Tamparuli

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Tamparuli
Transkripsi lain
 • Jawiتمڤارولي
 • Cina担波罗里
Pekan Tamparuli
Pekan Tamparuli
Etimologi: Jambatan gantung sementara (Temporary)
Lokasi daerah Tuaran merangkumi pekan Tamparuli dan daerah kecil Tamparuli
Lokasi daerah Tuaran merangkumi pekan Tamparuli dan daerah kecil Tamparuli
Tamparuli yang terletak di Malaysia Timur
Tamparuli
Tamparuli
Lokasi daerah Tuaran merangkumi pekan Tamparuli dan daerah kecil Tamparuli
Koordinat: 6°8′N 116°16′E / 6.133°N 116.267°E / 6.133; 116.267Koordinat: 6°8′N 116°16′E / 6.133°N 116.267°E / 6.133; 116.267
Negara Malaysia
Negeri Sabah
BahagianPantai Barat
DaerahTuaran
Kerajaan
 • BadanPejabat Daerah Kecil Tamparuli dan Majlis Daerah Tuaran
 • Ketua Masyarakat Tempatan (Ketua Daerah)Johnny Tanggar
 • Penolong Pegawai DaerahHerman Tunggiging
 • DUNYang Berhormat Datuk Jahid Jahim (GBS-PBS) (Tamparuli) Gabungan Bersatu Sabah Pbslogo.JPG
Luas
 • Jumlah499 km2 (192.665 batu persegi)
Ketinggian
19 m (62 ft)
Populasi
 (2010)
 • Jumlah1,402
 Populasi di sekitar Tamparuli sahaja tidak termasuk secara keseluruhan daerah kecil Tamparuli.
Zon waktuMST
Poskod
8925X
Kod kawasan088
Kawasan KejirananTuaran
Tamu MingguanRabu
Laman webww2.sabah.gov.my/dktmp/

Tamparuli (Tulisan Jawi: تمڤارولي‎), merupakan sebuah pekan dan daerah kecil yang terletak di daerah Tuaran, Pantai Barat Sabah, Malaysia.[1] Kawasan Tamparuli mempunyai sebuah pejabat daerah kecil sendiri untuk mengurus pentadbiran dan juga merupakan sebuah mukim di daerah Tuaran.[2] Kebanyakan penduduk di sini berbangsa Kadazan-Dusun. Di samping itu, terdapat juga masyarakat berbangsa Cina (Kebanyakan adalah Hakka) yang berniaga di sini.[1] Jarak pekan Tamparuli ke bandar Kota Kinabalu adalah lebih kurang 36 kilometer[3]manakala jarak pekan Tamparuli ke pekan Tuaran adalah 9 kilometer. Tamparuli terkenal dengan daya tarikannya iaitu mempunyai jambatan gantung terpanjang, dengan terciptanya lagu Jambatan Tamparuli, yang kini menjadi lagu kegemaran bagi kaum Kadazan Dusun. Lirik awal di bawah adalah lagu Jambatan Tamparuli yang dicipta oleh Justin Lusah iaitu penyanyi tempatan yang terkenal di Sabah;[4]

Pak pak* kang ku doh (Pak pak saya melangkah)

Sumunsui doh jambatan (Menyusur/meniti jambatan)

Jambatan doh Tamparuli (Jambatan Tamparuli)

Bakasut tinggi oku (Saya memakai kasut tinggi)

*Pak pak disebut 'pok pok', merujuk kepada bunyi tapak kasut/kaki dan dalam lagu ini adalah bunyi tapak kasut tinggi.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Asal-usul nama ‘Tamparuli’ mempunyai versi yang berbeza dari pelbagai cerita masyarakat sejak bertahun yang lalu.[5] Versi asal yang paling popular ialah pekan Tamparuli dinamakan sempena jambatan gantung sementara dibangunkan oleh pegawai British yang tidak dikenali.[5] Jambatan gantung sementara dibina untuk menggantikan jambatan gantung lama yang dahulunya rosak akibat banjir.[5] Berdasarkan cerita masyarakat, pegawai British tersebut berpaling ke arah penduduk tempatan dan berkata ‘jambatan ini bersifat sementara’.[5] Oleh itu, perkataan sementara (Temporary) disebut secara beransur-ansur sehingga lama-kelamaan ia dipanggil Tamparuli.[5][6]

Versi kedua dipetik semasa pendudukan Jepun di Sabah pada tahun 1942 hingga tahun 1944. Pada masa itu, kawasan Tamparuli telah digunakan oleh tentera Jepun sebagai pangkalan untuk kenderaan berat seperti lori trak. Kemudian, penduduk setempat memanggil kawasan tersebut dikenali sebagai Tempat Lori sehinggalah ia dinamakan Tamparuli.[1] Menurut sumber lain, pekan Tamparuli juga mendapat nama dari perkataan yang dikenali sebagai ditampar oleh air dan, nama ini berasal dari perkataan Brunei, iaitu pedagang dari Brunei yang datang ke Tamparuli mempunyai masalah untuk naik ke hulu kerana aliran air sungai yang deras. Ayat ditampar oleh air seterusnya dijadikan nama Tamparuli.[7]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Asal-usul Pekan Tamparuli[sunting | sunting sumber]

Pekan Tamparuli pada asalnya dikenali sebagai Bontoi (sebenarnya merujuk kepada sebuah kampung kecil di kawasan itu) dan, Bontoi nama kampung bermaksud sebuah jambatan yang dipercayai telah wujud lebih daripada 200 tahun yang lalu sebelum disebut Tamparuli.[8] Dari sebuah kampung kecil, Tamparuli kemudian berkembang menjadi sebuah pekan. Perubahan itu berlaku selepas beberapa peniaga dari luar, terutamanya di kalangan orang Cina dari Tuaran telah menubuhkan beberapa kedai kayu kecil pada tahun 1930-an.[9] Pekan Tamparuli dipercayai telah ditubuhkan dan dibangunkan di kawasan bekas tapak ladang getah oleh sekumpulan keluarga Cina sekitar tahun 1920an-1930an.[5] Pekan itu juga dibina di tepi seberang sungai berhampiran dengan tempat yang disebut Bontoi dan menjadi lokasi tempat letak lori pada waktu malam semasa pendudukan Jepun.[5] Semasa pendudukan orang Inggeris, bangunan rumah kedai kayu terawal di pekan Tamparuli dibina pada tahun 1946, setahun selepas Perang Dunia Kedua.[5] Rumah kedai bersejarah Tamparuli yang ditulis pada bahagian konkrit dipercayai telah siap pada 5 September 1954 iaitu tiga tahun sebelum Hari Kemerdekaan Malaya pada tahun 1957.[5]

Tugu peringatan[sunting | sunting sumber]

Plak pada bahagian tugu peringatan

Terdapat sebuah tugu dipercayai berusia lebih dari 60 tahun yang telah dibina berdekatan dengan kawasaan pasar di pekan Tamparuli. Mengikut sumber sejarah, tujuan tugu tersebut dibina bagi memperingati dua tentera British yang maut di sungai berhampiran sewaktu kenderaan pacuan empat roda jenis Land Rover yang mereka naiki menyeberang jambatan Tamparuli pada 18 Mei 1960.[10] Tentera British yang maut bernama JWN Hall daripada Kor Kesihatan Diraja dan pemandu, DC Cooper daripada Kor Perkhidmatan Diraja yang berpangkalan di Kem Paradise, Kota Belud. Tragedi malang itu berlaku sewaktu dua anggota tentera terbabit dalam perjalanan menghantar seorang wanita cedera parah dari Kampung Sayap, Kota Belud ke hospital di Jesselton. Pada ketika itu, kenderaan terbabit berada di pertengahan jambatan dan secara tidak dijangka arus deras sungai telah berlaku menyebabkan kenderaan itu dibawah hanyut. Mayat tiga mangsa nahas itu ditemukan dengan dua masih berada di dalam kereta pacuan empat roda iaitu Land Rover yang dihanyutkan arus deras itu.[11] Tiga hari kemudian, dua anggota tentera British itu dikebumikan di perkuburan tentera Kem Paradise, Kota Belud.[12] Tugu peringatan ini juga menjadi salah satu tempat pengunjung sebagai daya tarikan di pekan Tamparuli.

