Rotterdam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Rotterdam
Latar langit Rotterdam dalam kabut pagi

Bendera

Lambang rasmi
Nama panggilan: Rotjeknor, Waterstad, Maasstad
Motto: Sterker door strijd (Lebih Kuat melalui Perjuangan)
Lokasi Rotterdam
Koordinat: Koordinat: Format argumen tidak diketahui
{{#coordinates:}}: garis lintang tidak sah
Negara Belanda
Provinsi Holland Selatan
Kerajaan
 • Datur Bandar Ahmed Aboutaleb
 • Aldermen Jeannette Baljeu
Lucas Bolsius
Leonard Geluk
Rik Grashoff
Mark Harbers
Hamit Karakus
Jantine Kriens
Dominic Schrijer
Keluasan[1]
 • Jumlah 319 km2 (123 sq mi)
 • Tanah 206 km2 (80 sq mi)
 • Perairan 113 km2 (44 sq mi)
Populasi (1 Januari 2006)[1][2]
 • Jumlah 588,718
 • Kepadatan 2,851/km2 (7,380/sq mi)
 • Randstad 6,659,300
Zon waktu CET (UTC+1)
 • Musim panas (DST) CEST (UTC+2)
Laman web www.rotterdam.nl

Rotterdam (sebutan (bantuan·info)) ialah kawasan perbandaran yang kedua terbesar di Belanda dari segi jumlah penduduk, iaitu selepas Amsterdam, ibu negara Belanda serta juga bandar raya yang terbesar di provinsi Zuid-Holland (Holland Selatan). Bandar ini mempunyai pelabuhan yang terbesar di Eropah serta juga pelabuhan yang paling sibuk di dunia pada tahun 1962, tetapi kehilangan status tersebut kepada Shanghai pada tahun 2004.

Rotterdam terletak di tebing sungai Nieuwe Maas ("Meuse Baru"), salah satu anak sungai di delta yang dibentuk oleh Sungai Rhine dan Sungai Meuse. Nama "Rotterdam" berasal daripada asal bandar sebagai sebuah empangan yang terletak di Sungai Rotte, sebatang cawang sungai yang kecil.


Kawasan perbandaran[sunting | sunting sumber]

Luasnya kawasan perbandaran Rotterdam sebanyak 304.22 km² (206.44 km² daratannya), dengan jumlah penduduk sebanyak 588,500 orang pada 1 Januari 2006 (sumber: Statistik Belanda). Jumlah penduduk Rijnmond ("Muara Sungai Rhine") di kawasan Metropolitan Greater Rotterdam kira-kira 1.2 juta orang. Pada tahun 1965, jumlah penduduk kawasan perbandaran Rotterdam memuncak pada sekitar 731,000 orang, tetapi kemudian merosot sehingga 555,000 orang menjelang tahun 1984 kerana subpembandaran.

Rotterdam terdiri daripada 11 buah subkawasan perbandaran, iaitu Charlois (termasuk Heijplaat), Delfshaven, Feijenoord, Hillegersberg-Schiebroek, Hoek van Holland, Hoogvliet, IJsselmonde, Kralingen-Crooswijk, Noord, Overschie, dan Prins Alexander. Dengan sekitar 85,000 orang penduduk, Prins Alexander merupakan subkawasan perbandaran yang mempunyai paling banyak penduduk. Dua kawasan lain, iaitu Centrum ("Pusat") dan Pernis, tidak mempunyai taraf subkawasan perbandaran yang rasmi.

Rotterdam terletak di Zuidvleugel ("Sayap Selatan"), bandar gabungan Randstad ("Bandaraya Keliling”). Dengan 7.5 juta orang penduduk, ia merupakan kawasan metropolitan yang keenam terbesar di Eropah, selepas Moscow, London, kawasan Ruhr, Istanbul, dan Paris). Zuidvleugel yang mempunyai sekitar 3.5 juta orang penduduk merangkumi Leiden, Hague, Zoetermeer, Delft, Vlaardingen, Schiedam, Capelle aan den IJssel, Spijkenisse, dan Dordrecht.

