Pergi ke kandungan

Mohamed Noah Omar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Mohamad Noah Omar)
Allahyarham Tan Sri Dato' Haji
Mohamed Noah Omar
PMN (Malaysia); SPMJ, SSIJ (Johor); DPMB (Brunei); PIS, JP (Johor)
Dalam jawatan
24 Februari 1969 – 28 Julai 1970
Didahului olehSyed Sheh Hassan Barakbah
Digantikan olehAbdul Hamid Khan Sakhawat Ali Khan
Ahli Parlimen Malaysia
bagi Johor Bahru Timur, Johor
Dalam jawatan
11 September 1959 – 1 March 1964
Didahului olehKonstituensi Baharu
Digantikan olehFatimah Abdul Majid
Dalam jawatan
1 September 1959 – 29 Februari 1964
Didahului olehJawatan Baharu
Digantikan olehSyed Esa Alwee
Maklumat peribadi
Lahir
Mohamed Noah bin Orang Kaya Omar

(1897-08-13)13 Ogos 1897
Bandar Maharani
Muar Muar, Johor Johor, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, United Kingdom Empayar British
Mati6 September 1991(1991-09-06) (umur 94)
Kuala Lumpur Kuala Lumpur, Malaysia
Tempat semadiMakam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur
Parti politik UMNO
PasanganPuan Sri Maimun Abdul Manaf (k. 1921; m. 1968)
Puan Sri Siti Aminah Kusuma
(1916–17 Julai 2014) (k. 1980)
PertalianTan Sri Anwar Abdul Malik (sepupu)
Dato' Hussein Mohd Taib (besan)
Dato' Onn Jaafar (besan)
Tun Abdul Razak (menantu)
Dato' Sri Najib Razak (cucu)
Tan Sri Nazir Razak (cucu)
Dato' Seri Hishammuddin Hussein (cucu)
Dato' Mohd Nizar Najib (cicit)
Datuk Onn Hafiz Ghazi (cicit)
AnakDatin Fakhriah
Toh Puan Suhailah
Tun Rahah
Abu Rais
PekerjaanBekas Ahli Parlimen

Allahyarham Tan Sri Dato' Haji Mohamed Noah bin Omar, atau Noah Beirut (13 Ogos 1897[1] – 6 September 1991) merupakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang pertama (1 September 1959 – 29 Februari 1964) dan Yang di-Pertua Dewan Negara yang ketiga (24 Februari 1969 – 28 Julai 1970). Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Parlimentari Komanwel. Selepas bersara, beliau menjadi Pengarah Genting Highlands Sdn Bhd, sebuah pusat perjudian di Gunung Ulu Kali.[2]

Beliau menang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Tanah Melayu 1959 bagi kawasan Johor Bahru Timur, negeri Johor (1958-1964). Ketika itu Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ialah Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri ialah Tun Abdul Razak Hussein. Pilihan raya ini adalah yang pertama selepas merdeka 31 Ogos 1957. Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 ini cukup hebat kerana diadakan berperingkat-peringkat , bermula dari negeri Perlis hingga Kelantan. Ketika itu Sabah dan Sarawak belum menyertai / membentuk Malaysia. Kerusi Parlimen bertambah dari 52 (1955) kepada 104 kerusi (1959). Perikatan menang 74 kerusi dan pembangkang menang 30 kerusi.

Mengikut salasilah, beliau berasal daripada sebuah keluarga yang sejak turun-temurun bergelar "Orang Kaya" yang menjaga dan mentadbir daerah Padang, Muar.

Bapanya, Orang Kaya Omar dan datuknya Orang Kaya Junid merupakan "Orang Kaya" yang terbilang dan berpengaruh pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim (1862-1895). Gelaran "Orang Kaya" dikurniakan kepada seseorang rakyat untuk menjadi wakil Sultan menjaga keamanan dan mentadbir daerahnya.