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Majlis Daerah Tuaran[sunting | sunting sumber]

Daerah kecil Tamparuli masih di bawah naungan pentadbiran Majlis daerah Tuaran.[13][14]

Pejabat Daerah Kecil Tamparuli[sunting | sunting sumber]

Pejabat Daerah Kecil Tamparuli

Pada mulanya, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli memulakan perkhidmatan kepada masyarakat kawasan Tamparuli pada tahun 1977 seramai 14 orang kakitangan yang terletak di sebuah kedai pekan Tamparuli.[2] Pada tahun 1982, pentadbiran daerah kecil Tamparuli berpindah ke bangunan sendiri berhampiran dengan pekan Tamparuli di jalan kampung Bawang.[2] Pada tahun 2004, pusat pentadbiran daerah telah dipindahkan ke bangunan baru yang mana bangunan tersebut menempatkan 38 kakitangan termasuk mahkamah anak negeri, Tamparuli.[2]

Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli[sunting | sunting sumber]

Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli yang terkini ialah Tuan Herman Tunggiging.

Senarai Nama Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli[15]
Bil Tarikh Perkhidmatan Nama Pegawai
1 1977 hingga 1979 Azman I.M. Imbayan @ Edmund Jaiku
2 1980 hingga 1981 Felix Kadayium
3 Ogos 1981 hingga Disember 1981 Victor Moosom
4 1982 hingga 1985 Jeffery Ghani
5 1986 hingga 1991 Jimmy Kojuna
6 1991 hingga 1994 Edwin Siagian
7 1994 hingga 1996 Victor Moosom
8 1997 hingga Jun 1999 Robert Stidi
9 Jun 1999 hingga Oktober 2000 Lian Awang
10 November 2000 hingga Disember 2002 Steven Galono
11 Januari 2003 hingga Oktober 2010 Edip Abun
12 Oktober 2010 hingga 1 April 2019 Celestinus Lawanding
13 1 April 2019 hingga 5 April 2020 Joseph Bangguan
14 6 April 2020 - Penyandang Kini Herman Tunggiging

Mukim[sunting | sunting sumber]

Daerah Tuaran mempunyai 3 buah kawasan pentadbiran iaitu;[16]

  • Kawasan Tamparuli
  • Kawasan Kiulu
  • Kawasan Sulaman

Dibawah kawasan Tamparuli terbahagi kepada 5 Mukim iaitu;[16]

  • Mukim Tamparuli
  • Mukim Tenghilan
  • Mukim Topokon
  • Mukim Mangkaladoi
  • Mukim Tuaran Bandar

Dibawah Mukim Tamparuli terdiri daripada 12 buah kampung iaitu;[17]

  • Kampung Telibong
  • Kampung Pitas
  • Kampung Tengkurangoh
  • Kampung Sawah
  • Kampung Bundung
  • Kampung Damat
  • Kampung Bulieng
  • Kampung Sungai Damit
  • Kampung Bintangor
  • Kampung Bantayan
  • Kampung Tamparuli
  • Pekan Tamparuli

Struktur Senibina[sunting | sunting sumber]

Bangunan[sunting | sunting sumber]

Kedai lama Pekan Tamparuli

Seperti banyak pekan-pekan lain di Sabah dan sememangnya Malaysia secara keseluruhan, pekan Tamparuli sendiri terdiri daripada bangunan kedai runcit konkrit yang baru serta kayu-kayu lama.[18] Pekan Tamparuli mempunyai empat buah deret rumah kedai kayu yang dibina sekitar tahun 1946 iaitu setahun selepas berlakunya Perang Dunia Kedua.[19] Rumah kedai kayu bersejarah ini sama seperti struktur binaan di kawasan daerah Tuaran seperti pekan Tenghilan dan pekan Tuaran.[19] Rumah kedai lama Tamparuli telah diukur kira-kira 20' x 80' (6.06 m x 24.3 m) dan setiap unit dipanjangkan ke bahagian belakang, dengan halaman pusat di tengah.[5] Ciri fizikal rumah kedai kayu ini adalah jenis bertingkat iaitu bahagian atas adalah ruangan untuk kediamaan bagi para peniaga manakala ruangan dibawah khas untuk menjalankan urus niaga yang kebanyakan diusahakan oleh golongan cina.[19] Deretan rumah kedai kayu bersejarah ini turut mempunyai ruangan kaki lima yang berfungsi sebagai tempat memaparkan barangan jualan serta menjadi ruangan pejalan kaki.[19] Namun, rumah kedai kayu bersejarah di pekan Tamparuli ini hanya tinggal dua sahaja disebabkan kemusnahan akibat bencana kebakaran pada tahun 2008 dan 1976.[20] Bangunan kedai lama di Tamparuli memiliki sejarah berharga untuk diwarisi dan dibangunkan dengan menarik perhatian pengunjung luar ke pekan tesebut.[21] Pekan Tamparuli dikatakan mempunyai potensi untuk berkembang dengan adanya kemudahan tapak bangunan konkrit baru yang dikenali sebagai Tamparuli Point dan kawasan pasar raya Bataras Tamparuli.

Jambatan[sunting | sunting sumber]

Jambatan untuk laluan kenderaan dibina oleh para jurutera British pada tahun 1960-an dengan menggunakan gabungan simen dan besi.[1]

Cerita rakyat[sunting | sunting sumber]

Kisah Lagenda Solungkoi dan Jambatan Tamparuli[sunting | sunting sumber]

Kisah Solungkoi dan Robinson merupakan sebuah kisah lagenda di sebalik pembinaan jambatan Tamparuli yang baru sahaja dimulakan sekitar tahun 1950. menurut cerita masyarakat zaman dahulu, ketika kerja-kerja jambatan baru saja dimulakan, seorang pegawai British bernama Robinson yang ditugaskan untuk menguruskan kerja-kerja pembinaan tersebut dan kebetulan telah menemui seorang gadis (Sumandak) Dusun yang cantik rupawan bernama Solungkoi. Kecantikan Solungkoi menarik minat robinson dan menyebabkan beliau jatuh cinta terhadap Solungkoi dengan memasang impian untuk menjadikan Solungkoi kekasih hatinya, dan pada masa yang sama Solungkoi juga mempunyai perasaan yang sama dengan Robinson. Pada masa itu juga, seorang jejaka tempatan bernama Intang juga turut menyimpan perasaan cinta kepada Solungkoi secara diam-diam, malangnya Solungkoi telah memilih Robinson sebagai buah hatinya, mungkin disebabkan ketampanan dan pangkat yang ada pada Robinson berbanding Intang yang cuma menjadi kuli Robinson.