Pelabuhan[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Pelabuhan Rotterdam
Waalhaven pada waktu malam.
Kenderaan-kenderaan yang tidak dianggotai mengendalikan kontena-kontena di Pelabuhan Kontena Eropah (ECT), pengendali pelabuhan kontena yang terbesar di Eropah.

Rotterdam mempunyai pelabuhan yang terbesar di Eropah, dengan Sungai Meuse dan Sungai Rhine membekalkan jalan masuk ke daerah pedalaman sehingga Basel, Switzerland dan masuk ke Perancis. Sejak dari tahun 2004, pelabuhan-pelabuhan Asia seperti Singapura dan Shanghai telah mengambil alih kedudukannya sebagai pelabuhan yang tersibuk di dunia. Pada tahun tersebut, Rotterdam ialah pelabuhan yang ketujuh terbesar di dunia dari segi bilangan kontena (TEU) yang dikendalikan.

Kegiatan-kegiatan utama pelabuhan Rotterdam ialah industri petrokimia dan pengendalian pemunggahan kargo am. Pelabuhan ini berfungsi sebagai titik pemunggahan yang penting untuk bahan-bahan pukal dan barangan-barangan yang lain antara benua Eropah dan luar negeri. Dari Rotterdam, barangan-barangan diangkut melalui kapal, baj sungai, kereta api atau melalui jalan raya. Sejak dari tahun [2000]], Betuweroute, landasan kereta api kargo yang laju dari Rotterdam ke Jerman sedang dibina.

Pada tahun 1872, Nieuwe Waterweg ("Jalan Air Baru"), sebatang terusan kapal yang mengaitkan bandar raya Rotterdam dengan pelabuhannya, dibuka kerana cawang-cawang sungai Meuse-Rhine yang semula jadi penuh dengan lanar. Terusan yang sebenar berukuran lebih kurang 6.5 kilometer dari hujung-hujung barat empangannya ke Maeslantkering (“Sekatan Maeslant”). Bagaimanapun, banyak peta, memasukkan Scheur sebagai sebahagian Nieuwe Waterweg dan menyebabkan panjangnya kira-kira 19.5 kilometer.

Pada setengah pertama abad ke-20, pusat graviti pelabuhan Rotterdam beralih ke barat menuju ke Laut Utara. Merangkumi kawasan seluas 105 kilometer persegi, pelabuhan Rotterdam kini terbentang melebihi 40 kilometer jaraknya, dan terdiri daripada kawasan pelabuhan bersejarah pusat bandar, termasuk:

Pembinaan Maasvlakte yang kedua pada mula-mulanya menerima kebenaran politik pada tahun 2004, tetapi dihentikan oleh Raad van State (Majlis Negara Belanda yang menasihati kerajaan dan parlimen tentang perundangan dan tadbir urus) pada tahun 2005 kerana rancangannya tidak cukup mempertimbangkan persoalan-persoalan persekitaran. Bagaimanapun pada 10 Oktober 2006, kebenaran akhirnya diberikan untuk pembinaan dimulakan pada tahun 2008, dengan sasaran tarikh penyiapan pada tahun 2013.

Sejarah dan perkembangan terkini[sunting | sunting sumber]

Untuk kemusnahan pusat bandar pada tahun 1940, sila lihat Pengeboman Rotterdam
Rotterdam, oleh Johan Barthold Jongkind (1856)

Petempatan di tanah paya yang terletak di hilir Sungai Rotte (atau Rotta, namanya ketika itu yang membawa pengertian "berlumpur (rot ) + "air" (ta), iaitu, "air berlumpur") wujud sejak dari sekurang-kurangnya tahun 900. Pada sekitar tahun 1150, banjir-banjir besar di kawasan ini menamatkan sebarang pembangunan, dan menyebabkan pembinaan banyak daik dan empangan perlindungan, termasuknya Schielands Hoge Zeedijk ("Daik Laut Lepas Schieland") di sepanjang tebing-tebing utara Sungai Nieuwe Maas hari ini. Sebuah empangan dibina pada dekad 1260-an atau 1270-an untuk mencegah air tinggi dan pasang surut ribut Sungai Rotte daripada membanjiri daratan. Empangan ini di Rotte, atau “Rotterdam” terletak di Hoogstraat ("High Street" ) hari ini.

