Mohamed Ghazali bin Jawi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
YBhg Tan Sri
Mohamed Ghazali bin Jawi
Mohamed Ghazali bin Jawi.jpg
Menteri Besar Perak
Dalam jawatan
1974–1977
Didahului olehKamaruddin bin Mohd Isa
Digantikan olehWan Mohamed bin Wan Teh
Dalam jawatan
1957–1960
Didahului olehAbdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz
Digantikan olehShaari bin Shafie
Butiran peribadi
Lahir(1924-12-26)26 Disember 1924
Kampung Bukit Nangka, Lenggong, Perak Darul Ridzuan
Meninggal dunia11 Disember 1982(1982-12-11) (umur 57)
Parti politikUMNO
Anak-anakMohd Tajol Rosli Mohd Ghazali


Tan Sri Haji Mohamed Ghazali bin Haji Jawi dilahirkan pada 1924. Mohamed Ghazali bin Jawi pernah menjadi Menteri Besar Perak dari 1 Ogos 1957 hingga 16 April 1960. Sekali lagi menjadi Menteri Besar dari 4 September 1974 hingga 1 Oktober 1977. Beliau juga pernah menjadi Menteri Pertanian Malaysia (1970-1974).

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan pada 26 Disember 1924 di Kampung Bukit Nangka, Lenggong, Perak. Bapanya bernama Haji Jawi bin Haji Puteh sementara ibunya bernama Hajah Suyah binti Haji Mat Saman. Beliau merupakan anak ketiga dari enam adik-beradik.

Anak Pertama beliau, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali turut pernah menjawat kedudukan sebagai Menteri Besar Perak. Anak kedua beliau, Tan Sri Mohd Zulkifli Mohd Ghazali[1] pula menjawat jawatan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia di Johor. Majlis perkahwinan anak perempuannya Lailatul Badariah dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lenggong dan Sekolah King Edward VII, Taiping. Semasa kedatangan Jepun, beliau berniaga beras di Kampung Bukit Nangka. Selepas zaman Jepun, beliau mendapat pekerjaan sebagai pemeriksa di Jabatan Parit dan Taliair di Labu Kubong dan Sungai Manik di Teluk Intan. Beliau pernah menerima pendidikan di Mesir. Beliau bertanggungjawab menubuhkan cawangan UMNO di Sungai Manik.

Beliau berhenti dari jawatan Merinyu Jabatan Parit dan Taliair pada 1 November 1954 untuk bergiat sepenuhnya dalam bidang politik UMNO di Perak. Dalam pilihanraya tahun 1955, beliau telah memenangi kawasan Parlimen Sungai Perak Ulu sementara Dewan Negeri Larut Selatan dan Matang pula dimenangi pada tahun 1956.

Pada 7 Ogos 1957 beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Perak. Pada tahun 1963, beliau telah dilantik menjadi senator dan seterusnya menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Setahun kemudian beliau memenangi pilihanraya bagi kawasan Parlimen Ulu Perak dan seterusnya dilantik menjadi Menteri Tanah dan Galian kemudiannya beliau dilantik menjadi Menteri Penuh Pertanian dan Perikanan.

Beliau menang lagi dalam Pilihan raya umum Malaysia 1969 .Seterusnya menang dalam pilihanraya 1974 di DUN Kenering pula.

Berkempen di Sarawak[sunting | sunting sumber]

Sekitar tahun 1962, Ghazali Jawi bersama Abdul Samad Idris berkempen di Sarawak agar penduduk di sana menyokong kemasukan Sarawak menyertai Malaysia. Mereka terpaksa menaiki motorbot mengharung arus Sungai Sarawak untuk sampai di hulu-hulu sungai di tengah malam. Beberapa kali motorbot hampoir terlanggar kayu-kayu balak besar yang hanyut lintang pukang di tengah arus. Misi mereka ialah membawa ketua masyarakat yang berpengaruh menghilir sungai ke Kuching.[2]

Menteri Besar kali pertama[sunting | sunting sumber]

Tunku Abdul Rahman telah melantik beliau sebagai Menteri Besar Perak setelah Tunku berkrisis dengan Menteri Besar Perak Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab. Tunku Abdul Rahman memang tidak berapa sehaluan dengan Abdul Wahab sejak sama-sama belajar di London lagi.

Ghazali Jawi yang pulang dari Mesir telah dilantik sebagai Senator. Dia dilantik untuk jawatan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Setiausaha Agung UMNO. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1964, Ghazali Jawi bertanding di Parlimen Kuala Kangsar dan dilantik Menteri Tanah dan Galian. Kemudian memegang jawatan Menteri Pertanian dan Perikanan.

