Syafinaz Selamat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Syafinaz Selamat

Syafinaz jury singing competition.png
Syafinaz menjurikan program Gegar Vaganza pada tahun 2021.
Kelahiran (1973-01-11) 11 Januari 1973 (umur 49)
Nama lainRatu Soprano [nota 1][3], Tok Naz[4]
PendidikanIjazah muzik
Pusat pendidikanUniversiti Teknologi MARA Shah Alam
Pekerjaan
Tahun aktif1989–kini
Kerjaya muzik
Genre
Instrumen
Syarikat rakaman
  • P&C (1989, 1999, 2001)
  • Antarctic Sound Production Sdn Bhd (1989)
  • EMI (Malaysia) Sdn Bhd (1999)
    Syafinaz Selamat Productions (2008 - kini)
Pengkarya berkait
Laman sesawang
  • "Instagram".
  • "Youtube".
  • "TikTok".
Tandatangan
Syafinaz selamat signature.png

Yang Berbahagia Datuk Syafinaz binti Selamat[5] (Jawi: صافيناز بنت سلامت; lahir 11 Januari[nota 2] 1973) merupakan seorang penyanyi Malaysia, yang popular menerusi lagu Ingin Bersamamu. Beliau juga terkenal sebagai penyanyi klasikal negara, dan dilihat sebagai seorang jurulatih vokal terkemuka serta juri/pengkritik dalam beberapa program nyanyian dan seni persembahan di seluruh tanah air. Selain itu, beliau juga memikul tiga tanggungjawab sekali gus; iaitu sebagai pensyarah vokal dalam Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan di UiTM, pensyarah di ASWARA, serta vokal master untuk Koir Kebangsaan Malaysia dan kumpulan Genius Seni Koir (dahulunya dikenali sebagai Koir PERMATA Seni). Terkini, beliau merupakan salah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan ASWARA[6].

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Syafinaz Selamat merupakan anak bongsu daripada 11 orang adik-beradik yang dilahirkan di daerah Pontian di negeri Johor Darul Ta'zim (JDT) di Malaysia. Perjalanan beliau sebagai seorang penyanyi bermula seawal usia 7 tahun di sekitar daerah tempat beliau dibesarkan di Batu Pahat, JDT[7].

Pada usia 9 tahun, Syafinaz telah menghadiri sesi uji bakat rancangan Kelab Kanak-kanak Angkasapuri anjuran RTM dan dipilih untuk menjadi penyanyi/penghibur di samping seorang rakan duet, Eliza, dalam segmen radio RTM serta program televisyen nyanyian kanak-kanak yang disiarkan pada setiap musim perayaan. Pada usia 15 tahun, Syafinaz mendapat tawaran untuk membuat rakaman album pertamanya yang telah diterbitkan pada tahun 1989 dengan menggunakan namanya sendiri, Syafinaz[8][7].

Latar belakang seni[sunting | sunting sumber]

Selain daripada pembabitan Syafinaz dalam persembahan nyanyian pada usia yang sangat muda, beliau juga telah mengikuti kelas muzik untuk instrumen organ elektronik dan piano pada usia 7 dan 10 tahun[7].

Syafinaz merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Muzik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM)[9] yang juga telah merangkul banyak pengiktirafan dan pencapaian melalui Anugerah Dekan, Anugerah Sudirman, serta Anugerah Pelajar Terbaik sepanjang tempoh pengajian. Beliau berada di bawah didikan Siti Chairani Proehoeman (suara), Muzaffar Abdullah (piano), dan veteran-veteran dalam latihan muzik rakyat Malaysia serta persembahan klasikal. Syafinaz juga mengambil inisiatif lebih dengan mendekati serta menuntut ilmu vokal daripada Heidrun Maria Hahn, seorang penyanyi opera daripada Jerman.