Jambatan Tamparuli yang dibina sering kali runtuh, setiap kali dibina semula, jambatan itu akan runtuh seolah-olah mendahagakan ‘sesuatu’ untuk dijadikan korban agar binaannya akan menjadi sempurna. Dengan masalah ini berlaku, Robinson mengarahkan Intang untuk mencari punca masalah Jambatan yang sering kali runtuh. Intang kemudiannya berjumpa dengan Seorang bomoh yang dikenali sebagai Odu (nenek) dan Bomoh tersebut memberitahu Intang kononnya Tombuakar tersebut sangat marah kepada manusia kerana membuat tapak pembinaan Jambatan Tamparuli yang mengganggu kawasan tempat tinggalnya. Bomoh tersebut mempunyai ilmu kepakaran dalam ilmu ghaib dan bidang pemujaan (mengubati penyakit dan menghalau hantu) menyarankan agar mereka melakukan satu upacara sebagai tanda permohonan maaf atas kerosakan rumah Tombuakar tersebut. Oleh itu, Tombuakar adalah hantu air yang mahukan nyawa seorang gadis cantik sebagai korban, dan sememangnya tiada gadis lain yang lebih cantik selain Solungkoi pada ketika itu.

Dengan adanya rasa perasaan cemburu dan dendam dalam diri Intang kerana cintanya telah ditolak oleh Solungkoi. Intang telah menghasut Robinson untuk menjadikan Solungkoi sebagi korban di Jambatan Tamparuli untuk Tombuakar. Intang juga berusaha meyakinkan kepada Odu untuk memutuskan bahawa Solungkoi lah gadis pilihan yang harus dikorbankan. Robinson yang dalam dilema untuk memilih antara jambatan ataupun buah hatinya itu akhirnya terpaksa membuat keputusan melepaskan Solungkoi sebagai korban demi tugasan, demi jawatan dan demi Jambatan Tamparuli. Kisah ini masih menjadi bahan cerita masyarakat sehingga hari ini yang dikaitkan dengan Jambatan Tamparuli yang masih kukuh sehingga hari ini.[22] Ada masyarakat yang mengatakan bahawa cerita lagenda ini hanyalah mitos, namun seperti yang disahkan oleh orang-orang yang pernah menyelam di bawah jambatan Sungai Tamparuli mendapati plat besi terukir nama Solungkoi masih dapat dilihat sehingga ke hari ini.

Kisah Lagenda Gunsoloi dan Bukit Perahu[sunting | sunting sumber]

Cerita ini mengisahkan seorang jejaka Tamparuli yang kacak bernama Gunsoloi yang mempunyai ciri-ciri personaliti seperti sopan-santun, berbudi bahasa, rajin dan turut mempunyai tubuh fizikal yang tegap. Beliau juga seorang yang sangat taat kepada ibunya. Pada zaman dahulu, penduduk-penduduk di Tamparuli masih percaya kepada ramalan bomoh atau dikenali sebagai bobohizan/momolian dimana mereka menjadi perantaraan kepada Tuhan/dewa (Kinoingan).

Pada suatu hari, Bobohizan meramalkan bahawa akan berlaku gerhana matahari dan akan ada berlaku banjir besar yang akan menenggelamkan kawasan Tamparuli. Setelah beliau mendengar khabar tersebut, Gunsoloi mengambil keputusan dengan mencari sebatang pokok yang besar untuk dijadikan perahu bagi menyelamatkan keluarga dan penduduk kampungnya. Setelah beberapa hari pergi ke hutan, Gunsoloi menjumpai sebatang pokok yang cukup besar di atas bukit yang sesuai untuk dijadikan perahu. Keesokan harinya, Gunsoloi pun mula membuat perahu. Setiap pagi dia akan berjalan kaki dan memanjat bukit untuk menyiapkan perahu tersebut.

Setiap hari ibu Gunsoloi akan membekalkan nasi untuk Gunsoloi sebelum beliau pergi meneruskan membina perahu tersebut. Pada satu ketika, Gunsoloi menjadi hairan kerana mendapati nasi yang dibekalkan oleh ibunya telah bertukar, dan ianya berterusan selama beberapa hari. Nasi putih yang dibawanya bertukar kepada Nasi merah dan apabila dia membawa bekal nasi merah ia akan bertukar kepada nasi putih. Gunsoloi pun memikirkan punca kejadian itu berlaku. Setiap pagi dia bertanyakan kepada ibunya nasi apa yang akan dibekalnya untuk mengetahuinya kejadian tersebut. Sehingga suatu ketika, Gunsoloi mendapati nasi yang dibawanya tertukar dengan makanan orang bunian yang tinggal dikawasan bukit tersebut iaitu makanan puteri bunian. Oleh itu, Gunsoloi pun telah jatuh cinta pada puteri bunian yang jelita dan beliau pun mengambil keputusan untuk bermalam di bukit tersebut sambil menyiapkan perahunya. Sejak kejadian itu, Gunsoloi yang begitu taat dengan ibunya mula untuk jarang balik ke rumah dan akhirnya dia tidak kembali lagi ke rumah setelah berkahwin dengan puteri bunian.

Hari yang diramalkan oleh Bobohizan semakin tiba, gerhana matahari dan kemungkinan hujan lebat akan berlaku. Gunsoloi yang ketika itu berada di alam bunian meminta kebenaran daripada isterinya iaitu puteri Bunian untuk pulang sekejap berjumpa keluarganya untuk memberitahu bahawa dia sudah berkahwin di alam bunian dan juga berjaya menyiapkan perahu tersebut. Puteri bunian pun membenarkan Gunsoloi untuk pulang dengan syarat Gunsoloi mesti pulang semula ke rumah alam bunian sebelum gerhana matahari berakhir.

Ketika Gunsoloi sampai di rumahnya, gerhana matahari baru hendak bermula. Gunsoloi pun bertemu ibunya dan menceritakan tentang perkahwinannya dengan puteri bunian dan tentang perahu yang berjaya disiapkannya. Sebelum gerhana matahari berakhir, Gunsoloi ingin pulang semula ke alam bunian. Tetapi ibunya menghalangnya kerana Gunsoloi baru sahaja pulang setelah hilang sekian lama. Gunsoloi tetap dengan pendiriannya untuk balik ke alam bunian, ibunya berasa kecil hati dan kecewa terhadap Gunsoloi yang dahulunya taat dan kini berubah sama sekali. Gunsoloi kemudiannya berlari keluar rumah dan pergi ke tempat rumah alam bunian tersebut, diikuti oleh ibunya yang sedang menangis dan disaksikan gerhana matahari.

