Inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian

Inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim ialah prosiding inkues yang ditetapkan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam, Selangor pada 11 Februari 2019 sebagai tarikh prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.[1]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Pada 27 Disember 2018, Berita Harian melaporkan bahawa Peguam Negara akan mengarahkan Majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib. Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau dimaklumkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas mengenai hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patologi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak. Dalam prosiding inkues itu, Majistret akan mempunyai kuasa luas di bawah seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian.[2]

Peguam undang-undang jenayah, Datuk N Sivananthan, berkata tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menghalang inkues diadakan dalam masa terdekat walaupun laporan kematian belum dikeluarkan oleh pihak hospital. Inkues dibuat apabila punca kematian tidak dapat dipastikan dan prosiding itu akan menyiasat siapa dan apa sebenarnya yang menyebabkan kematian Adib. Peguam Cara Negara III, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria menyatakan Mahkamah Shah Alam menetapkan 18 Januari 2019 bagi pengurusan kes inkues Muhammad Adib.[3]

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid mahukan keadilan tanpa pilih kasih sekiranya kerajaan mahu melaksanakan inkues bagi menentukan sebab kematian anak kedua mereka.[4] Beliau berkata:

"Jangan lindungi sesiapa yang bersalah. Pastikan kematian anak saya terbela. Inkues ini benda baik dan ia mampu memberi keadilan kepada Adib malah kami sememangnya mahukan keadilan untuk Adib. Apabila ia dilaksanakan... ia diharap dilakukan secara adil bagi mencari punca dan mereka yang bersalah,"[4]

Pada 28 Disember 2018, Mahkamah Shah Alam menetapkan pada 18 Januari 2019 bagi pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian Muhammad Adib.[5]

Prosiding[sunting | sunting sumber]

Hari pertama bagi prosiding inkues kematian Muhammad Adib bermula pada 11 Februari 2019. Prosiding berlangsung di Kompleks Mahkamah Koroner Shah Alam yang bermula pada jam 10 pagi dan dilakukan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad serta dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah bersama-sama Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim. Antara yang menghadiri prosiding tersebut termasuk kumpulan saksi yang terdiri daripada anggota bomba, saksi awam serta anggota keluarga.[6]

Prosiding inkues kematian Adib diteruskan pada 25 Februari susulan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman untuk menangguhkan sementara prosiding inkues yang diadakan bagi menyiasat punca kematian beliau.[7] Prosiding ditangguhkan pada 28 Februari selepas peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor tidak dapat hadir kerana mengalami migrain.[8][9][10]

Prosiding berakhir pada 27 September 2019 apabila Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Adib ialah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali. Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar daripada van bomba pada waktu kejadian, boleh diterima serta ada asas, selain ia disokong oleh saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.[11] Keluarga Adib kemudiannya menyatakan mereka berharap suspek yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Adib segera dibawa ke muka pengadilan.[12]

Suruhanjaya Diraja[sunting | sunting sumber]

Media melaporkan bahawa kerajaan telah didesak bagi menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam tempoh 48 jam bagi menyiasat kes kematian Muhammad Adib supaya keadilan kepada beliau disiasat seperti kes kematian Teoh Beng Hock.[13] Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagaimanapun menyatakan tiada keperluan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat kematian Adib.[14][15]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Prosiding inkues kematian Muhammad Adib bermula 11 Februari". Berita Harian. 18 Januari 2019. Dicapai pada 31 Mac 2019.
  2. ^ "Inkues akan tentukan punca kematian Adib - Muhyiddin". Berita Harian. 27 Disember 2018. Dicapai pada 31 Mac 2019.
  3. ^ Ahmad Johari Mohd Ali (28 Disember 2018). "Inkues wajar untuk ketepikan spekulasi - Peguam". Berita Harian. Dicapai pada 31 Mac 2019.
  4. ^ a b Petah Wazzan Iskandar (27 Disember 2018). "Cari keadilan melalui inkues - Bapa Adib". Berita Harian. Dicapai pada 31 Mac 2019.
  5. ^ Ahmad Johari Mohd Ali (28 Disember 2018). "Pengurusan kes inkues Adib 18 Januari ini". Berita Harian. Dicapai pada 31 Mac 2019.
  6. ^ Hilmi Malik (11 Februari 2019). "Prosiding inkues Muhammad Adib bermula hari ini". Astro Awani. Dicapai pada 7 April 2019.
  7. ^ Juani Munir Abu Bakar (22 Februari 2019). "Prosiding inkues Muhammad Adib diteruskan". Utusan Malaysia. Dicapai pada 7 April 2019.
  8. ^ Siti Nurazlineee Azmi dan Norrasyidah Arshad (28 Februari 2019). "Prosiding inkues Adib ditangguh". Berita Harian. Dicapai pada 9 April 2019.
  9. ^ Hilmi Malik (28 Februari 2019). "Inkues Adib: Prosiding ditangguh esok". Astro Awani. Dicapai pada 9 April 2019.
  10. ^ "Prosiding inkues Adib ditangguh esok". Bernama. 28 Februari 2019. Dicapai pada 9 April 2019.
  11. ^ Khairul Azran Hussien; Siti Nurazlinee Azmi dan Norrasyidah Arshad (27 September 2019). "Kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah: Mahkamah Koroner". Berita Harian. Dicapai pada 28 September 2019.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  12. ^ Khairul Azran Hussien; Siti Nurazlinee Azmi dan Norrasyidah Arshad (27 September 2019). "Keluarga Muhammad Adib harap suspek dibawa ke muka pengadilan". Berita Harian. Dicapai pada 28 September 2019.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  13. ^ Nadia Hamid (18 Disember 2018). Tubuh RCI siasat kematian Adib Berita Harian. Dicapai pada 11 April 2019.
  14. ^ N Faizal Ghazali (19 Disember 2018). PAS: Tak perlu RCI siasat kematian Adib Malaysiakini. Dicapai pada 11 April 2019.
  15. ^ Mohd Zulkifli Zainuddin dan Fakhrul Abid Mohamed Saifuddin (19 Disember 2018). "Tidak perlu RCI siasat kes kematian Adib - PAS". Berita Harian. Dicapai pada 12 April 2019.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]