Syafinaz mempunyai suara soprano dramatic coloratura [nota 3], yang sesuai untuk persembahan opera bagi arias serta repertoar lyric daripada komposer-komposer Barat; seperti Mozart, Puccini, Bellini, Delibes dan Verdi. Beliau juga pernah dipilih untuk mempersembahkan soprano solo dalam Carl Offs "Carmina Burana", diiringi dengan 100 ahli-ahli koir dan Orkestra Simfoni Negara Malaysia di bawah pimpinan konduktor muzik terkemuka, Roland Peelman.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Penyanyi[sunting | sunting sumber]

Syafinaz memulakan karier nyanyian dalam industri hiburan sebagai seorang penyanyi kanak-kanak bersama RTM pada usia 9 tahun bersama seorang rakan duet, Eliza. Beliau meneruskan perjalanan sebagai seorang penghibur secara solo pada usia 15 tahun, dan menghasilkan album pertamanya bertajuk Syafinaz pada tahun 1989.[7]

Beliau mengorak langkah sebagai seorang penyanyi pop pada tahun 1999 dengan menghasilkan album keduanya bertajuk Ingin Bersamamu, diikuti dengan album ketiga yang bertajuk Syyh pada tahun 2001. Antara pencapaian kerjayanya sebagai seorang penyanyi pop termasuklah satu pingat emas dalam kategori R&B/Pop/Rock/Kontemporari semasa World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles pada tahun 1999, serta pencalonan sebanyak 2 kali dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) bagi kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik untuk 2 buah album (Ingin Bersamamu-1999 dan Syyh-2001)[10] dan 1 kali bagi kategori Album Pop Terbaik untuk album Ingin Bersamamu-1999; pencalonan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori Penyanyi Wanita Popular tahun 1998/99[11], Anugerah Seri Angkasa, dan Anugerah Era (AE) 2002[12].

Terkini, Syafinaz lebih dikenali sebagai pelontar suara soprano dan sering tampil mempersembahkan lagu-lagu bergenre klasikal Barat. Identiti beliau sebagai penyanyi klasikal ini telah menyebabkan beliau diberi julukan "Ratu Soprano" negara[3].

Pada tahun 2009, Syafinaz telah bekerjasama dengan pemain violin negara, Dennis Lau dan menghasilkan sebuah lagu yang bertajuk "Mahkota"[13]. Pada tahun berikutnya, Syafinaz menjalin kerjasama dengan Frank Scott Hew dan menghasilkan sebuah lagu yang bertajuk "Terpesona" dengan Syafinaz sebagai artis tampilan[14]. Pada tahun 2019 pula, Syafinaz menerbitkan sebuah single Raya yang bertajuk "RahmatNya" yang juga menampilkan mantan protégénya daripada Mentor 7; Lazarul dan Ranisha[15]. Terkini pada tahun 2021, Syafinaz menerbitkan single terbarunya yang bertajuk "Persis Salju", yang merupakan sebuah lagu balada dengan suntikan elemen klasikal. "Persis Salju" telah dirakamkan sejak 10 tahun yang lalu sebelum pelancaran rasminya. Namun, kesibukan jadual harian telah memaksa Syafinaz untuk terus menunda pelancaran single tersebut. Menurut Syafinaz, beliau merencana mahu mengeluarkan "Persis Salju" pada tahun 2020. Namun, rencana tersebut tergendala pula dek kerana pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara dan memaksa beliau untuk menunda rencana asalnya[16].

Pendidik[sunting | sunting sumber]

Datuk Syafinaz Selamat, Lembaga Pengarah di ASWARA (kiri) Syafinaz sebagai konduktor kumpulan Genius Seni Koir (kanan) pada 2020 dan 2021.