Gerhana matahari tersebut terharu akan kesedihan ibu Gunsoloi dan mula menitiskan air mata dikawasan bukit Perahu yang dibina oleh Gunsoloi. Titisan air mata daripada gerhana matahari tersebut menukarkan semua barang-barang keperluan Gunsoloi menjadi batu. Sejak dari hari itu, Gunsoloi hilang begitu sahaja dan tidak dapat dipastikan sama ada dia kembali ke pangkuan isterinya atau turut bertukar menjadi batu sehingga ke hari ini.[23][24]

Demografi penduduk[sunting | sunting sumber]

Etnik[sunting | sunting sumber]

Jumlah penduduk sekitar Tamparuli[sunting | sunting sumber]

Menurut sumber statistik tahun 2010, jumlah populasi penduduk di sekitar Tamparuli mempunyai penduduk seramai 1,402 dan sebilangan besar daripada etnik Kadazan-Dusun (Kebanyakannya Dusun Lotud). Suku kaum yang asalnya tinggal di kawasan Tamparuli ialah orang Dusun Lotud.[1] Pembancian akan dilakukan pada hari banci pada 7 Julai 2020 untuk mengumpul dan mengetahui maklumat bilangan statistik penduduk terkini.[25]

Berikut merupakan jumlah penduduk di sekitar Tamparuli pada tahun 2010 mengikut kumpulan etnik, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan negeri, Malaysia;

Jumlah penduduk mengikut kumpulan etnik, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan negeri, Malaysia, 2010[26]
Tahun Melayu Kadazan/Dusun Bajau Murut Bumiputera Lain Cina India Lain-lain Bukan Warganegara Malaysia Jumlah Keseluruhan
2010 72 650 51 21 66 388 11 55 88 1,402
2020 (Akan Datang)
Etnik di sekitar Tamparuli - Bancian tahun 2010
Etnik Peratusan
Melayu
  
5.1%
Kadazan-Dusun
  
46.3%
Bajau
  
3.6%
Murut
  
1.5%
Bumiputera Lain
  
4.7%
Cina
  
27.7%
India
  
0.8%
Lain-Lain
  
4.0%
Bukan Warganegara Malaysia
  
6.3%

Jumlah penduduk Daerah Kecil Tamparuli[sunting | sunting sumber]

Jumlah penduduk daerah kecil Tamparuli yang merangkumi kawasan kampung-kampung lain seramai 31,500 pada tahun 2014 dan sebilangan besar juga adalah suku kaum Kadazan/Dusun (Kebanyakkan Dusun Lotud).[17] Orang Lotud dipercayai berasal dari Kampung Tambalugu, Puju, Lakang, Telibong, Tomui, Sungai Damit, Bantayan dan Kampung Nohirot sehingga kini.[1] Ini menunjukkan salah satu lokasi petempatan keluarga Kadazan/dusun berada di daerah kecil Tamparuli.[27]

Berikut merupakan jumlah penduduk di daerah kecil Tamparuli pada tahun 2014 mengikut jumlah peratusan;

Maklumat penduduk daerah kecil Tamparuli mengikut peratusan[17]
Tahun Kadazan/Dusun Cina Bajau Lain-lain Jumlah Keseluruhan
2014 77% 15% 8% Tidak Diketahui 31,500

Jantina[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan jumlah penduduk sekitar Tamparuli pada tahun 2010 mengikut pecahan jantina seperti berikut;

Jantina[26]
Tahun Lelaki Perempuan Jumlah
2010 703 699 1,402

Bahasa[sunting | sunting sumber]

Penduduk Tamparuli sememangnya di Sabah umumnya bercakap Bahasa Melayu dengan mempunyai bahasa campuran Sabah.[28] Jumlah penduduk Tamparuli yang berketurunan Kadazan/Dusun seramai 77% dan bahasa dusun majoriti dituturkan oleh penduduk Tamparuli.[17] Seterusnya, hampir 15% penduduk Tamparuli berketurunan Cina[17]iaitu bahasa Hakka dan Mandarin yang turut dituturkan oleh orang Cina di Tamparuli.

Geografi[sunting | sunting sumber]

Kedudukan Pekan Tamparuli yang berdekatan dengan kawasan-kawasan lain;

Dari sudut geografi, kawasan Tamparuli berada di kedudukan tengah dalam daerah Tuaran.[1] Daerah kecil Tamparuli mempunyai keluasan 499 kilometer persegi yang terletak di Pantai Barat Sabah.[17] Manakala, pekan Tamparuli dengan keluasan 35 kilometer persegi.[29] Banjaran Crocker merupakan bentuk muka bumi di kawasan Tamparuli dan juga meliputi daerah Tuaran dengan ketinggian diantara 1200 hingga 2500 meter dari paras laut.[30] Didapati lebih kurang 65% muka bumi daerah Tuaran termasuk Tamparuli adalah kawasan berbukit bukau.[30] Kawasan tanah rata hanya terdapat sedikit kawasan di sebelah menyebelah hilir sungai Tuaran bermula dari pekan Tamparuli hinggalah ke muara sungai Tuaran.[30]

Iklim[sunting | sunting sumber]

Pada dasarnya iklim daerah Tuaran yang merangkumi daerah kecil Tamparuli ialah iklim Khatulistiwa.[31] Pekan Tamparuli terletak pada koordinat 6°8′N 116°16′E / 6.133°N 116.267°E / 6.133; 116.267 dengan suhu mencapai di antara 25 hingga 31 darjah Celsius dan jarak 36 kilometer dari utara bandar Kota Kinabalu.[31] [32] Hujan tahunan di kawasan daerah Tuaran dan Tamparuli adalah antara 2500 mm hingga 3500 mm.[31] Hujan lebat kerapkali turun semasa Monsoon Barat Daya iaitu diantara bulan Mei hingga bulan Ogos tetapi hujan paling lebat turun semasa peralihan monsoon di antara bulan September dan bulan November.[31]

Ekonomi pertanian[sunting | sunting sumber]

Pelbagai jenis tanaman yang menjadi sumber pertanian di tamparuli termasuk nanas madu[33] yang dijual di Tamu Tamparuli. Terdapat juga tanaman lain seperti sayur-sayuran, buah-buahan (Campuran), kelapa, pisang, rempah (Halia/Kunyit/Lengkuas/Serai), padi bukit, koko dan sebagainya. Penduduk luar bandar di Tamparuli dan Kiulu juga menjadi tempat untuk mengusahakan penternakan lebah kelulut atau lebih dikenali Tantadan dalam kalangan masyarakat Dusun untuk menjana pendapatan sampingan dan tujuan perubatan.[34]

Bencana[sunting | sunting sumber]

Banjir[sunting | sunting sumber]

Banjir mempunyai rekod sejarah di daerah Tamparuli yang mengingatkan masyarakat sehingga hari ini, banjir juga turut memberi kesan kepada kawasan lain seperti Tuaran, Tenghilan, Topokon dan daerah-daerah lain di Sabah. Pada tahun 1999, kawasan Tamparuli telah dilanda banjir besar yang membawa banyak kerosakan kemudahan awam dan juga kemusnahan jambatan gantung lama Tamparuli.[35] Seterusnya, banjir juga berlaku pada tahun 1996 disebabkan oleh Ribut Tropika Greg (1996 musim taufan Pasifik) yang melanda seluruh negeri Sabah. Daerah Tuaran terjejas, di mana jalan raya menghubungkan Tuaran dan Kota Kinabalu terputus akibat pokok yang jatuh, serta kekurangan bekalan elektrik di seluruh kawasan akibat kabel pecah atau tiang elektrik yang pecah. Oleh itu, ini menyebabkan sektor kerajaan dan sektor swasta tidak berfungsi dan, bekalan air juga menjadi masalah.[36] Di daerah Tamparuli, SK Saradan, SK Pekan Tamparuli, SK Rungus, SK Lingga Baru, SK Guakon dan SMK Tamparuli adalah sekolah yang melaporkan kes ini.[36]

Pada 15 Januari 2014, kawasan pekan Tamparuli dilanda tanah runtuh dan banjir.[37] Hujan yang tidak henti-henti menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir dan tanah runtuh yang berlaku di kampung Rangalau Baru.[37] Banjir teruk juga turut menyebabkan beberapa kenderaan terdampar dan tidak dapat keluar dari kawasan tersebut.[37] Sekarang, kejayaan 20 pelajar SMK Tamparuli telah mewujudkan sistem amaran banjir yang dipasang di Jambatan Lama Tamparuli di sini, yang memberi manfaat kepada lebih daripada 12,000 penduduk tempatan.[38] Oleh itu, sistem ini dapat membantu meningkatkan keselamatan dan memberi maklumat tentang banjir kepada masyarakat.

