Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V diadakan dalam adat istiadat di-Raja Melayu, di Balairong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur pada hari Isnin, 24 April 2017 pukul 10 pagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XV. Seri Paduka Baginda telah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-242 di Istana Negara pada 13 Oktober 2016 bagi tempoh 5 tahun mulai 13 Disember 2016 untuk menggantikan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia.

Istiadat Permasyhuran Yang di-Pertuan Agong XV[sunting | sunting sumber]

Pada 13 Disember 2016, Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-244 (Khas) diadakan sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XV.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.16 pagi disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas.

Baginda diiringi melalui pasukan Kawalan Kehormat Setempat oleh Angkatan Tentera Malaysia Unit I Rejimen Renjer Diraja, terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat, yang diketuai Kapten Mohd Hafiz Mohamad Noor. Baginda kemudian berangkat ke Dataran Parlimen untuk sambutan rasmi penuh istiadat sebelum berangkat ke Istana Negara.

Semua sembilan Raja-Raja Melayu atau wakil-wakil baginda serta tiga Yang Dipertua Negeri hadir pada upacara berkenaan, kecuali Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang diwakili Speaker Dewan Undangan Sarawak Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, menteri-menteri Kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan.

Mesyuarat Khas tersebut dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Memulakan istiadat, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad tampil menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Muhammad V yang kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan sebelum menandatanganinya. Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin Muizuddin Shah yang kemudiannya melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatanganinya. Surat Sumpah Jawatan baginda turut ditandatangani oleh Sultan Mizan dan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi.

Acara di Balairong Seri kemudiannya diteruskan dengan istiadat menandatangani perisytiharan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.

Memulakan istiadat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diapit Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Md Tajri Alwi dan penolongnya Azuan Effendy Zairakithnaini menghadap dan menyembahkan Surat-surat Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Najib kemudian membaca perisytiharan bahawa Sultan Muhammad V telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 manakala Sultan Nazrin pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Upacara penuh istiadat yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Selesai istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-244 (Khas) ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak. Setelah selesai upacara di Balairong Seri, Najib mengetuai upacara menghadap diikuti menteri-menteri Kabinet serta orang kenamaan.[1]

Cuti umum[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Malaysia mengisytiharkan 24 April 2017 sebagai hari cuti umum tambahan di seluruh Malaysia sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V. Pengisyiharan ini dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.[2]

Istiadat pertabalan[sunting | sunting sumber]

Keberangkatan tiba[sunting | sunting sumber]

Permulaan istiadat ditandai oleh keberangkatan tiba Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Raja-Raja Permaisuri dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri pada jam 9 pagi. Istiadat Pecah Bendera dilaksanakan iaitu bendera peribadi dipecah dan dikibarkan menandakan keberangkatan tiba baginda di istana tersebut. Berikut merupakan senarai keberangkatan tiba:

  1. TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin & isteri, Toh Puan Datin Seri Norlidah RM Jasni
  2. TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato' Seri Utama Dr. Hj. Abdul Rahman Abbas & isteri, Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff
  3. TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob & isteri, Toh Puan Datuk Seri Utama Zurina Kassim
  4. DYTM Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Tengku Maliha Binti Tengku Ariff
  5. YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak & isteri Datin Seri Rosmah Mansor
  6. DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustaman
  7. TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud & isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Waleed Alkurdi
  8. YTM Pemangku Raja Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra
  9. DYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah & Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
  10. DYTM Pengiran Muda Mahkota Brunei, Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Haji Al-Muhtadee Billah
  11. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Dr. Nazrin Muizuddin Shah & DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim Davidson
  12. DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir & DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani
  13. DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj & DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman
  14. DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
  15. DYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah & DYMM Sultanah Sultanah Nur Zahirah
  16. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V

Barisan tetamu diraja dibawa masuk ke Dewan Seri Maharaja Istana Negara manakala barisan tetamu dari kalangan pimpinan kerajaan dibawa masuk ke Dewan Seri Mahkota Istana Negara. Berbeza dengan istiadat pertabalan yang terdahulu, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja akan berangkat masuk ke Balairong Seri bersama-sama dari Dewan Seri Maharaja.

Yang di-Pertuan Agong berangkat tiba di Istana Negara pada jam 9:57 pagi waktu Malaysia dan disambut iringan tiupan Pancaragam Pusat Rejimen Diraja iaitu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sambil membawakan Panji Diraja dan Panji Rejimen Askar Melayu Diraja. Lagu "Negaraku" dimainkan di Dataran Utama Istana Negara sebelum kawalan kehormatan utama disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda dan hormat diraja disempurnakan selepas itu.

Selepas keberangkatan masuk Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama bersama pasangan masing-masing, Yang di-Pertuan Agong berangkat masuk ke Balairong Seri dengan iringan lagu "Raja Berangkat" oleh Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan.

Istiadat bermula[sunting | sunting sumber]

Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral (B) Dato' Mamat Ariffin Bin Hj Abdullah, menghadap dan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memulakan istiadat pertabalan.

Membawa masuk al-Quranul Karim dan alat-alat kebesaran istiadat pertabalan ke Balairong Seri dengan diiringi gendang dipalu lagu menjunjung duli "Seri Istana". Datuk Penghulu Istiadat mempersembahkan al-Quranul Karim kepada Datuk Paduka Maharaja Lela lalu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong lalu mencium dan meletakkannya di rehal di sisi kanan baginda.

Kemudian, Datuk Paduka Maharaja Lela membawa mengadap Perdana Menteri untuk membaca surat pengisytiharan pertabalan. Selepas itu, Keris Panjang Diraja atau Keris Kerajaan dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda lalu dihunus dan dicium oleh baginda sebelum disarung kembali dan diletakkan di sisi kiri baginda.

Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian mempersembahkan Warkah Ikrar. Semua hadirin di istana berdiri dan baginda melafazkan ikrar tersebut dan disambut oleh lagu "Raja Bertabal". Kemudian, laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali dilaungkan dan nyanyian lagu Negaraku dikumandangkan dan tembakan meriam 21 das dilepaskan. Lalu, Datuk Paduka Maharajalela membawa mengadap Perdana Menteri untuk mempersembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia. Selepas itu, Warkah Titah Diraja dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dizahirkan baginda.

Berikutan itu, Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Aziz Che Yakob, membacakan Doa Selamat. Selepas menghadap dan memohon perkenan baginda, Datuk Paduka Maharaja Lela menerima kembali al-Quranul Karim dari singgahsana dan diserahkan semula kepada Datuk Penghulu Istiadat. Selepas itu, Datuk Paduka Maharaja Lela memaklumkan bahawa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV selamat disempurnakan. Dengan berakhirnya istiadat tersebut, Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan Balairong Seri denga iringan lagu "Raja Berangkat" dan disambung oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Raja-Raja Permaisuri dan Tuan-Tuan Yang Terutama ke Dewan Seri Mahkota untuk sesi bergambar.

Santapan Diraja[sunting | sunting sumber]

Majlis Santapan Diraja sempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong XV turut diadakan pada sebelah malam hari yang sama bagi meraikan upacara istimewa itu bersama tetamu-tetamu diraja dan kehormat. Selain Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu, majlis santapan itu turut dihadiri Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah. Majlis berkenaan diserikan dengan persembahan nyanyian artis tempatan termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Andre Goh yang diiringi Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Seri Paduka dan para hadirin turut menyaksikan persembahan dikir barat yang diterajui Halim Yazid serta tarian kebudayaan anak-anak Permata Seni dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]