Pada semester terakhir pengajian Syafinaz di Universiti Teknologi MARA (UiTM), beliau diberi kepercayaan oleh mentornya, Siti Chairani Proehoeman, untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pembantu pensyarah. Setelah menamatkan pengajian, Syafinaz direkrut serta merta menjadi seorang pensyarah tetap di UiTM. Karier beliau sebagai seorang pensyarah tidak hanya terbatas di UiTM, tetapi juga di Akademi Seni Kebangsaan (The National Arts Academy @ ASWARA). Selain itu, beliau juga merupakan seorang penasihat, master suara, pengarah, dan konduktor untuk kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia[17], dan juga kumpulan Genius Seni Koir[18]. Di bawah pimpinan Syafinaz beserta barisan tenaga pengajar JKKN yang lain, Kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia telah berjaya meraih pingat emas dalam kategori Vokal Berkumpulan dan Koir Campuran dalam Festival Koir Antarabangsa Bali yang ke-4 pada tahun 2015[19]. Dedikasi Syafinaz dalam bidang akademik selama lebih 20 tahun telah melayakkan beliau dilantik sebagai salah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah di ASWARA pada tahun 2020[6].

Syafinaz juga ada menawarkan khidmat tutor vokal secara persendirian kepada individu yang memerlukan khidmat profesionalnya secara peribadi. Umum mengetahui bahawa beliau pernah memberi tutor vokal kepada beberapa artis tempatan yang kini telah berjaya menempa nama dalam industri hiburan. Antara artis-artis tersebut ialah Misha Omar[20], Ernie Zakri[21], Khai Bahar[22], Ezlynn, Tiara Jacquelina, Noreen, Rozita Ezlyn dan ramai lagi[23].

Syafinaz dipilih untuk menjadi pelatih suara serta penasihat muzik untuk program realiti Audition II dan Bintang RTM 2018. Beliau juga merupakan salah satu daripada mentor dalam siri program realiti tempatan; Mentor musim ke-7 2018[24]. Dalam Mentor 7, Syafinaz merupakan satu-satunya mentor yang telah berjaya mengekalkan kedua-dua protegenya hingga ke peringkat separuh akhir. Beliau juga telah berjaya membawa satu-satunya protege wanita dalam Mentor 7, Ranisha mara hingga ke peringkat akhir[25].

Juri/pengkritik[sunting | sunting sumber]

Pengetahuan serta pengalaman Syafinaz dalam dunia hiburan, seni suara dan persembahan telah menjadikan beliau antara juri popular yang sering diundang dalam pertandingan nyanyian dan program realiti tempatan. Beliau pernah menjadi juri untuk program realiti Akademi Fantasia musim ke 3 dan 4; Who Will Win, Mentor, One in a Million musim 1, 2 dan 3; Pop Krew, Bintang Kecil RTM, Bintang RTM, The Band, AF Megastar 2017, Separuh Akhir Muzik-Muzik ke 36 (SFMM36), dan juga Gegar Vaganza musim ke 7 dan 8.

Gandingan Syafinaz dan Paul Moss selaku juri tetap bagi program One in a Million (OiAM) pernah dicalonkan untuk anugerah Best On Screen Chemistry Award dalam Anugerah Shout! pada tahun 2009[26]. Faktor utama yang menyebabkan Syafinaz menjadi juri nyanyian pilihan netizen adalah kritikan beliau yang bersifat akademik yang padat dengan saranan yang membina[27].

Persembahan antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Reputasi Syafinaz sebagai pelontar suara soprano telah menjadikan beliau antara penyanyi klasikal pilihan yang sering menerima undangan untuk membuat persembahan klasikal di acara-acara berprestij dalam dan luar negara.

Antara persembahan luar negara beliau termasuklah pada majlis penutupan World Economic Forum di Davos(Switzerland) pada tahun 2007, persembahan di World Expo di Zaragoza(Sepanyol) pada tahun 2008, persembahan di SEA GAMES di Vientiane(Laos) pada tahun 2009, Islamic Fashion Week di Monte Carlo(Monaco) pada tahun 2010 di hadapan Putera Albert[28], Festival Fesyen Islam (IFF) di Kazakhstan pada tahun 2011[2], dan juga Malaysia Day Expo 2020 di Dubai(UAE) pada tahun 2022[4]. Syafinaz juga merupakan antara selebriti yang telah dipilih oleh Perdana Menteri Malaysia (PM), Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak (kini mantan PM) untuk membuat persembahan semasa lawatan rasmi Barack Obama ke Malaysia pada tahun 2014, selaku presiden Amerika Syarikat pada ketika itu[29].

