cgi-bin/nn20060721a1.html
  52. ^ "-Adakah tuanku berasa bertanggungjawab atas peperangan itu, termasuklah bermulanya permusuhan? -Beta tidak sanggup menjawab soalan-soalan sebegitu kerana beta sendiri belum mengkaji laporan-laporan dalam bidang ini secara menyeluruh, maka beta tidak dapat menghargai nuansa kata-katamu." H. Bix, Hirohito and the making of modern Japan, 2001, p.676
  53. ^ Yasukuni and a week that will live in infamy, https://archive.is/20120604152333/search.japantimes.co.jp/cgi-bin/fd20060820pb.html

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
Didahului oleh
Taishō
Maharaja Jepun
1926-1989
Diikuti oleh:
Akihito