Bugis di Sabah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kewujudan orang-orang Bugis Sengkang Wajo bersama-sama masyarakat Melayu lain di Tawau seperti orang orang Tidung, Suluk dan Bajau bersama pemimpin mereka sejak kolonial lagi. Mereka diminta oleh British Borneo mengusahakan tanaman kelapa di Tawau Lama. Menetap dan berkahwin dengan gadis tempatan seperti Suluk dan Tidung. Pada zaman moden, Bugis Sengkang Wajo di Sabah tidak lagi bertutur bahasa Bugis atau mengamalkan adat Bugis sebaliknya bertutur dan mengamalkan cara hidup Melayu tempatan. Hal itu berbeza dengan Bugis Asli Indonesia di Sabah yang masih kekal mengamalkan adat budaya dan berbahasa Bugis. Oleh itu, mereka telah menganggap diri mereka adalah orang Melayu tempatan.

Bugis di Sabah adalah merujuk kepada individu yang dilahirkan daripada keturunan kaum Bugis yang berasal daripada Sulawesi di sebelah bapanya serta berketurunan Bugis juga di sebelah ibunya yang tinggal di Sabah, Malaysia. Di Sabah, bangsa Bugis telah menjadi salah satu kumpulan masyarakat yang terbesar hingga kini. Ini adalah rangkuman daripada jumlah rakyat Indonesia berbangsa Bugis dan juga golongan bangsa Bugis yang telah menjadi sebahagian warganegara Malaysia di Sabah.

Bugis terawal di Sabah ( Bugis Sengkang Wajo) yang datang ketika zaman British dan sebelum Sabah merdeka telah menjadi penduduk peribumi (bahasa Inggeris: natives) di Negeri Sabah dengan berkahwin dgn wanita wanita tempatan seperti Suluk dan Tidung. Mereka tidak sama seperti imigran-imigran berbangsa Cina bersama keluarga mereka dari Tanah Besar China. Mengikut kondisi zaman moden, kesemua masyarakat Bugis Sengkang Wajo di Tawau kini telah pun bercampur keturunan mereka melalui perkahwinan dengan masyarakat kaum lain seperti Tidung dan Suluk (yang diiktiraf sebagai penduduk peribumi di Sabah) yang mana proses ini sudah berlaku lebih seratus tahun di Tawau.

Majoriti Bugis yang ada di Sabah ialah anak cucu mereka iaitu Bugis yang berhijrah dari daerah-daerah di kawasan Sulawesi (Bone, Enrekang, Pinrang, Rappang, Sinjai, dll.). Pada zaman moden, berdasarkan dari rekod bancian Jabatan Imigresen Malaysia, 70 % warganegara Indonesia di Sabah juga adalah daripada etnik Bugis.[1] Terdapat juga sedikit masyarakat Melayu Tawau yang mempunyai darah Bugis (telah bercampur darah dan keturunan dengan Melayu lain melalui perkahwinan).

Penghulu Puado, Daeng Mepata (Mustapa bin Supu) dan Pengeran Kuning adalah perantau Bugis Wajo asli dari Sengkang (Sulawesi Selatan) dan Kutai (Kalimantan Timur). Cucu-cicit mereka yang dikenali orang-orang Melayu ialah Dullah Salim Puado dan Ahmat Mepata. Banyak perkawinan campur di kalangan mereka misalnya Ahmat Mepata berkahwin dengan bangsa Tidung dan Ampong Kerahu (cucu Puado dan Mepata telah berkahwin dengan cucu Kee Abdullah ( Kee Safiah ) pada tahun 1935)[2]

Mengikut analisis semasa komuniti Bugis di Sabah boleh dibahagikan kepada 3 bahagian. Pembahagian kumpulan etnik Bugis adalah seperti berikut: Melayu Berdarah Bugis (10%), Bugis Bertaraf Wargenegara Malaysia (30%) , Bugis Asli Indonesia Bukan Bertaraf Warganegara (60%). Tafsirannya adalah "Melayu Bugis" (keturunan Bugis Sengkang Wajo) ialah masyarakat Melayu Tawau (campuran darah pelbagai keturunan Melayu melalui perkahwinan) yang mempunyai darah Bugis namun tidak mengamalkan budaya Bugis dan tidak tahu bertutur dalam bahasa Bugis. Ini kerana kewujudan mereka di Sabah sudah terlalu lama (ketika penjajahan Inggeris dan pendudukan Jepun) dan keturunan mereka sudah bercampur melalui perkahwinan dengan keturunan Melayu yang lain seperti Bolongan, Banjar, Tidung dan Suluk Sabah.