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Industri seni dan hiburan[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan Ruj.
1999 World Championships of Performing Arts (WCOPA) R&B/Pop/Rock/Kontemporari "Ingin Bersamamu" Menang [10]
Anugerah Industri Muzik Persembahan Vokal Wanita Terbaik "Ingin Bersamamu" Tercalon [10]
Anugerah Industri Muzik Album Pop Terbaik Ingin Bersama Mu (album) Tercalon [10]
Anugerah Bintang Popular Berita Harian Penyanyi Wanita Popular "Ingin Bersamamu" Tercalon [11]
Anugerah Seri Angkasa Persembahan Vokal Wanita Terbaik "Ingin Bersamamu" Tercalon [12]
2001 Anugerah ERA Persembahan Vokal Wanita Terbaik Syyh (album) Tercalon [12]
2009 Anugerah Shout! Best On Screen Chemistry Award "One In a Million musim ke-2" bersama Paul Moss Tercalon [26]
2015 The Brandlaureate Grand Master Brand Icon Ikon Pemimpin Grandmaster - Menang [30]
2018/2019 BARC Asia Tokoh yang Dikagumi di Asia - Menang [31]

Darjah kebesaran[sunting | sunting sumber]

Sumbangan Syafinaz dalam bidang seni, persembahan, muzik, industri hiburan serta pendidikan selama 30 tahun telah melayakkan beliau untuk menerima penganugerahan pingat Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) yang membawa gelaran Datuk; yang disampaikan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2018[5].

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Sejak awal penglibatan Syafinaz dalam bidang nyanyian, arwah bapanya sentiasa memberikan galakan dan sokongan kepada beliau. Namun, arwah bapanya juga inginkan jaminan masa depan yang utuh dan peluang kerjaya di sektor kerajaan buat Syafinaz. Oleh itu, setelah Syafinaz berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM[32] dan juga tawaran biasiswa bagi mengikuti kursus English as a Second Language (ESL), arwah bapanya menggesa agar Syafinaz melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Namun, Syafinaz menentang sekeras-kerasnya gesaan arwah bapanya dan bertegas mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik. Ke-tidak sefahaman ini telah mencetuskan pergaduhan besar antara Syafinaz dan arwah bapanya. Ekoran daripada itu, Syafinaz mengambil keputusan untuk tinggal bersama salah seorang kakaknya di Johor Bahru sebelum berpindah ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama seorang lagi kakaknya yang sedang menetap di sana[7]. Walaupun tanpa persetujuan daripada arwah bapanya, Syafinaz nekad untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Berkat daripada ketekunan serta kesungguhan, beliau berjaya menyerlah dengan keputusan yang cemerlang secara konsisten sepanjang tempoh pengajiannya yang bukan sahaja telah melayakkannya untuk menerima anugerah pelajar cemerlang dan segulung ijazah, tetapi juga restu serta sokongan penuh daripada arwah bapanya[7].

Walaupun telah bergelar sebagai seorang selebriti selama lebih 20 tahun, nama Syafinaz jarang terpapar di mana-mana ruangan gosip media. Syafinaz berkata bahawa fokus dan kesibukannya terhadap komitmen kerja menjadi penyebab utama beliau sulit untuk bebas bersosial dan jarang menjadi buruan gosip media. Ekoran daripada kesibukan jadual hariannya juga, Syafinaz mengakui dirinya masih berstatus bujang[33].

