Hassan Adli Mohd Arshad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Yang Berhormat

Haji Hassan Adli bin Arshad
Ahli Parlimen
untuk Bagan Datoh, Perak
Butiran peribadi
LahirNegeri Perak Bagan Datoh, Perak
PekerjaanBekas Ahli Parlimen

Dato' Haji Hassan Adli bin Mohd Arshad ('Pak Aji') (lahir 17 April 1929 di Mekah ) merupakan ahli politik Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Malaysia. Beliau menang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1978 bagi kawasan Bagan Datoh, negeri Perak. Beliau bertanding atas tiket parti Barisan Nasional. Ketika itu, PAS telah menyertai Barisan Nasional pada 1973 ekoran Peristiwa 13 Mei 1969.

Ketika itu Perdana Menteri Malaysia ialah Tun Hussein Onn dan Timbalan Perdana Menteri ialah Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Hassan Adli bersekolah di Sekolah Melayu Bagan Pasir dan di Madrasah Al Ulum Al Syariah di Bagan Datoh. Madrasah ini diasaskan oleh bapanya. 1941, belajar pula di Madrasah Al-Akhlak Al Islamiah, Masjid Tinggi, Bagan Serai. Mudir sekolah itu ialah Haji Abdul Rahman Arshad, sepupu kepada ayah beliau.

1954-1955 menjadi guru di madrasah bapanya di Bagan Pasir . Beliau menubuhkan Persatuan Guru-guru Sekolah Agama Rakyat Perak bersama-sama Haji Abdul Samad Noh. Beliau banyak membaca dan mengkaji pemikiran Muhammad Abduh, Hassan al Banna ,Mustafa Al-Ghalayin,Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Fadhlullah Shuhaimi, Dr. Burhanuddin Al Helmi , Ustaz Abu Bakar Baqir, Prof. Hamka, Muhammad Natsir, Hassan Bandong dan Abdul Qahar Muzakkar.

Beliau juga meminati pidato Presiden Sukarno dan penyair Angkatan 45, Indonesia, Khairil Anwar. Oleh itu beliau berkebolehan menulis rencana, sajak dan cerpen berunsur Islam.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Hassan Adli keturunan Banjar dari Banjarmasin. Kedua-dua ibubapanya adalah dari keturunan Banjar dari Banjarmasin, walaupun ibu kepada ayahnya adalah keturunan bangsawan Pulau Kei, Sulawesi Tenggara. Bapanya, Haji Arshad bin Haji Muhammad Salleh seorang ulama besar yang berasal dari sebuah perkampungan kecil di Kei, Daerah Tual, Provinsi Maluku Tenggara di kepulauan Indonesia. Pada tahun 1918 Haji Muhammad belayar dari Banjarmasin dan menetap di Tanah Melayu. Pada 1953, Bapanya mengasaskan dan menjadi guru besar Madrasah al-Ulum as-Syar'iyyah, Batu 20 Bagan Datoh, Perak. Bapanya adalah ulama yang sangat dihormati dan mendapat pendidikan dari Mekah.

Bapanya, Haji Arshad berkahwin dengan Saiyah Ujal dari Kampung Parit Dayang, Bagan Datoh dan semasa mengerjakan haji di Mekah , Hassan Adli dilahirkan.

Pilihan raya 1955 , 1959 dan 1964[sunting | sunting sumber]

Beliau tewas ketika bertanding dalam Pilihan raya umum Malaysia 1955 di kawasan Telok Anson menentang calon Perikatan, Bahaman Samsudin. Ketika itu Bagan Datoh termasuk dalam kawasan Teluk Intan/ Hilir Perak.

Beliau menang dalam Pilihan raya umum Malaysia 1959 di Kuala Terengganu Utara. Tapi tewas semula dalam Pilihan raya umum Malaysia 1964 di Hilir Perak.

Pemimpin PAS[sunting | sunting sumber]

Pada 1953 beliau menjadi ahli PAS pada usia 24 tahun. Pada 1954 menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS.

Pada 1962, Hassan Adli menjadi Timbalan Yang Dipertua Agung PAS sementara Dr. Burhanuddin Al Helmi sebagai Yang Dipertua.Semasa Tan Sri Asri Haji Muda menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1965, Hassan Adli kekal sebagai Timbalan Yang Dipertua sehingga tahun 1972.