Tafsiran "Bugis Asli Indonesia Bukan Warganegara" pula ialah golongan pekerja Indonesia yang berbangsa Bugis yang terdapat di negeri Sabah. Mereka ini bertaraf warganegara Indonesia dan bekerja secara sah di Sabah menggunakan pasport luar negara. Kaum bugis asli Indonesia ini masih kekal mengamalkan budaya dan bahasa Bugis.

Manakala tafsiran "Bugis Bertaraf Warganegara" pula ialah kumpulan pendatang Indonesia yang dilahirkan di Sulawesi Selatan dan datang ke Sabah (selepas tahun 1947) semata-mata untuk bekerja di ladang-ladang. Kemudian mereka melahirkan anak-anak di sini yang kemudiannya mendapat pendidikan di sekolah sekolah kerajaan dan juga universiti-universiti seluruh Sabah.[3]

Kebanyakan komuniti Bugis di Sabah tertumpu di daerah Tawau hingga ke kawasan daerah sekitarnya seperti Kunak dan Lahad Datu. Mengikut Sejarah Melayu, adalah dipercayai sebahagian kaum Bugis ini merantau daripada daerah kawasan Sulawesi menuju ke Jawa, Sumatera, Semenanjung Malaysia, dan Kalimantan sejak abad ke-16. [4] Masa kini terdapat puluhan ribu rakyat Indonesia yang berbangsa Bugis berada di Tawau dan menyumbang tenaga mereka yang diperlukan untuk kemajuan Negeri Sabah.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Kewujudan orang-orang Bugis lama ( khususnya Bugis Wajo ) di Tawau pada awal zaman pemerintahan British iaitu sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia adalah dalam jumlah yang sedikit. Mereka ini telah pun berasimilasi dengan masyarakat peribumi tempatan dan menjadi masyarakat Melayu. Mereka tidak tahu bertutur dalam bahasa Bugis, menggunakan loghat Melayu tempatan dan mengamalkan adat dan budaya Melayu.

Manakala kedatangan orang-orang Bugis Indonesia ( Bone ) setelah kewujudan Indonesia di antara akhir tahun 1950an hingga 1960an ketika huru hara semasa penentangan gerila di Sulawesi Selatan ( Gerombolan ) dan di sepanjang tahun 1970an hingga 1980an yang datang secara beramai-ramai ke Tawau ( Malaysia ) adalah untuk bekerja di ladang ladang getah, koko dan abaka iaitu Ladang Bal Plantation sebuah ladang milik syarikat British. Ada juga Ladang Table, Ladang Abaka, Ladang Tiger dan Ladang Merotai. ( Rujuk : Sejarah Tawau dan Buku ' Borneo Under The Sun ' , Nicholas Chung , Natural History , 2005 ). Kedatangan rakyat Indonesia ini adalah berterusan hingga ke saat ini. Mereka kebanyakannya bekerja sebagai pekerja kontrak dengan izin atau juga sebagai pemegang pasport untuk bekerja di Tawau di sektor pembinaan dan sektor perniagaan. Tidak hairanlah hari ini di Tawau, jumlah masyarakat Bugis ( Warganegara dan Bukan Warganegara ) adalah penduduk majoriti di Tawau. Malahan jumlah mereka turut berkembang di seluruh negeri Sabah.

Masyarakat Bugis sebenarnya terdiri daripada pelbagai suku kaum Bugis mengikut tempat asal mereka di Sulawesi Selatan seperti Bugis Bone, Bugis Enrekang dan Bugis Pinrang. Namun bangsa Bugis ini tidaklah sama dengan Bangsa Makasar, penduduk majoriti di Kota Makasar ( Ujung Pandang ), bangsa Toraja di Tanah Tinggi Sulawesi Selatan, bangsa Mandar di Sulawesi Barat ( Kota Mamuju ), bangsa Khaili di Sulawesi Tengah ( Kota Palu ), bangsa Buton di Sulawesi Tenggara ( Kota Kendari ) dan bangsa Minahasa di Sulawesi Utara ( Kota Manado ). Oleh kerana kepadatan tinggi di Kota Makasar yang dikuasai bangsa Makasar, bangsa Bugis banyak keluar mencari pekerjaan di kota-kota lain di Indonesia seperti Samarinda, Tarakan dan Nunukan.

