Jabatan Pengairan dan Saliran

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jabatan Pengairan dan Saliran
جابتن ڤڠايرن دان ساليرن

Jabatan Pengairan dan Saliran Pontian
Intisari agensi
Dibentuk1 Januari 1932; 92 tahun yang lalu (1932-01-01)
JenisKerajaan
Ibu pejabatJalan Sultan Salahuddin, 50626 Kuala Lumpur
Eksekutif Kerajaan
  • Dato' Ir. Dr. Md. Nasir bin Md. Noh, Ketua Pengarah
Agensi induk
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
Laman sesawang
www.water.gov.my

Jabatan Pengairan dan Saliran (Tulisan Jawi: جابتن ڤڠايرن دان ساليرن; singkatan: JPS) ialah sebuah jabatan yang bertanggungjawab terhadap semua isu air di negara Malaysia.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Sebelum pembentukan Jabatan parit dan Tali Air (JPT) pada tahun 1932, semua kerja yang berkaitan dengan parit dan tali air menjadi tanggungjawab Jabatan Kerja Raya Malaysia. Ekoran kemerosotan industri timah dan getah pada lewat tahun 1920-an dan keadaan beras yang menjadi semakin runcing di negara ini, Pesuruhjaya Tinggi British pada waktu itu melantik Jawatankuasa Penanaman Padi pada tahun 1930 untuk menentukan "langkah terbaik yang perlu diambil bagi menggalakkan penanaman padi di Tanah Melayu".

Stelah membuat kajian yang menyeluruh, jawatankuasa ini menerbitkan laporannya pada tahun 1931. Salah satu saranan utamanya adalah "sebuah Jabatan Parit dan Tali Air hendaklah ditubuhkan untuk Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan penasihat di Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu, yang akan menyerapkan Cawangan Hidraulik Jabatan Kerja Raya, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu". Saranan ini telah diterima sebagai sebuah jabatan yang berasingan pada 1 Januari 1932.

Dalam masa 10 tahun pertama kewujudan Jabatan ini sehingga pendudukan Jepun, 20,000 hektar tanah padi baru telah dimajukan dan dibangunkan, kemudahan pengairan dan saliran telah disediakan untuk lebih kurang 50,000 hektar tanah padi yang sedia ada. Jabatan telah mengambil alih kerja-kerja penyenggaraan saliran bagi 40,000 hektar tanah estet dan pekebun kecil di Selangor dan Perak.

Pembinaan semula kerja-kerja ini dan penyambungannya telah menaikkan jumlah kawasan kepada kira-kira 80,000 hektar pada tahun 1942. Semasa pendudukan Jepun, sedikit atau tiada langsung pembangunan baru selain penyiapan beberapa struktur yang separuh siap apabila perang berlaku. Di kawasan-kawasan saliran, pengabaian mengakibatkan parit penuh dengan kelodak dan semak, dan dalam keadaan tertentu hampir-hampir tertimbus sepenuhnya.

Sewaktu penjajahan semula Tanah Melayu pada tahun 1945, penekanan telah diberikan terhadap pemulihan kerja-kerja pengairan. Dasar Kerajaan telah dibentuk untuk mengurangkan pergantungan negara terhadap bekalan makanan import, dengan penekanan ke arah mampu diri beras, dan semua usaha telah dibuat bagi meningkatkan pengeluaran padi tempatan. Berikutan Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, penekanan yang lebih besar diberikan terhadap peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan rakyat miskin luar bandar.

Berikutan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Jabatan Parit dan Tali Air Negeri tambahan telah ditubuhkan di Sabah dan Sarawak dan ini menambah bilangan Jabatan-jabatan Negeri kepada tiga belas dengan Ibu Pejabat Persekutuan dipertanggungjawabkan dengan hal ehwal parit dan tali air keseluruhan negara ini. Peningkatan yang besar dalam pembangunan selepas tahun 1957 dibayangkan dengan kawasan yang disediakan dengan kemudahan pengairan yang meningkat daripada 205,000 hektar (3,000 hektar dengan kemudahan penanaman dua kali setahun) kepada 332,000 hektar (249,000 hektar dengan kemudahan penanaman dua kali setahun) menjelang akhir tahun 1981. Kawasan yang disediakan dengan kemudahan saliran, juga telah bertambah daripada 142,000 hektar kepada 476,000 hektar dalam tempoh yang sama.

Kawasan yang disediakan dengan kemudahan saliran, juga telah bertambah daripada 142,000 hektar kepada 476,000 hektar dalam tempoh yang sama. Berikutan kejadian ini, tebatan banjir telah dijadikan tanggungjawab tambahan Jabatan daripada tahun 1972 dan seterusnya.

Sejak tahun 1986, kejuruteraan pinggir laut telah menjadi satu lagi fungsi tambahan JPS.[1]

Fungsi Utama JPS[sunting | sunting sumber]

  • Pengurusan Banjir
  • Pengurusan Pengairan dan Saliran Pertanian
  • Pengurusan Lembangan Sungai
  • Pengurusan Zon Pantai
  • Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi
  • Pengurusan Air Larian Hujan

Bidang Kepakaran[sunting | sunting sumber]

  • Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal
  • Rekabentuk Empangan
  • Pusat Hidrologi Tropika Lembap Serantau dan Sumber Air untuk Asia Tenggara dan Pasifik
  • Bangunan dan Infrastruktur (AP.182)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Latar Belakang Kami". 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-05-18. Dicapai pada 22 September 2014.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]