Pada 7 Jun 1340, Count Willem IV dari Holland memberikan hak bandar raya kepada Rotterdam yang ketika itu mempunyai lebih kurang 2,000 orang penduduk. Pada sekitar tahun 1350, Rotterdamse Schie disiapkan, dan merupakan sebatang terusan perkapalan yang memberikan Rotterdam laluan kepada bandar-bandar yang lebih besar di utara, dan selain daripada membenarkannya dibandarkan secara perlahan-lahan, juga membenarkannya menjadi sebuah pusat pemunggahan tempatan di antara Holland, England dan Jerman,

Pelabuhan Rotterdam bertumbuh dengan perlahan-lahannya menjadi sebuah pelabuhan yang penting, serta menjadi pusat untuk salah satu daripada enam dewan Vereenigde Oostindische Compagnie (VOC), atau Syarikat Hindia Timur Belanda.

Pertumbuhan yang paling pesat dari segi kegiatan pelabuhan serta pertumbuhan penduduk berlaku selepas penyiapan jalan air Nieuwe Waterweg pada tahun 1872. Bandar raya dan pelabuhan Rotterdam mula berkembang ke tebing selatan. Memberikan bukti kepada pertumbuhan yang pesat dan kejayaannya ialah Rumah Putih atau Witte Huis, pencakar langit dalam gaya Chateau Perancis, yang dibina pada tahun 1898 mengikut semangat dan gaya bangunan pejabat Amerika Syarikat. Dengan 45 meter tingginya, ia merupakan bangunan pejabat yang tertinggi di Eropah ketika itu.

Sambutan sempena pengeboman Rotterdam 1940 pada 15 Mei 2007

Angkatan tentera Jerman menyerang Belanda pada 10 Mei 1940 dan hanya memperuntukkan satu hari untuk penaklukannya. Walaupun angkatan tentera Belanda mempertahankan negaranya dengan penuh semangat, mereka terpaksa menyerah kalah pada 14 Mei 1940, dengan Pengeboman Rotterdam oleh Luftwaffe, angkatan tentera udara Jerman, serta ancaman-ancaman untuk mengebom bandaraya-bandaraya yang lain. Pusat bandar raya Rotterdam hampir dimusnahkan sama sekali, dengan 800 orang dibunuh dan kira-kira 800,000 orang kehilangan tempat berteduh. Ossip Zadkine kemudian mengabadikan peristiwa itu dengan ketara melalui arcanya, Stad zonder hart (Bandar raya tanpa pusat). Arca ini kini terletak berhampiran dengan Leuvehaven, tidak jauh dari Erasmusbrug di bahagian utara bandar raya.

Dari dekad 1950-an sehingga sepanjang 1970-an, bandar raya Rotterdam dibina semula. Ia masih agak berangin dan terbuka sehingga majlis-majlis bandar raya mula mengembangkan sebuah dasar seni bina yang aktif sejak dari dekad 1980-an. Gaya-gaya pangsasuri, bangunan pejabat, dan kemudahan rekreasi yang baru dan berani menyebabkan pusat bandar lebih sesuai didiami, dengan latar langit yang baru. Pada abad 1990-an, Kop van Zuid, sebuah pusat perdagangan yang baru, dibina di tebing selatan. Dewan Bandarayanya terselamat daripada kempen pengeboman.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Dengan 55% daripada jumlah penduduknya berpendapatan rendah, Rotterdam mengalami masalah-masalah bandar yang biasa, seperti kawasan-kawasan pedalaman bandar yang usang.