Syafinaz juga menyangkal spekulasi umum yang melihat dirinya sebagai seorang individu berkeperibadian garang[nota 4] dan tidak bertolak-ansur. Beliau berkata bahawa pembawaan dirinya bersifat profesional dan tergantung pada tuntutan situasi masa bekerja. Beliau berpendapat bahawa ketegasan[nota 5] ketika mengajar perlu demi memastikan para pelajar memahami sepenuhnya ilmu yang ingin disampaikan, dan ketegasan inilah yang sering disalah erti sebagai garang oleh umum[34]. Menyentuh spekulasi yang menuduh Syafinaz seorang yang tidak bertolak ansur, beliau mengakui dirinya sebagai seorang individu perfeksionis yang mementingkan kesempurnaan dalam mengerjakan suatu tugasan. Namun, beliau juga menambah bahawa sifat perfeksionisme ini tidaklah menjadikan beliau seorang individu yang tidak bertolak ansur sama sekali, melainkan hanya dalam hal berkaitan kerja[35]. Di luar masa bekerja, Syafinaz sering digambarkan sebagai seorang individu yang akrab, ceria dan santai oleh para pelajarnya (termasuk bekas pelajar), para peminat, rakan artis dan juga pewawancara yang pernah menemubualnya[36].

Syafinaz pernah bertegas bahawa beliau tidak mempunyai sebarang akaun media sosial[37]. Namun, pada tahun 2018 beliau memberitahu kepada media bahawa beliau telah mewujudkan akaun Instagram miliknya dengan tujuan asal untuk mempromosikan kedua-dua protégénya; Ranisha dan Lazarul sepanjang program Mentor 7 2018 berlangsung[36]. Selain akaun Instagram, Syafinaz juga memiliki akaun Youtube. Kini, Syafinaz tidak menggunakan akaun media sosialnya hanya untuk mendekatkan diri kepada peminat dan mempromosi karier seninya, tetapi juga sebagai media untuk menyampaikan ilmu seni vokal kepada umum.

Sebagai salah seorang daripada pejuang industri seni tanahair, Syafinaz berpendapat bahawa kerjaya seni bukanlah sekadar hobi dan minat semata-mata, tetapi juga merupakan profesion terhormat. Beliau juga berpendapat bahawa ilmu, pengetahuan dan latar belakang akademik muzik penting di dalam diri semua pemuzik sekiranya mereka ingin membawa industri seni tempatan ke arah kemajuan agar lebih dipandang dan diterima secara serius dalam masyarakat, di samping menjadi salah satu penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.[38]

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Album studio[sunting | sunting sumber]

Single[sunting | sunting sumber]

  • 2019: "RahmatNya" feat. Ranisha dan Lazarul [15]
  • 2021: "Persis Salju" [16]

Single tampilan[sunting | sunting sumber]

  • 2009: "Mahkota" oleh Dennis Lau [13]
  • 2010: "Terpesona" oleh Frank Scott Hew [14]

Kredit lakonan[sunting | sunting sumber]

Teater muzikal[sunting | sunting sumber]

  • 2005: Rubiah [41]
  • 2010: Bangsawan Sinbad [42]
  • 2015: Opera Puteri Saadong [43]

Filem[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Menurut artikel[2] tulisan Noor Azmah Ibrahim di Utusan, "Majlis berprestij ini dikendalikan oleh pengacara popular, Henry Golding dilengkapi dengan persembahan bertenaga oleh ratu soprano Malaysia, Shafinaz Selamat" (perenggan.28)
  2. ^ Beliau berkongsi tarikh lahir dengan penyanyi tempatan Siti Nurhaliza dan penyanyi daripada Amerika Syarikat Mary J. Blige.
  3. ^ Bertentangan dengan suara soprano lyric coloratura yang mempunyai timbre yang ringan dan terang, suara soprano dramatic coloratura pula bersifat lebih emotif melalui timbre yang lebih berat dan gelap. Namun, kedua-dua jenis soprano coloratura ini mengkhusus pada jenis muzik operat dengan lompatan yang laju dan tril yang tangkas.
  4. ^ Definisi Garang - bengis, suka atau lekas menyerang(apabila marah dsb)
  5. ^ Definisi Tegas - jelas bersuara dengan hujah yang terang dan nyata; mematuhi tetapan peraturan serta piawaian