Kebakaran[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2008, kebakaran telah berlaku di kedai lama bersejarah Tamparuli yang mengakibatkan memusnahkan bangunan tersebut. Sekarang terdapat 2 buah deret rumah kedai kayu yang masih tinggal dan digunakan hingga sekarang bagi menjalankan perniagaan.[19] Pada tahun seterusnya, kawasan tapak kemusnahan tersebut dibina semula dengan bangunan jenis konkrit yang baru bagi menggantikan bangunan kedai lama yang musnah oleh kebakaran. Kedai lama bersejarah yang dibina menunjukkan mercu tanda bagi pekan tersebut.[20]

Kemudahan awam[sunting | sunting sumber]

Trek joging[sunting | sunting sumber]

Replika Patung ikan air tawar Tamparuli

Pekan Tamparuli mempunyai kemudahan seperti trek joging yang dibina di tepi tebing Sungai Tamparuli bagi masyarakat melakukan aktiviti riadah dengan jarak ukuran kira-kira 1 kilometer.[39] Tambahan pula, replika patung ikan air tawar berdekatan dengan trek joging yang turut menyumbang kepada daya tarikan masyarakat serta pengunjung ke daerah Tamparuli untuk melakukan aktiviti riadah dan digunakan sebagai simbol kawasan Tagal sejak tahun 2011. Replika patung ikan air tawar telah diwujudkan kira-kira tiga meter menggunakan konkrit dan ditempatkan di atas lima meter tiang konkrit, dikelilingi oleh bangku untuk pengunjung berehat. Selain itu, kemudahan trek joging ini disediakan berdekatan dengan kantin kecil dan pondok. Menurut Yang Berhormat Datuk Jahid Jahim, beliau berharap akan dapat memasang lampu sepanjang trek joging serta membina latihan regangan untuk meningkatkan keselamatan dan juga memberi keselesaan kepada masyarakat pada masa akan datang.[40]

Pusat MyCyber Komuniti@Sabah[sunting | sunting sumber]

Pusat MyCyber Komuniti@Sabah yang berada di kawasan Tamparuli merupakan pusat pertama yang dibangunkan di negeri Sabah dan Koperasi Tokou Sabah Bhd telah diberi kuasa tanggungjawab untuk membangunkan pusat tersebut untuk lebih progresif.[41] Pusat MyCyber Komuniti@Sabah ini terletak di kawasan bangunan Tamparuli Point. Tamparuli dipilih menjadi pusat ICT bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai kepentingan penggunaan komputer dan Internet secara positif. Kemudahan ini juga amat penting bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di Tamparuli agar dapat menikmati kemudahan perkhidmatan ICT sejajar dengan perkembangan arus digital pada masa kini. Dengan adanya kemudahan seperti ini maka masyarakat lebih celik untuk meningkatkan pengetahuan menangani serangan siber, virus, penggodam dan lain-lain. CyberSecurity Malaysia dan Koperasi Tokou Sabah Bhd telah melakukan pertukaran memorandum perjanjian (MoA).[41]

Kemudahan lain[sunting | sunting sumber]

  1. Klinik
  2. Balai Polis
  3. Dewan Masyarakat Tun Hamdan
  4. Dewan Belia Tamparuli
  5. Pejabat Pos
  6. Perpustakaan
  7. Rumah Ibadat
  8. Sekolah
  9. Stesen Minyak
  10. 1 Food Court Tamparuli
  11. Pasar Raya (Bataras, G-Mart)
  12. Pejabat Daerah Kecil Tamparuli

Tempat penginapan[sunting | sunting sumber]

  • Hotel NaVita Inn[42]
  • Arvad's Cottage A[42]
  • Arvad's Cottage B[42]

Lebuhraya Tamparuli-Ranau[sunting | sunting sumber]

Rencana ini merujuk kepada rencana mengenai Lebuhraya Tamparuli-Ranau.

Lebuhraya Tamparuli-Ranau merupakan salah satu komponen rangkaian yang termasuk dalam jajaran Lebuhraya Pan-Borneo AH150.[43] Lebuhraya ini mempunyai jarak sepanjang 72 kilometer yang menghubungkan pekan Tamparuli dan pekan Ranau.[43] Lebuhraya ini juga digunakan untuk menghubungkan laluan ke kawasan Pantai Timur Sabah. Jenis permukaan di kawasan jalan Tamparuli-Ranau pula adalah lebih kepada jalan berbukit dan curam.

Berikut merupakan laluan lebuhraya yang menghubungkan pekan Tamparuli dan pekan Ranau;

Km Keluar Persimpangan Kepada Catatan
Tamparuli
Bulatan Berungis
Timur laut
Jkr-ft1.svg AH 150 Kota Belud
Jkr-ft1.svg AH 150 Tuaran

Selatan
Jkr-ft1.svg AH 150 Kota Kinabalu

*Dari bulatan Berungis menghala ke Timur
*Mula/Akhir Laluan Persekutuan 22
*Bermula Jalan raya kembar dari bulatan Berungis hingga bulatan Tamparuli.
Pusat pekan Tamparuli Selatan
Jalan Tamparuli Lama
Pusat pekan Tamparuli
*Bulatan
*Akhir/Bermula jalan dua hala
Bulatan Tamparuli-Ranau Utara
Topokon
Jkr-ft1.svg Kota Belud

Selatan
Jalan Tamparuli Lama
Pusat pekan Tamparuli
*Bulatan
Jalan Tamparuli-Ranau,
Menggunakan gear rendah
*Kawasan jalan Tamparuli-Ranau lebih kepada berbukit.
Jalan Ranau Bypass Utara
Jalan Ranau Bypass
Kota Belud
*T-Simpang
Pekan Nabalu Zeichen 314-50 - Parkplatz, StVO 2013.svg Aiga toilets inv.svg Aiga restaurant inv.svg Surau (malaysia).jpg
Persinggahan buah-buahan dan pusat kraftangan di pekan Nabalu
*R&R kompleks
Bundu Tuhan *T-Simpang
Taman Negara Kinabalu *T-Simpang
Kundasang Pusat pekan Kundasang
Kundasang War Memorial
*Persimpangan
Ranau Utara
Mamut

Barat daya
Jkr-ft500.png
Jkr-ft501.png Bahagian Utara Lebuhraya Utara-Selatan
SA2Tambunan
Jkr-ft500.pngKeningau
*Persimpangan

Kawasan tarikan pelancong[sunting | sunting sumber]

Rumah Terbalik

Rumah Terbalik[sunting | sunting sumber]

Rumah Terbalik adalah rumah terbalik pertama di Malaysia dan menjadi tarikan utama pelancong untuk datang ke Rumah Terbalik. Bangunan ini terletak di sepanjang lebuh raya utama menuju Gunung Kinabalu, arung jeram Sungai Kiulu dan semua daerah di pantai timur Sabah (iaitu Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau) di Kampung Telibong, Batu 21, Jalan Telibong, Tamparuli, daerah Tuaran. Sejak dibuka pada Februari 2012, Rumah Terbalik Tamparuli menjadi lokasi utama pilihan pelancong tempatan mahupun luar negara jika berkunjung ke Sabah.[44] Ia adalah satu-satunya struktur jenis yang diketahui wujud di Malaysia setakat ini dan lawatan berpandu disediakan untuk pengunjung pada waktu siang, tengahari dan petang.[45]

Jambatan Gantung Tamparuli[sunting | sunting sumber]