Semasa menjadi Menteri Besar, beliau dikatakan pernah ditangkap oleh polis kerana rasuah pada 1960 . Kes itu tergantung atau dibuang tetapi Raja / Sultan Idris Shah selaku Raja di Hilir tidak berkenan kepadanya. Beliau telah dihantar menjadi Duta di Mesir. UMNO Perak terbahagi dua iaitu golongan menyokong Ghazali Jawi dan golongan yang menyokong Haji Kamaruddin bin Mohd Isa. Antara yang menyokong Kamarudin Md Isa ialah ketua pemuda UMNO Perak, Abu Bakar Ashaari dan Abdullah Haji Mohamad.

Penyokong Ghazali Jawi termasuklah Hisan Ibrahim, Shafie Mat Saman, Masu’ud bin Untoi dan Ismail Abdul Rauf, Dato’ Abdul Malik Ahmad, Dato’ Seri Haji Wan Mohamed bin Haji Wan Teh, Perdana Menteri dan Tun Abdul Razak sendiri. (Tan Sri) Ishak Tadin selaku pegawai kerajaan negeri telah dihantar oleh Tun Abdul Razak memujuk Sultan Idris Shah agar menerima Ghazali Jawi untuk tempoh 2 tahun sahaja.

Pada 14 April 1960, Mohamad Ghazali Jawi menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perak kepada Sultan Perak di Istana Perak,Kuala Lumpur. Kemudian beliau yang ketika itu berumur 36 tahun dihantar menjadi Duta ke Mesir di Cairo. Beliau menjadi Duta Malaysia ke-11 ke Mesir. [3]

Menteri Pertanian Malaysia (1970-1974)[sunting | sunting sumber]

Selaku Menteri Pertanian, Kementerian Pertanian telah membenarkan penggunaan racun rumpai dari syarikat Jepun. Akibatnya banyak ikan air tawar di dalam sawah padi seperti ikan Sepat, ikan Puyu dan ikan Keli pupus . Kesannya, pesawah padi kekurangan sumber protein dan terpaksa membeli ikan. Sedangkan Parlimen Jepun mengharamkan petani menggunakan racun rumpai kerana boleh menjejaskan sumber protein kepada rakyat Jepun. Wartawan Mokhtar Petah telah membangkitkan hal itu kepada setiausaha politik beliau , Wahi Anwar. [4]

Menteri Besar kali kedua[sunting | sunting sumber]

Setelah mendengar nasihat Ishak Tadin, akhirnya Sultan setuju melantik Ghazali Jawi sebagai Menteri Besar Perak kali kedua pada 4 September 1974. Majlis angkat sumpah diadakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan.Pada tahun 1976, Sultan mahu janji 2 tahun ditunaikan. Tetapi Ghazali Jawi terus memegang jawatan Menteri Besar Perak sehingga 1977. Sultan enggan menandatangani sebarang keputusan mesyuarat Exco negeri Perak.Rancangan pembangunan tanah di Perak tergendala beberapa ketika sedangkan urusan tanah melibatkan kerajaan negeri.

Pemuda UMNO mengadakan rapat umum mempertahankan tindakan Ghazali Jawi. Sultan Perak mempunyai hak melantik dan berkenan seseorang memegang jawatan Menteri Besar, tetapi setelah dilantik dan diperkenankan, Sultan tidak ada hak mengikut Perlembagaan Negeri untuk memecat atau memerintahkan supaya meletakkan jawatan. Hak untuk memecat atau memerintahkan Ghazali Jawi berhenti dari Menteri Besar, ialah Presiden Umno memandangkan Ghazali Jawi merupakah seorang ahli UMNO.

Di Pulau Pangkor, Sultan Idris masih murka dan bernazar tidak akan mencukur janggut dan jambangnya selagi Ghazali tidak berhenti menjadi MB dan untuk beberapa ketika baginda tampil di khalayak dengan keadaan berjangut dan berjambang sebagai menzahirkan kemurkaan baginda. Ghazali meletakkan jawatan hanya setelah dinasihati oleh Presiden UMNO ketika itu iaitu Tun Hussein Onn pada 1977. Surat perletakan jawatan dihantar kepada sultan.[5] Dato Sri Wan Mohamed bin Wan Teh telah mendapat perkenan Sultan untuk menjadi Menteri Besar.[6] [7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Ejaan nama menurut Katalog Induk Perpun
  2. ^ Politik Negeri Sembilan
  3. ^ The Straits Times ; 14 April 1960 ; hlm 6
  4. ^ Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, by Mokhtar Petah, Kuala Lumpur
  5. ^ 'Bapa Tajol Rosli juga tidak letak jawatan...'
  6. ^ Sejarah Ghazali Jawi Berulang Selepas 35 Tahun
  7. ^ Mokhtar Petah Siapa Bakal Menteri Besar Perak ? ; Ipoh ; Yayasan Massa ,1977


Penyandang Terdahulu Menteri Besar Perak
1 Ogos 1957 - 16 April 1960 (kali pertama)
Penyandang Kemudian
Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz Shaari bin Shafie
Penyandang Terdahulu Menteri Besar Perak
4 Sep 1974 - 1 Okt 1977 (kali ke-2)
Penyandang Kemudian
Kamaruddin bin Mohd Isa Wan Mohamed bin Wan Teh