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ UiTM, Admin (1 February 2018). "Alumni UITM ,Syafinaz Selamat, bergelar Datuk". Persatuan Alumni UiTM Malaysia. Dicapai pada 1 February 2018.
  2. ^ a b IBRAHIM, NOOR AZMAH (3 Julai 2011). "Pesona busana Muslim di Astana". Utusan Malaysia. Dicapai pada 19 September 2018.
  3. ^ a b 7, klik (2 September 2018). "Tentang Dia: Syafinaz Selamat". 7klik. Dicapai pada 25 September 2018.CS1 maint: numeric names: authors list (link)
  4. ^ a b "Goosebumps! Persembahan Datuk Syafinaz Di Expo 2020 Dubai Raih Pujian Ramai". B.Cari. 25 Januari 2022. Dicapai pada 24 Januari 2022.
  5. ^ a b QAYUM AZIZ, MOHD AL (1 Februari 2018). "Syafinaz Selamat Kini Bergelar Datuk". mSTAR Online. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  6. ^ a b Penulis, Bernama (14 Mei 2020). "Zul Huzaimy, Syafinaz dilantik ahli lembaga pengarah baru Aswara". Malaysiakini. Dicapai pada 14 Mei 2020.
  7. ^ a b c d e f The, Editor (17 Februari 2013). "One direction". The Edge (Malaysia). Dicapai pada 26 Ogos 2018.CS1 maint: extra text: authors list (link)
  8. ^ a b Aiman, Shahrul (1 Jun 2012). "SYAFINAZ (1989)". Blogger (perkhidmatan). Dicapai pada 29 Ogos 2018.
  9. ^ Admin, UiTMalumni (1 Februari 2018). "Alumni UiTM Syafinaz Selamat mendapat gelaran Datuk". Alumni UiTM. Dicapai pada 19 September 2018.
  10. ^ a b c d "Persembahan Vokal Wanita Terbaik (AIM)". Wikiwand. Dicapai pada 25 Ogos 2018.
  11. ^ a b "Penyanyi Wanita Popular (ABPBH)". Wikipedia. Dicapai pada 28 September 2018.
  12. ^ a b c "Datuk Syafinaz sifatkan muzik satu seni yang mahal dan bernilai". GPS Bestari. Dicapai pada 28 September 2018.
  13. ^ a b YTL, Adm (10 Januari 2010). "Violinist Dennis Lau launches debut album at Shook!". ytlcommunity. Dicapai pada 6 September 2018.
  14. ^ a b Low, Jasmine (10 Januari 2010). "PRESS RELEASE: FRANK SCOTT HEW INFUSES MUSIC AND FASHION IN "TERPESONA"". WordPress. Dicapai pada 6 September 2018.
  15. ^ a b Hashim, Qarami (13 July 2019). ""Kejamlah kalau saya biarkan mereka" - Syafinaz cari jalan bantu Ranisha, Lazarul (Mentor 7) kembangkan bakat". mSTAR Online. Dicapai pada 13 July 2019.
  16. ^ a b MH, Adm (5 April 2021). ""Rasa Malu Kerap Berjanji Tahun Demi Tahun," – Akhirnya Datuk Syafinaz Lancar Lagu Baru, Akui Ada Sangka Diri Hanya Guru Vokal, Bukan Penyanyi Sebenar". Media Hiburan Malaysia. Dicapai pada 5 April 2021.
  17. ^ "Staf JKKN 2018". Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Dicapai pada 25 Ogos 2018.
  18. ^ The, Editor (12 Januari 2010). "PERMATA Seni Muzik & Koir". New Straits Times. Dicapai pada 27 Ogos 2018.CS1 maint: extra text: authors list (link)
  19. ^ "Konsert Koir Kebangsaan 2015: In Love with Rock". Budiey.com. 3 Disember 2015. Dicapai pada 3 Disember 2015.
  20. ^ Abdul Rashid, Syarrizuan (18 Julai 2018). "Misha Asah Vokal demi Sampai Bila". Berita Harian. Dicapai pada 11 Ogos 2018.
  21. ^ Selamat, Hanisah (10 Februari 2018). "Ernie cari Syafinaz". Berita Harian. Dicapai pada 12 Ogos 2018.