Datuk beliau, Orang Kaya Junid, berasaI daripada zuriat seorang kerabat Raja Chempa Bugis yang berkerajaan di daerah Bukit Makmur (Bukit Mor), Muar, Johor.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Maimun binti Haji Abdul Manaf (anak Kadi Daerah Muar) pada April 1921. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan dengan 4 orang anak, 3 orang perempuan dan 1 orang lelaki. Anak-anak mereka bernama Suhailah Mohamed Noah, Rahah Mohamed Noah, Datin Fakhriah dan Abu Rais (gelaran Atan). Tun Rahah Mohamed Noah adalah isteri kepada Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein (1971-1976). Manakala Datin Fakhriah Mohamed Noah pula adalah isteri kepada Dato' Abdullah Ahmad, bekas Yang di-Pertua, Majlis Bandaran Johor Bahru.

Buku The Three Swans ada menceritakan perjalanan hidup keluarga ini. Buku ini diterbitkan oleh MPH Group (M) Sdn. Bhd. (MPH) setebal 320 muka surat, ditulis oleh anak kedua Fakhriah, Datuk Dr. Fawzia Dato' Abdullah.[3]

Cucunya, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6. Seorang lagi cucunya ialah Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein yang merupakan Menteri Kabinet kanan yang berkhidmat dalam pelbagai jawatan.

Pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Beliau mendapat pendidikan Melayu kemudiannya pendidikan Arab di Al-Madarasah Al-Arabiah Al-Khairiah, Johor dan kemudian menyambung belajar bersama dengan tujuh lagi rakannya, di Kuliah Al-Othmaniah Al-Islamiah, Beirut dan kemudian di Syrian Protestant College (sekarang American University of Beirut), Lebanon pada 11 Mei 1914.

Selepas pulang ke tanahair, beliau telah ditawarkan pekerjaan sebagai kerani di sebuah syarikat perniagaan milik seorang warga Denmark yang berniaga membeli susu getah di Jalan Bakri, Bandar Maharani, Muar.

Kemudian, pada bulan Julai 1920, beliau telah berkhidmat dengan Kerajaan Johor sebagai kerani di Mahkamah Tinggi Muar.

Beliau meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang selepas itu dan telah dilantik sebagai pegawai kerajaan Johor pada 15 Julai 1928 Majistret kelas II di Mahkamah Muar.

Pada bulan Januari 1934, beliau telah ditukarkan ke Mersing sebagai Majistret dan sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah.

Beliau sekali lagi telah ditukarkan ke Muar pada 4 Januari 1936 sebagai Penolong Kanan Pemungut Hasil Tanah.

Beliau sekali lagi telah berpindah ke Mersing. Beliau telah dilantik sebagai Timbalan Pegawai Daerah Mersing pada 1 Julai 1939 sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada 8 Disember 1942.

Kemudian, menjadi Majistret di Batu Pahat pada 1959. Seterusnya beliau menjadi pengutip cukai di Jabatan Tanah Johor, Pegawai Daerah dan jawatan terakhir beliau dalam perkhidmatan awam adalah sebagai Yang di-Pertua Jabatan Hal Ehwal Agama Johor. [4] Beliau bekerja dengan Jabatan Perkhidmatan Awam selama 30 tahun, iaitu sejak 1920.

Ketika menjadi Majistret di Batu Pahat pada 1959, beliau telah bersama-sama dengan Dato' Onn Jaafar bermesyuarat untuk menubuhkan UMNO pada awal November 1945.

Beliau bersama Dato' Onn Jaafar - Pegawai Daerah Batu Pahat, Tan Sri Anwar Abdul Malek, Syed Alwi al-Hadi dan Syed Abdul Rahman Abu Bakar membentangkan kertas putih - mencadangkan penubuhan UMNO. Anwar Malek adalah Setiausaha Sulit Onn Jaafar yang juga sepupu kepada Mohamed Noah. Perbincangan telah diadakan di rumah Noah di Jalan Sultanah, Batu Pahat.[5] Zainah Anwar dari Sisters in Islam telah menulis hal ini dalam bukunya bertajuk Legacy of Honour.

Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Tetap UMNO pada 1951-1959 dan kemudian meletakkan jawatan kerana menjadi calon Pilihan raya umum Malaysia 1959.

