Sejarah Korea

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Rencana ini adalah berkenaan dengan sejarah Korea sehingga pembahagian Korea pada dekad 1940-an. Sila lihat Sejarah Korea Utara dan Sejarah Korea Selatan untuk tempoh selepas Perang Dunia II. Lihat juga Nama-nama Korea.


Amitabha dan Lapan Bodhisattva Agung, skrol Goryeo dari dekad 1300-an.

Sejarah Korea berlangsung sejak dari Zaman Paleolitik Awal sehingga masa kini. [1] Tembikar Korea terawal yang diketahui wujud sejak sekitar 8000 SM, dengan Zaman Neolitik bermula sebelum 6000 SM, disusuli oleh Zaman Gangsa pada sekitar 2500 SM. Menurut legenda, Dinasti Gojoseon (Joseon Lama), dinasti pertama, diasaskan pada tahun 2333 SM dan kemudian terbentang dari semenanjung ke kebanyakan Manchuria. [2] Menjelang abad ke-3 SM, dinasti itu mula merosot dan akhirnya berpecah belah menjadi sebilangan negeri pewaris.

Pada Zaman Umum awal, tiga buah kemaharajaan (Goguryeo, Silla, dan Baekje) menaklukkan negeri-negeri pewaris Gojoseon yang lain dan menguasai semenanjung serta kebanyakan Manchuria. Adalah semasa tempoh itu bahawa Korea memainkan peranan yang penting sebagai penghantar kemajuan kebudayaan, dan membantu membentuk kebudayaan dan politik Jepun yang awal. Rekod-rekod banci dari Jepun awal menunjukkan bahawa kebanyakan golongan bangsawan Jepun mengesani jurai keturunan mereka ke semenanjung Korea. Maharaja Jepun yang terkini menyatakan bahawa "ibu Maharaja Kammu telah dicatatkan dalam Babad Jepun sebagai berketurunan daripada Raja Muryong dari Baekje," dan "Beta mempercayai bahawa kita bertuah melihat kebudayaan dan kemahiran sebegitu dihantar dari Korea ke Jepun." [1]

Kemaharajaan-kemaharajaan Korea bersaing antara satu sama lain dari segi ekonomi dan ketenteraan. Baekje adalah lebih kuat pada kebanyakaan zaman itu dan banyak kali menewaskan serangan-serangan Cina. Menjelang abad ke-7, kuasa Silla beransur-ansur terbentang ke seluruh Korea dan akhirnya mengasaskan sebuah negara bersatu yang pertama yang merangkumi kebanyakan semenanjung Korea pada tahun 676. Zaman itu sering dipanggil Silla Bersatu. Bagaimanapun, tidak lama selepas kejatuhan Goguryeo, Dae Joyeong, bekas jeneral Goguryeo, mengetuai sekumpulan anak Korea masuk ke Manchuria timur dan mengasaskan Balhae (698 - 926) sebagai pewaris Goguryeo. Selepas Balhae ditewaskan pada tahun 926, kebanyakan orangnya yang diketuai oleh Putera Mahkota diserap ke dalam Goryeo.

Silla Bersatu pada dirinya berpecah belah pada lewat abad ke-9, dan mengakibatkan Zaman Tiga Kemaharajaan Lewat (892-936) yang tamat dengan pengasasan Dinasti Goryeo. Semasa Zaman Goryeo, undang-undang dikodkan, dan sebuah sistem perkhidmatan awam diperkenalkan. Agama Buddha berkembang maju. Pada tahun 1238, Empayar Mongolia menyerangnya dan selepas hampir tiga puluh tahun berperang, kedua-dua pihak memeterai perjanjian perdamaian.

Pada tahun 1392, Jeneral Yi Seong-gye mengasaskan Dinasti Joseon (1392-1910) selepas sebuah rampasan kuasa. Raja Sejong Agung (1418-1450) menyebarluaskan abjad Hangul, abjad Korea, sebagai pilihan yang lain untuk askara Cina yang dahulu merupakan sistem tulisan tunggal. Zaman itu memperlihatkan berbagai-bagai kemajuan kebudayaan dan teknologi. Antara tahun-tahun 1592-1598, Jepun menyerang Korea, tetapi akhirnya ditangkis dengan usaha-usaha oleh angkatan tentera laut yang diketuai oleh Laksamana Yi Sun-sin, angkatan-angkatan tentera penentang, serta bantuan Cina. Pada dekad 1620-an dan 1630-an, Joseon mengalami serangan-serangan Dinasti Qing Manchu.

Pada dekad 1870-an, Jepun mula mengambil alih pengaruh China di Korea dan pada tahun 1895, Maharani Myeongseong dari Korea dibunuh oleh ejen-ejen Jepun. [3] Jepun memaksa Korea memeterai Perjanjian Eulsa yang menyebabkan Korea menjadi sebuah negeri naungan Jepun pada tahun 1905 dan pada tahun 1910, Jepun mengilhakkan Korea walaupun kedua-dua perjanjian tersebut tidak sah di sisi undang-undang. [4] Rintangan Korea terhadap pendudukan Jepun terjelma dalam bentuk tunjuk perasaan Gerakan 1 Mac besar-besaran yang tidak ganas pada tahun 1919. Selepas itu, gerakan kemerdekaan Korea yang dikendalikan oleh Kerajaan Sementara Republik Korea dalam buangan bergiat di kawasan-kawasan Manchuria, China, dan Siberia yang berjiran.

Dengan kekalahan Jepun pada tahun 1945, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengembangkan sebuah rancangan untuk menubuhkan pentadbiran peramanahan di bawah Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat, tetapi rancangan itu dihentikan tidak lama kemudian. Pada tahun 1948, kerajaan-kerajaan baru ditubuhkan, dan Korea dibahagikan kepada Korea Selatan demokrasi dan Korea Utara komunis pada selarian latitud ke-38. Ketegangan pembahagian yang tidak diatasi akhirnya mencetuskan perang Korea pada tahun 1950 ketika Korea Utara menyerang Korea Selatan.


Nota[sunting | sunting sumber]

  1. Byeon (1999), m.s. 27. Byeon menjelaskan bahawa lapisan-lapisan bawah di Seokjangni dan tapak-tapak yang lain telah ditarikhkan sebagai 600,000-500,000 SM, dan penemuan lapisan-lapisan yang lebih lama di sebuah tapak di Kaunti Damyang telah melahirkan hipotesis bahawa penghunian hominid di Korea bermula pada sekitar 700,000 SM.
  2. Go-Choson
  3. Pembunuhan Maharani Myeongseong
  4. Pengilhakan Paksaan

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Byeon Tae-seop (변태섭) (1999). 韓國史通論 (Hanguksa tongnon) (Garis kasar sejarah Korea), edisi ke-4. ISBN 89-445-9101-6. 
  • Yang, S.C. (1999). The North and South Korean political systems: A comparative analysis (edisi semakan). Seoul: Hollym. ISBN 1-56591-105-9

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]