Dengan adanya Tawau, bandar negara Malaysia yang terdekat, mereka berduyun-duyun datang untuk mencari rezeki di Malaysia yang memang menyediakan banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan. Di Tawau, mereka berusaha untuk mendapatkan kerakyatan negara Malaysia dengan cara tinggal dalam tempoh yang lama di Tawau. Ada di antara mereka yang lari ke sini kerana krisis ditempat mereka seperti kedatangan Belanda, maka sebab itu mereka lari merantau ke sini ada diantara mereka mengikut bangsawan mereka lari dan pengikut mereka turut serta, mencari perlindungan dari kolonial belanda.

Melayu Berdarah Bugis[sunting | sunting sumber]

Melayu berdarah Bugis ialah masyarakat Melayu yang mempunyai darah keturunan Bugis atau Melayu Peranakan Bugis yang terdapat di Semenanjung Malaysia seperti di Johor dan tertumpu di kawasan Pekan, Pahang dan juga di kawasan Kuala Selangor dan Kuala Linggi di Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun masyarakat Melayu Bugis ini berbeza dengan bangsa Bugis yang terdapat di Sulawesi Selatan. Ini kerana Melayu Bugis ialah hasil perkahwinan campur antara lelaki Bugis dengan gadis Melayu tempatan yang merantau ke Tanah Melayu sejak ratusan tahun dahulu dan terbentuk dalam suasana budaya kemalaysiaan. Mereka tidak lagi tahu berbahasa Bugis dan tidak mengamalkan adat adat Bugis manakala bangsa Bugis di Sulawesi selatan masih pekat dengan pertuturan Bahasa Bugis, adat resam dan tradisi Bugis yang sangat berbeza dengan adat Melayu selain dari mengamalkan budaya hidup Indonesia. Antara mereka juga telah terputus hubungan sejak ratusan tahun. Yang ada persamaan, hanyalah dari segi warisan makanan dan seni tarian yang masih dikekalkan.

Kehadiran Melayu berdarah keturunan Bugis di Tawau[sunting | sunting sumber]

Wujudnya masyarakat Melayu berketurunan darah campuran Bugis Wajo di Tawau telah bermula sejak dahulu lagi. Kedatangan perantau dari Tanah Bugis ke Tawau untuk mencari rezeki iaitu ketika Tawau menjadi sumber ekonomi kepada Kerajaan Syarikat Borneo British. Perantau ini telah menetap di Tawau dan berkahwin dengan masyarakat Melayu lain seperti Suluk dan Tidung dan menjadi sebahagian dari masyarakat Melayu Tawau. Misalnya Ampong Kerahu ( Bugis Wajo ) yang berkahwin Kee Safiah ( Cina Suluk ) dan mewujudkan ramai keturunan Melayu hingga ke hari ini. Masyarakat Bugis yang terdahulu semuanya telah bercampur baur keturunan mereka dengan masyarakat Melayu lain dalam tempoh yang lama dan mereka sudah tidak menganggap diri mereka sebagai orang-orang Bugis tetapi sebagai orang-orang Melayu. Mereka hanya tahu bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat dan budaya Melayu Tawau. Selain itu, mereka juga tidak berasal dari keturunan warganegara Indonesia kerana keturunan mereka wujud dan berhijrah ke Tawau jauh lebih awal sebelum kewujudan negara Indonesia pada 1947 lagi. Mereka telah berada di sini sebelum era pendudukan tentera Jepun lagi dan turut bersama rakyat Melayu tempatan yang lain merasai penderitaan dalam pemerintahan kuku besi tentera Jepun ketika tahun 1941 hingga 1945. Berbanding dengan rakyat Indonesia ( Bugis, Toraja, Timur, Butun ) yang datang ke Tawau setelah Tawau maju sebagai pusat ekonomi perladangan, mereka yang digelar masyarakat tempatan ini tidak boleh disamakan dengan rakyat Indonesia bersuku Kaum Bugis yang berstatus imigran dari negara luar.