Sebagai peguam / majistret dan berjuang menentang Malayan Union, beliau diberi kepercayaan bertanding di Johor Bahru Timur, Johor mewakili Parti Perikatan / UMNO dalam Pilihan raya umum Malaysia 1959.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat

[sunting | sunting sumber]

Beliau pernah menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat mulai 1 September 1959 hingga 29 Februari 1964.Selepas itu beliau diganti oleh Dato' Syed Esa Alwee Al-Syahab. Sidang Parlimen pertama di Dewan Tunku Abdul Rahman di Jalan Ampang, Kuala Lumpur (kini MATIC) pada pagi Jumaat. Pada hari pertama persidangan, Yang di-Pertuan Agong dimasyhurkan dan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga dibuat.[6]

Yang di-Pertua Dewan Negara

[sunting | sunting sumber]

Mohamed Noah juga menjadi Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-3 selepas Tuan Syed Sheh bin Syed Hassan Barakhah. Noah menyandang jawatan itu dari 24 Februari 1969 - 28 Julai 1970. Selepas itu beliau diganti oleh Tan Sri Haji Abdul Hamid Khan Sakhawat Ali Khan.

Anugerah dan Kenangan

[sunting | sunting sumber]

Yayasan Mohammad Noah ditubuhkan bagi mengenang jasa beliau. Antara yang memainkan peranan ialah Ahmad Johari Tun Abdul Razak, cucu beliau dan Tun Hajah Rahah Mohamed Noah.[7]

Masjid Yayasan Mohamed Noah

Sebuah masjid di pusat percutian perjudian Genting Highland telah dinamakan sebagai Masjid Yayasan Mohamed Noah. Tan Sri Mohamed Noah merupakan pengasas Genting Highland bersama Tan Sri Lim Goh Tong pada 1965. Projek itu untuk membina hotel dan resort di kawasan pergunungan, Gunung Ulu Kali di sempadan Selangor-Pahang (Genting Sempah), yang kemudiannya kini dikenali sebagai Genting Highlands. Buku Lim Goh Tong, 'My Dream' menceritakan detik-detik awal pembinaan Genting Highlands.[8] Noah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah sementara Lim Goh Tong sebagai Pengarah Urusan. Kerajaan Pahang telah meluluskan 12,000 ekar untuk resort itu.[9] Pusat judi kasino ini adalah satu-satunya di Malaysia.[10]

Kehormatan Malaysia

[sunting | sunting sumber]

Meninggal dunia

[sunting | sunting sumber]

Beliau telah meninggal dunia pada 6 September 1991 dan telah dimakamkan di Makam Pahlawan. Antara tokoh lain yang disemadikan di sini ialah Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tan Sri Syed Jaafar Albar, Tun Syed Nasir Syed Ismail, Tun Sardon Jubir, Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan Tun (Dr) Fatimah Hashim.

  1. ^ Fawzia Abdullah (2010). The three swans : Fakhriah, Suhailah, Rahah. Petaling Jaya, Selangor: MPH Publishing. m/s. 26. ISBN 978-967-5222-79-5. OCLC 643766906.
  2. ^ The Straits Times, 29 Januari 1977, Mukasurat 36 ; Looking Back 5 Year [pautan mati kekal]
  3. ^ Perdana Menteri lancar buku The Three Swans
  4. ^ The Who's who in Malaysia oleh John Victor Morais
  5. ^ Mengenang legasi tiga tokoh
  6. ^ Meningkatkan Parlimen berkelas dunia
  7. ^ The Malayan law journal, Volume 47, Part 1
  8. ^ Perginya seorang taikun
  9. ^ Chinese business in Malaysia: accumulation, ascendance, accommodation oleh Edmund Terence Gomez , hlm 50
  10. ^ Asian Godfathers: Money and Power in Hong Kong and Southeast Asia oleh Joe Studwell, hlm 66
  11. ^ "Senarai Penuh Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 1963" (PDF).
  12. ^ John Victor Morais, Without Fear Or Favour: A Biography of Tan Sri Mohd. Noah, Utusan Printcorp, Kuala Lumpur, 1976, p. 136.
  13. ^ "90 RECEIVE SULTAN'S C-DAY AWARDS". The Straits Times. 12 February 1960. m/s. 2.


Penyandang Terdahulu Yang di-Pertua Dewan Negara
24 Februari 1969 – 28 Julai 1970
Penyandang Kemudian
Syed Sheh Hassan Barakbah Abdul Hamid Khan Sakhawat Ali Khan