Jambatan Tamparuli merupakan mercu tanda serta sinonim dengan Tamparuli

Jambatan gantung Tamparuli yang baru telah dibina pada awal tahun 1999 selepas berlakunya kejadian banjir luar biasa yang memusnahkan jambatan gantung lama Tamparuli.[35] Jambatan gantung yang baru ini mempunyai ukuran panjang lebih dari 100 meter dan direkodkan sebagai jambatan gantung terpanjang di Sabah.[35][46] Bersebelahan jambatan gantung tersebut ialah jambatan lama Tamparuli untuk laluan kenderaan dari arah Kota Kinabalu-Tamparuli yang dibina oleh tentera British sekitar tahun 1960. Jambatan Tamparuli yang dibina adalah untuk laluan trafik kenderaan untuk merentasi sungai dan kerap dibanjiri semasa hujan lebat. Jambatan gantung dikenali sebagai Jambatan Tamparuli adalah tarikan popular untuk tempat perhentian para pengunjung untuk mengambil gambar di pekan Tamparuli.[47] Jambatan itu menjadi terkenal selepas lagu yang dinamakan sempena jambatan itu dinyanyikan oleh penyanyi tempatan terkenal iaitu Justin Lusah dan mendiang John Gaisah. Selain itu, pelawat yang datang ke Jambatan Tamparuli juga disambut baik oleh persembahan muzik dan tarian tradisional Dusun yang indah di kaki jambatan Tamparuli bermula 1 September 2019.[48] Pertunjukan setiap hari secara percuma ditunjukkan oleh kebudayaan Tuaran Persatuan Seni (Festival), bertujuan untuk menghiburkan dan mewujudkan suasana yang berbeza bagi pengunjung dan memberi pengalaman yang berharga bagi mereka. Kumpulan muzik FESTIVAL terdiri daripada lima hingga 13 pemain, termasuk alat muzik seperti Marimba, Tagunggak, Sompoton, Suling, Skopion dan, Sompoton Kembar.[48] Jambatan gantung Tamparuli merupakan mercu tanda utama bagi Tamparuli yang dikenali ramai oleh masyarakat di seluruh dunia.

Chanteek Borneo Indigenous Museum[sunting | sunting sumber]

Chanteek Borneo Indigenous Museum adalah adalah pameran mini-muzium mempamerkan lebih daripada 300 anak patung Barbie, memakai pelbagai pakaian tradisional; dan objek kecil lain untuk mempamerkan keunikan budaya dan gaya hidup Bornean. Muzium ini ditubuhkan pada tahun 2014 dan dibuka untuk pengunjung setiap hari. Muzium ini terletak berhampiran dengan jalan raya Telibong – Tamparuli menuju ke Kundasang dan Ranau.[49]

Bukit Perahu[sunting | sunting sumber]

Pemandangan Bukit Perahu
Yang Berhormat Datuk Jahid Jahim dibantu oleh ahli peluncur sebelum melakukan aktiviti sukan meluncur udara

Bukit Ruhiang, yang lebih dikenali sebagai Bukit Perahu (Bukit St. Veronica), adalah tempat untuk aktiviti pendakian dan terletak berhampiran dengan Pekan Tamparuli.[50] Bukit Perahu terletak di belakang kuil Buddha yang berdekatan dengan tepi jalan menuju ke kampung Bawang dan kampung Togop, Tamparuli.[51] Dahulunya, jalan ini dikenali sebagai jalan Ranau lama dan terus menembusi ke Jalan Tamparuli-Ranau.[51] Bukit ini menjadi kawasan pilihan ramai para pendaki dan pelancong untuk mendaki bukit Perahu dan sesuai bagi para penggemar aktiviti sukan lasak membuat latihan kecergasan. Bukit Perahu yang terletak di Tamparuli juga dikenal pasti sebagai antara lokasi yang amat sesuai untuk aktiviti meluncur udara atau Paragliding.[51][52][53] Yang Berhormat Datuk Jahid Jahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli menjadi tetamu menyertai sukan meluncur udara ini dan dibantu bersama ahli-ahli daripada Borneo Air Sport Ozone Adventures.[54] Selain itu, terdapat juga tempat pendakian di Bukit Kusai yang merupakan salah satu tarikan pengunjung untuk melakukan aktiviti pendakian dan trek menunggang basikal.[55] Dari puncak Bukit Perahu dan Bukit Kusai, pengunjung dapat melihat pemandangan cantik Gunung Kinabalu pada waktu cerah. Pada setiap tahun, laluan Bukit Perahu atau Bukit St. Veronica juga adalah tempat upacara perarakan jalan salib bagi budaya agama Kristian untuk menyambut perayaan Jumaat Agung (Good Friday).[56][51]

JonGrapevines & Figs Garden[sunting | sunting sumber]

JonGrapevines & Figs Garden juga merupakan tarikan pelancong dan terletak di Kampung Bantayan, Tamparuli. Tempat ini menunjukkan pelbagai jenis anggur dan buah ara.[57]

Murug-Turug Eco Tourism (MTET)[sunting | sunting sumber]

Eko-pelancongan Murug-Turug (MTET) adalah salah satu tarikan pelancong untuk aktiviti luar melakukan pendakian dan perjalanan yang terletak di Kampung Minangkob, 11 kilometer dari pekan Tamparuli dan, 45 kilometer dari bandar Kota Kinabalu.[58]

Tamparuli Living Arts Centre (TaLAC)[sunting | sunting sumber]

Tamparuli Living Arts Centre (TaLAC) ditubuhkan bagi menyediakan pusat budaya dan sumber bagi seni hidup dan kreatif untuk masyarakat tempatan Sabah di Malaysia serta pengunjung luar. Tamparuli Living Arts Centre (TaLAC) terletak berhampiran pekan Tamparuli dan jambatan gantung Tamparuli yang merangkumi Sungai Tuaran. Terdapat banyak aktiviti yang dilakukan berkaitan dengan budaya seni dan lain-lain untuk menarik minat pengunjung luar ke tempat tersebut.[59]

Budaya[sunting | sunting sumber]

Tamu[sunting | sunting sumber]

Tamu Tamparuli telah lama wujud pada tahun 1974 yang lalu dan setiap pagi Rabu, Tamu atau dipanggil pasar terbuka asli diadakan di pekan Tamparuli. Di Tamu, hasil, makanan laut, makanan dan minuman tradisional, kraf tangan dan barang-barang lain dari Tamparuli dan kampung sekitarnya dibeli dan dijual.[60] Tamu Tamparuli juga adalah tempat terbaik bagi penduduk tempatan bergaul dan berkumpul bersama kerana mereka menjalankan perniagaan.[61] Tamu besar turut diadakan di pekan Tamparuli yang akan berlangsung pada 2 dan 3 Mac 2020 anjuran Persatuan Petani dan Penternak Petani (PETANAH).[62]

Sistem Tagal[sunting | sunting sumber]