Manakala seperti yang diketahui umum, kewujudan rakyat Indonesia berbangsa Bugis di Tawau dan Sabah umumnya, tidak dapat disangkal lagi kerana Tawau adalah pintu masuk ke negara Malaysia yang makmur dengan hasil ekonomi dan peluang pekerjaan yang amat luas kepada rakyat berbanding negara Indonesia yang terlalu padat penduduknya. Bugis di Tawau boleh dibahagi kepada 2 kategori iaitu Melayu keturunan Bugis dan Bugis Tulen. Bugis Tulen adalah berbeza dengan Melayu Bugis.

Melayu berdarah Bugis ialah berasal dari kumpulan perantau lelaki kaum Bugis yang datang menetap di Tawau dan ''berkahwin dengan masyarakat tempatan ( natives ) seperti suluk dan tidung''. Mereka tidak lagi bertutur dalam bahasa Bugis dan tidak mengamalkan adat resam Bugis sebaliknya hanya tahu berbahasa Melayu dan mengamalkan adat tradisi dan cara hidup Melayu Tawau. Sama seperti Masyarakat Melayu keturunan Arab yang tidak tahu berbahasa Arab, masyarakat Melayu keturunan Bugis juga tidak tahu berbahasa Bugis. Masyarakat melayu Bugis ini adalah sebahagian dari masyarakat Melayu. Oleh yang demikian, mereka senang bergaul dengan sesama bangsa Melayu dan anak anak mereka bebas berkahwin di kalangan bangsa Melayu.

Mengikut Sejarah Tawau, 3 kumpulan perantau Bugis ini di antaranya ialah:

  1. Penghulu Puado ( seorang peniaga berbangsa Bugis Wajo yang berniaga di antara Banjarmasin dan Sandakan) mengetuai 25 lelaki terdiri Bugis wajo, Suluk, Bajau, Tidung, Banjar dari Sandakan untuk membuka penanaman di Tawau atas galakan Residen Inggeris, William Fryer di Sandakan.[5]
  2. Daeng Passawa atau Pengeran Kuning bersama orang-orang dan ahli keluarganya (masyarakat Bugis Wajo yang menetap di sekitar Samarinda selama ratusan tahun) dari Kutei di Kalimantan Timur, yang bertindak atas arahan Belanda yang juga mahu menguasai kawasan penempatan di Tawau.
  3. Daing Mepata yang mengetuai 85 orang lelaki Bugis Wajo dari Sengkang di Sulawesi Selatan untuk membuka kawasan penanaman kelapa pada di Tawau Lama sekitar tahun 1900an.[6]

Semua lelaki Bugis ini telah berkahwin dengan masyarakat tempatan dan mengamalkan adat dan budaya hidup setempat iaitu adat Melayu. Misalnya Daeng Mepata telah berkahwin dengan gadis Bajau-Suluk Tawau dan anaknya Daeng Kerahu berkahwin dengan gadis Bugis-Suluk Tawau. Ahmat Mepata dan Jainal Kerahu adalah antara orang orang keturunan Melayu Berdarah Campuran Bugis yang dikenali di Tawau dan banyak berjasa kepada masyarakat Melayu Tawau. Serang Saman adalah orang Melayu keturunan Bugis-Suluk yang berkhidmat di pejabat daerah dan pejabat residen Inggeris bersama sama pemimpin pemimpin Melayu lain seperti Kee Abdullah, Imam Mustafa dan Habib Sheikh sekitar tahun 1900an hingga 1920an ( Rujuk : Buku 'Borneo Under The Sun' , Nicholas Chung , Natural History Publication , 2005 ) . Hari ini banyak keturunan daripada Serang Saman ini menjadi sebahagian dari ahli masyarakat Melayu di Tawau. Mereka tidak lagi menganggap diri sebagai orang Bugis kerana keturunan mereka sudah bercampur baur dan berkahwin sesama orang-orang Melayu dari keturunan lain seperti Melayu Banjar, Melayu Jawa, Melayu Peranakan Arab, Melayu Suluk dan Melayu Tidung. Masyarakat Melayu Tempatan di Tawau adalah rumpun Melayu dari pelbagai keturunan seperti Melayu Tidung, Melayu Arab, Melayu Banjar, Melayu Jawa, Melayu Bugis , Melayu Suluk , Melayu Iban Muslim dan lain lain lagi.


