Telupid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Telupid merupakan salah sebuah daerah penuh di dalam kawasan Parlimen Beluran.

Pekan ini berada di pertengahan lebuh raya di antara pekan Ranau dengan bandar Sandakan iaitu dianggarkan 98 km dari pekan Ranau, 100 km dari pekan Beluran, dan 130 km dari bandar Sandakan. Pekan ini telah wujud sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu kerana lebuh raya di antara pekan Ranau dengan bandar Sandakan mesti melalui pekan ini. Pekan ini juga menjadi tumpuan persinggahan kepada bas-bas ekspres serta pemandu kereta dari Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, dan Semporna.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Telupid mula diduduki seawal tahun 1940an dan merupakan kawasan laluan peristiwa bersejarah ‘Death March’ semasa Perang Dunia Kedua dalam tahun 1945. Daerah ini diwujudkan sekitar tahun 1965 iaitu selepas kira-kira tiga tahun Negeri Sabah diisytiharkan merdeka yang seterusnya menyertai pembentukan Malaysia. Pada ketika itu Telupid hanyalah merupakan sebuah perkampungan kecil yang didiami oleh suku kaum Dusun. Perkembangan pembangunan daerah ini bemula apabila Kerajaan Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Australia menerusi projek pembinaan lebuhraya yang menghubungkan Telupid dengan Daerah Ranau yang dikenali dengan nama Malaysia-Australia Road Project (MARP) dalam tahun 1968. Pekan Telupid adalah lokasi utama pentadbiran dan pengurusan projek tersebut.

Jalinan kerjasama tersebut telah membawa pembangunan yang amat ketara dengan tumpuan di kawasan pekan. Bangunan-bangunan pejabat pentadbiran, bengkel dan rumah kediaman pegawai dan kakitangan telah dibina dengan begitu rapi yang mana sekaligus mengubah landskap pekan tersebut daripada sebuah perkampungan tradisional kepada sebuah penempatan ala moden pada ketika itu. Menariknya, pekan ini pernah mempunyai sebuah lapangan terbang berhampiran lebuhraya yang boleh digunakan untuk pesawat penerbangan kecil.

Tamatnya pembinaan lebuhraya Telupid-Ranau di bawah projek MARP tersebut telah membawa satu era baru yang mana Kerajaan Negeri pada ketika itu telah mengambil alih semua bangunan dan harta benda di bawah MARP dan diletakkan di bawah penggunaan dan pengawasan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang diwujudkan dan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih tugas-tugas pemuliharaan dan pembaikan lebuhraya yang telah dibina.

Dalam tahun 1970an, melihat kepada kedudukan daerah ini di lokasi yang strategik iaitu laluan Timur - Barat Negeri Sabah, Kerajaan dibawah teraju kepimpinan Parti USNO pada ketika itu telah mengambil inisiatif mewujudkan Telupid kepada sebuah Daerah Kecil di bawah pentadbiran Pegawai Daerah Beluran, sebagai inisiatif membangunkan daerah tersebut. Jabatan Kerja Raya merupakan jabatan kerajaan yang terawal beroperasi di daerah ini disusuli dengan pengwujudan sebuah Pejabat Daerah Kecil dalam tahun 1977, yang berperanan dalam hal ehwal pentadbiran dan pembangunan daerah ini. Sejak itu, Telupid telah diisytiharkan sebagai sebuah Daerah Kecil dengan nama rasminya Daerah Kecil Telupid.

Pada suatu ketika dahulu, di sepanjang Sungai Telupid terdapat sejenis pokok yang tumbuh dengan banyaknya yang dipanggil Tapid-Apid dalam bahasa penduduk tempatan dari suku kaum Dusun di Telupid pada ketika itu. Pokok tersebut digunakan oleh penduduk tempatan untuk keperluan harian mereka samada untuk tujuan aktiviti pertanian mahupun nelayan. Memandangkan pokok tersebut begitu dominan dalam kehidupan mereka; mudah diperolehi dan memudahkan aktiviti kehidupan harian mereka maka penduduk Daerah Telupid telah menamakan daerah ini mengambil sempena nama pokok tersebut dengan nama TELUPID.

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Pekan ini juga tidak ketinggalan dari segi ekonominya. Kebanyakan penduduk-penduduk sekitar Telupid menjalankan kegiatan bercucuk tanam seperti sayur-sayuran, ubi, buah-buahan, dan juga menternak binatang serta ikan air tawar. Kebanyakan hasil-hasil ini digunakan untuk kegunaan harian ataupun dipasarkan di pekan Telupid semasa Pasar Tamu Sabtu dan Ahad ataupun pada hari kebiasaannya.

Rumah Kedai Pekan Telupid
pejabat urusetia Daerah kecil Telupid

Sebahagian penduduk kampung di Telupid juga menjalankan penanaman sawit untuk dijual kepada pengilang kelapa sawit. Sehubungan dengan itu, penanaman pokok getah juga terdapat di Telupid, bagaimanapun jumlahnya tidak begitu besar berbanding dengan yang ditanam oleh para penduduk kampung. Terdapat juga beberapa deretan kedai yang menjual barangan runcit, restoran, klinik, dan juga beberapa jenis kedai lain. Pejabat pos mini juga terdapat di pekan ini.

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Pekan Telupid mempunyai beberapa jabatan-jabatan kerajaan seperti :-

  • Pejabat Daerah Telupid
  • Jabatan Air Sabah
  • Belia dan Sukan Sabah, Telupid.
  • Jabatan Perikanan Telupid.
  • Jabatan Kerja Raya
  • Sabah Electricity Sdn. Bhd.
  • Jabatan Pelajaran Telupid
  • Jabatan Perhutanan Sabah [1]
  • Institut Perhutanan Sabah, Telupid.
  • Balai Polis Telupid
  • Jabatan Haiwan dan Ternak Sabah
  • Jabatan Pertanian Sabah [2]
  • Klinik Kesihatan Telupid [3]
  • Jabatan Pendaftaran Sabah
  • Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah

Geogafi[sunting | sunting sumber]

Luas Daerah Telupid ialah 1,935 kilometer persegi atau bersamaan dengan 747 batu persegi. Daerah ini bersempadan dengan Daerah Ranau di sebelah barat, Daerah Kecil Paitan di utara / timur laut, Daerah Beluran dan Daerah Kinabatangan di sebelah timur dan Daerah Tongod di Selatan.



Wiki letter w.svg

 Rencana ini merupakan rencana tunas. Anda boleh membantu Wikipedia dengan mengembangkannya.