Sistem Tagal atau dipanggil Bombon merupakan suatu budaya traditional penduduk di Sabah dalam memulihara sumber perikanan sungai. Sistem Tagal ini merupakan satu sistem yang telah lama diamalkan oleh masyarakat Kadazandusun di Tamparuli ataupun Sabah secara amnya. Salah satu kawasan yang dijadikan kawasan Tagal adalah Sungai Tamparuli yang berdekatan dengan jambatan Tamparuli. Budaya Tagal di Tamparuli dari segi pelaksanaannya dari tahun 1963 sehingga kini.[63] Sistem Tagal ini membantu menjaga sungai bagi mengelakkan penangkapan ikan secara haram dan tidak terancang. Pendekatan ini diusahakan oleh 11 buah perkampungan di daerah Tamparuli untuk menubuhkan sistem ini iaitu kampung Bawang, Gontung, Kiwoi, Bontoi, Rungus, Madang, Bundu Tohuri, Rani, Kayangat, Tomboilik dan Gayaratau.[64] Justeru, sistem Tagal ini tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya oleh penduduk kampung ataupun orang luar kecuali, terdapat masa tertentu yang ditetapkan khas untuk menangkap ikan. Sekiranya individu didapati menceroboh kawasan Tagal akan diambil tindakan tegas dengan merampas peralatan menangkap ikan dan turut dikenakan denda sebanyak RM50,000. Selanjutnya, melanggar peraturan sistem Tagal juga boleh dikenakan Sogit (denda) oleh Ketua Kampung atau Ketua Daerah berdasarkan Enakmen Perikanan Darat & Akuakultur Sabah 2003.[65] Sistem Tagal di sungai Tamparuli turut dijadikan kawasan eko-pelancongan dengan diusahakan lebih progresif bagi menarik ramai pengunjung ke pekan Tamparuli.

Hiburan[sunting | sunting sumber]

Poster Teater Muzikal Munduk Ruhiang: Tangisan Batu Perahu yang dipersembahkan oleh pelajar dari Universiti Malaysia Sabah

Persembahan[sunting | sunting sumber]

  • Teater Muzikal kisah Solungkoi Jambatan Tamparuli pada tahun 2018 yang dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.[66]
  • Pesta Muzik Bambu yang diadakan pada setiap tahun dihiburkan dengan persembahan muzikal menggunakan peralatan Muzik Bambu.[67] Terdapat juga persembahan dan aktiviti lain yang dijalankan sempena Pesta tersebut.[68]
  • Pementasan teater Muzikal Munduk Ruhiang: Tangisan Batu Perahu (Kisah Lagenda Gunsoloi dan Bukit Perahu) yang dipentaskan di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah pada tahun 2019.[69]

Orang terkenal[sunting | sunting sumber]

Artis[sunting | sunting sumber]

Politik[sunting | sunting sumber]