Kelompok etnik penduduk[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan statistik tahun 2004, komposisi kelompok etnik Rotterdam adalah seperti yang berikut:

Di Belanda, Rotterdam mempunyai peratusan orang asing bukan barat yang tertinggi, dengan hampir setengah daripada jumlah penduduknya tidak berasal dari Belanda, atau sekurang-kurangnya mempunyai seorang ibu bapa yang dilahirkan di luar negeri. Angka-angka terkini menunjukkan bahawa orang Islam merupakan hampir 20% daripada jumlah penduduk bandar raya ini. Rotterdam merupakan tempat asal kepada komuniti Antille Belanda yang terbesar serta juga kepada salah satu komuniti Tanjung Verde yang terbesar di dunia.

Jumlah penduduk sejarah[sunting | sunting sumber]

Geografi[sunting | sunting sumber]

Imej satelit untuk kebanyakan Rotterdam

Rotterdam yang terbahagi kepada bahagian-bahagian utara dan selatan oleh Sungai Nieuwe Maas dikaitkan melalui (dari barat ke timur): Beneluxtunnel; Maastunnel; Erasmusbrug (Jambatan Erasmus); terowong bawah tanah; Willemsspoortunnel (terowong kereta api bawah tanah Willems); Willemsbrug (Jambatan Willems); Koninginnebrug ("Jambatan Ratu"); dan Van Brienenoordbrug (Jambatan Van Brienenoord). "De Hef" ("Lif"), bekas jambatan-angkat landasan kereta api, dikekalkan sebagai tugu peringatan dalam kedudukan terangkat di antara Noordereiland ("Pulau Utara") dan Rotterdam Selatan.

Pusat bandar raya Rotterdam terletak di tebing utara Nieuwe Maas, walaupun pembangunan bandar raya yang baru-baru ini telah memperluas kawasan tersebut ke bahagian-bahagian selatan Rotterdam yang dikenali sebagai De Kop van Zuid ("Kepala Selatan", iaitu bahagian utara Rotterdam Selatan). Dari teras pedalaman, Rotterdam menganjur ke Laut Utara melalui kawasan-kawasan yang sebahagian besarnya terdiri daripada kawasan pelabuhan.

Dibina sebahagian besarnya di belakang daik, kebanyakan kawasan Rotterdam berada di bawah aras laut. Umpamanya, Prins Alexander Polder di bahagian timur laut Rotterdam terletak 6 meter di bawah aras laut, iaitu di bawah Datum Ordnans Amsterdam (NAP: Normaal Amsterdams Peil ) . Titik terendah di Belanda (6.76 meter di bawah NAP) terletak di sejurus bahagian timur Rotterdam di kawasan perbandaran Nieuwerkerk aan den IJssel.

Sungai Rotte tidak lagi bertemu dengan Sungai Nieuwe Maas secara langsung. Sejak dari awal dekad 1980-an ketika pembinaan terowong bawah tanah yang kedua mengganggu perjalanan Sungai Rotte, airnya telah dipam ke dalam sebatang paip masuk ke Sungai Nieuwe Maas melalui Boerengat.

Lain-lain[sunting | sunting sumber]

Tokoh-tokoh Rotterdam[sunting | sunting sumber]

Lihat juga Tokoh-tokoh Rotterdam
Arca Erasmus

Lihat juga: Senarai datuk bandar Rotterdam

Kembaran bandar[sunting | sunting sumber]

Rotterdam menyertai program kembaran bandar antarabangsa.

  • 13 buah Bandar Raya Kembar
  • 12 buah Bandar Raya Pasangan
  • 4 buah Pelabuhan Kembar


Bandar Raya Kembar


Pelabuhan Kembar

Bandar Raya Pasangan

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Koordinat: Format argumen tidak diketahui
{{#coordinates:}}: garis lintang tidak sah

  1. 1.0 1.1 "Kerncijfers Rotterdam 2006". www.rotterdam.nl. Bandaraya Rotterdam. Mei 2006. Diperoleh pada 2007-04-04. 
  2. "Randstadmonitor 2006". www.regio-randstad.nl. Regio Randstad. Januari 2007. Diperoleh pada 2007-04-04.