  22. ^ Mohamad, Zaidi (4 Julai 2018). "Khai Bahar berguru dengan Syafinaz". Berita Harian. Dicapai pada 25 Ogos 2018.
  23. ^ Joox, Adm (15 Mac 2018). "Seorang Guru & Penyanyi?". Joox. Dicapai pada 12 September 2018.
  24. ^ Selamat, Hanisah (31 Julai 2018). "Syafinaz bimbang tiada calon datang uji bakat". Berita Harian. Dicapai pada 30 Ogos 2018.
  25. ^ Mohamad, Zaidi (24 Disember 2018). "Lazarul tewas, empat protege beradu di final Mentor 7". Berita Harian. Dicapai pada 2 Januari 2019.
  26. ^ a b Tan, Jessica (17 Julai 2010). "Shout! Awards Tonight". News. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  27. ^ Azza, Cari (1 Disember 2020). "Ramai Minta Syafinaz Ganti Tok Kat Dalam Gegar Vaganza". B.Cari. Dicapai pada 1 Disember 2020.
  28. ^ Budiey, Adin (1 May 2010). "Koir Kebangsaan Malaysia". Budiey. Dicapai pada 19 September 2018.
  29. ^ Editor, Metro (28 April 2014). "Bangga Hibur Obama". Peraktoday. Dicapai pada 15 September 2018.CS1 maint: extra text: authors list (link)
  30. ^ "PENYANYI WANITA PALING BERJAYA DI MALAYSIA SEPANJANG ZAMAN (1920'S-2010'S)". Blogspot. Dicapai pada 16 Oktober 2018.
  31. ^ "Most Admired Leaders Asia 2018-19". BARC.
  32. ^ Yuya, Hotlips. "Keputusan SPM Artis Malaysia". Blogger (perkhidmatan). Dicapai pada 7 September 2018.
  33. ^ "Macam mana nak kahwin kalau... - Syafinaz Selamat". Berita Harian. Dicapai pada 12 September 2014.
  34. ^ Aided, Asraf (8 November 2018). "Syafinaz Selamat garang ke? Ini jawapan tuan empunya badan." Gempak. Dicapai pada 8 November 2018.
  35. ^ Atak, Feride Hikmet (21 November 2011). "Syafinaz Bicara Tentang Diri dan Minat". mStar. Dicapai pada 21 November 2011.
  36. ^ a b Azizan, Muhammad Fairoz (14 November 2018). "Saya tegas bertempat - Syafinaz". Berita Harian. Dicapai pada 14 November 2018.
  37. ^ Ab Rahman, Farhana (23 Jun 2015). "Komen keanak-anakan halang Syafinaz buka akaun sosial". Berita Harian. Dicapai pada 23 Jun 2015.
  38. ^ Admin, Bernama (7 September 2021). "Datuk Syafinaz sifatkan muzik satu seni yang mahal dan bernilai". GPSBESTARI. Dicapai pada 3 January 2022.
  39. ^ Aiman, Shahrul. "Syafinaz - Ingin Bersamamu (1999)". Blogger (perkhidmatan). Dicapai pada 6 September 2018.
  40. ^ Aiman, Shahrul. "Syafinaz - Syyh (2001)". Blogger (perkhidmatan). Dicapai pada 6 September 2018.
  41. ^ Azhad, Blog (18 Mei 2005). "Teater Rubiah". Blogger (perkhidmatan). Dicapai pada 15 Julai 2018.
  42. ^ Tunku Yusoff, Tunku Shahariah (10 Mac 2010). "The adventures of Sinbad Bangsawan Style". The Star (Malaysia). Dicapai pada 2 September 2018.
  43. ^ Lin, Rouwen (21 Januari 2015). "Opera and Mak Yong Remixed for The Staged Story of Kelantan's 'Puteri Saadong'". The Star (Malaysia). Dicapai pada 3 September 2018.
  44. ^ "Filem "Kami Histeria" gabungkan ramai heroin". Galaksi Media. 17 Januari 2014. Dicapai pada 17 Januari 2014.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]