  • Yang Berhormat Datuk Jahid Jahim - DUN N.9 Tamparuli [72]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g Harry, George (2011-11-29). "HISTORY OF TAMPARULI". www.tamparulisabah.com. Dicapai pada 2019-12-15.
  2. ^ a b c d "SELAMAT DATANG KE PEJABAT DAERAH KECIL TAMPARULI". ww2.sabah.gov.my/dktmp/. Dicapai pada 2020-02-13.
  3. ^ "Tourist Attraction at Tamparuli Sabah". tamparulisabah.wordpress.com. 2011-07-11. Dicapai pada 2020-02-15.
  4. ^ Ortolana, Clare. "Jambatan Tamparuli Song, Lyrics & Translation". www.ortolanaclare.com. Dicapai pada 2020-02-10.
  5. ^ a b c d e f g h i j Harry, George (2010-11-19). "TAMPARULI". www.tamparulisabah.com. Dicapai pada 2020-04-09.
  6. ^ "Sabah's Photos Collection". www.nbmom4a2015.wixsite.com. 2020. Dicapai pada 2020-04-09.
  7. ^ "LEGENDA JAMBATAN TAMPARULI – Korban berdarah untuk Tombuakar". www.xmastika.my. 2019-10-30. Dicapai pada 2020-01-19.
  8. ^ "LAGENDA DAN SEJARAH JAMBATAN TAMPARULI, SABAH". wwww.lifearorand.blogspot.com. 2017-09-20. Dicapai pada 2020-02-07.
  9. ^ "Lagenda dan Sejarah Jambatan Tamparuli". www.sentiasapanas.com. 2016-11-27. Dicapai pada 2020-01-14.
  10. ^ "TUGU KENANG TENTERA BRITISH MAUT DI SUNGAI TAMPARULI". www.frontdesk.com.my. 2019-07-14. Dicapai pada 2020-02-12.
  11. ^ "More photos from the past: 1960's Jambatan Tamparuli". www.mount-kinabalu-borneo.com. 2009-05-11. Dicapai pada 2020-01-29.
  12. ^ "TUGU KENANG TENTERA BRITISH MAUT DI SUNGAI TAMPARULI". www.sabahnewstoday.com. 2019-07-15. Dicapai pada 2020-01-15.
  13. ^ Ajin, Gagah (2010-12-11). "Pelupusan Pentadbiran PPD Tamparuli, ADUN Dan MP Hanya Mampu Berdiam Diri". www.ajinbgagah.blogspot.com/. Dicapai pada 2020-03-08.
  14. ^ "Majlis Daerah Tamparuli?". www.tamparulisabah.wordpress.com. 2010-12-28. Dicapai pada 2020-04-08.
  15. ^ "SENARAI NAMA PENOLONG PEGAWAI DAERAH PEJABAT..." www.data.gov.my/. 2020. Dicapai pada 2020-04-06.
  16. ^ a b "MUKIM DALAM DAERAH TUARAN". www.sabah.gov.my/. 2020. Dicapai pada 2020-02-16.
  17. ^ a b c d e f Rosliah, Kiting (2016). Peranan Pendidikan Talaala Dan Cadanagan Cara Mewariskannya Dalam Masyarakat KadazanDusun (PDF) (PhD). Universiti Malaysia Sabah. Dicapai pada 2020-01-13.
  18. ^ "Pelancongan & Rekreasi". www.celcom1cbc.com. Dicapai pada 2020-02-13.
  19. ^ a b c d e Elsapaula Anak, Rejim (2019). "Rumah Kedai Bersejarah di Pantai Barat Sabah: Isu Pemeliharaan, Perlindungan dan Alternatif Cadangan". Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities. 4: 152–160 – melalui (MJ - SSH).
  20. ^ a b Richard Nelson, Solkial (2012). Colonial Townships in Sabah: West Coast. Sabah: Sabah: Homeland Publisher Sdn. Bhd.
  21. ^ Noor, Abdullah (2018-04-19). "Media Terkini Online (Edisi Sabah)". www.media-terkini-sabah.blogspot.com/. Dicapai pada 2020-02-13.
  22. ^ "'SOLUNGKOI' JAMBATAN TAMPARULI WAJAR JADI KEBANGGAAN". www.gingkaras.com. 2018-05-07. Dicapai pada 2020-01-14.
  23. ^ "Bukit Perahu Hikers". www.bukitperahu.blogspot.com. 2016-04-17. Dicapai pada 2020-01-15.
  24. ^ "Lagenda Gunsoloi dan lagenda bukit Perahu (Airmata Gerhana Matahari)". made-in-sabah.blogspot.com. 2013-07-16. Dicapai pada 2020-01-15.
  25. ^ "Apa itu Banci". www.mycensus.gov.my. Dicapai pada 2020-02-14.
  26. ^ a b "Jumlah penduduk mengikut kumpulan etnik, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan negeri, Malaysia, 2010" (PDF). 2012-02-27.
  27. ^ Dayu, Sansalu (2018). Kadazandusun di Sabah Pendidikan dan Proses Pemodenan 1881-1967. Kuala Lumpur: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  28. ^ "PEOPLE OF SABAH". Discovery Tours Sabah. Dicapai pada 14 Februari 2020.
  29. ^ Kiew, Ai Leng (2005). Geologi am dan sedimentologi di kawasan Pekan Tamparuli, Sabah (Degree). Universiti Malaysia Sabah. Dicapai pada 2020-02-16.
  30. ^ a b c "BENTUK MUKA BUMI". www.sabah.gov.my. 2020. Dicapai pada 2020-01-17.
  31. ^ a b c d "LATAR BELAKANG". www.sabah.gov.my. 2020. Dicapai pada 2020-01-17.
  32. ^ "Cuaca di Malaysia". www.accuweather.com/ms/my. 2020. Dicapai pada 2020-03-06.
  33. ^ "Musim Nenas Madu Sabah sekitar Tamparuli". www.kebunbahagiabersama.blogspot.com. 2016-01-22. Dicapai pada 2020-02-11.
  34. ^ Recqueal, Raimi (2019-04-27). "Penduduk Tamparuli, Kiulu digalak ternak tantadan". www.bharian.com.my. Dicapai pada 2020-02-12.
  35. ^ a b c "Jambatan Tamparuli". mongisan.blogspot.com. 2009-05-01. Dicapai pada 2020-03-29.
  36. ^ a b "1,000 penduduk hilang tempat tinggal". Berita Harian Online. 2005-12-19. Dicapai pada 2019-12-17.
  37. ^ a b c Lusin, Calista (2014-01-16). "SEJARAH KEMBALI BERULANG". jurnalistikmentari.blogspot.com. Dicapai pada 2019-12-17.
  38. ^ Jiffar, Suzianah (2016-02-16). "Inovasi pelajar manfaatkan 12,000 penduduk Tamparuli". bharian.com.my. Dicapai pada 2019-12-17.
  39. ^ "Kemudahan Trek joging Tamparuli ditambah". www.pressreader.com. 2018-02-12. Dicapai pada 2020-02-09.
  40. ^ "Replika ikan air tawar jadi tarikan baharu di Tamparuli". Utusan borneo online. 2019-07-24. Dicapai pada 2019-12-04.
  41. ^ a b "Tamparuli dipilih Pusat MyCyber Komuniti@Sabah". www.utusanborneo.com.my. 2016-05-21. Dicapai pada 2020-01-21.
  42. ^ a b c "Hotel di Tamparuli". www.booking.com/city/my/tamparuli.ms.html. 2020. Dicapai pada 2020-02-24.
  43. ^ a b "Kembara Merdeka Sabah 2013 Part 5: Lebuhraya Tamparuli-Ranau FS22 / Tamparuli-Ranau Highway FS22". www.blogjalanraya.blogspot.com/. 2013-09-07. Dicapai pada 2020-03-03.
  44. ^ Mohd Nazlie, Zainul (2015-06-20). "Keunikan di Rumah Terbalik Tamparuli". www.bharian.com.my. Dicapai pada 2020-02-09.
  45. ^ "Welcome to Rumah Terbalik!". www.upsidedownhouse.com.my. Dicapai pada 2020-01-14.
  46. ^ "PENGUNJUNG JAMBATAN TAMPARULI DISAMBUT DENGAN MUZIK, TARIAN ETNIK DUSUN". www.frontdesk.com.my. 2019-09-07. Dicapai pada 2020-02-10.
  47. ^ "Tugu hargai pemuzik, penari jambatan Tamparuli". www.dailyexpress.com.my. 2019-12-16. Dicapai pada 2020-01-16.
  48. ^ a b "PENGUNJUNG JAMBATAN TAMPARULI DISAMBUT DENGAN MUZIK, TARIAN ETNIK DUSUN". Sabah News Today. 2019-09-07. Dicapai pada 2019-09-07.
  49. ^ "Chanteek Borneo Indigenous Museum Malaysia's 1st Miniature Indigenous Costume Museum". www.chanteekborneo.com. Dicapai pada 2020-01-14.
  50. ^ "Bukit Perahu Tamparuli". deskycolour.blogspot.co. Dicapai pada 2020-02-11.
  51. ^ a b c d "Bukit Perahu, Tamparuli Sabah". tamparulisabah.wordpress.com. 2011-02-16. Dicapai pada 2020-02-15.
  52. ^ "My Life My Stories: Bukit Ruhiang Tamparuli, Sabah". www.tamparulisabah.com. 2013-07-27. Dicapai pada 2020-02-13.
  53. ^ Syarmilah, Salleh. "TUARAN: Bukit Ruhiang yang terletak di". selipargetahmerah.blogspot.com. Dicapai pada 2020-02-13.
  54. ^ Ajin Bin, Gagah (2009-08-20). "Sukan Lasak Paragliding Bertapak Di Tamparuli Sabah". ajinbgagah.blogspot.com. Dicapai pada 2020-02-13.
  55. ^ Christian, Tj (2016-08-19). "Borneo Downhill playground, Bukit Kusai". www.bikeborneo.com. Dicapai pada 2020-02-11.
  56. ^ "Bukit Perahu". m.facebook.com. Dicapai pada 2020-01-15.
  57. ^ "JonGrapevines & Figs Garden". jongrapevines-figs-garden.business.site. Dicapai pada 2020-01-14.
  58. ^ Giun, Rayner (2019-09-03). "Murug-Turug Waterfall Lokasi Menarik di Tamparuli". FH Production.com. Dicapai pada 2019-12-03.
  59. ^ "TAMPARULI LIVING ART CENTRE SABAH" (PDF). czentrifuga.poetaster.de. Dicapai pada 2020-01-15.
  60. ^ Petrus, Alfred (2017-02-15). "Tamu Tamparuli wujud sejak 1974". www.PressReader.com. Dicapai pada 2019-12-08.
  61. ^ "Pelancongan & Rekreasi". celcom1cbc.com. Dicapai pada 2020-02-07.
  62. ^ Michael, Teh (2020-02-19). "Petanah to hold Tamu Besar in Tamparuli". www.newsabahtimes.com.my. Dicapai pada 2020-02-20.
  63. ^ Zenno Fernandes, Nasirin (2009). Budaya Tagal Di Tamparuli Sabah (1963-2009) (Degree). Universiti Malaysia Sabah. Dicapai pada 2020-01-28.
  64. ^ "Berita pasal Tagal sungai". I'm From Tamparuli. 2013-11-26. Dicapai pada 2020-01-18.
  65. ^ "Penjelasan tentang sistem Tagal di Sabah". umpan.com.my. 2018-04-19. Dicapai pada 2020-01-18.
  66. ^ "98 performers are ready to perform for SABAH FEST 2018 'Solungkoi: Jambatan Tamparuli'". www.hellosabah.my. 2018-05-03. Dicapai pada 2020-01-14.
  67. ^ "Pesta Muzik Bambu, Tamparuli". www.tamparulisabah.com. 2010-11-24. Dicapai pada 2020-02-16.
  68. ^ "Pesta Muzik Bambu Tamparuli". www.mybeautifulsabah.blogspot.com. 2009-04-16. Dicapai pada 2020-02-16.
  69. ^ "Munduk Ruhiang: Cerita rakyat ke pentas teater muzikal". www.pressreader.com. 2020-01-05. Dicapai pada 2020-02-24.
  70. ^ "Marsha mahu popularkan lagi Jambatan Tamparuli". www.seersee.blogspot.com. 2005-08-24. Dicapai pada 2020-02-15.
  71. ^ "Profile Marsha Milan Londoh". www.budiey.com. 2007-12-01. Dicapai pada 2020-02-15.
  72. ^ ">Datuk Jahid Jahim". tamparulisabah.wordpress.com. 2010-11-03. Dicapai pada 2020-02-15.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]