( Nota : Menurut sejarah, kewujudan masyarakat Bugis Wajo di daerah Kesultanan Kutai di timur Kalimantan adalah bermula seawal kurun ke 15 iaitu selepas berlakunya Perjanjian Bungaya pada 18 November 1667. Perjanjian Bungaya ini ialah perjanjian yang terpaksa ditandatangani oleh Kerajaan Gowa ( Sultan Hassanudin ) selepas dikalahkan oleh angkatan laut Belanda ( Laksamana Speelman ) yang dibantu oleh orang-orang Bugis Bone ( Arung Palakka ) yang menyerang dari darat. Sebahagian orang-orang Bugis Wajo yang menyokong kerajaan Gowa tidak mahu tunduk dan patuh terhadap isi perjanjian Bungaya tersebut, mereka tetap meneruskan perjuangan melawan Belanda. Ada pula yang berhijrah ke tempat lain termasuklah ke daerah Kesultanan Kutai iaitu rombongan yang dipimpin Pua Ado yang pertama. Kedatangan orang-orang Bugis Wajo dari Kerajaan Gowa itu diterima dengan baik oleh Sultan Kutai. )

Kehadiran Bugis Indonesia di Tawau[sunting | sunting sumber]

Bugis tulen di Sabah ini sangat mementingkan akar umbi keturunan mereka. Mereka ini adalah sangat berbeza dan tidak sama seperti masyarakat Melayu yang mempunyai darah keturunan Bugis. Ini menyebabkan Bugis Tulen ini lebih bersifat mengutamakan kaum atau bangsa sendiri dan mereka tidak suka berkahwin dengan masyarakat Melayu yang ada di Tawau. Bangsa Bugis di Tawau ini sangat menekankan adat dan tradisi Bugis dalam kehidupan mereka dimana adat Bugis mereka ini yang sama diamalkan di Indonesia ini sangat berbeza dengan adat Melayu. Ini menyebabkan cara kehidupan mereka sukar diterima oleh masyarakat Melayu tempatan. Mereka juga lebih suka berhubungan rapat dengan saudara mereka yang masih terdapat ramai di Sulawasi Selatan. Bugis tulen ini sebenarnya adalah masyarakat Bugis Indonesia yang datang mencari kerja di Tawau selepas kewujudan negara INDONESIA. Pada asalnya, jumlah pekerja Bugis Indonesia ini agak terkawal kerana mereka sebenarnya dijemput untuk bekerja di ladang ladang koko, kelapa sawit dan kem kem pembalakan. Namun, setelah Tawau menjadi lubuk pekerjaan yang bergaji lumayan, kehadiran bangsa Bugis Indonesia sudah tidak terkawal. Jumlah mereka ini semakin bertambah hingga ke hari ini sehingga mencecah ratusan ribu orang di seluruh negeri Sabah.

Di Sabah, bangsa Bugis ini tidak diiktiraf sebagai penduk peribumi ( natives ) dan diberikan syarat yang ketat dalam pemilikan Tanah. Bugis Indonesia dapat dibezakan dengan Melayu Bugis ialah melalui nama mereka. Nama nama Bugis di antaranya ialah seperti Bachok, Ambok, Beche, Beddu, Bula, Bolong, Patawari, Mapiase dan Picho. Namun, anak anak mereka sudah tidak lagi menggunakan nama nama Bugis sebaliknya menggunakan nama nama Melayu seperti masyarakat Melayu tempatan. Loghat pertuturan Bugis Tulen atau Bugis Indonesia ketika menggunakan bahasa Melayu juga berbeza dengan loghat Melayu tempatan namun anak anak mereka sudah malu untuk bertutur menggunakan loghat Bugis Tulen sebaliknya bertutur menggunakan loghat Melayu Tawau tidak seperti ibu bapa mereka yang pekat menggunakan loghat Bugis mereka selain bertutur dalam bahasa Bugis sendiri yang tidak difahami oleh masyarakat tempatan.