Beliau juga Setiausaha PAS Hilir Perak . PAS Hilir Perak yang ketika dipimpin oleh Dato' Othman Abdullah. PAS Bagan Datoh melahirkan ramai pemimpin seperti Haji Ahmad Ali, Ustazah Zaharah Othman, Dato' Hassan Adli dan Ustaz Jaiz Anwar. Dato' Mohd Ghazali Abdullah,ayah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo', Mufti Perak dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pernah mengajar di madrasah ini.

Ustaz Hassan Adli adalah Setiausaha Persatuan Guru-guru Madrasah Agama Rakyat Perak (PGMR). Ulama seperti Tuan Guru Abdul Samad Noh sering melawat madrasah ini.

Timbalan Menteri dan Menteri[sunting | sunting sumber]

Pada 1974, ketika PAS bergabung dengan Barisan Nasional, beliau menganjurkan Persidangan Pengerusi-pengerusi Sekolah Agama Rakyat di Al Ulum , Bagan Pasir , Bagan Datoh bagi mengesyorkan dan merangka sukatan pelajaran sekolah agama rakyat. Persidangan ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Abdul Rahman Talib.

Pada Ogos 1974 beliau menang Pilihan raya umum Malaysia 1974 kawasan Bagan Datoh atas tiket Barisan Nasional. Lalu Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat. Tahun 1975, menjadi perwakilan Malaysia ke Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu di New York. Tahun 1976, PM Tun Hussein Onn melantik beliau sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan.

Hassan Adli menang di Bagan Datoh dalam Pilihan raya umum Malaysia 1978 sebagai calon bebas yang bertanding atas tiket BN kerana telah terpecat dari PAS pada 1977 apabila beliau mengambil keputusan berbeza dari yang diarahkan oleh pucuk pimpinan PAS. Beliau yang tidak menyertai UMNO masih mampu menewaskan calon PAS dengan meraih 14,294 undi.

Seterusnya beliau dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Mesir[1], Sudan dan negara-negara berdekatan. Beliau menubuhkan asrama pelajar Perak/Malaysia yang bernilai RM600 ribu ketika bertugas di Kaherah. Atas usahanya, Universiti Al Azhar mengiktiraf sijil empat senawi Madrasah A Ulum, Bagan Datoh.

Beliau berjaya mengesan ulama/ penulis Kamus Marbawi iaitu Sheikh Idris Al Marbawi kelahiran Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak. Idris Marbawi menetap di Mesir selama 55 tahun dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan , UKM.

Pada 2 November 1985, Hassan Adli dianugerah Tokoh Sasterawan Islam oleh Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak (PESAKA) di Ipoh .

Atas jasa dan sumbangannya, beliau menerima gelaran Dato’ oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada tahun 1974.

Dipecat dari PAS[sunting | sunting sumber]

Pada November 1977, berlaku krisis kepimpinan PAS di Kelantan apabila PAS mengundi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kelantan, Muhamad bin Nasir. Penyokong Muhamad Nasir tidak bersetuju Muhamad Nasir ditumbangkan dan mereka merusuh di Kota Bharu. Dato' Haji Mohd Asri bin Haji Muda selaku Ketua Whip PAS di Parlimen mengarahkan semua ahli parlimen PAS menentang Rang Undang-Undang Darurat Kelantan jika menyokong undang-undang ini maka automatik dipecat daripada PAS. Walaupun Dato' Hassan Adli memegang jawatan Timbalan Yang DiPertua PAS pada waktu itu, beliau telah memilih untuk menyokong rang undang-undang tersebut dan dengan itu beliau automatik dipecat daripada PAS pada 8 November 1977.

Pada November 1977, Perdana Menteri Hussein Onn mengisytiharkan darurat di Kelantan dan akhirnya PAS disingkirkan dari Barisan Nasional. Pilihan raya kecil Kelantan 1978 diadakan selepas MAGERAN pada 11 Mac 1978. Akibatnya, Kerajaan PAS Kelantan yang telah berkuasa lebih 18 tahun jatuh ke tangan Barisan Nasional dan Berjasa. Pada PRK 1978, PAS memperoleh 2 kerusi manakala BN/UMNO berjaya memperoleh 31 kerusi.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Pada Oktober 1987 beliau meninggal dunia meninggalkan seorang isteri Datin Hajjah Fatimah Zaharah @ Rokiah binti Haji Nasir. Mereka mempunyai 9 orang anak; lapan perempuan dan seorang lelaki.[2]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]