Sebenarnya orang orang Bugis ini berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia. Kewujudan mereka di Sabah adalah sejak abad ke-19, iaitu ketika wilayah Tawau menjadi sebahagian daripada kawasan jajahan orang-orang Inggeris iaitu melalui Syarikat (Berpiagam) Borneo Utara. Mengikut catatan The North Borneo Annual Volume (1955-1965) menyatakan sistem pentadbiran bermula pada tahun 1898, iaitu berikutan langkah-langkah pihak Syarikat (berpiagam) Borneo Utara membuka sebuah penempatan di Tawau dan seterusnya mengadakan asas-asas pentadbiran kerajaan tempatan di situ. pada 1947.( Rujuk : Sejarah Penghijrahan Bugis dari Sulawesi selepas Kemerdekaan Indonesia 1947 ). Namun kehadiran perantau Bugis ini tidaklah ramai dan mereka semuanya telah menjadikan diri mereka menjadi sebahagian masyarakat Melayu Tawau. Mereka berkahwin dengan penduduk peribumi tempatan seperti Tidung dan Suluk dan tidak lagi berbahasa Bugis dan mengamalkan adat dan cara hidup Melayu Tawau. Misalnya, Serang Saman, seorang yang mahir dalam pengendalian urusan di pelabuhan telah dilantik oleh kerajaan British untuk menjawat jawatan di pejabat residen bersama sama Penghulu Tawau ( OKK ) iaitu OKK Kee Abdullah. Keturunan Serang Saman ini masih wujud di Tawau hingga ke hari ini dan menganggap diri mereka adalah orang orang Melayu Tawau yang mengamalkan adat dan budaya Melayu. Mereka juga tidak tahu berbahasa Bugis dan tidak ada hubungan dengan rakyat di Indonesia kerana mereka adalah rakyat Malaysia sepenuhnya yang pernah memperjuangkan bangsa Melayu ketika zaman Jepun dan penyatuan bangsa Melayu sebelum merdeka dari penjajahan British. Mereka bersama sama Datuk Abu Bakar Titingan, Penghulu Jainal Kerahu dan ramai lagi pemimpin Melayu bersatu di bawah PKMT ( Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu ) pada 1945 dan seterusnya bersatu di bawah USNO ( Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu ) pada 1961.

Namun setelah kemerdekaan Sabah melalui Malaysia pada 1963, telah muncul kehadiran warga-warga indonesia dari bangsa Bugis ke Tawau. Kesukaran mencari pekerjaan di Indonesia menyebabkan mereka sanggup meninggalkan tanah air mereka menggunakan kapal untuk datang mencari rezeki di Tawau yang menjanjikan kehidupan yang lebih menjamin kesenangan. Kehadiran mereka di Sabah asalnya adalah sebagai warga buruh yang bekerja di ladang-ladang koko, ladang-ladang kelapa sawit dan juga di kem-kem pembalakan. Umumnya, masyarakat Indonesia di Sabah, majoritinya adalah daripada kalangan Bugis.( Rujuk : Bancian Data Pekerja Asing di Sabah ). Tak kiralah yang masih memegang pasport pekerja, bekerja secara tidak sah ataupun yang diberikan taraf warganegara Malaysia.

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Buku 'Borneo Under the Sun', tulisan Nicholas Chung, Terbitan Natural History Publication: 2005.[pautan mati kekal]
  2. ^ Kajian Asal Usul dan Adat Resam Bugis di Sulawesi
  3. ^ Rujuk : Ken Gotlet, Tawau The Making of a Tropical Community, Opus Publication, 2010.
  4. ^ Suku Kaum Bugis.
  5. ^ Tawau The Making of the Tropical Community, Ken Goodlet, Opus Publication, 2009
  6. ^ Borneo Under The Sun, Nicholas Chung, Natural History Publication, 2005

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Buku : Tawau The Making of a Tropical Community , Ken Gotlet , 2010 , Opus Publication.
  • Buku 'Borneo Under the Sun', tulisan Nicholas Chung, Terbitan Natural History Publication: 2005
  • Buku "Bugis Sabah", suntingan Asmiaty Amat. Terbitan ITBM. 2012. ISBN 9789830688589.
  • Pendatang Kaum Bugis Indonesia di Tawau] Perpustakaan Wilayah Tawau.
  • Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tawau dan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah.
  • Sejarah dan budaya Bugis di Tawau, Sabah oleh Suraya Sintang.
  • Persatuan Kebajikan Bugis Sabah